
Oleh : Mohd Faizal Aziz
Menurut Kassim Ahmad, memupuk dan membangunkan budaya saintifik di kalangan rakyat adalah suatu usaha yang sangat penting dan kerja besar untuk membangunkan sebuah tamadun baru bangsa kita. Takrif sains pula menurut Prof Shaharir Mohamad Zain merupakan analisis fenomena alam tabii secara sistematik,mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpuan pengetahuan yang boleh dipercayai. Oleh yang demikian budaya saintifik merujuk kepada perlakuan, kepercayaan, nilai, sikap,tanggapan, amalan dan personaliti yang bersandarkan kepada kaedah pemikiran sains.
Timbul pertanyaan di kalangan orang awam, apakah yang dilakukan oleh saintis dan penyelidik apabila mereka melakukan penyelidikan. Bagaimanakah kedudukan makmal penyelidikan, profesor, penyelidik dan mahasiswa pasca siswazah dalam tradisi penyelidikan sains. Persoalan ini dibahaskan oleh Frederick Grinnel dalam bukunya The Scientific Attitude, terbitan Guilford Express, 1992. Di dalam buku ini terdapat perbahasan menarik korelasi antara seorang profesor dan mahasiswanya.
Makmal merupakan suatu tempat pemindahan gaya berfikir dan penelitian tentang sesuatu tabii dari satu generasi ke generasi berikutnya dalam menjalankan penyelidikan. Sebuah makmal penyelidikan biasanya terdiri daripada seorang penyelidik senior (profesor) dan para pembantunya yang terdiri dari pembantu penyelidik, penuntut dan pembantu makmal yang lain. Makmal penyelidikan juga boleh diibaratkan sebagai sebuah struktur organisasi perniagaan di mana profesornya berperanan sebagai pemilik yang menentukan misi, visi dan strategi perniagaannya.
Dalam sebuah makmal, terdapat kerjasama erat yang saling memerlukan antara profesor dan mahasiswanya. Mahasiswa dan pelajar pascasiswazah sangat diperlukan oleh profesor dan penyelidik senior yang lain untuk mengembangkan ’thought style’ di makmal penyelidikan yang sedang dibangunkan. Dalam konteks ini, peranan mahasiswa sangat penting untuk memberikan nafas baru dalam melanjutkan kegiatan saintifik, di mana profesor memberikan kesempatan kepada mahasiswanya bukan hanya belajar kaedah melakukan eksperimen, bahkan diberikan kesempatan untuk belajar bagaimana untuk menjalankan eksperimen dan mencari formula baru menyelesaikan masalah dalam kajian saintifik.
Seorang penyelidik senior, kebiasaannya sudah memiliki pola berfikir yang mapan dan agak sulit untuk mempelajari kaedah dan masalah yang relatifnya baru dalam sains dan teknologi yang pantas berkembang. Kaedah berfikirnya mungkin terbatas oleh pengalaman penyelidikan dan latihan yang telah sekian lama dilaluinya. Namun begitu, penyelidik senior tetap harus mempelajari suatu permasalahan baru atau pendekatan terkini demi untuk membuktikan produktiviti dan meneruskan kesinambungan kegiatan saintik di makmal yang dibangunkannya. Mengenalpasti masalah, tema dan kaedah baru memerlukan usaha yang cukup berat dan memerlukan masa dan perhatian yang bukan sedikit untuk menyelak halaman-halaman buku teks, berbincang dengan rakan seperjuangan dan membaca jurnal-jurnal penerbitan terkini dengan hasrat yang jitu membuka lembaran-lembaran baru dalam dunia penyelidikan.
Dalam hal ini, pengambilan ”post graduate student”, ”post doctorial” dan mahasiswa yang berkebolehan adalah sangat penting seterusnya dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. Mereka ini akan bertugas sebagai rakan dan pembantu penyelidik yang akan memperkenalkan kaedah serta gagasan baru di makmal penyelidikan tersebut. Melalui mereka, penyelidik-penyelidik yang lebih senior dapat mempelajari ilmu dan pendekatan baru secara cepat dan lebih efektif.
Penyelidik junior dan mahasiswa biasanya akan berkongsi hasil, pengalaman dan kaedah baru dalam penyelidikan semasa menghadiri konferens atau simposium membentangkan hasil penyelidikan. Kebanyakan mereka mempunyai semangat berkobar-kobar untuk menghuraikan dan berkongsi pengalaman penemuan yang dilakukan di makmal dengan rakan penyelidik lain seluruh dunia. Semangat itu biasanya datang dari dalam jiwa penyelidik junior tadi untuk membuktikan kefahaman dan kemajuan penyelidikan bidang sains dan teknologi yang sedang dipelajari oleh mereka. Seterusnya ketua penyelidik, memberikan peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan kaedah yang diperkenalkan tersebut selanjutnya dapat membangkitkan keinginan berterusan berkecimpung dalam dunia saintifik. Kebiasaannya, seorang penyelidik tidak terus mencuba kaedah baru selagi kaedah yang diperkenalkan belum betul-betul diuji dan mencapai hasil positif di makmal bagi menunjukkan keupayaan penyelidikan dan kaedah baru yang diperkenalkan.
Keberhasilan seorang mahasiswa melakukan penyelidikan memberikan kepuasan kepada penyelidik selaku mentornya bahawa kaedah pengajaran dan tunjuk ajar yang diberikan selama menjalankan kajian adalah berkesan. Sebaliknya kegagalan mahasiswa merupakan petunjuk bagi pembimbingnya untuk menilai tahap keupayaan sebenar dan kaedah pengajaran yang dilakukan.
Proses ini tidak lain, berfungsi sebagai kayu pengukur tahap kebolehan kepimpinan dan keupayaan penyelidik terbabit untuk dirinya sendiri dan juga keseluruhan makmal penyelidikan yang dibangunkan. Gaya kepimpinan dan kaedah penyelidikan serta pembangunan kaedah berfikir menyelesaikan masalah dalam penyelidikan hanya mampu bertahan sekiranya mahasiswa bimbingannya lulus dan mampu berdikari dalam meneruskan kegiatan saintifik demi kesinambungan pemikiran sains yang berterusan. Hal ini juga yang dapat membuktikan kemampuan sebenar penyelidik dalam menyampaikan kaedah dan gaya berfikir seorang saintis kepada saintis-saintis muda yang baru melibatkan diri dalam dunia penyelidikan.
Tersiar di Dewan Budaya, Julai 2008




