54086

 

Oleh: Mohd Faizal Aziz


Di antara sembilan cabaran di dalam Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke empat Tun Dr Mahathir Mohamad salah satunya ialah ”untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, yakni masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang jauh ke hadapan serta menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan’. Dalam usaha untuk mencapai wawasan ini, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi. Oleh yang demikian kerajaan melalui kementerian yang terbabit telah menetapkan sasaran kuota pelajar sains melebihi pelajar bukan sains menjelang tahun 2010.


Sedar atau tidak bahawa sekarang kita sudah pun memasuki abad ke-21. Menjelang tahun 2020, Malaysia bercita-cita untuk menjadi negara maju setanding dengan negara maju yang lain. Negara maju yang ingin dicapai adalah mengikut acuan kita sendiri dengan mempunyai nilai-nilai moral dan agama yang tinggi selain pembangunan yang pesat dalam sektor ekonomi, perindustrian, pengangkutan dan sebagainya.


Melihat sejarah, kegemilangan tamadun manusia banyak dipengaruhi oleh kehebatan sains dan teknologi yang dimiliki oleh mereka. Contoh yang jelas dan masih boleh dilihat sehingga kini ialah kehebatan Tamadun Mesir Purba. Sehingga kini binaan piramid yang dibina ribuan tahun dahulu masih tegap dan berdiri teguh dan terus menarik minat para pengkaji untuk mengkaji bagaimana binaan unik tersebut dapat ditegakkan. Begitu juga dengan kekuatan Tamadun China yang membina Tembok Besar masih dikunjungi pelancong sehingga ke hari ini. Apa yang menarik untuk sama-sama kita fikirkan ialah kekuatan sains dan teknologi yang mereka miliki.


Sejak abad ke-19 lagi selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah, kebanyakan sektor pekerjaan didominasi oleh sains dan teknologi. Kuasa ekonomi dunia mula mengorak langkah dari pertanian tradisonal kepada perindustrian dan penggunaan teknologi. Sedikit sebanyak penggunaan tenaga buruh konvensional semakin berkurangan. Kepesatan pembangunan sains dan teknologi maklumat menuntut pekerja dilengkapkan dengan pengetahuan tinggi yang dikenali juga dengan istilah k-workers. Negara juga perlu membangunkan tenaga kerja yang kreatif, berkemahiran tinggi dan berilmu sejajar dengan perkembangan pantas dunia sekarang. Proses globalisasi juga memerlukan perubahan pemikiran dan tahap kepakaran yang tinggi di kalangan pekerja untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang dihadapi oleh pasaran pekerjaan di seluruh dunia. Oleh yang demikian bagaimanakah persiapan kita dalam menghadapi era sains dan teknologi yang semakin hari semakin mencabar ini.


Dalam dunia pendidikan di semua peringkat, pelbagai kursus sains dan teknologi diperkenalkan untuk menarik minat pelajar untuk mendalaminya. Peluang kerjaya juga terbuka luas untuk graduan-graduan yang memiliki latarbelakang sains dan teknologi seperti jurutera, arkitek, pengaturcara komputer, saintis, penyelidik dan sebagainya. Melihat perkembangan dunia sains yang begitu pesat berkembang seperti bidang teknologi maklumat, kejuruteraan, fizik, bioteknologi aeroangkasa dan puluhan lagi cabang sains, maka peluang untuk graduan menceburinya terbuka luas. Apa yang diperlukan ialah semangat jitu, stamina belajar yang tinggi, iltizam, minat yang mendalam serta kecintaan yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Selain itu, kemampuan menguasai bahasa inggeris sebagai bahasa kedua serta minat yang mendalam dalam subjek matematik dan sains amat diperlukan untuk membolehkan mereka yang menceburi bidang ini dapat bertahan dan menghasilkan idea-idea baru melalui inovasi terkini.


Di dalam buku Iginited Minds tulisan APJ Kalam bekas Presiden India yang ke-sebelas beliau menekankan betapa pentingnya kanak-kanak diasuh dengan minda saintifik sejak dari awal persekolahan lagi. Menurut beliau, setiap kanak-kanak mempunyai stamina dan kekuatan mental yang tinggi untuk mengetahui sesuatu perkara sehingga kadang-kadang memeningkan kepala orang dewasa. Tidak hairanlah sumber manusia dari India dalam bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan semakin hari semakin terserlah. Terbaru ialah kejayaan India menghantar roket ke angkasalepas menggunakan seratus peratus tenaga dan kepakaran anak tempatan. Untuk pengetahuan APJ Kalam juga seorang saintis dalam bidang persenjataan dan aeroangkasa yang terkenal di India.


Oleh yang demikian, untuk melahirkan pekerja atau modal insan yang benar-benar menghayati sains dan teknologi, minda anak-anak perlu dipupuk sejak dari kecil untuk melahirkan generasi berfikiran saintifik dan progresif seperti yang terkandung dalam cabaran ke-enam Wawasan 2020. Walaupun tahun 2020 sudah begitu hampir, tidak mustahil kita akan berjaya dan mampu bersing dengan negara-negara maju lain dalam melahirkan sumber daya manusia yang berketerampilan dalam sains dan teknologi.


Tersiar di Estidotmy, MOSTI-Utusan Malaysia, Nov 08



Share on Facebook