54045

Oleh : Mohd Faizal Aziz

 

Nanoteknologi merupakan satu istilah baru yang berpotensi besar untuk dikembangkan dalam hampir segenap bidang penyelidikan dan pembangunan seterusnya dimajukan dalam bidang industri yang menjanjikan pulangan besar kepada setiap mereka yang terlibat. Hampir setiap hari di dada akhbar, majalah dan lebuhraya maklumat internet mendedahkan penemuan-penemuan terbaru di makmal penyelidikan seluruh yang dapat dimajukan dalam dunia perindustrian moden yang berkaitan dengan nanoteknologi. Pada masa yang sama, pengkajian bidang nanoteknologi juga telah menghasilkan puluhan pemenang hadiah nobel dalam bidang ini termasuk pemenang hadiah nobel fizik dan kimia terbaru pada tahun 2007 iaitu Peter Gruenberg dari Jerman dan Albert Fert dari Perancis .

 

Kira-kira dua dekad dahulu sehingga kini, internet dan teknologi maklumat merupakan suatu kuasa yang yang berkesan mengubah landskap kehidupan manusia di dunia pada masa kini, nanoteknologi juga sedang menurut jejak langkah teknologi internet yang akan terus mendominasi gaya hidup manusia dan penghuni planet bumi pada masa akan datang. Majalah Forbes baru-baru ini menamakan nanoteknologi sebagai ’ era gemilang selepas internet’. Banyak artikel dan tulisan yang diterbitkan untuk menceritakan tentang nanoteknologi dan kelebihan yang dimilikinya termasuklah tulisan-tulisan kretaif dalam bentuk novel fiksyen dan fantasi. Selain rencana berbentuk ilmiah dan bersifat akademik tulisan K.Eric Drexler yang berjudul Engine of Creation, nanoteknologi juga sampai ke pengetahuan umum melalui sains fiksyen seperti yang ditulis oleh Isaac Asimov melalui novel sains fiksyennya yang terkenal Fantastic Voyage. Kadangkala terdapat juga idea, tulisan dan artikel yang menyimpan jauh dari konsep nanoteknologi yang sebenarnya diidamkan oleh para saintis dan penyelidik. Kita mungkin pernah terbaca atau mendengar idea-idea untuk menghasilkan spesis yang boleh menggantikan manusia, menghasilkan senjata kimia dan biologi menggunakan nanoteknologi sebagai kuasa penakluk baru oleh kuasa besar dunia pada masa kini. Walau apapun khabar angin yang timbul tentang nanoteknologi, ia tidak menghalang dana R&D daripada kerajaan untuk membangunkan teknologi ini. Di Amerika Syarikat, kerajaan persekutuan membelanjakan lebih dari AS$ 1 bilion untuk kerja-kerja penyelidikan bidang nanoteknologi. Jumlah besar dana penyelidikan ini datangnya daripada pelbagai sumber dan agensi penting Amerika seperti National Science Foundation, Department of Justice, National Institute for Health, Department of Defense dan pelbagai agensi lain yang melihat potensi besar nanoteknologi untuk dikembagkan.

 

Amerika Syarikat tidak bersendirian dalam memajukan teknologi ini. Kebanyakan universiti-universiti terkemuka di rantau Eropah dan Asia termasuk negara China menyediakan kemudahan lengkap dan memperuntukkan dana penyelidikan yang besar untuk kerja-kerja R&D dalam bidang nanoteknologi. Di seluruh dunia, dianggarkan lebih dari 4,000 syarikat dan institusi penyelidikan terlibat dalam nanoteknologi. Malaysia juga turut terlibat dalam mengembangkan penyelidikan dan industri berpotensi besar ini dan memperuntukkan dana penyelidikan yang besar dalam Rancangan Malaysia ke-9 seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini. Desas-desus mengatakan bahawa kerajaan juga dalam tempoh masa yang terdekat akan mengumumkan penubuhan pusat penyelidikan nanoteknologi negara yang akan memfokuskan bidang bahan nano dan aplikasinya untuk dikembangkan sehingga mencapai nilai pasaran sebagai salah satu sumber ekonomi negara.

Di Fraunhofer-Gesellscahft, German yang merupakan sebuah konsortium yang menggabungkan 56 buah institusi penyelidikan di seluruh negara tersebut adalah sebuah institusi yang terkenal dengan kekuatan penyelidikan mereka dalam nanoteknologi. Ahli-ahli dalam konsortium tersebut menjalankan penyelidikan yang mantap dalam kategori sintesis bahan nano, pemprosesan, analisis pencirian dan pemodelan sistem nano. Institusi tersebut juga menawarkan kepakaran yang tinggi dalam menghasilkan produk penyelidikan berasaskan bahan nano seperti saduran,gentian, komposit dan sebagainya.

 

Tidak syak lagi bahawa nanoteknologi telah menarik minat di kalangan banyak pihak selain golongan saintis dan ahli teknologi walaupun masih terdapat kritikan dan keraguan tentang potensi teknologi ini. Walau apapun pengkritik dan pengikut teknologi telah bersependapat dengan fakta, bahawa nanoteknologi dan hasil balikan (spin-off) daripadanya akan memberi impak yang signifikan dalam kehidupan manusia.

Bidang nanoteknologi sebenarnya merentasi pelbagai disiplin ilmu pengetahuan termasuk fizik, kimia, elektronik, mekanikal, biologi dan sebagainya. Oleh yang demikian kesan yang muncul selepas nanoteknologi diperkenalkan adalah melibatkan banyak produk-produk baru antara nya ialah makanan berasaskan teknologi, peralatan perubatan, penyaduran kimia, kit ujian kesihatan peribadi, sensor keselamatan, penyulingan air, skrin paparan komputer dan konsol permainan, skrin panggung wayang beresolusi tinggi dan banyak lagi. Di pasaran sekarang boleh didapati krim penjagaan kulit dan losyen yang dihasilkan berasaskan nanoteknologi.

 

The National Science Foundation di Amerika Syarikat menganggarkan bahawa pasaran produk dan barangan berasaskan nanoteknologi akan meningkat sebanyak $1 trilion dolar Amerika pada tahun 2015. Ia menjadikan pertumbuhan pasaran produk berasaskan nanoteknologi bukan hanya yang terpantas di dalam sejarah, malah terbesar jika dibandingkan dengan nilai pasaran gabungan teknologi komunikasi dan teknologi maklumat yang melonjak sejak tahun 1998. Yayasan ini juga mensasarkan 2 juta pakar teknologi di seluruh dunia dalam jangkamasa 15 tahun yang akan terlibat dalam memberi sumbangan dalam industri nanoteknologi. Ia kelihatan begitu realistik jika ditinjau perkembangan pengecilan transistor dalam penghasilan cip komputer berkuasa tinggi yang saban tahun semakin meningkat kepantasannya hasil dari evolusi mikroelektronik kepada nanoelektronik. Selain komputer, peningkatan mendadak penggunaan telefon bimbit, ciri-ciri baru kenderaan automotif, perkakasan elektrik rumah dan peningkatan penggunaan peralatan robotik dalam industri menjadikan pasaran nanoelektronik bernilai hampir 100 juta bilion dolar di seluruh dunia.

 

Di dalam bidang kesihatan, saintis telah pun mengutarakan idea mengenai penyelidikan nanoteknologi untuk menghasilkan molekul-molekul biosensor, bahan bio dan mencipta cip bio ( biochips ) bagi merawat penyakit kronik yang mengancam nyawa seperti kanser dan serangan jantung. Dalam kejuruteraan biologi, suatu peranti mirip tisu badan direka khusus untuk diimplan ke dalam badan manusia yang akan menghantar ubat atau merawat sel-sel badan yang mengalami jangkitan. Suatu masa dahulu, idea seperti ini hanya diperolehi dari buku-buku atau filem-filem sains fiksyen. Tetapi sains dan teknologi telah mengubahnya menjadi suatu realiti pada masa kini. Jelasnya penghasilan atau proses fabrikasi struktur nano ini akan meningkatkan sifat dan kekuatan bahan itu sendiri berbanding dengan bahan konvensional.

 

Di Eropah, saintis dalam bidang nanoteknologi telah membangunkan tekstil yang berubah sifat mengikut perubahan cuaca dengan menghangatkan si pemakai apabila cuaca sejuk serta mendinginkan pemakai apabila musim panas. Mereka juga berjaya menghasilkan bahan yang bertindak seperti daun bunga teratai yang tidak melekat air dan diaplikasikan dalam penghasilan peralatan dapur. Selain itu, sejenis bahan yang berketahanan tinggi dan ringan direka dengan konsep nanoteknologi dalam pembuatan badan kereta untuk membolehkannya dipandu lebih jauh menggunakan sumber bahan bakar yang minimum.

 

Apa yang jelas ialah, kemampuan bidang nanoteknologi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang dengan sebelah mata oleh semua pihak. Seluruh dunia kini menumpukan sepenuh perhatian di segenap aspek yang boleh dipelopori dalam bidang ini. Ia merupakan satu bidang penyelidikan yang menjanjikan banyak aplikasi dalam dunia yang serba moden dan canggih pada masa kini. Negara kita Malaysia berada dilandasan yang tepat apabila pihak kerajaan khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membelanjakan dana yang besar dalam penyelidikan nanoteknologi selain menyediakan prasarana yang mencukupi untuk tujuan itu. Sejarah kepesatan kemajuan telekomunikasi dan teknologi maklumat yang bermula sejak tahun 1990-an dahulu, kini diteruskan pula oleh nanoteknologi.

 

Tersiar di Dewan Kosmik, Februari 2008

Share on Facebook