buku_utem3

Oleh: Mohd Faizal Aziz

Kegemilangan tamadun islam dalam tempoh tidak kurang dari empat abad menjadi sejarah yang cukup manis dikenang oleh orang islam bahawa, suatu masa dahulu umat ini sememangnya sangat terkehadapan dalam sains dan tradisi keilmuan. Saintis muslim membintangi dunia keintelektualan dengan tamadun Baghdad sebagai puncak kegemilangannya, khususnya semasa era pemerintahan khalifah Harun al-Rashid dan puteranya al-Makmum.

 

Kepimpinan sains dan teknologi di dunia islam kemudiannya diambil alih oleh barat akibat kecuaian umat islam itu sendiri dalam mempertahankannya selain usaha barat yang mencemburui era keemasan itu sebelum ianya hancur dirempuh oleh tentera Mongol di abad ke 13. Tradisi keilmuan dunia islam seterusnya mengalami gerhana panjang sehingga ke hari ini akibat ketandusan pemikiran dan ilmu-ilmu pengetahuan moden yang selari dengan ajaran islam dalam menghadapi ancaman sains dan teknologi barat yang jelas membelakangkan sifat keinsanan yang ada dalam setiap manusia itu sendiri.

 

Sains dan teknologi Islam telah membangkitkan era Kegemilangan Eropah dari zaman kegelapan dan meraba-raba akibat tekanan dari pihak gereja. Di zaman gelap itu juga menyaksikan golongan saintis dan cerdik pandai mereka dipenjarakan dan juga dibunuh akibat salah faham golongan gereja dengan anggapan bahawa sains adalah satu aliran sihir yang berunsur syaitan. Namun begitu, kebangkitan Eropah menyaksikan keruntuhan ketamadunan Islam yang begitu cemerlang baik dalam kegiatan saintifik dan penyelidikan mahupun tradisi keilmuan di kalangan umat pada waktu itu. Hal ini kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dan golongan cerdik pandai sains Muslim, sama seperti penentangan golongan gereja kristian terhadap golongan cerdik pandai mereka. Lebih malang lagi apabila wujudnya suatu pemikiran yang menolak pengkajian saintifik dari barat dan harus ditentang. Pegangan sebegini masih lagi berlegar dalam segelintir masyarakat Islam sehingga kini.

 

Kegagalan melihat sains dan teknologi sebagai pemangkin dalam meningkatkan kesejahteraan dan martabat umat, memberikan kesan yang sangat negatif dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang dibanggakan pada suatu masa dahulu. Isu-isu yang selalu dibangkitkan ialah bagaimana negara-negara Islam yang mempunyai penduduk majoriti di planet bumi ini dapat mempelopori penemuan dan ciptaan baru dalam sains dan teknologi selepas beberapa abad menjadi pengguna dan pengekor kemajuan teknologi barat yang belum tentu dapat dimanfaatkan dalam kesibukan dunia globalisasi kini.

 

Ledakan sains dan teknologi dari barat juga telah mempercepatkan proses globalisasi. Di abad ke-20 sehingga kini dampak dari sains teknologi terus berkembang pesat meninggalkan kesan yang begitu mendalam dalam kehidupan manusia. Dekad 80- an menyaksikan perkembangan ”sains kuantum’ yang membuka era baru dengan munculnya teknologi perkomputeran, teknologi maklumat, kawalan jarak jauh, teknologi angkasa, teknologi imej, teknologi elektronik dan fotonik dan terkini nanoteknologi. Di sebalik kemajuan sains teknologi dan rekacipta terkini, ada sesuatu di sebalik sains barat ini yang merencatkan nilai agama dan budaya sesuatu bangsa. Masyarakat sains di barat sudah pun melupakan peranan tuhan dalam hidup mereka. Lihat sahaja lah produk-produk teknologi mereka yang digunakan dalam ketenteraan dan penjajahan ke atas negara-negara membangun yang tidak menurut telunjuk mereka. Selain itu, beberapa cabaran globalisasi dalam dunia sains teknologi telah digariskan oleh Prof. Dr. Yusof Othman dalam kertas kerjanya di dalam buku ini. Antara yang diulas oleh beliau ialah bagaimana teknologi yang dicipta oleh barat digunakan secara meluas dalam dunia ketenteraan sehingga menganiaya negara lemah. Begitu juga teknologi pengklonan yang disalah guna oleh saintis yang tidak memikirkan soal nilai dan peradaban. Teknologi maklumat juga memberi dampak dalam dunia globalisasi. Kemunculan internet dan maklumat dihujung jari menyebarkan lagi berita-berita berat sebelah yang terus didominasi oleh barat. Sosiobudaya masyarakat terus berubah dengan munculnya era globalisasi yang tidak terkawal di era sains dan teknologi. Budaya fast food, fast music dan fast information” menjadi amalan di seluruh dunia yang lahir dari budaya Amerika. Itulah cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan yang masih mempercayai akan adanya nilai dalam sains dan teknologi tidak seperti yang diagungkan oleh barat.

 

Pujian seharusnya diberikan kepada Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka atas usaha membukukan himpunan kertas kerja hasil tulisan ilmuan dan intelektual tempatan yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Peranan Sains dan Teknologi Dalam Pembinaan Tamadun. Seminar anjuran jabatan Kemasyarakatan dan Pendidikan Islam, Pusat Perkhidmatan Akademik, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan ( KUTKM ) yang dikenali sekarang dengan nama Universiti Teknikal Malaysia Melaka, UTEM dengan kerjasama Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya.

 

Usaha menerbitkan buku yang berjudul “Sains dan Teknologi Dalam Pembinaan Tamadun: Peranan dan Cabaran” oleh Penerbit UTEM merupakan suatu langkah yang tepat dan proaktif dalam usaha untuk memberikan kefahaman dan penghayatan sains dan teknologi dari perspektif islam. Selain itu ia juga dapat meleraikan bukan sedikit penghayatan intelektual dalam membincangkan polemik pertentangan antara agama dan sains teknologi dari barat.

 

Buku ini memuatkan 20 kertas kerja pelbagai topik yang dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama berkisar tentang Sains dan Teknologi Dalam Pembinaan Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. Bahagian kedua buku ini memberi fokus pada Sains dan Teknologi Dalam Pembinaan Tamadun Asia manakala bahagian ketiga berjudul Sains dan Teknologi Dalam Tamadun Barat dan Cabaran Globalisasi. Bahagian terakhir pula ia berkisar tentang isu-isu semasa Sains dan Teknologi Dalam Pembinaan Tamadun.

 

Antara tokoh yang menyumbang kertas kerja ialah Dato’ Dr Siddiq Fadzil dari Akademik Kajian Ketamadunan dari Kolej Dar al-Hikmah, Prof. Dr. Yusof Othman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Syed Mohd Dawilah al-Edrus dari USM, Prof Dr Sidek Baba, UIAM dan Prof Madya Obaidellah Mohammad, UM. Di samping itu ramai lagi ilmuan dan intelektual terkenal dari seluruh Malaysia yang lain meyumbang buah fikiran dan kupasan menarik dalam membicarakan permasalahan semasa yang dihadapi oleh dunia Islam dan ketamadunan melayu dalam memperkasakan diri menghadapi ledakan sains dan teknologi dalam era globalisasi yang terdapat di dalam buku ini.

Share on Facebook