54173 Oleh : Samhani Ismail Koma Mati Otak Banyak kemalangan ngeri mengakibatkan kecederaan teruk kepada mangsa. Otak menjadi rosak dan mati serta tidak dapat dipulihkan lagi. Dalam keadaan ini, jantung pesakit masih berfungsi sekiranya terus dinafaskan oleh mesin. Ada keluarga yang tidak dapat menerima situasi ini. Melihat insan tersayang bagaikan hidup menanti mati. Bukan sahaja ahli keluarga, jururawat juga dituntut untuk mempunyai sifat sabar yang tinggi kerana menjaga badan yang mati tidak sama dengan menjaga badan yang hidup. Juga tidak ekonomis menjaga mereka dan terus menyeksa jasad, seolah-olah memaksa mereka hidup dengan terus menerus menyambung wayar-wayar berselirat. Justeru, keadaan mati otak sebegini menimbulkan banyak perbahasan, bukan sahaja daripada sudut perundangan, perubatan malah juga oleh ahli-ahli syarak di negara-negara Islam. Adakah pesakit yang mati otak ini sudah dikira sebagai mati? Semenjak sepuluh tahun lepas, di negara-negara membangun, pesakit-pesakit mati otak diterima sebagai sebuah kematian. Mereka diresusitasi sebagai penderma organ selagi terdapat permintaan. Namun, bagi keluarga pesakit, ia bukan mudah untuk menerima takdir sebegini walaupun menjadi penderma organ adalah suatu perkara yang baik bagi pandangan kebanyakan agama di dunia. Pengesahan kematian sebenarnya tidak sukar seperti yang disangkakan. Apabila pesakit tidak mempunyai denyutan jantung dan tidak bernafas lagi, maka beliau dianggap sudah meninggal dunia (Jafri Malin Abdullah, 2006). Stateskop dan EEG adalah alat perubatan yang boleh dipercaya untuk mengesahkannya. Walaupun begitu, wujud beberapa ’kematian’ yang tidak di dalam bentuk tersebut; iaitu mati otak yang menyebabkan koma berpanjangan. Doktor akan mendiagnosis kriteria-kriteria mati otak yang terdapat pada pesakit. Beberapa perkara penting yang diperhatikan sebelum sesuatu kes kematian otak ditentukan, adalah:

  • Koma – Doktor akan melakukan pemeriksaan gerakan tindak balas spontan terhadap ransangan yang menyakitkan atau tidak menyenangkan. Pesakit yang telah mati otak tidak menunjukkan sebarang tindak  balas. Sekiranya pesakit menunjukkan gerakan, pesakit tersebut tidak boleh diisytiharkan mati otak
  • Apnea – Tiada pernafasan secara spontan dan pesakit hanya bernafas dengan bantuan alat pernafasan. Jika alat pernafasan dicabut, pesakit tidak bernafas setelah sepuluh minit.
  • Tindak balas pangkal otak – Pangkal otak disahkan telah berfungsi berdasarkan tindak-balas refleks seperti :
  • Pupil mata tidak mengecil apabila disuluh dengan cahaya
  • Tiada refleks kornea – tiada respon kerlipan mata pada kedua-dua belah mata apabila permukaan kornea disentuh
  • Ransangan terhadap saluran udara – Kateter dimasukkan ke dalam mulut merentasi larinks dan trakea.   Pesakit yang telah mati otak tidak batuk atau lain-lain tindak balas. (Mohd Ilham Ismail)

Dalam agama Islam, ulama-ulama feqah mengambil sikap berhati-hati dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kematian. Mereka juga meletakkan hukum secara berhati-hati juga, misalnya apa yang dikatakan oleh pengarang kitab Al-Mughni : "Jika kematian seseorang menimbulkan kesamaran, hendaklah diambil kira tanda-tanda kematian yang terdapat padanya seperti terkulai kaki, terpisah sendi tangan, condong hidung, kendur kulit muka dan dua daun telinga kelihatan menurun ke bawah" Para fuqaha juga membuat kesimpulan kematian dengan melihat kepada arah mata, berdasarkan hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w : Dari Ummu Salamah RA bhw Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya roh apabila diambil maka matanya akan menurutinya (memandang ke atas)" (Sohih Muslim) Dari Shidad "Kiranya kamu menghadiri orang yang mati dari kalangan kamu, tutupilah matanya, kerana matanya mengikuti rohnya (terbuka dan melihat ke atas), serta bercakaplah (di antara kamu) dengan perkara yang baik.(MusnadAhmad) Berdasarkan hadith ini, mengenalpasti kematian melalui mata adalah suatu tanda yang amat penting bagi menunjukkan samada roh telah berpisah dari jasad atau belum. Sidang Majma’ Fiqh yang diadakan pada tahun 1968 di Amman, Jordan telah membincangkan secara terperinci berhubung isu mati otak ini. Hasilnya, mereka mengeluarkan fatwa seperti berikut : ” Sesungguhnya seseorang dianggap mati dari sudut syarak dan seluruh urusan kematian boleh dilaksanakan ke atasnya sekiranya terdapat dua tanda;

  • Jantung dan pernafasan terhenti dengan sempurna. Doktor telah mengesahkan ia  tiada harapan untuk kembali berfungsi.
  • Seluruh peranan otak terhenti secara sempurna. Doktor pakar telah membuat analisa lengkap dan mengesahkan ia tiada harapan untuk kembali berfungsi.

Dalam keadaan ini, adalah harus untuk menanggalkan alat bantuan hayat yang digunakan pesakit walaupun terdapat anggota tubuh yang masih berfungsi dengan bantuan alat tersebut. Kesan fatwa ini, maka terbukalah ruang yang luas bagi proses pemindahan organ bagi pesakit-pesakit mati otak lalu bolehlah dijalankan pemindahan di dalam keadaan organ yang masih segar dan sel masih hidup. Namun, jika otak sahaja yang mati tetapi jantung masih berfungsi dengan sendiri, Islam memandang ini bukan sebagai kematian. Para ulama bersepakat bahawa pesakit masih hidup dan rohnya kekal kerana denyutan jantungnya masih ada. Apatahlagi, menjaga nyawa termasuk dalam objektif utama syarak; wajib menjaga nyawa dengan segala cara. Mati otak sahaja tidak cukup untuk menghukumkan pesakit telah pun meninggal dunia, tetapi ia sedang koma. Ini berdasarkan beberapa kes sebelum ini di mana pesakit mati otak pulih kembali sehinggalah ia benar-benar mati pada waktunya. Fadilah As-Syeikh Bakr bin Abdulllah Abu Zaid menceritakan; Sekumpulan doktor memutuskan bahawa seorang pesakit telah mati berikutan kematian batang otak yang dialaminya. Mereka hampir-hampir  mengambil sebahagian daripada organ-organ pesakit berkenaan, tetapi warisnya melarang doktor berbuat  demikian. Dengan takdir Allah, beliau hidup balik selepas itu sehinggalah ke tarikh dia meninggal dunia dalam erti kata yang sebenar. Ada juga kes di mana terdapat bayi yang lahir tanpa otak, namun ia dapat hidup selama sepuluh tahun dalam keadaan tersebut. Kesimpulannya, mati itu pasti dan mempunyai tanda-tandanya. Namun terdapat beberapa kes kematian yang samar yang mana perlu diselidiki dengan cermat oleh pakar-pakar perubatan untuk mengesahkan samada ia hidup atau mati. Mati otak adalah sebahagian daripada punca yang mengakibatkan koma, dan pesakit koma bukanlah mati. Mereka masih hidup dalam keadaan yang tidak menentu, namun ada hak untuk terus hidup dan mendapat rawatan sewajarnya. - Bahagian Pertama - Bahagian Kedua - Bahagian Ketiga - Bahagian Kelima Rencana ini pernah tersiar di Dewan Kosmik, Mei 2009 Blog penulis artikel ini ialah http://quaisz.blogspot.com

Share on Facebook