bencana

Oleh : Abdul Rahman Mahmud

Bencana alam yang berlaku sejak kebelakangan ini banyak mendatangkan kemusnahan harta benda dan meragut nyawa. Hakikatnya, tiada siapa pun yang ingin malapetaka dan bencana menimpa tempat kediaman mereka. Namun bencana datang tanpa dijangka dan tidak mengenal mangsa. Peningkatan jumlah kejadian bencana alam di serata dunia pada ketika ini semakin membimbangkan seluruh masyarakat dunia. Ia merupakan petanda bahawa kelestarian alam sekitar di dunia kini semakin terjejas. Kelestarian alam sekitar boleh difahami sebagai keadaan di mana alam sekitar secara berterusan terpelihara, terjaga, serta mampu mensejahterakan kehidupan manusia pada masa kini dan akan datang. Ia bebas dari sebarang bentuk kerosakan dan pencemaran alam yang boleh mendatangkan akibat buruk terhadap kualiti kehidupan manusia dan segmen alam sekitar. Bencana yang melanda dunia telah mengancam kelestarian kehidupan masyarakat dunia. Rantau Asia dilihat mengalami kesan bencana yang amat tragis sejak kebelakangan ini. Statistik menunjukkan semenjak tahun 1992 hingga tahun 2002 di Asia, kejadian bencana alam telah menjejaskan kehidupan lebih dari 1.7 juta manusia dan telah meragut sebanyak 420,867 nyawa. Ia juga turut menyebabkan kerugian harta benda sebanyak AS 369,362 juta. Laporan yang dikeluarkan oleh Centre for Research on the Epidemiology of Disasters (CRED) menyatakan pada tahun 2007 sebanyak 414 bencana alam telah dilaporkan berlaku di seluruh dunia. Ia membabitkan kematian sebanyak 16,847 orang, dan turut memberi kesan terhadap 211 juta orang serta menyebabkan kerosakan bernilai 74.9 bilion AS. Menurut majlis keselamatan negara bencana ditakrifkan sebagai suatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Pertambahan jumlah bencana alam sejak kebelakangan ini menjadi tanda tanya kepada masyarakat dunia, tentang apakah punca yang menyebabkan jumlah bencana alam semakin meningkat ? Bencana alam yang berlaku sejak dahulu seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir besar dan ribut taufan dilihat sebagai suatu fenomena alam semulajadi. Namun kini, ia banyak dikaitkan dengan aktiviti manusia yang membawa kepada perubahan drastik terhadap sifat-sifat semulajadi alam. Kelestarian alam sekitar yang didambakan musnah dalam sekelip mata apabila bencana datang menimpa. Ada yang mengaitkan bencana alam seperti taufan dan banjir besar dengan isu perubahan iklim yang sedang berlaku. Perubahan iklim telah mencetuskan impak yang pelbagai kepada kehidupan manusia. Punca utama kepada berlakunya perubahan iklim adalah disebabkan oleh aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam secara rakus tanpa kawalan. Pelepasan gas karbon dioksida oleh 600 juta kenderaan di seluruh dunia dan penerokaan hutan secara berleluasa menyumbang kepada berlakunya penipisan lapisan ozon, pemanasan global dan seterusnya mendorong kepada kejadian pelbagai bencana alam akibat berlakunya perubahan iklim. Impak perubahan iklim seperti peningkatan suhu harian dan kesejukan melampau berlaku dikebanyakan tempat di dunia. Fenomena taufan dan banjir besar berlaku secara tidak dijangka. Walaupun terdapat sistem maklumat geografi dan telekomunikasi yang serba canggih di dunia, ia belum dapat meramal dengan tepat tentang kejadian sesuatu bencana yang bakal berlaku. Bencana gempa bumi yang berlaku disesetengah kawasan pula amat sukar diramal tentang bila dan dimana ia akan berlaku. Kawasan yang tidak pernah mengalami gempa turut menerima kesan gegaran yang menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat. Bagi mereka yang telah ditimpa bencana pula kos untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana amat tinggi. Antara perkara penting yang perlu dibangunkan selepas sesuatu bencana berlaku ialah pembinaan semula kawasan penempatan penduduk, pembinaan infrastruktur sistem sanitasi dan bekalan air, serta  pembangunan kemudahan untuk pendidikan anak – anak. Mereka yang ditimpa bencana memerlukan tempat untuk berteduh, keperluan untuk sanitasi dan sekolah untuk anak – anak mereka belajar. Masalah ketiadaan bekalan makanan dan minuman bersih menjadi isu utama. Hal ini mendorong kepada masalah kebuluran. Di samping itu juga mereka yang ditimpa musibah bencana turut mengalami rantaian kesan yang begitu kompleks dan sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat. Ini termasuklah dengan terdedahnya mangsa kepada masalah kesihatan seperti penyakit malaria dan penyakit bawaan air. Taufan nargis yang telah melanda Myanmar pada tahun 2008 menunjukan ramai mangsa menghadapi masalah kebuluran dan masalah kesihatan seperti wabak taun selepas bencana berlaku. Bencana gempa bumi yang melanda daerah Padang Indonesia baru – baru ini, jelas menunjukan betapa kesan rantaian selepas berlakunya sesuatu bencana amat kompleks untuk diselesaikan. Bantuan amat diperlukan bagi menyelamatkan mereka dari kebuluran dan terus hidup dalam keadaan yang tidak menentu. Apakah nasib masa depan anak – anak kecil yang kehilangan ibu dan ayah setelah bencana datang menimpa? Melihat keadaan mereka yang serba kekurangan, sudah tentu meruntun jiwa kita sebagai masyarakat yang prihatin untuk membantu meringankan bebanan mereka. Tanpa mengira sebarang isu kita harus tampil membantu dengan penuh keikhlasan dan sukarela. Bencana alam yang kian meningkat menuntut penduduk dunia untuk melakukan adaptasi dan bersedia dengan sebarang persediaan yang mencukupi. Dalam konteks Malaysia , kawasan – kawasan yang berisiko bencana perlu dikenalpasti. Persediaan menghadapi bencana amat penting kepada masyarakat Malaysia . Pemasangan sistem amaran keselamatan di bangunan – bangunan pencakar langit di bandar – bandar di Malaysia perlu di ambil kira bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Ini bukan bermakna rakyat perlu hidup dalam keadaan serba ketakutan, tetapi ia bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat tentang tahap persediaan negara dalam menghadapi sebarang bencana. Kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana alam luarbiasa perlu disediakan dengan konkrit. Kita seharusnya mengambil pengajaran yang berlaku terhadap isu – isu bencana dinegara – negara jiran kita. Sesungguhnya bencana yang berlaku telah banyak menjejaskan kelestarian alam sekitar. Kita harus menginsafi bahawa bencana yang berlaku pada masa ini banyak disebabkan oleh angkara manusia yang jahil dan rakus memunggah khazanah alam dan melakukan pencemaran serta kerosakan secara besar-besaran. Bencana alam akan terus meningkat seandainya kita terus leka dan alpa untuk mengejar pembangunan tanpa memikirkan impaknya terhadap kelestarian alam sekitar. Berdamailah dengan alam agar kelestarian alam terus terjalin!

 

Nota editor :// Penulis adalah seorang Perunding Bebas Alam Sekitar.

Beliau boleh dihubungi di terjemahbi@yahoo.com. Juga ikuti tulisan menarik beliau mengenai alam sekitar di http://paparian.blogspot.com/

Share on Facebook