Global Warming

Oleh : Rami Abdul Samad

ISU pemanasan global adalah antara isu dunia yang menarik perhatian buat masa ini. Pemanasan global disebabkan antara lainnya oleh kehadiran banyak gas karbon dioksida di atmosfera. Pemanasan global juga pencetus fenomena iklim ekstrim yang menghasilkan pelbagai malapetaka seperti ribut taufan dan banjir di seantero dunia. Bagi tempoh 1997 hingga 2008, pengeluaran karbon dioksida di dunia berikutan penggunaan bahan bakar fosil meningkat 31 peratus. Warga dunia mahu agar ‘kelajuan’ pemanasan global dapat dikurangkan. Ia bermakna jumlah gas karbon dioksida harus dikurangkan, kerana jika tidak kita akan menghadapi tekanan lebih berat lagi. Kehidupan yang dilalui bertambah sulit ketika malapetaka itu berlaku dan juga ketika tempoh pasca-malapetaka. Berbilion-bilion dolar kerugian akan dialami akibat kemusnahan harta benda dan nyawa. Banyak program pertanian dan perikanan akan terjejas kerana berlakunya perubahan musim yang dramatik selain mengancam banyak spesies. Semua samudera di dunia naik 1.5 inci. Suhu dunia akan meningkat, lantas menimbulkan ketidakserasian kepada warga dunia. Beratus-ratus bongkah ais dari kedua-dua kutub bumi cair dan menjejas cuaca dunia. Lihat betapa fenomena musim panas dan kebakaran hutan semakin parah di seluruh dunia, dari Amerika Syarikat (AS) bahagian barat hingga Australia. Suhu dunia 12 tahun terakhir ini didapati lebih panas 0.4 darjah Celsius berbanding 12 tahun sebelum 1997. Senario alam sekitar ini menakutkan warga dunia. Sepuluh tahun dulu, ilmuwan metereologi tidak menyangka perubahan iklim akan berlaku seteruk yang terjadi kini, jika tiada lagi tindakan drastik diambil, pasti lebih banyak berita buruk berkaitan alam sekitar akan menyusuli nanti. global-warming Mengikut World Resources Institute, AS dan China adalah penyumbang besar terhadap pemanasan global. Kedua-dua negara itu menyumbang sekitar 37.5 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global. Negara maju lain seperti di Eropah dan Jepun turut menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida. Untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida, negara maju diwajibkan mengurangkan pengeluaran gas rumah kaca atau bersamaan dengan pengeluaran karbon dioksida. Permintaan itu pernah dibuat melalui persetujuan Protokol Kyoto, satu perjanjian untuk menangani pemanasan global yang diterima 187 negara pada 11 Disember 1997 yang akan berakhir pada 2012. Ironinya, AS, sebuah negara paling maju dan tidak kurang lantang mengenai isu alam sekitar dan juga China dan India, tidak mahu terikat dengan protokol berkenaan. Kini 192 anggota dalam Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Perubahan Iklim, tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahukan satu perjanjian baru dan meminta AS, memberi komitmen yang tidak berbelah bagi mengatasi masalah pelepasan karbon dioksida. Sidang Kemuncak mengenai Perubahan Iklim akan diadakan di Copenhagen, Denmark pada 7 hingga 18 Disember baru-baru ini. Negara membangun mahu memberi tekanan kepada negara maju. Mereka mahu perjanjian atau persetujuan baru itu yang akan mula beroperasi pada 2013 nanti, dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 20 hingga 40 peratus menjelang 2020. Negara maju dituntut juga menghulurkan berbilion dolar bagi ‘membeli’ pengurangan pengeluaran karbon dari negara sedang membangun atau negara miskin dan memberikan teknologi mesra alam kepada negara sedang membangun. Negara membangun seperti China, India, Indonesia dan Brazil yang digolongkan sebagai pengeluar karbon dioksida ke-10 terbesar dunia, dituntut juga mengurangkan pengeluaran gas berkenaan. Apakah negara kaya mahu menyerah dana sejumlah AS$400 bilion atau satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada negara miskin hanya atas dasar kepercayaan? sun Soalnya sekarang apakah kesepakatan dalam menangani isu pemanasan global di Copenhagen, Denmark itu nanti akan menjadi kenyataan sedangkan Protokol Kyoto tidak membawa signifikan yang membanggakan. Janji dalam bentuk dokumen tidak dipenuhi. Namun, PBB masih berharap sidang di Copenhagen nanti boleh menghasilkan kesepakatan dengan kewajipan yang lebih berat lagi bagi negara maju. Presiden AS, Barack Obama mahukan perjanjian di Copenhagen itu menjadi kenyataan dengan segera untuk beroperasi. Andai kata kesepakatan Copenhagen diterima, bagaimana pula isu pemantauan pengeluaran karbon itu akan dibuat? Ini satu persoalan penting kerana bagaimana kita hendak membandingkan pengeluaran karbon satu negara dengan satu negara yang lain? Beretorik pada sidang kemuncak mungkin lebih mudah daripada melaksanakan program mengatasi pemanasan global. Maka fenomena pemanasan global akan terus berlanjutan.

 

Catatan//: Penulis ialah Pengurus Pengetahuan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang

Pihak MajalahSains.Com mendapat kebenaran dari penulis untuk menerbitkan kembali rencana ini, yang pernah tersiar di Berita Harian pada 3 Disember 2009 di bawah tajuk "Kesepakatan negara maju kurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk atasi pemanasan global mesti direalisasikan"

Share on Facebook