
Oleh : PROF DR. RAUZAH HASHIM
Jabatan Kimia, Universiti Malaya
[ http://www.kimia.um.edu.my/]
SEKIRANYA kejayaan sains sesebuah negara atau bangsa dinilai dengan mengira jumlah Pemenang Hadiah Nobel maka kejayaan sains di Malaysia sekarang boleh dikatakan jauh panggang dari api.Harapan murni kepimpinan negara agar suatu hari ada saintis bangsa Malaysia berjaya memperolehnya adalah tidak mustahil. Pelbagai usaha merancang dan merangka untuk menjana `bakat' Nobel Laureate, juga perlu dipuji.
Sejak beberapa tahun lalu Akademi Sains Malaysia, MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi mendahului dalam hal ini melalui Program Nobel Laureate, di mana ramai anak muda yang berbakat dikenal pasti dari awal dan diberi bimbingan yang rapi dan istimewa.Mereka yang berjaya dihantar ke universiti terkemuka di luar negara untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan seterusnya.
Kementerian Pendidikan juga mempunyai perancangan yang sama tetapi modus operandinya berbeza di mana penekanan tertumpu kepada peningkatan prasana kelengkapan dan teknologi tercanggih dan termoden. Singapura juga mempunyai perancangan serupa. Namun bukan untuk Pemenang Hadiah Nobel, tetapi untuk menjana Teknokrat Terkemuka bagi membolehkan mereka cipta teknologi baru seperti yang pernah dicapai oleh anak watannya Sim Wong Hoo. Kejayaan beliau mencipta sistem bunyi digital (siri Soundblaster) untuk komputer peribadi (PC) suatu masa dahulu mendahului teknologi lain dan juga pasaran dunia, sangat dibanggakan. Singapura mahukan lebih ramai bakat seperti beliau.Untuk tujuan tersebut kerajaan Singapura memperuntukkan sejumlah geran yang besar supaya tunas bakat dapat dikenal pasti dan juga diberi didikan istimewa.
Kebanyakannya pemenang Hadiah Nobel adalah dari negara maju dan hanya segelintir mereka berbangsa Asia yang bermastautin di Barat (contohnya Abdus Salam dan Ahmed Hassan Zewail). Maka anggapan bahawa kemudahan prasana di Barat menjadi faktor penting adalah wajar. Namun begitu bagi saya sahsiah mereka lebih utama.
Tidak dinafikan pemenang Hadiah Nobel atau teknokrat terkemuka seperti Bill Gates adalah manusia teristimewa. Adakah resipi mencipta mereka ini? Dalam beberapa syarahan perdana Nobel Laureate yang saya sendiri hadiri, banyak pertanyaan `apakah rahsia kejayaan mereka'' dikemukakan. Rata-rata jawapan sama diberikan, bahawa tiada rahsia dan mereka tidak pernah terfikirkan menjadi Pemenang Hadiah Nobel. Rata-rata mereka menganggap bahawa kejayaan mereka adalah satu kebetulan yang menggembirakan (happy accident) yang ditempa setelah gigih berusaha. Di samping mempunyai sikap kritikal dan kreatif mereka juga mempunyai tumpuan tinggi (fokus) dan daya tahan berkualiti superhuman (manusia luar biasa).
Seorang saintis dan pencipta terkemuka, Thomas Alva Edison, pernah menyatakan bahawa: “Genius is one per cent inspiration and ninety-nine per cent perspiration. As a result, a genius is often a talented person who has simply done all of his homework''. `Genius adalah satu peratus ilham dan sembilan puluh sembilan peratus hasil titik peluh. Maka genius adalah mereka yang berbakat yang telah menjalankan semua kerja-rumah mereka (iaitu setelah berusaha berlanjutan)''.
Biografi beberapa pemenang hadiah Nobel atau teknokrat terkemuka mengisahkan hal serupa. Malahan ramai yang mengisahkan bahawa kedaifan prasana menjadi pendorong utama meningkatkan daya kreatif dan daya bertahan. Wong Woo dalam buku beliau Chaotic Thought of the Old Millenium (Fikiran kacau bagi alaf lama) menceritakan kejayaan beliau banyak diilhamkan dari suasana kampung yang serba kekurangan. Alat muzik budak kampung (kampung boy) yang murah seperti harmonika sebagai pencetus daya kreatifnya. Keinginan menukar suasana daif menjadi dorongan utama untuk terus bertahan walau dalam apa cabaran sekalipun.
James Lovelock, seorang ahli kimia yang banyak menghasilkan pelbagai ciptaan teknologi (dan beliau sering disamakan dengan Edison) dalam bukunya Homage to Gaia (Menghormati Gaia), juga sependapat bahawa daya cipta beliau meningkat bila bekerja dalam keadaan kurang sempurna. Beliau menambah bahawa sikap kritikal dan tak berkompromi membantu membuat penemuan-penemuan baru. Iaitu kebolehan mencabar idea-idea lama dan melihat arah lain.
Kalau kita kumpulkan semua butiran sikap (sahsiah) seorang Pemenang Hadiah Nobel atau Teknokrat Terkemuka, bolehkah kita mereka cipta watak ini dalam satu formulasi khusus dan tertentu? Atau mungkinkah kita lebih berjaya dengan menggunakan kaedah rawak dan tidak terencana? Yang penting adalah usaha dan tumpuan diberikan untuk meningkatkan prasarana dan sistem pembelanjaan kita (di kampung dan juga bandar) `tahap bertamadun tinggi'' iaitu sebuah masyarakat yang mencapai taraf mencintai ilmu yang mendalam. Cintakan ilmu kerana ilmu.
Sekiranya hal ini terlaksana, dengan satu happy accident, watak istimewa muncul tiba-tiba mungkin dari sebuah kampung Felda tersorok. Budak kampung yang menjadi Pemenang Hadiah Novel pertama untuk Malaysia. Ini bukan angan-angan, tetapi satu harapan. Walaupun kandungan sistem pembelajaran kita digubal rapi dan dikatakan yang terbaik di rantau ini, namun penghayatan dan pengamalannya tidak menjurus kepada pembetukan sahsiah mencintai ilmu pengetahuan.
Sistem pembelajaran kita terlalu pentingkan hasil kerana dorongan material atau ganjaran yang dikaitkan kepada berapa `A' dan berapa tebal sijil yang diperoleh. Dari peringkat sekolah rendah lagi anak-anak kita sibuk mengumpul siji penganugerahan bagi setiap aktiviti walaupun kebanyakannya terlalu remeh, semata-mata kerana ia menjamin mereka ke sekolah yang baik untuk mendapat biasiswa. Di peringkat menegah, ramai guru menasihati para pelajar supaya tidak membaca buku teks tetapi menumpukan perhatian kepada buku latihan, nota ringkas dan contoh jawapan. Para pelajar diberi latihan latih tubi lebih daripada 20 kali sebelum peperiksaan. Iaitu menjalani lebih dari 20 set kertas contoh peperiksaan. Program motivasi mengajar teknik menjawab soalan.
Trend terbaru memastikan kejayaan cemerlang adalah program bacaan Yasin dan sembahyang hajat beramai-ramai sebelum peperiksaan untuk pelajar beragama Islam. Membaca dan sembahyang hajat adalah wajar tetapi bila dilaksanakan secara massa dan sebegitu rupa timbul pertanyaan adakah amalan tersebut ikhlas? Adakah ia berkesan? Adakah ia satu harapan palsu?
Contoh-contoh di atas hanya sebahagian dari amalan yang menggambarkan penekanan melampau terhadap peperiksaan dan hasilnya. Hasilnya memang jelas, ramai pelajar yang mendapat A. Jadi apa salahnya? Ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami fenomena overload (lambakan maklumat). Selesai peperiksaan mereka mencampakkan semua buku dan nota secara fizikal dan mental. Mereka penat. Di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) mereka mengalami culture shock.
Pengajian di IPT memerlukan mereka menimba ilmu pengetahuan yang terkini dan di sempadan terhadapan, tiada lagi nota ringkas, tiada latih tubi, tiada contoh jawapan. Mereka mesti mencari sumber pelajaran sendiri dari menelaah buku-buku dan jurnal dan mencatatkan penemuan terbaru. Kaedah suap yang menjadi amalan selama hampir 12 tahun di bangku sekolah tidak melengkapkan mereka menjadi ilmuwan yang mempunyai daya inisiatif tinggi, cekal, tegar dan mencabar. Kebanyakan mereka hanyalah robot yang diprogram untuk berjaya memperoleh A.
Tidak kurang juga mereka bosan dengan peperiksaan, mereka mengalami sindrom penafian minda. Kebanyakan mereka tercicir dan kebanyakan mereka adalah pelajar lelaki Melayu. Di peringkat tinggi, terdapat ramai pelajar yang tidak berminat untuk membaca buku. Bila tugasan diberi, ramai yang membuat rujukan menggunakan ensiklopedia kanak-kanak. Daya pemahaman mereka lemah dan tidak dapat membaca ayat panjang. akibatnya mereka tidak berkeupayaan berhujah semula. Terperangkap dalam arus mementingkan kecemerlangan hasil, di IPT para pelajar juga mendesak pensyarah memberikan mereka nota ringkas, format soalan dan contoh jawapan. Ilmu yang mutlak tidak lagi penting.
Kini IPT, menara gading bertradisi mendokong ilmu yang tertinggi, juga lebur sedikit demi sedikit untuk menjadi kilang mencetak sijil. Masalah inilah yang harus kita fikirkan bersama. Apa yang lebih penting, ilmu atau sijil?
Catatan:// Tulisan ini pernah muncul di Utusan Malaysia. MajalahSains.Com mengambil inisiatif untuk memuatkan semula rencana ini dengan persetujuan penulis.





9 comments
kamal says:
Feb 20, 2010
sebab tu saya sentiasa beranggapan antara faktor teras dan faktor teknikal mesti dibezakan terlebih dahulu. Contohnya faktor teras ialah kewujudan satu budaya ilmu di institusi pendidikan. Ini yang patut menjadi fokus polisi bagi mewujudkan satu iklim yang benar memberansangkan minat kepada bidang ilmu.
Manakala persoalan spt penggunaan bahasa, metod pengajaran dll adalah faktor teknikal yang patut dibiarkan berkembang secara organik dan bukannya dipahat dalam satu bentuk polisi yang perlu diikuti oleh semua pihak.
Faizal says:
Feb 22, 2010
Bidang-bidang akademik yang sepatutnya ditangani oleh pakar, banyak dipengaruhi oleh tindakan-tindakan politik. Hasilnya adalah masyarakat yang keliru tentang budaya ilmu yang sebenar
Orang Kampung says:
Mar 25, 2010
kadang2 aku rasa saintis malaysia ni dok gila publication je. tah apa benda pon tak nampak. publication jurnal tu hanya golongan akademia je baca, org kampung haram langsung tak nak baca sbb ayat kompleks sangat. padahal sepatutnya saintis malaysia patut simplify benda susah kepada senang bukannya make difficult benda yang senang. kadang2 macam satu herba tu wat research jadi jurnal, ayat bukan main kompleks lagi. so macam mana rakyat malaysia nak faham
pastu pengalaman aku tadi, nak baca jurnal cari artikel pasal method nak test bacteria utk degrade waste, bukan main susah sbb semua kena bayar bukan free. takde langsung perkongsian ilmu secara free. kena bayar kat sciencedirect or springerlink baru leh view jurnal tu.bukanke satu keje sia2 wat publ;ication pastu org lain tak leh access.
Pernah bersembang dengan seorang pakcik, org kampung,
“apa hangpa dok wat research tu, haram habuk tak nampak pon yang dok nampak kertas keje (publication) je. barang, benih padi haram pon tak nampak, ubat herba hangpa masuk kertas je, tak nampak pon antibody hangpa buat. dahla nak wat research semata2 utk kertas kerja je (jurnal) mengabih duit rakyat je beli equipment, reagent mahal untuk nak wat kertas keje (jurnal). baik duit tu kerajaan bagi subsidi kat kami ni yang dok tanam padi bagi hangpa makan. hangpa plak dok peerabih duit rakyat dahla najib takdak duit la ni.nak kata buat baka baru padi haram tak nampak pon. padi dok import dari siam. nak kata buat research ubat, ubat dok import lagi dari luar.”
Aku terdiam sambil mengakui kebenaran kata2 pakcik tu.
Faizal says:
Mar 25, 2010
Orang kampung,
Tugas utama saintis ialah menjalankan penyelidikan dan menulis rencana/buku ilmiah.
Tugas penulis sains, wartawan dan media adalah untuk melaporkan penemuan saintis dalam bentuk yang boleh difahami oleh orang awam.
Kelihatan ruang atau ‘gap’ antara golongan ilmuan dan orang awam di Malaysia sangat ketara. Faktornya mungkin rakyat Malaysia kurang kreatis dalam aktiviti membaca dan menulis tentang sains dan teknologi.
Inilah yang cuba dilakukan oleh MajalahSains.Com mengikut kemampuan kami yang terhad setakat ini.
Sama-samalah kita berusaha mengikut kemampuan diri masing-masing!
Orang Kampung says:
Mar 27, 2010
Kalau buku ilmiah dan journal yang ditulis tu pulak tidak dapat diakses dan bila nak akses kena bayar, apakah itu perkongsian ilmu, padahal, duit geran penyelidikan tersebut merupakan duit rakyat juga dan hasil cukai yang dikutip dari rakyat, ayat dalam journal pula terlalu kompleks, seolah-olah yang akan dapat manfaat adalah pihak barat dan pihak kapitalis, bukannya rakyat malaysia…
Pem_Penyelidik says:
Nov 25, 2010
Saya salah seorang pembantu penyelidik di IPTA. Apa yang saya nampak, kerajaan telah membazir terlalu banyak wang rakyat utk menaja pnyelidikan yang tidak berkualiti. Hasilnya hanya sedikit sahaja yang memberi manfaat kepada negara. Pengelaman saya, geran beratus ribu ringit di beri kepada mereka yang mempunyai title Prof Dr walaupun researchnya hanya berkaitan dengan ambient temp sahaja. Kemudian wang itu lebih digunakan utk membeli peralatan peribadi yang d claim atas nama reseach.
faizal says:
Nov 25, 2010
Pem_Penyelidik
Saudara/ri di IPT mana?
Itulah yang kebanyakan terjadi di IPT tempatan
ruqaiyah hmy says:
Dec 23, 2010
saya minta izin nak share dekat blog..tq..
editor says:
Dec 24, 2010
silakan