world_map_with_equator

Oleh Mohd Faizal Aziz

Catatan : Rencana ini ditulis pada musim bunga 2009 . Di benua Amerika Utara, Eropah dan negara-negara yang berada di Hemisfera Utara sekarang mengalami musim sejuk


Ketika manulis rencana ini, Benua Amerika Utara dan Eropah sedang mengalami musim bunga. Musim bunga merupakan satu musim yang cukup nyaman dan indah sekali sebelum tibanya musim panas. Ia biasanya tiba pada awal bulan Mac dan berakhir pertengahan Jun.  Bagi mereka yang pertama kali datang dari negara khatulistiwa seperti Malaysia, pengalaman berada di negara beriklim empat musim ini merupakan satu pengalaman yang sangat menakjubkan. Setiap waktu sangat berharga dan musim bunga merupakan satu musim yang ditunggu-tunggu oleh warga tempatan apatah lagi ’pengunjung baru’ di Kanada seperti kami.

Perubahan waktu di sini juga sangat ketara iaitu berbeza 12 jam lebih lewat berbanding Malaysia. Oleh yang demikian, sudah pasti ketika penduduk di sini sedang nyenyak tidur di waktu malam, warga Malaysia mungkin sedang sibuk bekerja di pejabat, petani bertani di ladang dan pelajar-pelajar sekolah tentunya sedang tekun mengulangkaji pelajaran atau ke sekolah.  Selain itu, Bandaraya Kuala Lumpur mungkin penuh sesak dengan pengunjung dan matahari barangkali tegak di kepala di waktu siang.

Sejak azali, manusia memiliki sifat semulajadi ingin tahu dan meneroka rahsia alam dan fenomena-fenomena yang berlaku di sekeliling mereka. Salah satu fenomena yang menarik minat manusia untuk menyelidik dan mengkaji dengan lebih mendalam ialah tentang pergantian siang dan malam dan juga dengan perubahan musim-musim utama di dunia.

4 season

Menurut saintis dan pengkaji yang telah menjalankan kajian sejak sekian lama, fenomena berlakunya perubahan musim dan pergantian siang dan malam di dunia ini adalah disebabkan oleh bumi yang berpusing pada paksinya yang beredar mengelilingi matahari mematuhi orbitnya tersendiri. Bumi memerlukan satu tempoh masa 365 hari untuk melengkapkan satu peredaran mengelilingi matahari. Pada masa yang sama bumi berputar pada paksinya sendiri dalam tempoh 24 jam sehari.

Semasa berpusing di atas paksinya, sebahagian kawasan atau permukaan bumi diterangi dengan cahaya matahari dan munculnya waktu siang manakala sebahagian lagi yang tidak disinari dengan cahaya matahari akan berada dalam keadaan gelap atau malam.

Pergantian siang dan malam pula berkait rapat dengan perbezaan musim. Di negara-negara yang berada di Garisan Khatulistiwa seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Maldives, Brazil dan negara-negara seangkatannya hanya mengalami dua musim iaitu musim panas dan musim hujan. Ia sangat berbeza dengan negara-negara di Benua Eropah, Amerika Utara dan Australia termasuk New Zealand  yang mengalami perubahan empat musim utama iaitu musim panas, musim sejuk, musim bunga dan musim luruh.

spring

Secara ringkas bumi dibahagikan kepada lima garisan utama. Garisan tersebut ialah Garisan Artik, Garisan Antartik, Garisan Sartan, Garisan Jadi dan Garisan Khatulistiwa. Garisan Artik dan Sartan terletak di bahagian Hemisfera Utara, manakala Garisan Antartik dan Garisan Jadi berada di Hemisfera Selatan. Garisan Khatulistiwa pula berada di tengah-tengah membahagikan planet bumi kepada dua bahagian antara Hemisfera Utara dan Selatan.

Musim panas di Hemisfera Utara berlaku apabila matahari memancarkan cahayanya tepat di Garisan Sartan.  Pada musim panas, waktu siang di Hemisfera Utara lebih panjang berbanding dengan waktu malam. Sewaktu musim panas yang biasanya tiba pada bulan Jun hingga Ogos, Hemisfera Selatan akan mengalami musim sejuk.

Setelah berakhirnya musim panas di Hemisfera Utara, matahari berada tepat di Garisan Khatulistiwa disebabkan oleh pergerakan bumi yang kembali beredar tegak pada paksinya. Pada waktu ini, Hemisfera Utara mengalami musim luruh manakala Hemisfera Selatan akan mengalami musim bunga. Di musim luruh, daun-daun akan kekeringan dan gugur meninggalkan ranting-ranting pokok. Pemandangan unik dapat diperhatikan apabila pokok-pokok yang kekeringan seolah-olah akan mati. Sebenarnya pada waktu ini, tumbuh-tumbuhan bersedia untuk menerima kunjungan musim dingin atau juga dikenali dengan musim sejuk.

snow

Musim sejuk kebiasaanya tiba pada bulan Disember di Hemisfera Utara dan akan berterusan sehingga awal Mac. Kadangkala ia berlarutan sehingga bulan April manakala musim panas berlaku di Hemisfera Selatan di negara-negara seperti Australia dan New Zealand.

Musim sejuk merupakan suatu musim yang dianggap ekstrim dan kurang digemari oleh penduduk tempatan sehinggakan ada sebuah buku yang ditulis oleh seorang penulis dan pengkaji tentang perasaan serta perubahan gaya hidup di musim sejuk berjudul ’Winter Blues: Seasonal Affective Disorder, What It Is and How To Overcome It. Namun begitu, bagi mereka yang datang dari negara-negara khatulistiwa dan tidak pernah mengalami musim sejuk, inilah waktunya untuk mengutip pengalaman melihat dan merasai merasai fenomena salji. Apabila tibanya musim sejuk, permukaan bumi yang mengalami perubahan cuaca ini akan diseliputi salji yang putih bersih dan lembut seperti kapas. Di musim sejuk juga waktu malam lebih panjang berbanding waktu siang.

Di Kutub Utara dan selatan berlaku fenomena yang lebih ekstrim di mana permukaan buminya sentiasa diliputi dengan ais dan salji. Suhu pada waktu ini sangat sejuk sehingga ke tahap di bawah paras beku 00 Celcius. Selain itu, di bahagian Kutub Utara dan Selatan juga pergantian siang dan malam berlaku hanya dalam tempoh enam bulan sekali dalam setahun bergantung kepada kedudukan bumi sewaktu berputar. Sekiranya di Hemisfera Utara berlaku musim sejuk, Kutub Utara tidak akan menerima cahaya matahari sehinggakan di sana sentiasa berada dalam keadaan malam. Begitu juga sebaliknya berlaku di Kutub Selatan.

Sesungguhnya, setiap fenomena perubahan alam yang berlaku ini bukanlah terjadi dengan sendirinya. Sudah semestinya ada Pencipta dan Pengatur alam ini bekerja dan menurut peraturan yang ditetapkan. Bagi penganut agama Islam, Tuhan adalah Pencipta setiap kejadian dan mengatur alam ini dan manusia yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Tuhan akan tunduk dan patuh dengan suruhanNya. Ilmu pengetahuan sains bertujuan untuk menerangkan fenomena-fenomena alam yang berlaku di alam sekeliling dan sesiapa yang dapat menguasai ilmu pengetahuan akan dapat menguasai dunia.

Artikel ini telah diterbitkan di Majalah Estidotmy, Sisipan Utusan Malaysia Jun 2009.

Share on Facebook