Drug

 

Oleh: Nazatul Norasikin Md Yaacob

Mahasiswi Pembangunan Manusia, UKM Bangi

Isu dadah merupakan isu yang tidak asing lagi dalam negara kita di mana impaknya yang mampu melumpuhkan sesebuah negara. Malahan dadah juga diklasifikasikan sebagai musuh nombor satu negara pada abad ini di mana kerajaan juga telah mengisytiharkan bahawa dadah ini harus diperangi hingga ke akar umbi.

Namun, apakah sebenarnya dadah? Dadah atau "drug" adalah berkaitan dengan apa-apa juga bahan kimia iaitu samada asli atau tiruan, dimana ianya dimasukkan kedalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap ataupun dimakan. Disamping itu juga, bahan kimia psikoaktif tersebut memberi kesan yang paling ketara ke atas sistem saraf pusat terutamanya otak dan saraf tunjang seperti menyebabkan seseorang penagih dalam keadaan khayal, ketagihan dan mengalami gangguan tingkahlaku. Selain itu, boleh mendatangkan kesan-kesan buruk dan bahaya ke atas kesihatan dan juga fungsi sosial seseorang dimana boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.

Jenis-jenis dadah yang dikenali umum adalah terdiri daripada heroin, morfin, syabu dan ganja. Namun, mengikut PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) sebenarnya dadah ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti opiat, kanabis, depresen, stimulan, halusinogen, inhalant dan prekursor. Pada setiap jenis dadah ini pula terdiri daripada jenis-jenisnya yang tersendiri. Contohnya jenis opiat terdiri daripada heroin, morfin, candu dan kodein manakala kanabis terdiri daripada ganja dan hashish. Malah, sesetengah ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan negatif yang sama seperti dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius.

Dalam era millenium ini, dadah dilihat menguasai semua peringkat umur dan latar belakang pendidikan. Antara percaya atau tidak penyalahgunaan dadah bukan sahaja dikalangan mereka yang berusia 25 tahun hingga 40 tahun, penganggur dan orang yang kurang pendidikan malahan melibatkan golongan berpendidikan tinggi dan ahli-ahli profesional. Golongan penagih ini terdiri dalam setiap lapisan masyarakat iaitu tanpa mengira usia sedari belasan tahun sehinggalah kepada warga emas. Statistik daripada AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) mendapati sepanjang tempoh 8 bulan 2008, golongan belia yang berumur di antara 19-39 tahun masih lagi merupakan majoriti penagih yang dikesan iaitu seramai 6,054 orang (0.034% daripada golongan umur unjuran penduduk Malaysia yang berusia 15-64 tahun (17,620,300 orang). Ini menunjukkan golongan belia merupakan yang tertinggi terdedah dengan risiko penagihan dadah ini.

Antara punca-punca seseorang itu menagih adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya, maka tidak hairanlah golongan belia yang paling ramai terjebak dalam lembah dadah ini. Ditambah pula dengan keinginan untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Keinginan ini akan menjadi teruk sekiranya seseorang itu bergaul dengan penagih kerana mereka boleh terpengaruh disamping dengan mudah untuk mereka mendapatkan bekalan dadah. Seterusnya ialah untuk mencari keseronokkan. Masa di usia remajalah merupakan zaman yang sungguh manis dan penuh dengan keseronokan. Justeru, pada usia ini kebanyakan remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang paling digemari dan hanya berbentuk keseronokan yang sementara sahaja termasuklah dengan menagih dadah. Sebelum melakukan sesuatu kita seharusnya berfikir panjang akan akibatnya kerana ” Fikir dahulu pendapatan, Sesal kemudian tidak berguna lagi”.

Di samping itu, tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja turut mendorong seseorang itu untuk terjerumus ke dalam lembah dadah ini. Apabila tekanan emosi keterlaluan, kemurungan berlaku hingga mereka tidak mampu lagi berdepan dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi. Penyalahgunaan dadah yang berterusan ini boleh mendatangkan kerosakan kepada diri terutamanya dari segi kesihatan (penyakit), keluarga, masyarakat dan negara. Kesan terhadap penagih jelas dapat dilihat dari segi fizikal iaitu penagih menjadi kurus, lemah tenaga, khayal, ganas, rasa ketagihan yang berlebihan sehingga berkemungkinan boleh membawa maut. Manakala dari segi kesihatan ialah penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan yang kotor terutamanya boleh mengalami kerosakan pada otak, hati, paru-paru, tulang dan sistem imun.

Kuman yang berjangkit dari jarum yang tidak steril itu kadangkala boleh menjangkiti otak dan menyebabkan meningitis serta otak bernanah. Melalui perkongsian jarum ini juga menyebabkan virus hepatitis boleh merebak sehingga boleh menyebabkan kerosakan hati. Kebanyakan penagih dadah akan mula menyuntik dadah secara subkutanus (di bawah kulit) yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit atau kudis. Apabila dadah telah disuntik ke dalam vena ( salur darah ), parut boleh terbentuk pada tisu yang terlibat dan menjadikan salur venanya tersumbat. Seterusnya masalah dengan sistem imun pula akan muncul. Oleh kerana HIV (Human Immunodeficiency Virus) boleh merebak melalui perkongsian jarum, maka tidak hairanlah ramai penagih dadah akan dijangkiti penyakit AIDS.

Selain itu, kesan kepada masyarakat ialah suasana hidup dalam masyarakat tidak lagi tenteram kerana terdapatnya kejadian mencuri, merompak dan lain-lain yang dilakukan oleh penagih-penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah. Keadaan seperti ini sudah tentu menggangu keamanan, ketenteraman, ketertiban peraturan dan undang-undang negara. Perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat boleh terjejas akibat penglibatan anak muda dengan dadah. Di samping itu juga, persengketaan dan perselisihan faham antara sebuah keluarga dengan keluarga yang lain boleh terjadi akibat penglibatan anak-anak dengan dadah ini. Negara juga akan menerima impak di atas perbuatan rakyatnya sendiri iaitu terpaksa menanggung beban kewangan bagi membina pusat-pusat serenti dan juga menyebabkan negara menjadi mundur.

Tindakan  pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan daripada semua golongan masyarakat. Masyarakat harus dididik  sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh bak kata pepatah ”Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.  Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam  hati  sanubari  anak-anak terutamanya, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita  harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk  mewujudkan  satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Share on Facebook