Oleh : Aqil Fitri

http://selak.blogspot.com

 

The mathematician, carried along on his flood of symbols, dealing apparently with purely formal truths, may still reach results of endless importance for our description of the physical universe – Karl Pearson

Karl Pearson, seorang British, yang di lahirkan pada 27 March 1857 merupakan anak kepada William Pearson, seorang peguam yang berjaya. Semenjak dari kecil lagi, melalui pendidikan awalan di rumah, bapanya mempengaruhinya supaya ia menumpukan pendidikannya dalam bidang undang-undang. Galakan yang diberikan inilah yang akhir mendorongnya untuk menekuni bidang undang-undang di University College School, London. Tentang tahap dan pencapaiannya dalam fasa ini, ia pernah disentuh oleh Walker (1968, p. 692) yang menyifatkan sejarah beliau sejak dari kecil lagi telah menampilkan bakat untuk menjadi seorang intelektual yang luar biasa, bila kelak nanti.

Setelah itu menamatkan pengajian dalam undang-undang secara persendirian ini, barulah Pearson mula menjejaki displin matematiknya di King’s College, Cambridge, yang mana bidang ini kelak yang akan menjadi ingatan masyarakat akademik terhadapnya. Memang, selama dua tahun (1879-1890), dalam penah dan lelah, beliau sudahnya berjaya meraih tahap kepujian dalam bidang ini. Lantaran kecemerlangannya ini, beliau telah dianugerahi oleh King’s College, Cambridge satu geran pembiayaan kewangan di antara 1880 hingga 1886, tanpa sebarang obligasi (Porter, 1994, p.541).

Pada tahun 1881, Pearson memilih untuk berkecimpung dalam dunia kepeguaman sehingga berjaya mencapai tahap sarjana dalam displin ini. Belum lagi merasa puas, beliau akhirnya merantau ke Jerman dengan menggunakan pembiayaan yang di perolehinya sebelum ini. Selama hampir dua tahun di Jerman, atau lebih tepat lagi di Universiti Berlin dan Heidelberg, beliau menelaah beberapa displin ilmu seperti fizik, metafizik, falsafah, biologi, sastera klasik Jerman dalam Zaman Pertengahan dan Renaissance, serta tentang Darwinisme. Kegigihan beliau dalam menceroka ilmu ini, akhirnya berbalas bilamana beliau berjaya menguasai bidang-bidang yang ditelaahnya itu. Setelah itu, barulah beliau kembali ke England.

Bermula dari detik ini, perjalanan intelektual Pearson, seperti yang dinukilkan oleh Walker (1968, p.692) sudah kelihatan tersusun. Walker menyatakan, sebaik kembali ke King’s College, London, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menyampaikan kuliahnya mengenai corak pemikiran dan kehidupan sosial masyarakat Jerman. Fikiran-fikiran seperti Martin Luther, Karl Marx, Maimonides dan Spinoza menjadi butiran-butiran kuliahnya. Terpengaruh dengan pengalamannya di Jerman, beliau mula dianggap sebagai intelektual yang dekat dengan ateis dan sosialis. Namun begitu, ketekunan beliau dalam bidang pemikiran ini tidak sesekali menghilangkan sumbangannya dalam bidang asasnya, iaitu matematik. Di waktu ini, beliau beliau tidak mengabaikan sumbangan kertas kerja dalam lapangan matematiknya.

Pada tahun 1884, hierarki intelektual Pearson kian menongkah apabila beliau telah dilantik sebagai Professor Goldsmid bagi Matematik Gunaan & Mekanik di University College, London, yang mana 23 tahun kemudian beliau akhirnya memimpin jabatan ini. Sebenarnya, dalam tempoh tahun 1891 hingga 1894, Pearson secara konsisten turut menyampaikan kuliah tentang geometri di Grisham College. Dan, atas sokongan Francis Galton, ketuanya di Grisham College, Pearson turut menjadi Professor pertama dalam bidang Eugenik sehinggalah beliau bersara sepenuhnya dalam dunia akademia pada tahun 1933.

Di satu sisi kehidupannya yang lain, Maria Sharpe adalah pendampingnya dalam kehidupannya. Perkahwinannya pada tahun 1890 ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu, dua anak perempuan; Sigrid dan Helga, dan seorang anak lelaki; Egon. Kisah pertemuan Pearson dengan Maria sebenarnya banyak bermula dari penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti sosial mereka. Namun begitu, pada tahun 1928, Maria pergi dahulu buat selama-lamanya, sebelum beberapa tahun kemudian, barulah beliau berkahwin dengan Margaret Child, seorang pelajar di University College.

Karl Pearson, tidak boleh dinafikan, memang seorang intelektual sejati. Tulisan-tulisannya jelas mengambarkan bahawa beliau sememangnya mampu menguasai ragam ilmu dengan hampir sempurna, menarik lagi, dengan caranya yang tersendiri. Sepanjang hayatnya, beliau telah menulis 18 kertas kerja di bawah tajuk umum, Sumbangan Matematik Pada Teori Evolusi (Mathematical Contribution to the Theory of Evolution). Fokus yang diperlihatkan dari himpunan kertas kerja ini bukanlah sesuatu yang menghairankan, apatah lagi bila memerhati tebaran perspektif beliau yang secara berterusan cuba menyuarakan wacana tentang masalah genetik, evolusi, antropologi, eugenik dan biologi. Kecenderungan beliau ini sudahtentu merupakan dampak pendidikannya di Jerman sebelum itu.

Selain daripada itu, dalam bidang matematik amnya, atau dalam statistik khususnya, Pearson telah mencipta banyak penemuan dan rumusan-rumusan baru, yang di antaranya termasuklah teori sumbangan pada pekali kontigen (theoretical contributions to the coefficient), pekali biserial dan tetrakorik (tectrachoric and biserial coefficients), ogif, chi-square, skedastiviti (scedasticity), kurtosis, ragam pertalian dan regrasi (multiple correlation and regression), pertalian sebahagian (partial correlation), pekali momen (moment variation), pertalian ratio (partial ratio), variasi pekali (coefficient of cariation), simpangan ganda (standard deviation), dan lain-lain lagi. Keseluruhan, dalam sepanjang hanyatnya, beliau sebenarnya telah menulis lebih 300 kertas kerja, dalam ragam displin, yang mana ia telah disiarkan dalam pelbagai jurnal, media, malah termasuk buku-buku seperti mana yang diungkapkan oleh Lord (1995, pp. 1557-1558).

Memperhalusi kepada buku-bukunya, ia tampak jelas menonjolkan bakat Pearson sebagai seorang intelektual yang serba-boleh. Kalau diperhatikan antara tahun 1922 hingga 1934, beliau telah berjaya memperkemaskan jadual Statistian dan Biometrian serta jadual Ketidaklengkapan Fungsi Beta dan Fungsi Gamma. Pearson turut menulis rakaman perhargaan atas pemergian mentor dan sekaligus teman akrabnya juga, Francis Galton menerusi empat siri biografinya iaitu Kehidupan, Surat-surat dan Hasil Kerja Francis Galton, (The Life, Letters and Labours of Francis Galton, 1914-1930).

Sementara itu, meskipun buku akademianya hanya tiga buah, namun pengutaraan gagasannya dalam buku yang sedikit tersebut, nyata sekali tidak kurang hebatnya. Dua bukunya yang pertama ialah hasil kumpulan syarahan-syarahannya yang dibukukan dibawah tajuk iaitu The Chances of Death and Other Studies in Evolution (dua Jilid, 1897) manakala yang satu lagi ialah The Ethics of Freethought and Other Aaddresses and Essay (1901). Buku-bukunya ini telah dipuji oleh Eisenhart (1974, p. 468) sebagai antara bahan yang terawal dalam bidang statistik serta merangkumi penerangan bagaimana untuk menilai populasi dengan menggunakan sukatan saintifik. Karya-karya beliau ini juga dianggap oleh Eisenhart (1974, p.468) sebagai lambang sebuah kebebasan fikiran, nilai sebuah penyelidikan yang bersejarah, terutamanya tentang sosialisme.

Waima, selain dua bukunya tersebut, salah satu lagi ialah Nahu Ilmu Sains (The Grammar of Science, 1892). Buku ini, barangkali adalah magnus-opusnya yang banyak merangsang fikiran intelektual selepasnya. Malah, impak buku ini pernah dipuji oleh Albert Einstein serta tokoh idealisme kiri yang juga guru Einstein sendiri, Ernst Mach. Selain daripada itu, Vladimir I. Lenin (1939, p. 119), pemimpin revolusi Russia pernah dipetik menyuarakan, “falsafah Pearson, secara konsisten dan berulang-ulang kali, sering membangkitkan tentang soal integriti”. Lebih lanjut, Lenin (1939, p.221) turut menyifatkan beliau sebagai seorang rakyat England yang mempunyai keperibadian yang sangat teliti.

Dalam buku Nahu Ilmu Sains ini juga, Pearson (1900) turut berbicara tentang bidang falsafah. Sebagai seorang idealis kiri, seumpama gurunya Earst Mach (sehingga disifatkannya juga sebagai seorang Machis), kerap mengemukakan pandangannya dalam soal menanggapi realiti, peranan inderawi yang mana tema-tema ini sudah sekian lama menjadi perbincangan dalam dunia falsafah, falsafah sains khususnya. Beliau juga mengakui bahawa apa yang di luar realiti itu sememangnya metafizik, yang juga satu dimensi yang sering diperlekehkan oleh ramai ahli falsafah sains ketika itu. Mudahnya, selain merujuk pada Mach, beliau turut menghala pemikirannya ke arah falsafah Berkeley dan Hume.

Sungguhpun begitu tinggi sanjungan yang diterima oleh Pearson, sudah tentu tidak dapat di elakkan bahawa beliau juga dipandang dari sisi-sisi negatif. Ini termasuklah, beliau dikatakan melebihkan bidang falsafah berbanding dengan aliran asasnya, iaitu statistik. Namun begitu, meskipun pandangan ini barangkali benar, ia sebenarnya juga melambangkan intelektualiti serba-bolehnya. Seimbas, dengan apa yang diungkapkan oleh Shaharir Mohammad Zain (2004) dalam wawancara beliau dengan Penulis sebelum ini, bahawa intelektual yang sebenar, ialah mereka yang mengabadikan ilmunya bukan dalam satu displin semata-mata, malah ia harus artikulasikan ilmunya, menurut keyakinannya, lalu ia dilimpahkan kepada massa.

Akhir, Karl Pearson mungkin bukanlah ilmuan yang paling pintar pada zamannya, mungkin bukan juga ilmuan yang paling popular, tapi yang nyata sekali, beliau sudah berhasil membuatkan matematik dan statistik menjadi ilmu yang tidak kurang menariknya. Cara beliau memecahkan masalah, lalu sembari secara hati-hati menjelaskannya, samada menerusi tulisan mahupun kuliahnya, diakui telah merangsang inspirasi kepada ramai ilmuan setelahnya. Justeru, bila dunia kehilangan beliau pada 27 April 1936, ia juga menandai satu kehilangan yang sangat besar kepada sebuah simbol kebebasan fikiran, dan juga kebebasan akademik.

Rujukan:

Eisenhart, C (1974). Karl Pearson. In C. C. Gillispie (Ed.), Dictionary of Scientific Biography, 447-473, New York: Charle Scribners and Sons.

Lenin, V.I. (1939). Selected works, vol 11, London: Lawrence Wishart.

Lord, C.D. (1995). Karl Pearson, English statistician. In E.J. McMurray (Ed.) Notable twentieth century scientists, 1556-15558, New York, Gale Research, Inc.

Pearson, E.S. (1938). Karl Pearson: An appreciation of same aspects of his life and work. Cambridge University Press.

Pearson, K. (1892). The grammar of science. London: J. M. Dent and Company.

Pearson, K (1897). The chance of death and other studies in evolution, dua jilid, New York: Edward Arnold.

Pearson, K. (1901). The ethics of freethought and other addresses and essays. London: Adam and Charles Black.

Pearson, K. (1914-1930). The Life, letters and labours of Francis Galton, empat jilid, London: Cambridge University Press.

Walker, H. (1968). Karl Pearson. In W. H. Kruskal and J.M Tanur (Eds), 691-698, International Encyclopedia of Statistics. New York: Collier and Macmillan.


Aqil Fithri adalah zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, tajaan Nippon Foundation, Jepun. Ia dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com

Share on Facebook