Oleh : Dzulhelmi Nasir & Suriyanti Su

Pelajar Pascasiswazah, Universiti Malaya & Universiti Kebangsaan Malaysia

Hutan tropika di Malaysia mempunyai lebih kurang 20 spesies primat yang terdiri daripada famili Lorisidae (Kongkang), Hominidae (Orang Utan), Hylobatidae (Siamang, Ungka, Wak Wak), Cercopithecidae (Beruk, Kera, Lutong, Bangkatan) dan Tarsiidae (Kera Hantu). Terdapat hanya dua spesies monyet yang hidup secara nokturnal yang mana ianya aktif pada waktu malam dan bersaiz kecil iaitu Kongkang (Nycticebus coucang) dan Kera Hantu (Tarsius bancanus). Perbezaan yang ketara di antara spesies monyet yang aktif pada waktu pagi dan malam ialah saiz badan.


kera hantu

Kera Hantu tergolong dalam genus Tarsius dengan lima spesies (T. bancanus, T. syrichta, T. tarsier, T. pumilis dan T. dianae). Kini, para penyeldik telah mengasingkan spesies Kera Hantu yang terdapat di Borneo iaitu T. bancanus kepada genus Cephalopachus. Dengan ini, Kera Hantu yang terdapat di Borneo dan Sumatera ini merupakan satu-satunya spesies daripada genus Cephalopachus. Setiap spesies hidup pada geografi yang berbeza di hutan tropika di rantau Asia Tenggara ini dan kebanyakannya adalah endemik kepada geografi masing-masing. Spesies Kera Hantu hanya terdapat di Borneo iaitu di Sabah dan Sarawak, Malaysia. Oleh itu, pengetahuan mengenai kehidupan haiwan ini adalah amat penting. Kera Hantu mempunyai berat kira-kira 110-150 gram. Ia bergerak dari satu pokok ke pokok yang lain dengan lompatan menggunakan kedua-dua tangan dan kakinya secara serentak tetapi mendarat pada batang pokok dengan kaki dahulu. Oleh yang demikian, habitat semulajadi Kera Hantu adalah di hutan primer dan sekunder yang mempunyai batang pokok kurang daripada lima sentimeter. Kera Hantu merupakan mamalia karnivor dan insektivor. Ia memakan pelbagai jenis serangga (i.e. semut, ulat, riang-riang), kelawar, burung, ketam, udang, ikan, mengkarung, katak dan juga ular. Ia gemar memburu dengan melompat dari satu pokok ke pokok lain antara ketinggian satu hingga tujuh meter dari paras tanah dan menyambar pemangsa secara mengejut lalu menggigitnya. Walaupun Kera Hantu aktif memburu pada waktu malam, ia tidak mempunyai selaput mata tapetum lucidum seperti yang terdapat pada Kongkang. Pada waktu siang, Kera Hantu lebih cenderung untuk tidur secara menegak dengan memeluk pada batang pokok secara bersendirian. Ia akan kembali semula ke tempat tidurnya yang sama setiap hari kecuali sekiranya diganggu. Kera Hantu mengamalkan monogami di mana ia hanya mempunyai satu pasangan dalam tempoh hidupnya. Tempoh kandungan Kera Hantu adalah antara 150-180 hari dan ibu Kera Hantu akan membawa anaknya dengan menggunakan mulutnya. Semasa memburu, ia akan meninggalkan anaknya pada dahan pokok. Kera Hantu menanda kawasannya dengan cara kencing atau mencakar pada permukaan pokok dengan kukunya yang tajam.
 
KO

Kongkang tergolong dalam genus Nycticebus yang terdiri daripada lapan spesies (N. coucang, N. bengalensis, N. pygmaeus, N. javanicus, N. menagensis, N. bancanus, N. borneanus dan N. kayan). Kongkang yang terdapat di negara kita adalah N. coucang yang mempunyai taburan meluas di semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera. Kongkang merupakan spesies primat yang aktif pada waktu malam dan bergerak perlahan dari satu pokok ke pokok yang lain dengan cara memanjat. Kadangkala, Kongkang terpaksa berjalan pada tanah untuk bergerak di antara pokok yang tidak rapat antara satu sama lain. Walaupun turut hidup secara berkumpulan, Kongkang akan menghabiskan tempoh hidupnya secara bersendirian (85-95%), memakan (16-32%), berehat (3-6%) dan menghasilkan bunyian (0-8%). Kongkang merupakan haiwan omnivor yang memakan sap, nektar, daun dan arthropods. Individu dalam kumpulan yang sama akan berkongsi pokok makanannya, tetapi tidak akan berkongsi pokok makanannya dengan individu daripada kumpulan lain. Setiap satu kumpulan mempunyai seekor jantan, seekor betina dan beberapa ekor anak. Pertindihan kawasan berlaku dalam kalangan mereka. Kongkang jantan mempunyai kawasan yang lebih luas daripada kawasan betina. Kawasan Kongkang betina sering bertindih dengan kawasan kongkang jantan, tetapi pertindihan ini tidak berlaku antara Kongkang jantan. Walau bagaimanapun, Kongkang jarang memasuki kawasan individu Kongkang lain mahupun membenarkan Kongkang lain memasukinya kawasannya. Pada masa yang sama, Kongkang mengamalkan hidup secara konspesies dengan kumpulan lain bagi membantu dalam melindungi kawasan, mengawal makanan yang terhad dan melindungi anak kecil daripada kumpulan lain yang ingin menceroboh. Dengan itu, Kongkang sering dijumpai dalam keadaan cedera pada bahagian muka dan tangan kerana pergaduhan sesama sendiri. Kumpulan kongkang mengamalkan cara hidup bersosial dan saling membersihkan diri. Justeru itu, kongkang bersendirian yang mungkin telah disisihkan dari kumpulanya akan mempunyai ektoparasit yang banyak seperti tungau (Metastigmata), kutu (Mallophaga) dan hama (Mesotigmata) pada bulu badan dan dalam telinganya.

Pada waktu pagi, Kongkang akan tidur pada dahan pokok pada ketinggian antara satu hingga 35 meter. Ia biasanya tidur pada dahan, pelepah sawit, celah liana dan pokok renek. Dianggarkan terdapat lebih daripada tujuh tempat tidur bagi Kongkang dalam kawasannya. Kongkang akan bertukar tempat tidur setiap hari bagi mengelirukan pemangsanya seperti strategi tidur Kubong. Ia akan tidur secara bersendirian, berpasangan dan juga bertiga pada satu-satu masa. Anak yang berusia antara 16 hingga 27 bulan akan berpindah dari tempat kelahirannya dengan anggaran jarak tempat baru sekitar 500-3000 meter. Oleh kerana Kongkang mempunyai pergerakan yang sangat lambat, terdapat beberapa cara untuk memastikan keselamatannya. Kongkang mempunyai bulu yang seakan sama dengan warna dahan pokok untuk memudahkan penyamaran. Jika pemangsa dikesan menghampirinya, Kongkang akan berhenti bergerak dan statik sehingga ancaman pergi jauh darinya. Selain itu, Kongkang mempunyai gigitan toksik untuk menghalang pemangsa daripada memakannya. Toksik ini terhasil dengan cara menjilat rembesan yang terhasil daripada kelenjar pada tangan, dan campuran air liur ini mampu mengaktifkan toksik tersebut. Oleh itu, toksik ini secara tidak langsung disapu pada seluruh bahagian bulu badan semasa ia membersihkan dirinya.

Mamalia kecil seperti Kongkang dan Kera Hantu dianggap comel oleh kebanyakan orang. Populasi haiwan ini telah menjadi semakin terancam kerana ramai pemburu haram cuba untuk menangkap haiwan ini untuk dipasarkan sebagai haiwan peliharaan eksotik pada harga yang lumayan. Selain itu, dua hutan yang terpisah dengan jalan raya menyebabkan spesies ini terancam. Hal ini kerana ia perlu merentasi seberang jalan untuk ke hutan sebelah dan kadangkala akan terlanggar oleh kenderaan. Tambahan, ia juga mungkin sesat dan termasuk ke kawasan kediaman manusia dan akhirnya ditangkap sama ada untuk dipelihara atau dijual secara tidak sah di sisi undang-undang. Haiwan-haiwan ini dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah), Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Sarawak) dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Semenanjung). Individu yang terlibat dalam pemerdagangan hidupan liar boleh dikenakan tindakan undang-undang dan penalti sekiranya disabit kesalahan.
Share on Facebook