Oleh : Khairul N. Mohd Kharuddin
Pasukan dari University of Manchester dan para pengkaji gunung berapi telah membuat satu kerjasama atas talian (online) untuk menyenaraikan 10 gunung berapi paling berbahaya di dunia. Senarai ini terdiri daripada gunung berapi yang berpotensi meletus dalam masa 100 tahun dan boleh meragut sehingga satu juta kematian.
Mengikut senarai tersebut, tiga buah gunung berapi yang teratas ialah Gunung Iwo Jima di Jepun, Apoyeque di Nicaragua dan Campi Flegrei, Italy. Tahap bahaya gunung-gunung ini adalah berdasarkan dekatnya jarak mereka dengan populasi manusia dan kerosakan yang akan dicetuskan akibat letupan mengikut aktiviti terkini gunung dan sejarah letusannya.
Sebelum ini, dua buah badan iaitu International Association of Volcanology dan the Chemistry of the Earthís Interior (IAVCEI) pernah membuat senarai The Decade Volcanoes iaitu 16 buah gunung berapi paling merbahaya di dunia. Senarai ini mengandungi semua gunung yang yang pernah mengalami letusan yang besar dan memusnahkan, serta terletak berdekatan dengan penempatan manusia yang besar dan padat. Namun senarai ini berbeza dengan yang dihasilkan oleh University of Manchester kecuali Gunung Berapi Taal (Filipina) yang terdapat dalam kedua-dua senarai.
Walau bagaimanapun, senarai The Decade Volcanoes sudah berusia hampir 20 tahun dan banyak maklumat saintifik terbaru telah diterbitkan sejak itu. Pemahaman kita tentang volkanologi juga semakin maju. Professor Albert Zijlstra, seorang ahli astrofizik University of Manchester menerangkan tujuan penyenaraian semuala gunung berapi ini. Beliau berharap untuk menyebarkan kesedaran awam tentang gunung-gunung berapi yang belum diketahui bahayanya kerana kurang pemantauan atau maklumat pemantauan tidak dikongsi bersama awam. Iwo Jima adalah tapak ketenteraan. Semua gunung berapi yang tersenarai dalam The Decade Volcanoes sedang dipantau rapi.
Dengan adanya senarai baru ini, pasukan tersebut berharap orang awam akan sedar tentang kewujudan gunung-gunung berapi yang merbahaya tetapi tidak diketahui. “Gunung Cameroon memang sedang dipantau oleh seseorang tetapi peralatan beliau asyik dicuri”, kata Zijlstra. “Gunung Rainier di Amerika Syarikat yang sangat merbahaya itu sudah berada dalam senarai The Decade dan diketahui ramai, jadi tidak perlu kami masukkannya ke dalam senarai kami”.
Senarai 10 teratas ini adalah berdasarkan kumpulan data yang diterima sepanjang 20 tahun ini, dan akan memaparkan gunung berapi merbahaya serata dunia yang sehingga kini tidak dikenali ramai. Namun begitu Prof. Bill McGuire, ahli volkanologi dan profesor bidang geofizik dan cuaca di University College London, tidak begitu yakin dengan senarai ini. “Adalah mustahil untuk meramalkan bila gunung berapi akan meletus” beliau memberitahu IFLScience. “Senarai seperti ini adalah tekaan semata-mata.
Letusan yang memusnahkan yang terakhir adalah dalam 200 tahun lepas adalah daripada gunung yang tidak dikenali. Vesuvius juga tidak berada dalam senarai sedangkan ia sudah terlebih jangka masa untuk meletup dan setengah juta orang tinggal hampir dengannya. Campi Flegrei pula adalah gunung berapi yang paling dipantau rapi. Pelik sungguh mereka tidak melibatkan ahli volkanologi semasa membuat senarai ini” ujar McGuire.
Senarai 10 gunung berapi paling merbahaya seperti berikut :
1 – Iwo Jima, Japan
2 – Apoyeque, Nicaragua
3 – Campi Flegrei, Italy
4 – Mount Aso, Japan
5 – Trans Mexico Volcanic Belt, Mexico
6 – Gunung Agung, Indonesia
7 – Mount Cameroon, Cameroon
8 – Taal, Philippines
9 – Mayon, Philippines
10 – Gunung Kelud, Indonesia
SUMBER – IFLS