SHARE
Oleh Dr. Muhammad Asyraff
Universiti Putra Malaysia
Mathematical Bridge merupakan nama jolokan bagi sebuah jambatan kayu untuk pejalan kaki yang terletak di seberang Sungai Cam, menghubungkan bahagian lama dan baharu bangunan di Queens College di Cambridge. Kebanyakan penduduk tempatan akan merujuk kepada Jambatan Matematik (Mathematical Bridge) walaupun nama rasminya adalah Jambatan Kayu (Wooden Bridge).
Binaan asas jambatan tersebut dibina dengan kayu keseluruhannya. Struktur geometri ‘Mathematical Bridge’ kelihatan sebagai sebuah jambatan yang melengkung, namun sebenarnya ia dibina daripada gabungan segmen lurus sahaja.
Keindahan estetika matematik yang mendasari rekabentuk Mathematical Bridge dapat dikesan pada susunan kayu di atas jambatan ini diletakkan sedemikian rupa untuk menjadi tangen pada satu titik diatas lengkung di bawah jambatan. Dalam geometri, garisan tangen ialah satu garis lurus yang cuma menyentuh suatu lengkung pada suatu titik sahaja. Kemungkinan nama jambatan kayu yang dikagumi ini berasal dari penghargaan masyarakat kepada ciri indah pembinaan geometri tangen tersebut. Kalau silibus matapelajaran Matematik di Malaysia, tajuk tangen sudah diajar sedari tingkatan 2.
Penulis kini berada di Cambridge untuk lawatan penyelidikan.
Isaac Newton, nama yang tidak asing lagi kepada masyarakat saintifik secara amnya, dan University of Cambridge sendiri adalah alma mater kepada bapa revolusi saintifik ini. Sehinggakan terdapat sebuah institut penyelidikan antarabangsa khas untuk bidang matematik dan aplikasinya di University of Cambridge ini dinamakan bersempena tokoh universiti yang paling terkenal tersebut iaitu Institut Sains Matematik Isaac Newton (The Isaac Newton Institute for Mathematical Sciences). Institut ini telah dipilih sebagai institut penyelidikan kebangsaan untuk sains bermatematik di United Kingdom. Lokasi bangunan insitut ini terletak bersebelahan dengan Pusat Sains Matematik Cambridge (Cambridge Centre for Mathematical Sciences) dan berada 1.7 kilometer daripada letaknya Mathematical Bridge. Besarlah harapan agar tempat saya menjalankan penyelidikan kini iaitu Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia dapat mengikut jejak yang sama, paling tidakpun dinaiktaraf menjadi institut penyelidikan matematik kebangsaan di Malaysia.
Berbalik kepada Mathematical Bridge tadi. Jambatan kayu yang popular ini sudahpun berumur berabad-abad lamanya dan mempunyai kisahnya sendiri. Terdapat satu anekdot (kisah pendek dan lucu atau menarik tentang insiden atau orang sebenar) yang mengaitkan Isaac Newton dengan sejarah pembikinan jambatan matematik Mathematical Bridge.
Legenda mengatakan bahawa Newton, dengan kecemerlangan dan kehebatan keilmuannya telah merancang dan membina jambatan ini menggunakan hanya blok-blok kayu semata-mata; tambahan pula rekabentuk dan susunatur jambatan yang bebas dari bantuan nat dan skru. Hebat bukan! Jelaslah jambatan ini menggunapakai kaedah kejuruteraan yang hebat dan ‘design principle’ menggunakan matematik yang indah. Legenda juga mengatakan bahawa tujuan Isaac Newton membina jambatan kayu ini untuk menggambarkan prinsip daya dan graviti.
Namun adakah kisah itu kisah yang benar?.
Persoalan ini timbul kerana jika diteliti betul-betul, jambatan itu sebenarnya dipenuhi dengan ‘nuts and bolts’. Ada yang mengatakan bahawa nat dan skru yang kelihatan jelas kini adalah kerana pada ketika tidak berapa lama dahulu terdapat pelajar di Universiti Cambridge yang mungkin diatas sikap inkuiri yang tinggi, telah mengambil inisiatif untuk merungkai jambatan itu kepada ceraiannya. Akan tetapi apabila mereka cuba menyatukannya kembali dan tidak berjaya seperti mana yang Isaac Newton lakukan maka mereka hanya mengikatnya bersama-sama nat dan skru.
Legenda tetaplah legenda, dan misteri yang menyelubungi bukanlah hanya wujud di Nusantara. Yang lebih misteri, Newton telahpun meninggal dunia pada tahun 1727, iaitu bersamaan 22 tahun sebelum pembinaan jambatan ini pada tahun 1749.
Berada di University of Cambridge ini memang tak dapat tidak saya mesti juga mencari kesempatan untuk melawat jambatan kayu ini dan syukur akhirnya diberi peluang.
Walaupun ia tidak direka oleh Isaac Newton, selain daripada kisah mistik yang romantis tersebut, jambatan ini tidak dinafikan mempunyai rekabentuk yang canggih dan indah. Mathematical Bridge ini seolah-olah sebagai satu tarikan ikonik utama yang ada nilai saintifik di Bandar Cambridge ini.
Hakikatnya ianya masih sekadar sebuah jambatan kayu. Membawa sedar saya akan jangan taksub kepada makhluk jua.
Untuk fakta dan perkara yang menarik lainnya berkenaan Jambatan Matematik ini, boleh lah teruskan melawat laman sesawang berikut;
[1] http://cambridgetravelguide.bestcambridge.org/cambridge-ma…/
[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Mathematical_Bridge
[3] http://www.queens.cam.ac.uk/…/college-f…/mathematical-bridge
No automatic alt text available.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge