Oleh : Prof. Madya. Dr. Abdul Halim Abdullah & Umi Hanim Maheran
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia
Statistik merupakan satu istilah daripada perkataan latin yang memberi maksud keadaan. Statistik terbentuk dari dua disiplin iaitu kajian matematik kebarangkalian dan kajian saintifik untuk membuat kesimpulan daripada data yang mempunyai ralat yang tidak dapat dielakkan. Kebanyakan maklumat mengenai sesuatu perkara atau objek adalah dalam bentuk data. Ketika ini, banyak statistik berkaitan penularan pandemik COVID-19 disiarkan dalam media cetak, media massa mahupun media sosial. Contoh paling jelas ialah statistik harian yang menunjukkan bilangan kes baru jangkitan COVID-19, kes jangkitan kumulatif, jumlah kes sembuh dan discaj dari hospital serta jumlah kematian. Dengan menggunakan ilmu statistik, rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar dapat meningkatkan pemikiran statistik mereka dengan mengaitkan ilmu statistik yang mereka ketahui dan pelajari dalam kelas matematik dengan situasi harian mereka khususnya dalam situasi pada hari ini. Dengan ilmu statistik juga, pelajar boleh melihat trend bilangan kes jangkitan COVID-19 dari awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah pada hari ini. Bilangan kes jangkitan di Malaysia ini juga dapat dibandingkan dengan bilangan kes jangkitan di negara-negara luar. Contohnya, graf bilangan jangkitan harian Malaysia dibandingkan dengan graf bilangan jangkitan negara Iran. Graf jangkitan COVID-19 di Iran memperlihatkan peningkatan ketara selepas 20 Mac 2020 selepas rakyat negara tersebut berpusu-pusu pulang ke kampung bagi meraikan perayaan Nowruz (Tahun Baru Iran). Mereka tidak mengambil peduli akan saranan kerajaan negara tersebut untuk tidak pulang ke kampung dan impaknya, kes jangkitan COVID-19 di negara Iran antara yang tertinggi di dunia selepas perayaan tersebut.
Satu lagi negara yang dibandingkan dengan statistik Malaysia ialah negara Itali. Pola jangkitan kes jangkitan negara tersebut pada mulanya dikatakan agak sama dengan pola jangkitan di negara kita membuatkan semua pihak agak gelisah. Sehubungan itu, tindakan proaktif kerajaan Malaysia mengekang penularan pandemik berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila pola jangkitan kes tidak menunjukkan peningkatan sebagaimana pola graf jangkitan negara Itali. Negara Itali, Sepanyol dan Jerman melaksanakan Perintah Berkurung dan hasilnya, statistik menunjukkan trend penurunan kes baru dan seterusnya membuktikan keberkesanan pelaksanaan perintah berkurung. Sehubungan itu, pelajar memahami bagaimana statistik ini dapat membantu pihak kerajaan membuat sebarang keputusan. Contohnya dengan mengambil insiden yang berlaku di negara Iran, kerajaan melarang rakyat untuk merentas negeri untuk menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai untuk memutuskan rantaian COVID-19. Selain data statistik harian yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Menteri Pertahanan turut membentangkan statistik berkaitan aspek keselamatan dalam negara yang bertujuan mengekang penularan pandemik dari terus berlaku dalam negara kita. Banyak statistik harian yang dikongsikan, antaranya bilangan sekatan jalan raya, bilangan pemeriksaan kenderaan, bilangan pemeriksaan mengejut, bilangan individu yang ditahan akibat ingkar PKP, bilangan individu dituduh di mahkamah dan banyak lagi. Dengan pengetahuan statistik pelajar, pelajar dapat mengaitkan semakin banyak bilangan sekatan jalan raya dilakukan dan semakin banyak individu yang dikenakan kompaun akibat ingkar PKP, statistik kes jangkitan semakin menurun. Selain itu, COVID-19 turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Dalam sektor pelancongan di Malaysia umpamanya, kira-kira seramai satu juta pekerja dalam sektor tersebut dijangka hilang pekerjaan. Sehubungan itu, pelajar dapat melihat rasional mengapa kerajaan melaksanakan pengecualian cukai pelancongan bagi tempoh bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 sebagai langkah untuk mengaktifkan semula industri pelancongan di Malaysia.
Banyak lagi komponen statistik yang berkaitan COVID-19 dan PKP yang diserlahkan dalam kehidupan harian pelajar melalui pendedahan dalam media massa, media cetak dan media sosial. Antaranya kerugian syarikat penerbangan tertentu, jumlah bantuan kerajaan kepada golongan tertentu dan sebagainya. Kesimpulannya, statistik merupakan satu cabang matematik yang menarik untuk dipelajari. Sehubungan itu pembelajaran statistik ini perlu ditekankan dalam bilik darjah. Ketidakupayaan seseorang pelajar menggunakan maklumat statistik dengan baik boleh menghalang seseorang itu daripada menjadi pekerja, pelajar, pengguna mahupun masyarakat yang produktif. Tambahan pula, statistik memberi sumbangan yang besar dalam bidang matematik dan mempunyai konsep teras tersendiri bagi membuat sebarang penerokaan maklumat. Selain itu, statistik juga dapat meningkatkan motivasi serta membentuk kebolehan pelajar dalam menyelesaikan masalah seperti menyuarakan persoalan, menganalisa, membuat perwakilan dan menyampaikan maklumat secara kuantitatif. Oleh yang demikian, penekanan terhadap pentingnya pembelajaran statistik ini haruslah diambil kira dari segenap aspek. Dalam dunia teknologi pada masa kini, pelajar tidak lari dari penggunaan graf, carta, jadual, data mentah dan sebagainya. Sekiranya statistik diajar dengan kaedah yang mampu menarik minat pelajar, ianya secara tidak langsung akan meningkatkan lagi motivasi dan minat pelajar terhadap statistik khususnya dan matematik amnya. Pelajar yang ‘bermain’ dengan data sebenar serta mampu membuat perkaitan antara data-data tersebut akan lebih bersifat ingin tahu. Justeru, pelajar akan cuba meneroka dengan lebih mendalam tentang perkaitan data-data tersebut.
Artikel Berkaitan : Pentaksiran PISA: Di Mana Kedudukan Malaysia Untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?
Artikel Berkaitan : Pendekatan Inkuiri Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dalam Tragedi “Budak Gua” Thailand
Secara umumnya, statistik merupakan satu bidang praktikal yang mana ianya melibatkan data, data berangka yang dikumpulkan dalam kuantiti yang besar. Data-data tersebut seterusnya dianalisa dan ditafsir. Statistik adalah satu set prosedur matematik yang digunakan untuk menyusun, membuat kesimpulan dan mentaksir maklumat. Tajuk statistik telah diperkenalkan kepada murid seawal peringkat sekolah rendah lagi iaitu kepada murid tahun tiga. Penetapan ini secara rasionalnya adalah disebabkan murid tahun tiga telah menguasai kemahiran asas matematik dengan baik dan boleh membuat pemerhatian serta pentafsiran ke atas objek. Walau bagaimanapun, berdasarkan Jadual 1.0, pelajar Malaysia menunjukkan pencapaian yang tidak konsisten dalam domain kandungan Data dalam pentaksiran Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dari edisi 1999 hinggalah ke edisi 2015. Malah pencapaian pelajar Malaysia dalam domain kandungan Data jauh ketinggalan berbanding pencapaian pelajar Singapura.
Berdasarkan literatur, terdapat sepuluh prinsip pengajaran dan pembelajaran statistik. Prinsip yang pertama adalah para pelajar seharusnya belajar dengan membina pengetahuan. Pelajar belajar statistik dengan membina pengetahuan, bukannya melalui penyerapan maklumat secara pasif. Prinsip yang kedua pula adalah pelajar belajar melalui penglibatan aktif dalam aktiviti pembelajaran statistik. Hal ini bermaksud, pelajar akan belajar dengan lebih baik sekiranya mereka bekerja secara berkumpulan dalam kumpulan kecil bagi menyelesaikan permasalahan dan belajar untuk meyakinkan pendekatan mereka. Prinsip yang ketiga adalah pelajar akan belajar statistik untuk menghasilkan output yang terbaik berdasarkan latihan yang dilakukan. Latihan yang dimaksudkan adalah sama ada dalam bentuk hands-on aktiviti, aktiviti berkumpulan atau dengan menggunakan teknologi. Pelajar juga dapat belajar dengan lebih baik sekiranya mereka mempunyai pengalaman menggunakan idea dalam situasi yang baru. Prinsip keempat menetapkan guru seharusnya memandang serius tentang kesukaran pelajar dalam memahami konsep asas dalam statistik dan kebarangkalian. Banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan pelajar menghadapi kesukaran dalam mempelajari topik statistik dan kebarangkalian serta mereka sering menghadapi kesulitan dalam memahami konsep data dan perubahan. Prinsip kelima ialah guru seharusnya tidak meletakkan jangkaan yang melebihi keupayaan pelajar dalam menilai kefahaman pelajar berkenaan konsep asas statistik. Hal ini kerana, walaupun pelajar dapat menyelesaikan beberapa permasalahan dengan tepat, pelajar masih menghadapi kesulitan dan kesalahfahaman dalam konsep asas statistik. Sehubungan itu, asas statistik perlu diperkukuhkan terlebih dahulu dalam diri pelajar. Prinsip keenam ialah pembelajaran perlu diperkayakan dengan kaedah yang mendatangkan kesedaran terhadap tentang kesilapan konsep serta cuba untuk membaikinya. Pelajar akan belajar dengan lebih baik melalui aktiviti yang merangsang mereka untuk membezakan pemahaman mereka mengenai konsep data dan perubahan.
Seterusnya, kalkulator dan komputer perlu digunakan untuk membantu pelajar dalam menggambarkan dan meneroka data. Pelajar dapat mempelajari statistik dengan lebih mudah dengan bantuan teknologi seperti komputer dan kalkulator. Hal ini kerana, terdapat banyak perisian statistik yang dapat membantu pelajar untuk memahami serta melihat konsep-konsep dan teori statistik dengan lebih jelas seperti SPSS, MINITAB dan DataDesk. Perisian ini juga bersifat interaktif yang dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari statistik. Prinsip kelapan pula adalah pelajar akan belajar dengan lebih baik sekiranya menerima bantuan dan maklum balas tentang pencapaian mereka secara konsisten. Penilaian terhadap aktiviti mahupun projek statistik pelajar boleh digunakan sebagai salah satu cara untuk memberi maklum balas kepada pelajar semasa mereka menyelesaikan permasalahan dalam pembelajaran. Penilaian tersebut bukan sekadar penilaian akhir yang kebiasaannya dilakukan pada akhir pembelajaran. Prinsip yang kesembilan pula adalah pelajar perlu belajar untuk menilai pengetahuan statistik yang mereka pelajari. Hal ini berkaitan dengan penilaian yang akan dijalankan oleh guru kepada mereka. Prinsip yang terakhir dalam pembelajaran statistik adalah penggunaan kaedah yang dicadangkan dalam pengajaran perlu dipelbagaikan untuk mengelakkan pelajar menghadapi miskonsepsi dalam statistik.
Kredit Foto :
openstats
Zulyusmar
FBKPM