SHARE
Artikel ke-11 kerjasama antara Majalah Sains dan Young Scientist Network (YSN), dibawah naungan Akademi Sains Malaysia (ASM)
_____________________________

Oleh: Dr Razinah Sharif,
Ahli Bersekutu YSN-ASM
Pusat Jagaan Sains Kesihatan,
Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Isu pemakanan dan kanser sebenarnya telah tercetus sejak tahun 1981 lagi, di mana Doll dan Peto telah berjaya membuktikan terdapat perkaitan antara pemakanan dan kanser.
Persoalannya, bagaimana ini boleh terjadi?

Kanser merupakan suatu proses fisiologi sel secara abnormal. Insidennya yang semakin meningkat menjadikan kanser merupakan salah satu ‘penyakit’ yang ditakuti pada masa kini. Kajian terkini telah mengaitkan kanser dengan makanan, gaya hidup yang tidak aktif dan pelbagai faktor persekitaran.

Mengikut kajian di barat, pengambilan sebanyak 50 gram daging terproses setiap hari meningkatkan risiko kanser usus sebanyak 17%. Daging terproses ini mungkin merangkumi sosej, salami, burger atau bebola daging. Daging terproses ialah daging yang bukan dalam bentuk asalnya.

Untuk daging merah pula seperti daging lembu, ia mempunyai kebarangkalian untuk meningkatkan risiko terkena kanser usus, pankreas dan juga prostat kerana penambahan garam yang mungkin menyebabkan inflamasi atau kerosakan DNA. Proses pengawetan dan salai boleh menyebabkan pembentukan kompaun dipanggil sebagai Nitrosoamine. Komponen ini boleh menyebabkan kerosakan kepada DNA dan antara bahan yang dikenalpasti boleh meningkatkan risiko kanser.

Umum mengetahui kerosakan DNA mempunyai perkaitan yang tinggi dengan kejadian kanser, seperti diperjelaskan di dalam artikel terdahulu. Kerosakan DNA yang tidak dibaiki akan menyebabkan berlakunya mutasi (mismatch repair) dan hal ini boleh menjurus kepada jujukan DNA yang tidak normal.

Apa itu Kerosakan DNA?

Kerosakan DNA dan tekanan oksidatif lazimnya bergerak seiring. Tekanan oksidatif terjadi apabila terdapat gangguan di dalam keseimbangan oksidan dan antioksidan. Kerosakan DNA pula lazimnya disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran seperti pemakanan, gaya hidup, tekanan, bahan kimia dan persekitaran. Kerosakan DNA lazimnya boleh dibaiki oleh sistem tubuh. Masalah terjadi apabila sistem tubuh terbeban akibat terlalu banyak kerosakan atau tidak mempunyai sistem pemulihan yang baik. Bayangkan anda mempunyai kereta yang rosak, dihantar ke kedai mekanik yang tidak baik, pastinya kereta anda akan bertambah tidak baik.

Bahaya Daging Merah dan Makanan Tinggi Garam

Berdasarkan buku yang diterbitkan pada tahun 2007, Food, Nutrition, Physical Activity, and the Prevention of Cancer: a Global Perspective (WCRF), mereka telah mengkelaskan pelbagai jenis makanan yang berkait rapat dengan kanser. Dapatan kajian pada tahun 2015 oleh International Agency for Research on Cancer (IARC), ia telah mengesahkan telah mengesahkan bahawa DAGING TERPROSES merupakan salah satu penyebab kepada kanser, dan lebih mengejutkan, daging merah dan makanan tinggi garam juga tergolong dalam makanan yang boleh meningkatkan risiko kanser.

Pengelasan karsinogenik (ejen kanser) oleh IARC dan sumber makanan daripada daging yang boleh menyebabkan kanser (Sumber: Cancer Research UK)

Kajian Setakat Ini

Kajian terkini telah mengaitkan kanser usus dengan pemakanan daging terproses. Selain itu, ia juga turut dikaitkan dengan kanser perut. Hal ini dijangka boleh terjadi kerana tindakan inflamasi yang mungkin disebabkan oleh bahan pengawet yang terdapat dalam daging terproses atau tindakan kumpulan nitrosoamine dari kumpulan daging salai yang berupaya untuk mengaruh kerosakan DNA. Ketidak seimbangan kerosakan DNA dengan antioksidan serta pembaikan DNA akan menyebabkan tekanan oksidatif yang lazimnya dikaitkan dengan pelbagai penyakit.

Selain itu, dari segi toksikologi pemakanan, terdapat juga bahan seperti HCA (Heterocyclic Amines) dan PAH (Polycylic Aromatic Hydroamines) yang lazimnya terbentuk akibat penghasilan karbon. Dari mana datangnya sumber ini? Ia boleh terhasil akibat pemasakan daging dengan suhu tinggi dan proses memanggang. Maka, dari situlah muncul pula tanggapan yang mengatakan sate boleh menyebabkan kanser.

Saranan oleh Cancer Research UK untuk mengurangkan pengambilan daging & daging terproses
Perbandingan antara rokok & makanan terproses sebagai risiko kanser (Sumber: Cancer Research UK)

Saranan Pengambilan Makanan

Ramai yang mengetahui, setiap bahan yang diambil adalah bergantung kepada dos. Setiap bahan yang diambil tetap mempunyai kesan buruk, walaupun vitamin (akan dikupas dalam isu seterusnya). Jadi soalnya, berapa banyak daging yang boleh dimakan dalam sehari?
Saya selaku pakar toksikologi makanan tidak menjumpai fakta yang mengatakan kita perlu menjauhi daging merah dan daging terproses. Namun, anggaplah ia seperti rokok, lebih baik dijauhi terutamanya, untuk daging terproses. Amalkan pemakanan yang menggunakan konsep ‘suku-suku-separuh’ dan amalkan kepelbagaian dalam makanan iaitu mempelbagaikan sumber protein anda. Janganlah setiap hari anda mengambil sosej dan burger pula.

Konsep ‘suku-suku-separuh’ (Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Perlis)

Cadangan menu – sumber protein yang boleh dipelbagaikan – daging merah, daging kambing, daging ayam, pelbagai variasi ikan, kacang kuda, kacang dhal dan pelbagai produk soya.

Oleh itu, kesimpulan lazim yang dibuat oleh setiap pakar pemakanan dan setiap orang yang ingin sihat, amalkan pengambilan sayur dan buah, amalkan konsep ‘suku-suku-separuh’, pelbagaikan variasi hidangan anda.

Kanser; lebih baik mencegah dari mengubati.

Sumber artikel daripada buku rujukan kegemaran saya: Food, Nutrition, Physical Activity, and the Prevention of Cancer: a Global Perspective (boleh dimuat turun secara percuma)

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge