SHARE
Malaysia perlu menerima hakikat bahawa dunia sedang mengalami revolusi perindustrian keempat, umum dirujuk sebagai ‘Industry 4.0’ dan mencari jalan untuk terus bersaing dalam pasaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Sejak Revolusi Industri Pertama di Barat pada 1760-an ia tidak pernah lari daripada memberi fokus untuk meningkatkan penggunaan teknologi automasi dan pengurangan tenaga kerja manual dengan memperkenalkan penggunaan mesin untuk mencapai proses pengeluaran yang optimum dengan kos yang paling rendah.
Majalah Forbes melalui artikel ‘What Everyone Must Know About Industry 4.0’ tulisan Bernard Marr pada Jun 2016 menjelaskan seperti berikut,
‘…And now we enter Industry 4.0, in which computers and automation will come together in an entirely new way, with robotics connected to computer systems equipped with machine learning algorithms that can learn and control the robotics with very little input from human operators…’
(‘…Dan sekarang kita memasuki fasa Industri 4.0 di mana penggunaan komputer dan sistem automasi akan datang dengan cara yang jauh berbeza daripada sebelum ini, (yang mampu) menghubungkan aplikasi robotik dengan sistem komputer yang dilengkapi mesin yang boleh mempelajari algoritma, menjadikan pengawalan sesuatu sistem robotik dapat dilakukan dengan campur tangan minima oleh manusia…’)
Industry 4.0 turut dikenali dengan singkatan 4IR (Fourth Industrial Revolution).


Sumber-MOSTI

IoT
Perkembangan 4IR turut disokong dengan pemekaran teknologi yang dibangunkan dengan kompetensi ‘Big Data’ dan ‘Internet of Things’ (IoT).
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Madius Tangau pada Ogos 2016 berkata IoT akan menjadi pengubah teras ekonomi baharu Malaysia selain evolusi internet bagi kemudahan penyebaran maklumat serta pengetahuan yang lebih menyeluruh.
Atas dasar itulah, Madius berkata aplikasi IoT akan membantu menerajui Malaysia memasuki 4IR kerana ia memberi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan yang terkait seperti sektor pertanian, penjagaan kesihatan, pembuatan dan pengangkutan.
Beliau turut memberi contoh bagaimana industri eksport buah-buahan negara seperti Durian ‘Musang King’ dari Malaysia ke negara China yang menggunakan aplikasi IoT.
Seluruh proses logistik menjadi telus dan pantas menggunakan teknologi Mi-Trace yang membolehkan maklumat berkaitan barangan yang dieskport dikesan secara automatik menggunakan kod QR.
Agensi kerajaan turut mengambil tindakan proaktif dalam memberi sokongan kepada pembangunan IoT di Malaysia. Antaranya adalah MIMOS yang melancarkan Mi-Mist (Mimos Internet Service of Things) yang berhasrat menjadi penghubung antara peranti-peranti yang digunakan dalam ekosistem IoT.
Sokongan Berterusan
Sementara itu sektor ekonomi digital dijangka bakal terus mendapat sokongan kerajaan khususnya dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan pada 27 Oktober ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood dalam bajet 2017, sejumlah RM 162 juta telah diperuntukkan bagi menjalankan program berteraskan ekosistem edagang selain Digital Maker Movement selain pengenalan Hab Digital Malaysia.
Atas kesedaran inilah program seperti Big Data Week 2017 yang berakhir Isnin lalu, dianjurkan demi memberi peluang kepada pemain tempatan mendekati nama-nama besar dalam bidang ini.
Di acara ini, wakil syarikat terkemuka dunia seperti Google, Facebook, Standard Chartered Bank, HSBC dan organisasi seperti iflix, Max Healthcare ‘turun padang’ berkongsi maklumat dengan peserta di Malaysia.
Juga, kehadiran Ketua Pegawai Pendataan Dewan Bandaraya San Diego, California, Maksim Pecherskiy dan Dr. Ian Oppermann yang bertugas sebagai Ketua Saintis Data, New South Wales, Australia turut memberi peluang kepada organisasi tempatan membina jaringan kerjasama dan mempelajari cara kedua-dua bandar ini mengaplikasikan teknologi Big Data dalam pentadbiran bandar mereka.
Ulas beliau Yasmin lagi, MDEC akan turut bekerjasama dengan rakan kongsi berkaitan untuk membangunkan rangka kerja Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence/AI) negara sebagai langkah membantu Malaysia menjalankan gerak kerja menerajui ekonomi digital.
“AI telah wujud agak lama dan negara sedang bergerak ke arahnya,” kata beliau yang turut berkata gerak kerja ini adalah penting menyumbang kepada Rangka Kerja Analisis Data Negara.
Tepat Pada Masanya

 

Melihatkan kepada perkembangan positif sebeginilah, penganjuran ‘National Innovation and Creative Economy Expo 2017’ (NICE 2017) pada 12 hingga 16 Oktober ini dianggap sebagai tepat pada masanya.
Dengan penglibatan 15 kementerian dan jabatan kerajaan serta 25 agensi di bawah MOSTI selain 39 rakan strategic, menjadikannya acara ekspo berteraskan sains, teknologi dan inovasi terbesar negara.
NICE 2017 dijangka bakal menerima kehadiran lebih 500,000 pengunjung di tiga lokasi penganjurannya iaitu di Taman Teknologi Malaysia, Pusat Sains Negara dan Planeterium Negara.
Melalui program ‘Smart Home’ pengunjung boleh merasai sendiri kecanggihan teknologi berasaskan IoT dan Big Data di mana semua peralatan dan peranti di dalam rumah boleh dikawal dari mana sahaja di seluruh dunia menggunakan telefon pintar.
Program ‘Robot Tempur’ pula diharap dapat membina kesedaran khususnya di kalangan golongan muda dan ibu bapa tentang bidang robotik seterusnya mencetuskan minat mereka untuk terus mendalami bidang ini.
Bagi yang ini mandalami maklumat berkenaan bandaraya pintar, IoT dan teknologi nano boleh menyertai bengkel-bengkel dan persidangan-persidangan yang berlangsung sepanjang acara selama lima hari ini.
Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut peluang pekerjaan atau mahu berkecimpung dalam bidang berasaskan sains, teknologi dan inovasi boleh menghadiri ceramah ‘Future Job’ dan melawat pameran kerjaya yang berlangsung pada 15 Oktober.
Maklumat lanjut program-program sepanjang NICE 2017 boleh didapati di laman sesawang www.niceexpo.mosti.gov.my atau laman Facebook ekspo di www.facebook.com/mostiniceexpo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge