Artikel kelima kerjasama antara Majalah Sains dan Young Scientist Network (YSN), dibawah Akademi Sains Malaysia (ASM)
——————————————————————————————-
Oleh Dr. Mohd Firdaus Abdul-Wahab, Ahli Bersekutu YSN-ASM
Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan,
Universiti Teknologi Malaysia.
Masih jelas dalam ingatan saya kegembiraan ketika ditawarkan untuk menyertai pasukan Ekspedisi Antartika UTM untuk mewakili kumpulan penyelidikan saya, iaitu Kumpulan Penyelidikan Bioteknologi Persekitaran, pada pertengahan tahun 2014. Pasukan ini akan menjadi pasukan pertama dari UTM, dan dari Malaysia, yang akan menggunakan kapal layar untuk ke Antartika. Laluan laut dipilih kerana ianya lebih ekonomikal daripada jalan udara, dan kami berpeluang untuk melakukan lebih banyak eksperimen sepanjang pelayaran. Servis syarikat Ocean Expeditions dipilih kerana pengalaman luas mereka belayar ke Antartika, dari benua Amerika Selatan. Disebabkan ini adalah pengalaman pertama untuk semua ahli pasukan, kami perlu mempersiapkan diri dengan lengkap untuk pengembaraan ke benua asing itu.
Ekspedisi ini disertai oleh penyelidik daripada pelbagai disiplin penyelidikan, yang diketuai oleh Prof. Mazlan Hashim, Dr. Mohd Nadzri Md. Reba (kedua-duanya pakar penderiaan jauh satelit), Prof. Abdul Hafidz Omar, Kamaruzzaman Soeed (penyelidik bidang sains sukan), Dr. Mohd Farid Muhamad Said (pakar kenderaan kawalan jauh, ROV), dan saya sebagai penyelidik mikrobiologi/biokimia. Saya secara automatik bersetuju dengan tawaran tersebut, dan dari situlah minat saya dalam penyelidikan Antartika bermula. Kejayaan ekspedisi ini akan membuka kemungkinan lebih banyak pasukan penyelidikan dari Malaysia untuk menggunakan laluan yang sama. Ia adalah satu tanggungjawab yang besar yang perlu kami galas.
Mujurlah pasukan kami dapat bekerja bersama-sama dengan amat baik, seawal dari mesyuarat pertama lagi, diikuti dengan beberapa sidang akhbar, dan persiapan-persiapan pra-ekspedisi yang perlu kami lakukan. Kami menjalani pemeriksaan kesihatan secala menyeluruh di Pusat Kesihatan Universiti, dan turut menerima nasihat daripada Pengarah Pusat Kesihatan berkenaan ubat-ubatan yang perlu dibawa dan bagaimana untuk menangani mabuk laut. Kami juga melakukan beberapa sesi latihan fizikal untuk memastikan tahap kecergasan kami adalah di tahap tertinggi sebelum ekspedisi. Saya tidak pernah menaiki bot lebih daripada 3 jam tanpa henti, apatah lagi menaiki kapal layar. Untuk belayar selama empat hari berturut-turut ke Antartika, menerusi Laluan Drake iaitu antara laluan laut yang paling berbahaya di dunia, pastinya merisaukan semua. Laluan Drake adalah selat antara benua Amerika Selatan dan Semenanjung Antartika (Rajah 1), dan amat ditakuti di kalangan pelayar-pelayar. Lautnya boleh menjadi sangat bergelora, kerana arus lilitan Antartik (Antarctic circumpolar current) yang ada di sekitar benua Antartika, ditambah dengan angin yang sangat kencang. Keadaan ini menghasilkan ombak yang sangat tinggi yang membuatkan pelayaran melalui Laluan ini amat berbahaya. Terdapat juga bongkah-bongkah ais terapung yang boleh menyebabkan kapal karam jika terlanggar.
Kami berlepas dari Kuala Lumpur pada 26 Februari 2015. Mula-mula ke Buenos Aires, iaitu ibu kota Argentina. Di Buenos Aires, kami disambut mesra oleh Duta Besar Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Mohd Ashri Muda dan pegawai kedutaan Encik Kamrizamil, di Kedutaan Malaysia Argentina. Tuan Yang Terutama Dato’ sangat gembira berjumpa saintis-saintis Malaysia di Argentina, dan meluahkan hasrat beliau untuk melihat kerjasama penyelidikan yang lebih kukuh antara saintis Malaysia dan Argentina, terutamanya dalam penyelidikan Antartika. Kami kemudiannya dihidangkan hidangan panas yang disediakan oleh kakitangan Kedutaan, sebelum berpeluang singgah di Pusat Kebudayaan Islam King Fahd untuk bersolat Jumaat. Pusat ini menempatkan masjid terbesar di Amerika Latin, bertempat di Daerah Palermo, Buenos Aires. Selain daripada masjid, terdapat juga sekolah rendah dan sekolah menengah, dan asrama untuk pelajar-pelajar.
Kami terbang dari Buenos Aires ke Ushuaia, bandar paling selatan Argentina, pada 28 Februari 2015 sekitar jam 4.00 petang. Ushuaia akan menjadi bandar terakhir yang kami singgah sebelum pelayaran. Kami tiba di Ushuaia sekitar jam 7.30 malam. Matahari masih bersinar cerah pada waktu itu, kerana Februari adalah musim panas di sini. Ushuaia dikenali sebagai ‘bandar di penghujung dunia’. Bandar ini benar-benar mempesonakan saya dengan keindahan alam semula jadi yang amat menakjubkan. Ushuaia terletak di kepulauan Tierra del Fuego (‘tanah api’), di pulau Isla Grande Tierra del Fuego. Perkataan ‘api’ bukanlah merujuk kepada gunung berapi, tetapi berasal daripada penemuan banyak unggun api yang dibina oleh penduduk asal pulau ini oleh Ferdinand Magellan, semasa penerokaan beliau pada tahun 1520.
Ushuaia menghadap Selat Beagle. Ia dikelilingi oleh gunung-ganang dengan puncak bersalji yang amat cantik. Kawasan ini sangat terkenal di kalangan pelancong sebagai kawasan sukan pendakian. Udaranya terasa amat segar dan angin bertiup dengan kuat sekali, menjadikannya terasa agak sejuk, walaupun pada musim panas. Saya terkejut apabila melihat pusat bandar Ushuaia sebenarnya adalah amat sibuk dengan pelancong dan penduduk bandar ini. Bandar ini tidaklah terasa terasing dan terpencil seperti yang saya jangkakan. Industri pelancongan adalah penyumbang utama ekonomi di sini, di mana ramai pelancong menggunakan Ushuaia sebagai titik mula untuk ke benua Antartika, terutamanya melalui laluan laut. Saya juga dapat melihat banyak restoran yang menawarkan hidangan istimewa Ushuaia, iaitu ketam raja. Kelihatan amat menyelerakan, tetapi harganya juga boleh tahan!
Keesokan harinya, kami mengadakan perjumpaan pertama dengan Kapten dan anak-anak kapal layar yang akan menjaga kami sepanjang tempoh ekspedisi. Kapal layar ‘Australis’ akan menjadi rumah kami untuk dua minggu akan datang. Australis adalah kapal layar berkuasa diesel, 23 meter panjang, dan mempunyai muatan maksimum 9 orang. Kami disambut mesra oleh Kapten Ben Wallis, yang berasal dari Australia. Ben dibantu oleh dua orang anak kapal, Magnus dari New Zealand, dan Anna dari Perancis. Kesemua mereka adalah sangat peramah. Kami mula memuatkan bagasi dan peralatan ke atas kapal, dan mula meneroka di segenap pelusuk kapal. Sebelum sempat hilang keseronokan meneroka, Kapten Ben memaklumkan waktu ini adalah sesuai untuk mula belayar. Dengan itu, bermulalah pelayaran (dan pengembaraan) kami ke benua Antartika!
Australis belayar perlahan-lahan melalui Selat Beagle, dalam keadaan laut yang amat tenang dan langit membiru yang amat cantik. Kapten Ben mula memanggil kami semua untuk taklimat keselamatan. Beliau menceritakan segala yang perlu kami tahu tentang Australis, dari aspek keselamatan, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang pelayaran, dan apa yang bakal kami tempuh untuk beberapa hari yang akan datang. Selesai taklimat, kami dihidangkan dengan makan malam pertama. Perasaan lapar hilang di sebalik keseronokan dan kerisauan. Kapten Ben berkali-kali mengingatkan bahawa kami perlu makan sehingga betul-betul kenyang, sebelum Australis memasuki Laluan Drake. Selesai makan malam, keadaan laut masih agak tenang, dan kami mengambil peluang ini untuk membincangkan perancangan kerja penyelidikan setelah tiba di Antartika kelak.
Setelah malam tiba, ketika kami sedang bersiap sedia untuk tidur, laut mula menjadi tidak menentu. Kapten memaklumkan yang kami sedang mula meninggalkan Selat Beagle yang tenang, melepasi Tanjung Horn, sedang memasuki Laluan Drake. Laut mula menjadi semakin berombak dan bergelora, dan ketika itulah saya mendapat pengalaman pertama mabuk laut. Ada antara kami mengalami mabuk laut yang amat teruk, sehingga tidak dapat berdiri, atau makan apa-apa, tanpa berasa mual dan loya.
Mabuk teruk itu menyebabkan kami langsung tiada selera makan. Tidak banyak yang boleh dilakukan sepanjang pelayaran merentasi Laluan Drake, selain daripada berbaring dan cuba tidur. Saya cuba untuk mengisi masa dengan membaca buku, tetapi itu hanya menyebabkan mabuk menjadi bertambah teruk. Sekali-sekala, saya berpeluang menjengah ke bilik kawalan kapal, dan dapat melihat bagaimana ombak besar memukul kapal kami sedang kami belayar. Pelayaran selama tiga hari seterusnya merentasi Laluan Drake adalah merupakan waktu yang paling mencabar sepanjang ekspedisi ini. Pada hari keempat, laut mula menjadi lebih tenang. Kapten memberitahu kami bahawa kami hampir tiba di Antartika. Kami bersyukur tiada apa-apa yang berlaku sepanjang merentasi laluan paling berbahaya di dunia itu. Daratan pertama yang menyambut kami adalah Kepulauan Melchior, di bahagian barat laut Semenanjung Antartika. Laut di sini adalah sangat tenang, dan mabuk laut kami hilang dengan sekelip mata. Waktu sudah lewat malam ketika kami tiba. Selesai makan malam, kami mendapat rehat secukupnya setelah berhari-hari diuji dengan mabuk laut yang sangat teruk.
Pagi di Kepulauan Melchior adalah sangat tenang tanpa sebarang bunyi didengari, udaranya amat segar, lautnya sangat jernih. Setelah bersarapan ringkas, tanpa membuang masa kami terus memulakan kerja-kerja penyelidikan. Nadzri mengambil data parameter air laut, data kedudukan kami menggunakan GPS, dan data sinaran matahari; Farid mula membina kenderaan kawalan jauhnya (ROV); dan Kamaruzzaman bersedia untuk mengambil data kesihatan kami. Tugas saya adalah untuk mengumpulkan sampel-sampel tanah, sedimen pantai dan air laut. Peralatan yang saya gunakan perlu disterilkan dengan menggunakan alkohol untuk mengelakkan pencemaran dari mikroorganisma luar, sebelum sampel diambil dan disimpan dalam bekas yang ditutup rapat. Sampel-sampel ini akan dibawa pulang ke makmal kami di UTM untuk dianalisis kandungan mikroorganismanya. Mikroorganisma ini mempunyai pelbagai kegunaan: untuk mengkaji kesan perubahan iklim, untuk mendapatkan mikroorganisma pengurai bahan pencemar, dan untuk mencari mikroorganisma yang berguna dalam pelbagai bidang bioteknologi. Kajian saya sendiri melibatkan pencarian bakteria yang boleh digunakan untuk menguraikan bahan-bahan buangan organik pada suhu yang rendah, dan pada masa yang sama menghasilkan bahan tambah nilai seperti bahan bakar bio.
Setelah persampelan dan eksperimen di Kepulauan Melchior selesai, kami kemudian belayar ke arah Pelabuhan Orne (Rajah 2), yang terkenal dengan kecantikannya. Sepanjang perjalanan ke Pelabuhan Orne, saya mengumpulkan sampel-sampel air laut di Selat Schollaert, sebelum tiba di destinasi pensampelan kedua kami di Titik Ryswyck. Titik Ryswyck terletak di bahagian paling timur Pulau Anvers. Ini adalah antara kawasan persampelan yang paling mencabar bagi saya. Keadaan laut pada masa itu agak bergelora. Untuk tiba ke kawasan pensampelan, kami terpaksa menggunakan dingi getah, yang dikawal oleh Magnus. Kami disambut oleh singa laut bergigi tajam (leopard seal), yang boleh mencederakan sesiapa sahaja jika terjatuh ke dalam laut. Pensampelan di Titik Ryswyck memerlukan pendakian hampir 20-30 meter untuk mencapai kawasan bertanah. Pendakiannya agak mencabar dengan batuan-batuan licin, angin yang sejuk, dan pada yang sama saya perlu membawa peralatan pensampelan. Kerja-kerja persampelan di Antartika juga terasa lebih mencabar dan memenatkan daripada di Malaysia, mungkin disebabkan oleh suhunya yang lebih sejuk. Suhu yang sejuk juga menyebabkan kami kehabisan bateri telefon, komputer riba dan peralatan lain dengan lebih cepat berbanding di tanah air.
Perjalanan kami ke Pelabuhan Orne diteruskan melalui Selat Gerlache, yang merupakan selat utama di barat Semenanjung Antartika. Kami sampai di Pelabuhan Orne sekitar jam 2 petang. Matahari bersinar terang ketika itu, langit membiru, permukaan laut pula dilapisi dengan ais-ais terapung. Disekitarnya terdapat gunung-ganang bersalji, yang membuatkan kami terpaku. Ini adalah pemandangan paling indah yang kami lihat di sepanjang ekspedisi ini. Setelah melakukan beberapa eksperimen di sini, Australis kemudian belayar ke tempat bermalam kami seterusnya berhampiran Pulau Cuverville.
Setiap pagi, Prof. Hafiz dan Kamaruzzaman mengambil data kesihatan kami (seperti bacaan glukosa, kadar degupan jantung dan lain-lain), sepanjang ekspedisi itu. Selepas sarapan pagi, kami berangkat ke titik pensampelan seterusnya, iaitu Pulau Cuverville, atau lebih dikenali sebagai ‘pulau penguin’. Pulau ini menjadi tempat tinggal untuk beribu-ribu penguin Gentoo. Kami diberitahu oleh Kapten Ben supaya tidak mendekati penguin-penguin, mungkin untuk melindungi mereka daripada penyakit dan bahan cemar. Saya mengumpul beberapa sampel tanah di sini. Sampel ini amat kaya dengan pelbagai jenis mikroorganisma, kerana kandungan karbon organik yang tinggi dalam najis-najis penguin. Bau ammonia di pulau ini amat kuat menusuk hidung. Bau ini mungkin terhasil daripada najis penguin (dikenali sebagai guano), dan diet mereka yang terdiri daripada udang kecil dikenali sebagai ‘kril’. Kril adalah sumber makanan di Lautan Selatan yang mengelilingi benua Antartika, yang menjadi makanan utama ikan paus, penguin, anjing laut dan pelbagai jenis burung laut. Perubahan iklim dan pemanasan global dilaporkan telah memberi kesan kepada populasi kril di sini, dan ini seterusnya akan menjejaskan hidupan-hidupan laut yang lain.
Hari-hari seterusnya dipenuhi dengan kerja-kerja persampelan, bermula dari Pulau Cuverville ke Pelabuhan Paradise, melepasi Kepulauan Puzzle melalui Terusan Bismarck, sebelum tiba di tempat bermalam terakhir kami di Pulau Galindez (Rajah 2). Selain dari pensampelan dan melakukan pelbagai eksperimen, kami juga berpeluang untuk melawat stesen-stesen yang dimiliki oleh negara-negara yang mempunyai sejarah yang lebih panjang di Antartika. Stesen pertama yang kami lawati adalah Stesen González Videla, yang dimiliki oleh Chile. Stesen ini dinamakan sempena nama Presiden Chile Gabriel González Videla, yang pada tahun 1940 menjadi ketua negara pertama yang melawat Antartika. Stesen ini diduduki oleh anggota tentera, dan kami disambut mesra oleh pegawai yang bertugas. Kami juga disambut oleh beratus-ratus ekor penguin, kerana stesen ini merupakan koloni penguin Gentoo yang penting. Kami telah dibawa melawat sekitar setesen ini, dan berpeluang mengadakan perbincangan ringkas dengan beberapa anggota tentera Chile di sana. Kami diberitahu bahawa kami adalah kumpulan pertama dari Malaysia yang melawat stesen mereka. Cukup membanggakan!
Stesen lain yang kami singgah adalah Stesen Penyelidikan Vernadsky (dinamakan sempena ahli mineralogi Soviet dan Ukraine Vladimir Vernadsky), yang terletak berhampiran Pulau Galindez. Stesen ini dimiliki oleh Ukraine, dan digunakan untuk penyelidikan saintifik. Sekali lagi kami telah disambut mesra oleh ketua di sini, dan dibawa melawat kemudahan-kemudahan dan makmal-makmal yang ada. Vernadsky adalah jauh lebih besar daripada Stesen González Videla, dengan bangunan-bangunan penginapan, dapur, ruang makan, bar, perpustakaan, dan kedai cenderamata (yang mereka maklumkan adalah kedai cenderamata paling selatan di dunia). Kami berpeluang berbual dengan beberapa orang saintis dan bertanya lebih lanjut tentang kajian yang mereka jalankan di sini. Daripada lawatan ke atas dua stesen ini, dapat saya simpulkan bahawa penghuni-penghuni stesen Antartika amat gembira menerima pelawat. Tinggal jauh beribu-ribu kilometer daripada negara asal mereka mungkin sedikit sebanyak menyebabkan rasa kesunyian. Pelawat-pelawatlah yang dapat menghilangkan kesunyian tersebut.
Lawatan ke Stesen Vernadsky mengakhiri ekspedisi saintifik kami di benua ini. Pada keesokan harinya kami belayar ke Pelabuhan Lockroy, yang merupakan sebuah muzium dan pejabat pos milik United Kingdom. Ia dikendalikan oleh Amanah Warisan Antartika UK (UK Antarctic Heritage Trust), dan terletak di Pulau Wiencke. Di sinilah kami merancang untuk bertemu dengan kapal pelayaran Ortelius untuk perjalanan kembali ke Ushuaia. Terasa agak sedih untuk berpisah dengan Kapten Ben dan anak-anak kapalnya yang telah menjaga kami dengan baik sepanjang ekspedisi ini berlangsung. Kami memunggah barang-barang kami ke dalam kabin di dalam Ortelius, sebelum bersiap sedia untuk pelayaran pulang melalui Laluan Drake. Saya dan Nadzri berkongsi kabin, bersama-sama dua lagi kakitangan Pelabuhan Lockroy iaitu Michael dan Skinner. Sepanjang perjalanan pulang, kami berpeluang untuk bertanya tentang pengalaman mereka menghabiskan 5-6 bulan di Antartika bekerja sebagai penjaga di muzium Pelabuhan Lockroy. Seperti kami juga, mereka tidak sabar untuk pulang kepada keluarga tercinta, walaupun amat kuat perasaan sayang untuk meninggalkan benua yang indah ini.
Ekspedisi ini adalah pengembaraan sekali dalam seumur hidup bagi saya. Banyak yang telah kami belajar: bagaimana untuk menguruskan ekspedisi dengan sendiri, merancang perjalanan sendiri, bertemu rakan-rakan baru dan melawat tempat-tempat baru. Kami juga belajar tentang satu sama lain di dalam satu pasukan, membina keakraban yang masih utuh sehingga kini. Yang paling penting, saya dapat melihat sendiri kesan perubahan iklim dan pemanasan global ke atas benua ketujuh ini. Benua Antartika adalah seperti ‘termostat’ dunia, di mana ia akan terlebih dahulu menerima kesan perubahan iklim ini. Kita harus menerima hakikat bahawa perubahan iklim dan pemanasan global sedang berlaku dengan pantas sekali, bukanlah dongengan ataupun ciptaan saintis sahaja. Pembebasan karbon yang tidak terkawal oleh manusia adalah puncanya.