Oleh : Mohd Naeem Abdul Hafiz Bin Mohd Hafiz
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia
& Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah
Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia
Dalam kepesatan pembangunan kota,
Masih tersimpan terpelihara,
Kawasan penyelidikan dan pendidikan pilihan utama,
Hutan Simpan Ayer Hitam terkenal namanya.
PENGENALAN
Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) terletak 20 km dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang Selangor, 45 km dari kesibukan kotaraya Kuala Lumpur dan 25 km dari pentadbiran Putrajaya. Terletak di tengah-tengah bandar Puchong yang pesat membangun dengan kepadatan penduduk yang tinggi, di sinilah tersembunyinya ‘Paru-Paru Hijau Lembah Klang’ Hutan Simpan Ayer Hitam. Berkeluasan 1182.07 hektar, hutan ini masih kekal dengan kehijauan flora dan kepelbagaian faunanya. Di sini juga terletaknya Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) yang menguruskan segala aktiviti penyelidikan dan pendidikan di HSAH.
Terdapat 430 spesies tumbuhan berbiji, 33 spesies paku pakis, 127 spesies balak, 29 spesies buah hutan dan 121 spesies tumbuhan ubatan yang terdapat di hutan ini. Bagi kategori fauna, kira-kira 208 spesis burung, lima spesies primat, 15 spesies kelawar, 17 mamalia kecil tidak terbang, 10 spesies reptilia, 39 spesies katak dan 11 spesies ikan. Kepelbagaian spesies flora dan fauna di dalam hutan simpan ini telah mewujudkan satu ekosistem yang melengkapi dan saling menyokong antara satu sama lain.
Keunikan hutan ini bukan sahaja terhadap kepelbagaian flora dan faunanya, tetapi juga dengan kehadiran penghuni asal hutan simpan ini iaitu orang asli dari suku Temuan yang masih menggunakan hutan ini. Suku Temuan dari dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Rasau Hilir dan Taman Orang Asli Saujana Puchong dikatakan telah tinggal di dalam hutan ini sejak 400 tahun lamanya. Sehingga kini walaupun telah mengecapi arus permodenan, dan tidak lagi tinggal di dalam hutan, mereka masih menggunakan hutan ini untuk mengutip hasil hutan, menjalankan aktiviti keramaian dan upacara tradisi kaum mereka.
Geronggang, Si Buruk Rupa, Buruk Nama, Namun Berguna Kepada Semua
Nama saintifik bagi pokok Geronggang adalah Cratoxylon arborescens. Pokok daripada famili bukan dipterokarpa ini merupakan salah satu spesies pokok balak di Malaysia. Sekali pandang, tiada keistimewaan yang dilihat pada pokok ini. Geronggang merupakan jenis pohon bersaiz sedang hingga besar dengan tinggi mencapai 50 meter dan diameternya dalam lingkungan 85 cm. Batang yang besar serta bergetah kuning, dengan kulit pokoknya yang bewarna merah atau merah kecoklatan, merekah halus bersisik dan kadang-kala sedikit mengelupas. Langsung tiada nilai estetika jika dilihat daripada rupa luarannya. Bahkan kelihatan tiada bezanya dengan pokok-pokok lain yang berada di persekitaran kita. Jika masih ada di sekeliling kita pun, mungkin ianya hanya menunggu masa untuk ditebang.
Sebagai salah satu spesies pokok yang boleh dibalak, kayu geronggang dikategorikan sebagai kayu separa keras yang sering mendapat permintaan di dalam industri perkayuan bagi pembuatan papan lapis, papan gentian dan perabot. Selain itu, dirian pokok geronggang di habitat semula jadi mempunyai hubungan alam dengan fauna hutan dan juga orang asli di hutan ini. Bersesuaian dengan “Kempen Sayangi Hutan Kita” yang giat dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, pokok-pokok hutan seperti geronggang masih kekal berdiri dengan gahnya dan terus menyumbang khasiat dan kebaikan kepada persekitarannya.
Hubungan Dengan Fauna
Jika dilihat dengan teliti pada batang pokok ini, ia akan mengeluarkan getah kekuningan yang melekit pada rekahan kulit akibat luka torehan atau ditakik. Getah yang berbau masam seperti buah manga atau limau ini akan menarik perhatian serangga-serangga seperti lalat, cengkerik, semut dan juga sejenis serangga pemangsa yang dikenali sebagai kumbang pembunuh (Amulius sp.) Serangga yang berasal dari family Reduviidae ini mendapat namanya dari sifatnya yang akan menyerang hendap mangsanya. Kumbang ini mengumpulkan resin dari pokok untuk melapisi kaki depannya. Resin tetap lembut dan melekit, berfungsi sebagai ‘umpan’ yang sangat baik untuk mangsa seperti cengkerik kecil, lalat atau semut yang tertarik dengan bau yang dihasilkan oleh getah pokok geronggang. Kumbang pembunuh akan mengambil peluang untuk menyerang hendap mangsa yang mendekati. Mangsa akan terlekat pada getah yang melapisi kaki hadapan serangga pembunuh ini. Peluang ini yang digunakan oleh kumbang pembunuh ini untuk terus menangkap mangsanya untuk dijadikan makanan.
Hubungan Dengan Manusia
Setiap penyakit yang diciptakan tentu ada ubatnya. Hutan Simpan Ayer Hitam ini mempunyai 121 spesies tumbuhan ubatan dan pokok geronggang adalah salah satu daripadanya. Orang asli suku Temuan telah menggunakan khasiat daripada kulit dan getah pokok ini sejak turun temurun lagi. Khasiatnya digunakan untuk merawat penyakit berkaitan kulit seperti luka, kudis dan kayap. Kulit pokok yang disiat akan direbus bersama minyak kelapa bagi menghasilkan minyak ubat. Minyak rebusan campuran dari kulit pokok ini mempunyai khasiat seperti antiseptik yang dapat digunakan untuk mencuci luka. Khasiat ini bukan sahaja digunakan oleh manusia, tetapi juga digunakan terhadap haiwan peliharaan kaum Temuan seperti kucing dan anjing. Minyak rebusan campuran akan disapu pada luka bagi menyembuhkan luka tersebut.
Kesimpulan
Setiap elemen yang terdapat di dalam sebuah hutan adalah sebahagian daripada ekosistem hutan. Setiap satunya adalah berhubung melalui satu hubungan simbiosis yang bergantungan antara satu sama lain. Kehilangan salah satu elemen akan menyebabkan terputus rantaian hubungan ini, maka akan hilanglah kesemuanya. Oleh itu, semua flora dan fauna daripada sekecil-kecil serangga hinggalah sebesar-besar sebatang pokok haruslah dihargai dan dinikmati segala keindahan dan fungsinya. Biarlah ia kekal dalam keadaan semulajadinya, agar dapat dirasai oleh generasi akan datang secara berterusan.
Manusia sebagai ahli komuniti dan pengguna perlu menanam tekad dan memainkan peranan sebagai pelindung kepada hutan kita. Pelihara dan puliharalah hutan kita agar menjadi satu sumber semulajadi yang berkekalan. Jika nenek moyang kita berjaya mewariskannya kepada kita, kini giliran kita pula untuk mewariskan “paru-paru hijau Lembah Klang” ini kepada anak cucu kita kelak.
Rujukan
- Ahmad Juffiry, Shahidin, Yusof, Ebiland Hussin, Mohamed Zakaria.Diversity of fauna species in Ayer Hitam Forest Reserve, Selangor, Malaysia. The Malaysian Forester, 78 (1 & 2), 97-114.
- Faridah-Hanum, I. Plant diversity and Conservation Value of Ayer Hitam Forest, Selangor, Peninsular Malaysia. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 22(2), 73-83.
- Faridah-Hanum, I., A. Rahim, P. Lepun, I. Edham and M. Nazre. 2001. Tree taxa inventory at Ayer Hitam forest base-camp. Pertanika J. Trop. Agric. Sci., 24, 29-34.
- Husin, Mohamed Zakaria, Puan, Chong Leongand Yeap, Chin Aik. 2008. A photographic guide to birds of Ayer Hitam Forest Reserve. Penerbit Universiti Putra Malaysia.
- Jambaari Haji Ali, S. Rajagopal and Azmi Yaacob. 1999. Short Notes on the Vertebrate Fauna of Ayer Hitam Forest Reserve, Puchong, Selangor. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science.
- Noraini binti Che Ahmad Nordin. 2017. Species Diversity of Bats in Ayer Hitam Forest Reserve, Puchong, Selangor. Unpublished Bachelor Thesis
- Norini, H. & Fadli, S. A. 2007. The Importance of Ayer Hitam Forest Reserve (AHFR), Puchong, Selangor, to the Temuan Ethnic Subgroup. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 30(2).
- Nur Hidayu Binti Mohd Noor. 2017. Distribution and Assemblages of Anuran Species at Developed Areas in Ayer Hitam Forest Reserve (AHFR), Puchong, Selangor. Unpublished Bachelor Thesis
- Nur Laila binti Mohd Yusup. 2018. Species Diversity and Distribution of Non-Volant Small Mammal between Two Localities of Adjacent Forest. Unpublished Bachelor Thesis.
- Paiman Bawon and Amat Ramsa Yaman. 2007. Ayer Hitam Forest Reserve: Multimedia Super Coridor Community Heritage. Universiti Putra Malaysia Press, Serdang, Selangor.
- Pewartaan Hutan Simpan Ayer Hitam. 2018. Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
- Zakaria, M. dan Topani, R. 1999. Abundance of primates in Ayer Hitam Forest, Puchong, Selangor. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 22(2), 105-109.