Oleh
Shahfizal MusaKUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) adalah Hospital yang pertama di Asia yang menggunakan teknik terkini dalam pembedahan tiroid yang mengurangkan risiko kecederaan kepada peti suara.
Dengan bantuan Automated Periodic Stimulation (APS) yang digunakan dengan alat yang sedia ada iaitu Nerve Integrity Monitoring system, risiko kecederaan dapat dikurangkan sebanyak 95 peratus, kata Prof Dr Rohaizak Muhammad, pakar bedah Endokrin dan Payu dara di PPUKM yang telah mempelopori teknik baru ini di UKM dan Malaysia.
Pembedahan tersebut merupakan mercu tanda dalam pembedahan tiroid dan hanya dijalankan di Eropah dan Amerika Syarikat buat masa ini.
Pembedahan atau penyingkiran Tiroid dilakukan untuk mengeluarkan kelenjar tiroid yang berada di leher. Kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang bertindak di seluruh badan mempengaruhi metobolisme, pembesaran dan suhu badan.
Penyingkiran tiroid ataupun thyroidectomy perlu dilakukan untuk merawat barah tiroid, nodul dan hypertiroidisme. Semasa pembedahan sebahagian atau kesemua kelenjar tiroid akan di keluarkan. Dalam pembedahan tersebut terdapat risiko di mana saraf yang berhubung dengan peti suara atau saraf RLN mungkin terpotong atau tercedera. Jika ini berlaku suara pesakit akan terjejas.
Saraf RLN boleh diandaikan sebagai kabel elektrik yang menghubungkan rumah anda ke grid elektrik. Saraf RLN bercantum membolehkan beberapa otot dalam tekak anda berfungsi. Ia mengawal sensasi dan pergerakan peti suara.
Kedudukan RLN yang berada di belakang kelenjar tiroid menyukarkan tugas pakar bedah untuk memastikan saraf RLN sentiasa dalam keadaan selamat.
Dengan kaedah baru ini kerumitan tersebut dapat dielakkan. Sistem APS bertindak sama seperti pengesan di belakang kereta anda yang akan mengeluarkan bunyi amaran jika terdapat sebarang halangan.
Dengan menggunakan sistem pemantauan saraf ini ia bertindak dengan konsep yang sama. Setiap kali pemotongan yang dibuat menghampiri saraf RLN, bunyi amaran akan kedengaran.
Ini dapat dicapai dengan meletakkan suatu elektrod kepada saraf vagus. Elektrod ini kemudian disambung ke monitor. Elektrod yang telah diletakkan kepada peti suara ini dirangsang secara berkala. Bunyi amaran dapat didengar apabila pakar bedah telah terlalu hampir dengan saraf RLN, ini dapat memberi ruang yang cukup untuk pakar bedah berwaspada dan menilai semula pemotongan yang harus dibuat.
Munurut Dr Rohaizak, berdasarkan statistik setiap 3 orang dalam 100 pesakit yang menjalani pembedahan tiroid menanggung risiko kecederaan saraf RLN.
Beliau bergurau dan berkata yang pembedahan seperti itu membuktikan kewujudan tuhan. Walaupun saraf RLN telah digunakan sebagai hujah oleh sesetengah pihak untuk menidakkan kewujudan tuhan kerana posisinya yang agak berlainan dengan saraf lain.
“Kejayaan pembedahan sebelum pengunaan sistem ini bukanlah disebabkan pakar bedah yang hebat , tetapi tuhan yang melindungi saraf RLN pesakit dari kesilapan manusia” kata beliau.
Risiko pembedahan tiroid
Mempunyai suara yang serak mungkin menjadi isu yang besar pada ramai orang tetapi ia boleh menjadi masalah apabila anda bergantung pada suara anda untuk mencari rezeki.
Bayangkan jika anda adalah seorang pensyarah, cikgu ataupun penyanyi, kecederaan pada suara boleh menamatkan kerjaya anda.
Jadi ramai pesakit enggan menjalani pembedahan tiroid kerana selepas pembedahan mereka mungkin menghadapi masalah lain . Bayangkan selepas pembedahan anda terpaksa hidup dengan suara yang lain dari normal atau tidak mempunyai suara langsung.
Dalam beberapa kes pesakit memerlukan tracheostomy di mana lubang perlu dibuat di tekak untuk melancarkan pernafasan.
Ini perlu kerana kecederaan kepada saraf RLN boleh menyebabkan peti suara hilang keupayaan untuk berfungsi dengan betul. Jadi apabila anda makan makanan akan jatuh ke dalam saluran pernafasan dan menyebabkan anda tercekik.
Ini adalah risiko pembedahan tiroid dalam kes-kes yang melampau. Tetapi dengan menggunakan sistem APS ini semua dapat dielakkan.
Pembedahan Kreatif
Keunikan teknik ini adalah ia tidak memerlukan sebarang pelaburan besar bagi pihak hospital untuk membeli alat yang baru. Peralatan yang diperlukan telah pun ada kebanyakkan hospital. Peralatan yang diperlukan telah pun digunakan dalam pembedahan saraf yang lain seperti pembedahan tulang belakang dan parotid. Iaitu mesin Nerve Integrity Monitoring System (NIMS).
Tetapi ia hanya memerlukan sedikit penyelarasan kepada aturan mesin tersebut. Dengan hanya sedikit pengubah suaian ini keselamatan pesakit dapat dipastikan ditingkatkan.
Namun ia masih memerlukan elektrod yang akan disambungkan kepada saraf vagus di leher. Saraf RLN adalah satu cabang dari saraf vagus dan apabila elektrod disambungkan skrin di monitor akan mempamerkan lingkungan yang selamat untuk pakar bedah beroperasi.
Pakar bedah akan melakukan pemotongan kelenjar tiroid di pandu oleh bunyi amaran yang keluar. Ini membantu pakar bedah menjalankan tugas tanpa risau yang beliau akan terpotong saraf RLN secara tak sengaja.
Kaedah baru ini amat menyumbang kepada keselamatan pesakit tanpa memerlukan pelaburan yang besar
Prof Rohaizak berkata beliau berhasrat untuk mengadakan program latihan untuk teknik pembedahan tiroid mengunakkan sistem APS ini. Setakat ini beliau telah pun menerima permintaan untuk latihan dari pakar bedah di Malaysia. Kemudian bengkel latihan boleh dibuat untuk pakar bedah dari negara jiran.
Sumber & Foto : www.ukm.my/news
Berikan Komen Anda Di Sini