SHARE
Oleh: Mej (Dr.) Rosedarina Nordin
Pegawai Perubatan, Jabatan Pediatrik
Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan
Mencuci tangan adalah penting, khususnya pada musim jangkitan selsema atau lebih-lebih lagi selepas kita melawat orang sakit di hospital. Tetapi ada sesetengah kita terlalu menitikberatkan kebersihan hingga tahap keterlaluan.
Kajian menunjukkan dengan menghapuskan kuman dengan gel anti-septik, sabun antibakteria dan penggunaan antibiotik mendatangkan kesan negatif terhadap sistem imun anak-anak kita, menurut ahli mikrobiologi Marie –Claire Arrieta dan Brett Finlay di dalam buku “Let Them Eat Dirt: Saving Our Children from an Oversanitized World”.
Kedua ahli mikrobiologi ini telah menelaah jenis kuman yang terdapat dalam tubuh badan manusia dan mereka mendapati kuman-kuman ini amatlah penting dalam menentukan status kesihatan tubuh badan manusia.
Manusia dilahirkan tanpa sebarang kuman pada tubuh badan dan dengan sistem imunisasi yang masih belum terbentuk baik.  Dengan kehadiran kuman, barulah sistem imun kita boleh mula bekerja dan berkembang. Tanpa kuman juga, badan kita tidak boleh melawan jangkitan kuman dengan baik.
Kehadiran kuman sahaja tidak memadai. Seterusnya, perlu fahami apa kuman tersebut mampu hasilkan. Sebagai contoh, sistem pencernaan kita adalah steril ketika kita lahir. Ketika bayi menghisap susu ibunya, kelompok kuman norma flora (kuman baik) yang ada pada kulit ibu akan ditelan oleh bayi. Kuman ini kemudian akan menghasilkan bahan dan molekul yang dapat berinteraksi langsung dengan sel-sel di sistem percernaan kita dan merangsang sistem imun untuk mula bekerja.
Kata kunci penting di sini ialah bekerja: kuman ini akan melatih sistem imun kita untuk bekerja. Bahan dari kuman inilah yang memberi maklumat kepada sistem imun bagi memutuskan tindak balas melawan yang harus badan kita lakukan jika menghadapi serangan kuman. Sel-sel imun ini setelah itu akan beredar ke seluruh badan bagi menyampaikan latihan dan maklumat yang sama.
Latihan and paparan ini perlu kerana terdapat berapa jenis penyakit seperti jangkitan cacar (Varicella zoster virus) yang akan menghasilkan imunisasi berkekalan sekiranya seseorang yang dijangkiti kuman tersebut dapat sembuh dari penyakit tersebut. Sel-sel imun dapat ‘menyimpan memori’ jangkitan tersebut dan bagi menghasilkan satu tahap imun badan bagi melawan jangkitan kuman yang sama pada masa akan datang.
Ubat antibiotik perlu diberikan pada ketika badan kita mendapat jangkitan kuman jenis bakteria. Sebagai contoh, penyumbang terbesar punca penyakit cirit birit di kalangan kanak-kanak adalah dari jangkitan virus seperti virus Rotavirus. Jangkitan virus tidak memerlukan rawatan antibiotik, sama juga di dalam kes penyakit cirit-birit yang jelas. Malahan, ini akan memusnahkan bakteria baik yang membantu sistem imun badan kita.
Dalam buku ini juga ada menerangkan tentang “hygiene hypothesis”. “Hipotesis ini cuba mengaitkan penyakit seperti alergik, kegemukkan, autism dan radang usus dengan paparan awal terhadap kuman pada usia awal kelahiran. Saintis masih belum menjumpai punca kenaikan bilangan penyakit ini dalam masyarakat. Beberapa saintis mengaitkan teori genetik atau perubahan genetic sebagai punca utama penyakit tersebut. Namun, ini sahaja tidak boleh menjelaskan secara keseluruhan punca penyakit tersebut kerana genetik kita tidak boleh berubah dalam masa begitu. Hipotesis ini menggalakkan paparan terhadap kuman di awal usia kelahiran dan melatih perkembangan sistem imun dan seterusnya dapat mengelakkan penyakit tersebut.
Kajian epidemiologi menunjukkan kanak-kanak yang membesar di ladang kurang berisiko mendapat penyakit asma. Ini bukanlah bermakna kita harus bertukar kerjaya menjadi seorang peladang, tetapi bermaksud kanak-kanak yang membesar di lingkungan yang kurang bersih adalah lebih baik. Sama seperti sekiranya kita membela haiwan peliharaan. Galakkan anak-anak untuk bermain dengan haiwan tersebut.
Kajian menunjukkan membersihkan semua yang masuk ke dalam mulut anak kita dapat meningkatkan risiko penyakit asma. Tabiat ibu bapa (yang sihat!) mencuci puting bayi dengan menghisapnya sebelum memberinya kepada bayi dikatakan dapat mengurangkan risiko asma.
Semua bukti-bukti ini cuba menerangkan bahawa kebanyakkan dari kita terlalu pembersih sehingga tabiat ini menjadi tidak bermanfaat. Bersih itu penting untuk kesihatan. Jangan pula kata kita tidak perlu mencuci tangan, tetapi kita patut mencuci tangan pada waktu yang betul – iaitu pada saat yang boleh menularkan penyakit berjangkit- seperti sebelum makan dan selepas menggunakan tandas. Sekiranya anak kita bermain pasir atau tanah biarkan sahaja, usahlah dilarang. Mencuci tangan mereka ketika bermain adalah tidak perlu. Sepatutnya ada keseimbangan dalam menangani jangkitan kuman tetapi memperkenalkan kuman dari persekitaran kepada anak kita juga sama pentingnya.
Artikel asal diterbitkan oleh The Star (Toronto). Diolah oleh penulis berdasarkan pengalaman kerja sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge