SHARE

Artikel ke-13 kerjasama antara Majalah Sains dan Young Scientists Network (YSN)-Akademi Sains Malaysia (ASM)

____________________________________

Oleh: Prof. Madya Dr. Chan Kok Meng, Ahli YSN-ASM
Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

National Science Challenge (NSC) merupakan pertandingan sains berprestij anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Exxonmobil dengan kerjasama Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM). Misi program NSC ini adalah untuk mencetuskan minat dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di kalangan pelajar bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang STEM.

Saya telah berpeluang untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bagi NSC 2017. Perasaan saya bercampur baur gembira, terharu malah cemas semasa dipilih untuk jawatan tersebut semasa kolokium YSN 2016 yang telah berlangsung pada bulan Disember 2016 di Awana Hotel Genting Highlands, Pahang. Kesemua NSC yang lepas telah mencapai piawaian yang tinggi, maka perlulah saya dan timbalan saya, Dr. Wan Hanna Melini Wan Mohtar berusaha gigih mengekalkan pencapaian cemerlang tersebut.

Penulis bersama Dr. Wan Hanna Melini Wan Mohtar (Timbalan Pengerusi NSC) dan Pengerusi YSN, Prof. Dr. Abhimanyu sewaktu sesi bergambar bersama Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Beberapa siri perbincangan telah diadakan semenjak awal tahun bagi merancang perjalanan dan perlaksanaan NSC 2017. Perkara yang terpenting dalam perancangan acara ini pada pandangan saya adalah menentukan pengisian aktiviti program dan batu penanda daripada peringkat promosi di peringkat negeri hinggalah ke peringkat akhir NSC. Namun, penganjuran NSC 2017 masih menghadapi jalan yang berliku-liku dari segi mengikuti jadual perancangan, terutamanya apablia beberapa perkara di luar kawalan kami. Walaubagaimanapun, kami senantiasa mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuklah pengurusan tertinggi UKM, Prof. Dr. Yang Farina selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu NSC 2017 dan CEO ASM iaitu Pn. Hazami Habib. Melalui program ini, kami berpeluang untuk bekerjasama dengan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) UKM. Prof. Dato’ Imran Ho dan pejabat beliau telah memberikan sokongan padu di dalam memastikan pengendalian NSC di UKM mencapai tahap selayaknya program sains bertaraf kebangsaan.

NSC 2017 bertemakan ‘Science Transforms and Empowers Malaysia 2050’ (STEM50) telah menyaksikan pendaftaran sebanyak 3,930 kumpulan iaitu seramai 11,790 pelajar di seluruh Malaysia. Peringkat saringan telah berlangsung dari 22-25 Mei 2017 dan kumpulan pelajar berdaftar perlu menyelesaikan ujian di atas talian. Format soalan-soalan di peringkat saringan berbentuk soalan pelbagai pilihan (multiple-choice-questions) dan isi tempat kosong (fill-in-the-blank), di mana peserta diuji pengetahuan bidang asas sains iaitu biologi, kimia, fizik, matematik dan sains umum.

Peringkat negeri NSC yang berlangsung pada bulan Julai 2017 melibatkan 13 institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai penganjur pertandingan. IPT yang terlibat adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), AIMST University dan Swinburne University of Technology Sarawak Campus. Penglibatan universiti sebagai tempat pertandingan sedikit sebanyak memberi pendedahan suasana dan persekitaran universiti kepada semua peserta termasuklah pelajar-pelajar yang hadir sebagai penyokong. Di samping itu, pelbagai program sains, seperti ceramah oleh saintis dan pameran sains telah diadakan semasa peringkat negeri bagi mencetus minat STEM di kalangan pelajar tersebut. Faktor utama kejayaan NSC peringkat negeri adalah hasil usaha sama ahli keluarga YSN, kakitangan IPT dan kakitangan ASM yang terlibat. Sebanyak lima kumpulan terbaik dari setiap negeri dan wilayah persekutuan bertanding melalui format kuiz yang terdiri daripada tiga kategori; iaitu individu, kumpulan dan terbuka.

Pemilihan peserta di peringkat negeri Sarawak yang mengambil tempat di Swinburne University of Technology Sarawak Campus

UKM sekali lagi bertuah menjadi penganjur bersama peringkat separuh akhir NSC 2017. Konsep NSC tahun ini adalah berformatkan kem sains selama tujuh hari, bermula dari 11 hingga 17 Ogos 2017. Semasa tempoh ini, pelajar juga telah berpeluang untuk mengikuti program lawatan sambil belajar ke Planetarium Negara, Petrosains dan syarikat penerbitan Sasbadi. Untuk NSC tahun ini, kesemua 16 negeri dan wilayah persekutuan termasuk satu pasukan jemputan Exxon Mobil yang berentap di peringkat separuh akhir perlu menyediakan video pendek bertajuk ‘What do you want to see in year 2050?’. Saya mendapati semua video hasilan generasi Z ini sangat menarik dan penuh dengan pandangan bernas yang mahukan sains memacu Malaysia yang progresif. Bilangan suka (‘like’) di laman rasmi Facebook NSC juga meningkat secara mendadak, yakni lebih daripada seribu dalam jangka masa yang singkat setelah video-video tersebut dimuatnaik.

Peserta peringkat separuh akhir NSC bersantai bersama CEO ASM, Puan Hazami Habib dan Pengerusi YSN, Prof Dr Abhimanyu semasa makan malam rasmi NSC 2017 yang mengambil tempat di Universiti Kebangsaan Malaysia

Program NSC separuh akhir kali ini agak mencabar terutamanya dari segi merangka dan menyusun modul-modul yang bersesuaian di dalam kem sains yang agak padat. Terdapat tujuh modul sains yang telah dibangunkan oleh pasukan UKM, UTM dan UPM iaitu ‘Water Amazing Race’ (UTM), ‘Bridge Competition’ (UTM), ‘Solar Car’ (UKM), ‘Molecular Gastronomy’ (UKM), ‘Acid-Base Rainbow Stacko’ (UKM), ‘You are what you eat’ (UPM) dan ‘Waste2Wealth’ (UKM) untuk peringkat separuh akhir. Setiap modul adalah selama 3 jam dan penilaian adalah oleh pembangun modul tersebut (kecuali untuk modul ‘Waste2Wealth’). Pelajar mendapati UKM sebagai penganjur bersama sangat menepati aspirasi UKM yang ingin mendekatkan universiti kepada masyarakat dan komuniti setempat. Pelajar-pelajar sekolah dari sekitar Bandar Baru Bangi telah hadir untuk menyaksikan pertandingan separuh akhir modul ‘Waste2Wealth’, di mana peserta membentangkan idea inovatif menukarkan bahan buangan yang boleh dikitar semula kepada sesuatu yang berharga. Maklumbalas daripada pelajar NSC 2017 berkaitan modul yang disediakan adalah sangat menarik dan mencabar pemikiran kritis.

Antara hasil rekabentuk peserta sewaktu mengikuti aktiviti di dalam modul ‘Bridge Competition’
Tumpuan peserta NSC 2017 ketika mengikuti modul ‘Acid-Base Rainbow Stacko’
Peserta mempamerkan kreativiti dan hasil kerja yang inovatif sewaktu pembentangan ‘Waste2Wealth’ di peringkat separuh akhir NSC 2017

Sementara pelajar mengikuti modul tersebut, semua guru pengiring didedahkan kepada modul ‘Inquiry-Based Science Education’ (IBSE) selama 3 hari di Akademi Sains Malaysia. Program IBSE ini yang julung kali diadakan pada NSC tahun ini bertujuan untuk memberikan manfaat kepada guru sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran STEM yang lebih menarik dan cekap. Pengendalian modul ini telah dijalankan oleh pengarah International Science, Technology and Innovation Centre for South-South Cooperation (ISTIC) di bawah seliaan UNESCO, iaitu Dato’ Dr. Sharifah Maimunah Syed Zin dan dibantu oleh seorang pelatih IBSE bertauliah iaitu Dr. Koay Suan See. Turut serta dalam modul ini selain guru pengiring adalah ahli YSN seramai tiga orang yang bertujuan untuk dijadikan pelatih IBSE bagi program masa depan.

Guru-guru pengiring kusyuk mengikuti modul IBSE yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Sharifah Maimunah Syed Zin daripada ISTIC

Peringkat akhir NSC 2017 telah diadakan di Dewan Besar, Bahagian Teknologi Pendidikan, Persiaran Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 18 Ogos 2017. Sekolah yang telah berjaya ke peringkat akhir adalah Koleh Yayasan Saad Melaka, SMK Bintang Utara Selangor, SMJK Perempuan China Pulau Pinang dan Kolej Tunku Kurshiah Negeri Sembilan. Kesemua empat kumpulan bertanding dengan menjawab soalan kuiz menggunakan perisian kuiz interaktif dan membentang semula hasil rekacipta daripada modul ‘Waste2Wealth’. Di peringkat akhir ini, saya telah diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada barisan juri Grand Final NSC. Perlantikan ini adalah satu penghormatan buat saya kerana semua ahli juri yang lain merupakan saintis senior bergelar profesor dan merupakan felo ASM.

Barisan juri Grand Final NSC 2017 dari kiri ke kanan: Prof. Emeritus Dato’ Dr. Muhammad Yahya (Ketua Juri), Prof. Dato’ Paduka Dr. Balwant Singh Gendeh, Prof. Dr. Ahmad Ismail, Prof. Dr. Basyaruddin Rahman dan saya

Gelaran johan keseluruhan telah diraih oleh Kolej Yayasan Saad Melaka yang diwakili oleh adik Muhammad Mukhriz Mokhtar dan Aarif Waafeq Baharozaman dengan jumlah markah kuiz dan pembentangan Grand Final yang tertinggi. Tahniah negeri Melaka! Tahniah KYS! Saya berasa bangga dengan sekolah tersebut bukan kerana saya seorang anak Melaka, tetapi disebabkan mereka telah membuktikan kekurangan seorang ahli tidak menjadi penghalang kepada kejayaan menjuarai NSC 2017. Tempat kedua dimenangi oleh SMK Subang Utama Selangor, tempat ketiga SMJK (C) Perempuan China Pulau Pinang manakala tempat keempat dari Kolej Tunku Kurshiah Negeri Sembilan.

Juara NSC membawa pulang Piala Cabaran Perdana Menteri dan yang paling menarik adalah mengikuti lawatan sambil belajar ke Stockholm, Sweden. Semasa lawatan ini, pelajar berpeluang untuk menyaksikan acara penganugerahan Hadiah Nobel yang hanya boleh dihadiri oleh golongan bangsawan dan jemputan VIP khas. Bagi tiga kumpulan yang berjaya mara ke peringkat akhir pula berpeluang mengikuti program Sakura Science Plan (SSP) di Jepun. Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan disaksikan oleh Naib Presiden ASM, YM Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim, dan Pengerusi ExxonMobil Malaysia, Edward Graham.

Pengalaman yang saya perolehi di sepanjang NSC 2017 adalah sangat berharga. Semangat keserakanan yang tinggi di dalam pasukan penganjur merupakan intipati penting dalam kejayaan mengendalikan NSC 2017. Saya berasa syukur kerana pasukan penganjur NSC 2017 merupakan ‘dream team’ yang sangat komited dan cekap dalam memastikan perjalanan NSC 2017 yang berjaya walaupun terdapat perubahan dalam perancangan yang di luar kawalan. Kerjasama di dalam mengendalikan program sebegini mengeratkan lagi hubungan di antara UKM dan ASM. Melalui NSC, ahli jawatankuasa UKM dapat mengenali saintis dari fakulti lain dan membina jaringan bersama saintis dari universiti lain. Saya berharap semoga semua pelajar yang terlibat dalam NSC 2017 mendapat pengalaman yang terbaik dan terus cemerlang dalam bidang STEM. Untuk pasukan UTM yang bakal mengendalikan NSC 2018, saya berharap program ini akan terus lebih berjaya terutamanya di dalam memacu minat sains di kalangan generasi muda.

Sukarelawan yang terlibat dalam penganjuran NSC terdiri daripada pelbagai latar belakang: kakitangan ASM, ahli YSN, felo ASM dan juga pelajar-pelajar IPTA yang terdiri daripada pelajar ijazah hinggalah ke peringkat PhD

Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah banyak membantu dalam menjayakan NSC 2017 seperti berikut:

  • Dr. Wan Hanna Melini Wan Mohtar selaku Timbalan Pengerusi NSC 2017
  • Ahli Jawatankuasa NSC UKM, termasuklah Dr. Marlia Mohd. Hanafiah, Dr. Nurul Huda Abd Karim, Dr. Norlida Mat Daud, Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin, Encik Hanafy Gausmian, Encik Mohamed Yasreen Mohamed Ali, Encik Hasbullah Mazlan, Encik Muhazri Abd Mutalib, Cik Nurul Hafizah dan Cik Nurul Fatinah
  • Dr. Mohamed Ibrahim Mohamed Tahir (pengerusi), Dr. Yap Wing Fen (timbalan pengerusi) dan seluruh ahli Jawatankuasa Pembangunan Soalan NSC 2017
  • Staf ASM yang terlibat: Cik Norain Farhana Ahmad Fuaad, Encik Muhammad Syafiq Mohamad Shafiee, Encik Nazmi Lao, Cik Alia Samsudin, Encik Hendy Putra Herman, Puan Sazarul Aini Sabot, Puan Nur Dayana Razmi, Encik Mohd Zefri Mohd Zulkefli, Encik Mohd Arshad Abdullah Zawaiwi dan Encik Amirul Ikhzan Amin Zaki
  • Kesemua ahli Jawatankuasa Pembangun Modul
  • Kesemua fasilitator modul dan pelajar
  • Kesemua ahli Jawatankuasa NSC 2017 peringkat negeri
  • Prof. Dato’ Dr. Imran Ho, TNC HEJIM UKM dan kakitangan daripada pejabat beliau
  • Prof. Dr Yang Farina, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu NSC 2017
  • Puan Hazami, CEO ASM
  • Prof. Dr Abhimanyu, pengerusi YSN
  • dan akhir sekali, semua ahli keluarga di YSN!

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge