Oleh : Khairul N. Mohd Kharuddin
Semasa Thomas Edison mencipta mentol lampu elektrik, beliau mungkin tidak menyangka bahawa ciptaannya satu hari nanti bukan sahaja akan menyinari semua rumah di dunia, bahkan juga berupaya menghantar data yang membolehkan maklumat dimuat-turun dari satelit di angkasa lepas kepada peranti mudah alih. Dengan terciptanya Li-Fi, nyalaan lampu di rumah boleh turut bertindak sebagai satu bentuk penghantaran data yang berkelajuan 100 kali tinggi lebih daripada Wi-Fi yang sedia ada kini.
Li-Fi hasil ciptaan Harold Haas dari University of Edinburgh pada 2011, menggunakan ‘Komunikasi Cahaya Tampak’ (Visible Light Communication-VLC) untuk menghantar data pada kelajuan tinggi yang ekstrim. Secara ringkas, ia bekerja sebagai lampu isyarat laju, yang menyala on dan off untuk menyampaikan mesej berbentuk kod binari (1 dan 0). Berdasarkan eksperimen makmal, teknologi ini berupaya menghantar 224 gigabit per saat. Bandingkan ini dengan Wi-Fi yang hanya mampu menghantar data pada kelajuan mencecah 600 megabit persaat.
Teknologi Li-Fi ini sudah mula digunakan dalam situasi sebenar apabila Velmenni, sebuah syarikat di Estonia melancarkan Li-Fi di pejabat-pejabat dan kawasan industri di daerah Tallinn. Dalam situasi ini, mereka berjaya memperoleh kelajuan sambungan internet sehingga satu gigabit per saat.
[Baca – Komputer Kuantum Bakala Merubah Dunia]
Selain berkelajuan sangat tinggi, Li-Fi juga mempunyai kelebihan lain berbanding Wi-Fi. Isyarat Li-Fi dibawa oleh cahaya optik bermakna ia tidak boleh merentasi dinding menjadikan rangkaian internet lebih selamat/secure. Namun ia boleh menjadi kekangan seperti terputus sambungan internet bila pengguna keluar dari bilik misalnya. Sekiranya halangan ini dapat diatasi, Li-Fi akan berupaya menghantar mesej merentasi julat frekuensi yang lebih lebar daripada yang Wi-Fi boleh (2.4 GHz – 5 GHz).
Li-Fi boleh menjadi penyelesaian kepada kesesakan frekuensi berikutan penggunaan Internet semakin meningkat seluruh dunia. Menurut laporan Cisco Visual Networking Index Global Mobile Data Traffic Forecast, penggunaan data bulanan secara global adalah dijangka melebihi 24.3 exabytes menjelang 2019 – satu nilai yang tidak mampu dikendali oleh sambungan wireless terkini.
Dalam ceramah TED beliau baru-baru ini, Haas menegaskan yang mentol lampu LED rumah boleh diubah dengan mudah menjadi pemancar (transmitter) LI-Fi yang memberikan sambungan Internet lebih cekap.
“Apa yang kita perlu adalah memuatkan satu mikrocip ke dalam setiap peranti pemancar cahaya yang berpotensi, dan ini akan menggabungkan dua fungsi asas; pencahayaan dan penghantaran data tanpa wayar”, ujar Haas.
Kelipan LED ini semasa penghantaran dan penerimaan data adalah terlalu pantas untuk dilihat oleh mata manusia, jadi pengguna tidak perlu risaukan kelipan lampu yang mengganggu persekitaran mereka.
Walaupun tidak dapat diketahui jika Li-Fi dapat dilaksanakan seluruh dunia dengan lancar, VLC sudahpun digunakan dalam banyak aplikasi. Contohnya Disney sedang membina beberapa produk yang menggunakan teknologi VLC termasuk barang permainan seperti kayu sakti yang dapat menyalakan mentol lampu pada baju sang puteri. ®MajalahSains.Com
SUMBER – BBC
FOTO– prolinkedmag