SHARE
Oleh Nor Ai’shah Hassan
Fungus atau kulat adalah organisma eukariot yang terdiri daripada mikroorganisma seperti yis, cendawan dan kulapuk. Kira-kira terdapat 100,000 spesies fungus di seluruh dunia yang meliputi pelbagai habitat termasuklah di persekitaran ekstrem seperti padang pasir atau kawasan yang mempunyai kepekatan tinggi garam atau radiasi mengion, dan juga dalam sedimen laut dalam.

Terdapat pelbagai jenis fungus dan ia boleh diklasifikasikan berdasarkan ciri-ciri morfologi, seperti saiz dan bentuk spora atau struktur berbuah. Berdasarkan maklumat data molekul, Fungi mengandungi 5 phylum utama yang dikategorikan mengikut cara pembiakan seksual iaitu Chytridiomycota (Chytrids), Zygomycota, Ascomycota (sac kulat), Basidiomycota dan Glomeromycota. Deuteromycota adalah kumpulan kulat yang menjalankan pembiakan aseksual.

Majoriti fungus tergolong di dalam Phylum Ascomycota, yang dicirikan oleh pembentukan ascus (majmuk, asci), struktur kantung seperti yang mengandungi ascospora haploid. Ascospora dihasilkan melalui proses meiosis. Ascomycetes mempunyai filamen yang menghasilkan hypae (septa yang berlubang membolehkan sitoplasma bergerak ke satu sama lain). Ascocarps merupakan perithecia atau struktur berbentuk kubah dengan liang pada bahagian atas yang membolehkan ascospora tersebar semasa proses kematangan.
Pelbagai Ascomycetes yang digunakan untuk tujuan komersial termasuklah yis (penapaian), cendawan dan morels (hidangan mewah). Namun terdapat juga Ascomycetes yang dikenali sebagai patogenik dan kebiasaannya memusnahkan tumbuhan dengan menghasilkan metabolit sekunder beracun yang membuat tanaman tidak sesuai untuk dimakan. Salah satu fungus Acomycetes yang patogenik ialah fungus Magnaphorthe oryzae atau dahulu dikenali sebagai Magnaphorthe grisea.
Keunikan M. oryzae ialah mempunyai ascus yang mengandungi lapan ascospora dimana setiap ascospora berbentuk 3 sel. M. oryzae sering dikaitkan dengan penyakit karah padi.

Penyakit

Penyakit karah merupakan penyumbang utama kepada produktiviti padi yang rendah di 85 negara penanam padi termasuklah Malaysia. Sehingga kini, terdapat 1700 strain M. oryzae telah dikenalpasti di sekitar 40 negara. Di Malaysia, terdapat 22 strain yang telah diklasifikasikan oleh Malaysian Agricultural and Development Research Institute (MARDI).
Penyakit karah adalah penyakit tumbuhan yang terjadi melalui pembentukan lesi (diamond) di sekitar daun dan bahagian tumbuhan lain seterusnya mengakibatkan tumbuhan itu mati. Ini terjadi apabila spora dari M. oryzae disebarkan di atas daun dan proses pencambahan berlaku. Apresorium iaitu tiub percambahan akan terbentuk dan akan menembusi epidermis daun.
Enzim-enzim terutamanya enzim pemusnah dinding sel  (xylanases dan cellulase) akan meresap ke dalam sel daun dan membawa kepada nekrosis tisu. Ini akan mengakibatkan luka di dalam daun dan seterusnya berjangkit ke kawasan sekitar daun. Hasilnya tumbuhan akan mati dan hasil tanaman akan berkurangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge