SHARE
Oleh: Dr Othman Talib
Ini kisah saya untuk dikongsikan dengan rakan-rakan baru alam pascasiswazah, yang sering dimomokkan dengan perjuangan air mata darah untuk dapatkan ijazah Master dan PhD.

 

1. Saya habiskan masa final year siapkan tesis BSc dan buat eksperimen, sekali-sekala tidur dalam makmal. Masa itu masih bujang. Ambil sampel air sungai untuk dianalisis, naik bot, lots of fun.
2. Kemudian, saya jadi cikgu Kimia di Kolej Matrikulasi, sambil buat MSc part-time dan tukar ambil bidang pendidikan. Wow… semuanya pengetahuan baru dan asing bagi saya. Allah bagi sedikit ujian, isteri tersayang terpaksa melalui pembedahan serta siri-siri kimoterapi kerana kanser. Hidup saya seperti berkucalana (kucar-kacir), mengurus isteri dan anak-anak kecil serta pengajian saya.
3. Akhirnya Allah lebih sayangkn dia. Tujuh bulan selepas pembedahan, dia meninggalkan saya dengan tiga anak kecil – selamanya. Maka berubahlah senario hidup saya selamanya hingga kini. Wujudlah istilah ‘tiri’ dalam hidup anak-anak kecil saya yang mengundang cabaran emosi yang bukan sedikit – Arif 2 tahun, Iffah 5 tahun dan Alia 7 tahun ketika itu – emosi kehilangan kasih dan belaian manja ibu selamanya, dan bermula episod saya menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak kecil ini sambil separuh jiwaku kosong dibawa pergi bidadariku calon syurgawi.
4. Saya teruskan pengajian. Selepas dapat Msc, saya terus memohon dan dapat jadi pensyarah, lalu diwajibkn untuk sambung belajar. Saya masuk bidang baru lagi, buat Doctor of Education dalam animasi pula. Jadi, dari bidang Kimia (UKM), beralih kepada Pedagogi (UPM), kemudian masuk dalam bidang Animasi (University of Adelaide) – tiga universiti berbeza, 3 bidang berbeza. Allah uji lagi. Anak lelaki saya pula lahir untuk bertemu Ilahi. Dia disemadikan di Adelaide kerana disitulah tempat tumpah darahnya.
5. Alhamdulillah, saya tetap fokus dengan pengajian. Akhirnya tesis saya dapat minor correction dan Gold Award. Saya patut rasa bangga kerana; (a) Hanya 1 tahun 10 bulan saya siapkan final draft tesis saya lalu balik ke Malaysia for good untuk buat proofread dan memurnikan analisis, (b) salah seorang external examiner tesis saya adalah sifu dalam bidang saya iaitu Profesor David Treagust.
Cukuplah saya katakan sebagai insan, saya menangis dalam diam atas kehilangan insan-insan tersayang sepanjang tempoh saya sebagai pascasiswazah – Master dan Doctorate.
 6. Selepas melaporkan diri untuk mengajar, saya buatlah sedikit kajian. Saya bukan pensyarah yang akan meminta pelajar saya meletakkan nama sebagai 1st author pada artikel pelajar atau menempek sebagai ‘pembonceng gratis’. Saya buat satu dua research sahaja, untuk pastikan saya kuasai kemahiran yang perlu di samping hasil kajian yang memberi kepuasan dan enjoyment kepada saya. Sekarang saya berpindah dari animasi kepada mobile application. Saya ada produk dan telah mengumpul empat Gold Award serta copyright. Saya tidak suka menulis – make thing simple. Jadi atas desakan ramai, saya sudah ada semuanya 14 buku – 11 buku single author, dua buku co-author, dan sebuah buku modul OUM. Chapter in book saya tidak ambil kira walapun saya ada tiga artikel diterbitkan oleh buku antarabangsa termasuk dua terbitan Springer.
Buku terbaru Dr OT yang membincangkan tentang teknik penulisan ‘literature’.
7. Walaupun perjalanan dunia pascasiswazah saya ada darah dan air mata, itu bukan alasan untuk procrastinated kerana mengenang nasib ditimpa ujian… never!
Ramai pascasiswazah – full timer atau part timer – yang belum apa-apa sudah macam tidak cukup oksigen. Baru bawa haversack sudah keluar air mata, baca sekali tidak faham terus tergamam, sedangkan puncak yang hendak didaki belum pun kelihatan di depan mata. Ini bukan perjuangan darah dan air mata, ini perjuangan hilang arah tenggelam punca.
8. Anda perlu enjoy apa yang anda buat. Expose diri anda kepada kemahiran yang perlu secukupnya oleh pihak jabatan, universiti atau badan luar. Dunia pascasiswazah adalah penuh dengan segala kemudahan dan peluang terbentang luas untuk menuai pengalaman baru semahunya, mendapat pengetahuan baru sebanyaknya, dan kenalan baru seramainya. Maka jangan terus kaitkan Master dan PhD dengan air mata darah, sedangkan anda hanya diuji dengan kesusahan dunia pascasiswazah yang sudah menjadi lumrah.
Inilah kisah saya…

 

Nota: Artikel ini dipetik dari Facebook Dr Othman Talib (OT). Beliau merupakan pensyarah di Universiti Putra Malaysia. Beliau aktif berkongsi pelbagai petua dan teknik asas dalam menyiapkan kajian, penulisan artikel, dan penyediaan tesis untuk pelajar pascasiswazah. Ikuti blog OT Academy atau laman Facebook Othman Talib untuk mengikuti perkongsian beliau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge