SHARE

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Nota: Penghargaan kepada Syazwani Abu Bakar daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas terjemahan artikel. Artikel asal diterbitkan oleh The Sun di dalam kolum My View pada 26, Julai, 2016.

Pihak manakah yang boleh berhubung dengan masyarakat mengenai isu-isu saintifik apabila saintis seringkali sibuk menjalankan penyelidikan untuk membuat penemuan terbaharu? Tambahan pula dengan kesibukkan mengejar kedudukan di peringkat global dan penerbitan di jurnal diiktiraf antarabangsa. Akhir-akhir ini, individu yang mengaku mempunyai ilmu dalam bidang sains, ilmu hitam, dan perkara yang belum disahkan dari segi saintifik, atau lebih dikenali sebagai pseudosains, telah menarik perhatian orang ramai, antaranya dalam isu mengenai keberkesanan air ajaib dan juga keperluan vaksinasi.

Tindakan tegas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap penjualan atau pengiklanan penapis air beralkali yang didakwa mampu menghasilkan air ajaib membuktikan bahawa masyarakat makin terpesong jauh. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian berkenaan meluahkan kebimbangan terhadap pengiklanan dan perakuan kesihatan mengenai air ajaib yang turut diterbitkan di media milik kerajaan. Kenyataan sebegini mengaburi mata masyarakat khususnya golongan luar bandar yang menganggap penggunaan air ajaib ini telah mendapat pengiktirafan dari kerajaan.

“Air minuman yang dijual mestilah mendapat kelulusan oleh kementerian,” kata Noor Hisham.

Penyebaran dakwaan palsu yang makin meluas ini amatlah membimbangkan. Media dan universiti yang sepatutnya melindungi kepentingan awam dilihat telah terlibat secara tidak langsung dalam perkara ini. Apa yang lebih membimbangkan adalah mereka menganggap tindakan mempromosikan produk ini adalah demi kebaikan dan kesihatan masyarakat walaupun ianya tidak mematuhi undang-undang dan mengabaikan rasional saintifik.

Akta dan peraturan makanan yang digubal bagi memastikan orang ramai dilindungi dari bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, tidak boleh diabaikan serta dijadikan alasan dalam penemuan saintifik terbaharu dan mengejar status antarabangsa. Peraturan Makanan merupakan tulang belakang kepada program keselamatan makanan. Keselamatan pula adalah penting dalam bidang sains dan kesihatan sebagai asas yang perlu dipatuhi untuk melindungi kepentingan awam.

Institusi yang ditugaskan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat tidak sepatutnya memperkatakan perkara berkaitan ilmu sains yang belum disahkan dari segi saintifik (pseudosains). Namun begitu, kita seolah-olahnya telah mengabaikan perkara ini, seterusnya menyebabkan permasalahan bagi perkara ini menjadi semakin rumit.

Ironinya, apabila melibatkan isu vaksinasi terhadap penyakit yang boleh membawa maut seperti difteria, keselamatan menjadi isu utama. Bagi sesetengah masyarakat, mereka berpendapat bahawa ianya tidak selamat sehingga ada yang menolak keperluan vaksinasi ini walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa anak-anak mereka. Bagi pihak berkuasa, keselamatan adalah penting dalam menentukan keseimbangan antara hidup dan mati, dan bagaimana penemuan saintifik boleh digunapakai bagi menjamin kesihatan masyarakat.

Jurang ketepatan fakta di antara dua kumpulan: saintis vs. pseudosains membuktikan kepentingan peranan serta penglibatan komuniti saintis dalam penyebaran sebarang perkara berkaitan isu sains kepada masyarakat. Walaupun fakta berkaitan sesuatu perkara telah terbukti dari segi saintifik, komuniti saintis kebiasaannya mengambil sikap terus membisu.

Isu-isu berkaitan sains dikatakan tidak boleh disampaikan dengan baik disebabkan oleh tujuh masalah besar yang dialami dalam bidang sains pada masa kini. Menurut sebuah artikel oleh Paul Smaldino, profesor dalam bidang sains kognitif di University of California Merced, beliau menjelaskan bahawa proses saintifik pada masa kini berada dalam tekanan di mana kejayaan seseorang dipengaruhi oleh kemahiran mereka dalam mengeksploitasi sistem. Proses semakan awal penulisan saintifik yang sepatutnya mampu menyingkir penemuan sains yang tidak tepat telahpun gagal. Oleh itu, apa yang disampaikan kepada masyarakat adalah lebih umum dengan pelbagai keraguan yang tidak jelas kesahihannya.

Satu penilaian yang dijalankan oleh British Medical Journal mendapati bahawa terdapat satu pertiga daripada jumlah keseluruhan sebaran media universiti mengandungi dakwaan keterlaluan terhadap sesuatu perkara (bagi kajian yang melibatkan korelasi), implikasi yang belum sahih mengenai penggunaan haiwan dalam kajian untuk masyarakat, atau nasihat kesihatan yang tidak berasas.

Kita kini kembali kepada isu utama yang mana ahli akademik dan saintis perlu mengambil tindakan aktif dalam komunikasi sains kepada masyarakat bagi mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi.

Nota: Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge