SHARE
Oleh: Nurfaizatul Aisyah Ab. Aziz
Universiti Sains Malaysia, Kampus Kelantan
Pernahkah bulu roma anda tiba-tiba meremang tatkala mendengar vokal padu dan lantang daripada Whitney Houston, persembahan hebat Dayang Nurfaizah di Anugerah Juara Lagu ataupun juga ketika mendengar karya agung Beethoven? (sekadar beberapa contoh)Pernahkan anda terfikir mengapa perkara ini boleh berlaku dan apakah penjelasan di sebalik fenomena ini?
Musical chills ataupun Musical frisson
Fenomena ini dipanggil ‘musical chills’ ataupun ‘musical frisson’ iaitu keadaan dimana anda begitu terkesan dengan muzik tersebut dan terasa seperti aliran elektrik yang mengalir ke seluruh kulit badan sehingga bulu roma anda meremang. Selain daripada itu, jantung anda juga boleh berdegup kencang ketika mengalami keadaan ini. Fenomena ini bukan sahaja boleh berlaku ketika anda mendengar muzik yang mengasyikkan malah boleh berlaku ketika anda melihat hasil seni yang menakjubkan ataupun melihat adegan filem yang hebat.
Sesetengah pengkaji menggelar keadaan ini sebagai ‘skin orgasm’. Namun, rakan anda berkemungkinan tidak akan dapat mengalami dan memahami keadaan ini kerana dia tergolong daripada 1/3 populasi dalam dunia yang tidak dapat merasai ‘chill’ ataupun ‘frisson’. Faktor utama yang mempengaruhi individu dalam mengalami fenomena ini ialah personaliti setiap individu. Individu yang mempunyai personaliti ‘keterbukaan’ (openness) adalah lebih mudah untuk mendapat ‘chills’ berbanding dengan mereka yang mempunyai personaliti lain seperti ‘sifat berhati-hati’ (conscientiousness) ataupun ‘ekstraversi’ (extraversion).
Jadi, bagaimana keadaan ini boleh berlaku?
Keadaan ini terjadi bilamana muzik itu diproses oleh otak dan mengaktifkan bahagian otak yang terlibat dalam laluan mekanisma ganjaran atau ‘reward mechanism pathway’. Laluan ini yang terdiri daripada nukleus akumbens (NAc) dan juga kawasan ventral tegmental (VTA) bertanggungjawab dalam pengawalan dopamin. Jumlah dopamin yang terhasil ketika mendengar muzik yang mengasyikkan ini sangat tinggi dan secara langsung menunjukkan muzik itu memberikan kesan yang menyeronokkan sama seperti rangsangan biologi yang lain seperti seks, makanan dan duit.
Dopamin secara ringkas ialah salah satu neurotransmiter yang penting dan bertanggungjawab dalam mengawal keinginan dan juga ketagihan. Penghasilan dopamin akan meningkat ketika otak menjangkakan ganjaran ataupun ketika sedang mendapat ganjaran.
Dapat dilihat penghasilan dopamin meningkat di nukleus akumbens ketika subjek mengalami ‘chills’ apabila mendengar muzik. Malah, penghasilan dopamin juga meningkat ketika subjek hanya menjangkakan tindak balas emosi yang paling dalam (klimaks) di sesetengah not muzik. Hasil daripada itu, ia akan meningkatkan lagi rasa keinginan terhadap ganjaran itu, iaitu muzik yang mengasyikkan. Hal ini menyebabkan mereka akan ingin menikmati lagi fenomena ini sama seperti mereka yang ketagihan makanan ataupun dadah.
Jadi, mendengar muzik yang mengasyikkan itu dilihat oleh otak sebagai suatu ganjaran dan rangsangan yang menyeronokkkan. Oleh sebab itu, pemuzik dan komposer seringkali memanipulasikan fenomena ini dengan mengubah not-not muzik dengan sesuatu yang tak dijangka, melambatkan tempo atau merendahkan vokal sebelum memberikan impak yang seperti mana otak jangkakan. Cuba sahaja anda cari di Youtube konsert-konsert ataupun persembahan secara live penyanyi yang mengubah tempo dan komposisi lagu asal untuk memberikan impak yang lagi sensasi dan menghasilkan ‘musical chills’.
Oh, jadi mengapa sampai bulu roma boleh meremang?
Selain daripada mengaktifkan laluan mekanisma ganjaran (reward mechanism pathway), mendengar muzik juga dapat mengaktifkan sistem limbik yang bertanggungjawab dalam mengawal emosi manusia. Sebab itulah, kadang-kadang apabila mendengar muzik yang mengasyikkan kita akan merasai perasaan mendalam ataupun perasaan yang sangat terharu sehingga boleh mengalirkan air mata.
Antara bahagian otak yang diaktifkan itu ialah amigdala, nukleus akumbens, talamus, hipotalamus, hipokampus, insula, korteks singulat, korteks prefrontal medial dan korteks orbitofrontal. Pengaktifan di talamus dan korteks singulat yang terlibat sebagai mekanisma rangsangan dan proses penumpuan ketika mengalami ‘musical chills’ menunjukkan korelasi positif dengan aktiviti psikofisiologikal seperti peningkatan kadar degupan jantung.
Bulu roma yang meremang secara refleks juga dapat dikaitkan dengan pengaktifan di kawasan motor (supplementary motor area) dan serebelum. Selain daripada itu kadar pernafasan juga meningkat. Manakala suhu tubuh menurun. Mungkin kerana inilah kita juga merasa seram sejuk ketika mengalami ‘musical chills’. Aktiviti psikofisiologikal ini berkorelasi positif dengan peningkatan penghasilan dopamin di kawasan nukleus akumbens. Hal ini menunjukkan hubungan antara otak dan sistem tubuh badan manusia.
Akhir kata, setiap kali anda merasa seram sejuk dan bulu roma meremang tika melihat dan mendengar persembahan hebat Dayang Nurfaizah, berkemungkinan terdapat beberapa bahagian otak anda yang sedang aktif dan penghasilan dopamin juga sedang meningkat. Jadi apalagi, cubalah dengar suara dan karya hebat untuk merasai ‘musical chills’ ini.
Rujukan
[1] Blood, A. J. & Zatorre, R. J. (2001). Intensely pleasurable responses to music correlate with activity in brain regions implicated in reward and emotion. PNAS 98(20), 11818–11823.
[2] Brown, S., Martinez, M. J. & Parsons, L. M. (2004). Passive music listening spontaneously engages limbic and paralimbic systems. NeuroReport, 15(13), 2033-2037.
[3] Colver, M. C. & El-Alayli, A. (2016). Getting aesthetic chills from music: The connection between openness to experience and frisson. Psychology of Music, 44(3), 413-427.
[4] Colver, M. (25th May, 2016). Why Does Great Music Give You Chill. Dicapai dari http://www.slate.com/articles/health_and_science/science/2016/05/getting_chills_when_listening_to_music_might_mean_you_re_a_more_emotional.html
[5] Salimpoor, V. N., Benovoy, M., Larcher, K., Dagher, A. & Zatorre, R. J. (2011). Anatomically distinct dopamine release during anticipation and experience of peak emotion to music. Nat Neurosci, 14(2), 257-262.


Video- ASAPScience

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge