SHARE

Artikel ini merupakan artikel keenam kerjasama antara MajalahSains dan Young Scientist Network (YSN). Artikel tertumpu kepada liputan bengkel kewartawanan sains anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan British Council pada 6-8 Mac, 2017.

_____________________________________________________

Oleh:
Prof Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin
Penasihat, Majalah Sains
Ahli, Young Scientists Network

Terima kasih kepada Young Scientists Network (YSN), di bawah naungan Akademi Sains Malaysia (ASM) kerana menjemput Majalah Sains untuk menghadiri bengkel sains kewartawanan baru-baru ini. Bengkel bertemakan Changing the Climate Between Scientists & Journalists dan dihadiri oleh peserta-peserta daripada dua kerjaya berbeza, iaitu saintis dan wartawan. Saintis terdiri daripada kebanyakkan penyelidik daripada universiti awam & swasta serta agensi/institut penyelidikan, manakala wartawan-wartawan terdiri daripada pelbagai agensi media, seperti Astro Awani, Utusan Malaysia, New Straits Times (NST), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Petridish dan majalah I-Sihat. Tenaga pengajar untuk bengkel didatangkan daripada Institute of Environmental Analytics, University of Reading (United Kingdom) dan bengkel ini ditaja oleh Newton Ungku Omar Fund (NUOF).

CEO ASM, Puan Hazami Habib memberi kata-kata aluan kepada peserta di hari pertama bengkel

Bengkel pada hari pertama berkisar bagaimana saintis dan wartawan boleh bekerjasama untuk menyampaikan ilmu dan hasil kajian sains kepada umum. Berikut adalah beberapa tips daripada beberapa wartawan kepada penyelidik:

  • Menggunakan istilah mudah, ataupun layman dan elakkan daripada penggunaan istilah canggih ataupun teknikal untuk memudahkan pemahaman pembaca. Istilah mudah dalam konteks ini diibaratkan seperti perbualan antara cucu (dalam kes ini penyelidik) dengan seorang nenek (masyarakat umum).
  • Salah satu tips ialah menggunakan analogi ataupun perumpamaan untuk membantu penerangan saintifik. Jika analogi tidak dapat membantu, gunakan contoh mudah dalam kehidupan harian ataupun daripada berita semasa untuk memudahkan pemahaman pembaca.
  • Penyelidik seorang yang pakar di dalam sesuatu bidang dan mempunyai keterampilan asas melalui media sosial, badan profesional ataupun di kalangan komuniti penyelidikan beliau.
  • Selain daripada kepakaran, penyelidik mempunyai sumber dan hubungan yang luas dengan penyelidik dalam bidang sama ataupun rentas bidang.
  • Penyelidik menyediakan senarai fakta, seafdalnya dalam dwi bahasa (Bahasa Malaysia & Inggeris) untuk memudahkan rujukan oleh kedua-dua wartawan dan saintis sewaktu sesi temuduga. Pilihan dwibahasa ini dibuat oleh kerana kedua-dua bahasa ini mendominasi dunia media massa buat masa ini. Laman sawang berkaitan dan grafik, seperti geraf, infografik ataupun rajah mudah boleh membantu memudahkan penghasilan artikel
  • Penyelidik perlu memahami fokus utama majikan wartawan dan juga demografi pembaca mereka.
  • Kaitkan kajian & fokus penyelidikan dengan polisi/dasar kerajaan ataupun berita semasa.
  • Akhir sekali, komunikasi wujud dua hala; amat penting kepada kedua-dua saintis dan wartawan supaya berinteraksi untuk memperbaiki sesuatu karya sebelum ianya disebarkan kepada umum.

Namun, terdapat beberapa cabaran dalam kewartawanan sains di Malaysia:

  • Sains dan teknologi bukanlah topik yang mampu menarik minat pembaca Malaysia, berbanding drama politik, kisah sensasi dunia hiburan mahupun ‘teori konspirasi’. Ini menyebabkan berita sains mudah tenggelam apabila dilaporkan media.
  • Konflik penggunaaan istilah mudah (layman) berbanding kerja penyelidikan sebenar yang dilakukan oleh saintis. Pada pendapat saintis, istilah mudah seakan menggambarkan bahawa kerja penyelidikan yang dilakukan terlalu mudah dikalangan komuniti penyelidikan mereka. Ada di antara kerja penyelidikan mengambil masa bertahun-tahun untuk dilengkapkan.
  • Kenyataan penyelidik disensasikan oleh penyunting. Rujuk kepada komunikasi dua hala terdahulu untuk salah satu tips bagi mengatasi cabaran ini.
  • Wujudnya produk berasaskan sains palsu (pseudoscience), di mana iklan mereka terpampang di dada-dada media massa. Wujud konflik antara menegakkan fakta saintifik, berbanding nilai komersil pada produk berasaskan sains palsu ini.

Realitinya, saintis dan wartawan memerlukan satu sama lain. Sudah tiba masanya untuk penyelidik di Malaysia mengubah iklim kewartawanan sains dalam penyebaran ilmu kepada masyarakat. Di saat masyarakat umum tertanya-tanya mengenai hasil penemuan penyelidik daripada dana tajaan kerajaan dan tahap kesedaran umum yang rendah mengenai topik sains, inilah peluang penyelidik untuk berkongsi kepakaran penyelidikan mereka melalui kewartawanan sains.


Video ringkas daripada wartawan Astro Awani untuk liputan hari pertama bengkel (Kredit: Tan Su Lin melalui FB beliau)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge