SHARE
Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Perangkaan terkini menunjukkan bahawa mata pelajaran sains tidak mendapat perhatian yang tinggi dikalangan pelajar dibangku sekolah. Pembahagian 60:40 antara aliran sains dan sastera‎ diperingkat sekolah menengah tidak mencapai hasrat sedemikian. Ini dikatakan menjejas perancangan masa hadapan negara untuk memajukan ekonominya. Cabaran keenam Wawasan 2020 yang ingin melihat Malaysia sebagai penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi nampaknya tidak kesampaian. Malaysia masih ditahap negara pengguna teknologi buatan negara lain yang bukan saja merugikan dari segi ekonomi, malah dari segi perkembangan ilmu juga.

Mengemis Ilmu

Maksudnya Malaysia akan terus meminjam idea orang lain tanpa banyak menyumbang idea-idea bernas kepada khazanah ilmu dunia. Dari sudut dunia pengetahuan ini dilihat sebagai satu fenomena “mengemis” dan negara yang sedemikian rupa sudah tentunya tidak boleh bertahan lama. Malah lebih malang lagi negara tersebut terbuka kepada satu lagi bentuk ‎penjajahan melalui sains dan teknologi khasnya. Maksudnya, Malaysia akan menjadi tempat longgokan bahan-bahan yang sudah lapok dan tidak berguna lagi. Sekaligus mendatangkan berbagai kemudaratan; baik dari segi alam sekitar, kesihatan kalau tidakpun sosio-budaya setempat. Dengan kata lain, kebanggaan nasional akan mula pudar dan keupayaan menjaga kedaulatan negara mula terancam.

Ramai mungkin ti‎dak melihatnya dari perspektif ini, namun hakikatnya adalah demikian. Dalam Era Pengetahuan, ukuran kaya miskin dihitung dari sudut sumbangan ilmu untuk manfaat umum, malah sejagat. Lihat saja negara Jepun yang dikatakan ‘miskin’ dari segi hasil mahsul bumi. Anehnya, ia menjadi antara terkaya ekoran pengemblengan sains dan teknologi termaju cetusan para saintis mereka disemua peringkat. Kini, Jepun antara peneraju teknologi automasi serta robotik terkenal gara-gara minat sains yang terus menebal dikalangan pelajar mereka walaupun bilangannya dikatakan telah susut dengan ketara sekali.

Memecah Kemusykilan

Pada tahun 1960-an, sewaktu saya dibangku sekolah, kelas-kelas tidak mencukupi untuk menampung minat bagi memacu bidang sains dan teknologi. Rata-rata lebih banyak sekolah didirikan untuk meramaikan lagi pelajar sains termasuk yang ditempatkan diasrama penuh. Persaingan pun semakin hebat seiring dengan kegemilangan sains dan teknologi yang sedang memuncak ketika itu. Salah satu contoh utama yang dapat dirasakan adalah apabila angkasawan Rusia, Yuri Gagarin berjaya mengelilingi bumi buat kali pertamanya mengatasi Amerika Syarikat. Anak-anak muda umumnya teruja dengan cabaran tersebut disusuli pula dengan berbagai persaingan yang lebih “memeranjatkan.” Lagi sekali, dunia sains terpegun apabila angkasawan Amerika Syarikat, Neil Amstrong, memijakkan kakinya dipermukaan bulan pada 1969, sekaligus menjadi manusia pertama berbuat demikian dengan kata-kata hikmahnya: “Satu jejak kecil untuk manusia, satu lonjatan gergasi untuk kemanusiaan“.

Berita-berita seumpama ini memugar minda untuk melontarkan seribu satu pertanyaan untuk memecahkan kemusykilan. Sains dinampakkan berlaku didepan mata kepada seluruh masyarakat dunia dan bukan tersorok dimakmal-makmal tertentu sahaja. Maksudnya, fenomena dan peristiwa tersebut terus meletakkan sains dan teknologi pada satu mercu ilmu yang tiada tolok bandingannya. Dan menarik perhatian luas dikalangan para pelajar. Malah, turut timbul juga perdebatan sebaliknya – yakni sama ada Armstrong betul-betul berbuat demikian – seperti lazim dialami dalam dunia sains untuk memecahkan kemusykilan. Ini adalah antara proses terpenting dalam pembudayaan semangat sains dikalangan rakyat umum. Ia memupuk satu budaya ingin tahu yang tinggi dengan mempersoalkan apa saja yang dirasakan musykil atau masih samar-samar. Ia juga memupuk satu keberanian ‎mencari hujah-hujah baru dalam memberi tafsiran baru kepada fenomena yang sama. Hatta meneroka satu lagi pemikiran yang segar.

Memupuk Daya Berfikir

Natijahnya, ekoran itu budaya berfikir diluar kotak menjadi amalan yang sebati dengan kehendak sains. Inilah sebenarnya penentu sama ada sains dan teknologi menjadi penarik minat atau tidak; sama ada mendapat perhatian ramai atau sebaliknya. Dengan lain perkataan, dapatkah kita merakyatkan sains dan teknologi sepertimana berlakunya penerokaan angkasa sepertimana yang dibincangkan. Namun kebelakangan ini, tidak banyak penerokaan sains sedemikian berlaku walaupun tidak kurang hebatnya. Tetapi impaknya tidak sehebat atau mengkagumkan. Gambaran yang penemuan tersebut masih terkongkong ditempat-tempat tertentu dan rata-rata tidak dirasakan oleh masyarakat awam. Maka sains tidak begitu memukau.

Kemungkinan penyelidikan robotik melalui kajian kepintaran buatan serta pengkomputeran boleh menengahkan semula sains sebagai pilihan pertama memandangkan impak yang kian menyerlah. Tetapi, kita perlu membuat sesuatu menjelang fenomena robot‎ menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, kita wajar mencari ruang serta peluang lain untuk terus menghidangkan sains dan teknologi sebagai sebahagian daripada budaya hidup yang tidak terasing pada manusia. Inilah yang dimaksudkan sebagai “merakyatkan” sains dan teknologi. Kerana dengan cara ini, kesebatian sains sebagai satu fenomena seharian dapat dipupuk dan disebatikan. Maknanya memupuk daya berfikir ala-sains adalah satu kelaziman dan kebiasaan; bukan sebaliknya. Maka setiap satu kejadian harian dijadikan renungan dan peluang untuk melontarkan berbagai pertanyaan serta kajian formal atau bersengaja. Baik dari sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya. Ambil contoh menjemur kain dipersidaian. Ini mencakup fenomenon sains – fizik dan kimia terutamanya, yang berlaku jauh dari makmal-makmal tidak ada beza bagaimana angkasawan atau robot mempersembahkan keajaiban sains. Pada hakikatnya, tidak bezanya dengan perlakuan “saintifik” seorang ibu menyidai kain. Ataupun pakcik melayangkan wau maupun abang memutar gasing! Semua ini berkaitan dengan fenomena sains dan teknologi secara langsung. Jika tidak ia tidak akan berlaku. Malah, banyak contoh semula jadi lain yang boleh diperkatakan umpama buah durian luruh apabila telah “masak” dan sebagainya.

Kesimpulan

Jika minda lebih terbuka untuk melihat dan menyedari bahawa sains dan teknologi itu adalah disekitaran kita, maka sains tidaklah menghairankan apa lagi menakutkan. Sebaliknya, ia sepatutnya merangsang minda dalam menyelami akan sebab dan kesan sesuatu itu terjadi seperti yang diperhatikan. Semua ini merupakan ciri-ciri pendorong semula jadi kearah penghayatan sains dan teknologi yang baik.

Pendek kata, kita tidak kekurangan pendorong yang serupa jika kita beri ‎perhatian kepada budaya setempat termasuk pantun-pantun Melayu, peribahasa dan kesimpulan bahasanya. Kesemuanya menyematkan hikmah sains sebagai intipatinya secara langsung atau tidak. Malang sekali ini jarang mendapat perhatian dalam dunia sains. Apalagi apabila ia diceraikan dengan bidang-bidang lain khususnya sastera umpama pendekatan STEM, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.

Oleh yang demikian, satu sikap yang agak toleransi kepada perilaku bebas bersuara serta bertindak dalam meneroka sesuatu dianggap amat perlu. Begitu juga toleransi kepada kesilapan ataupun kelainan dari yang biasa sebagai satu langkah atau pemikiran keluar dari kotak. Selagi suasana seumpama ini tidak dapat diwujudkan, sains akan terus terkesamping kerana jambatan dan budaya kearahnya tidak dapat terbina dengan sempurna. Inilah halnya dalam banyak suasana pembelajaran semasa yang terus menghambat minat sains dan teknologi berputik. Apalagi untuk berkembang dengan mekar.

NotaProf. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge