SHARE
Teknologi Komunikasi Mudah Alih Sebagai Punca Kanser?
Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin,
Pensyarah Telekomunikasi Mudah Alih
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem
Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina

Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Berikut merupakan transkrip terjemahan daripada sesi wacana radio yang mengambil tempat di TraXX.FM (saluran 90.3 FM) pada 21hb Jun, 2017. Wacana radio di bawah anjuran utama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) untuk mewujudkan kesedaran pengguna mengenai topik sinaran (radiation). Penghargaan kepada penterjemah, Nurul Sharmin Binti Abd Rahman (Program Sains Nuklear) dan Siti Nur Aliaa Binti Abu Talib (Program Sains Bahan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini menjalani sangkutan industri di Unit Komunikasi Korporat, Agensi Nuklear Malaysia.

 

TraXX.FM : Berkaitan dengan topik di atas, boleh anda terangkan tentang konsep atau teori di sebalik sinaran dalam kehidupan harian kita?
Dr. Rosdiadee: Dalam hidupan harian, kita sering terdedah dengan sinaran yang datang dari pelbagai sumber; samada udara, air, makanan, tanah dan kehidupan mikro. Apabila kita berada di luar rumah, kita pasti akan terdedah kepada cahaya matahari iaitu salah satu sumber sinaran. Realitinya, kita tidak boleh lari daripada sinaran. Maka persoalan utama di sini adalah sejauh mana kita boleh didedahkan dengan sinaran?
Pertama sekali, kita harus faham asas berkaitan teknologi telekomunikasi. Kita memerlukan frekuensi untuk menghantar dan memancarkan isyarat dari titik A ke titik B. WiFi menggunakan jalur frekuensi 2.4 GHz, manakala radio yang kita sedang dengar sekarang iaitu Traxx.FM menggunakan saluran frekuensi 90.3 MHz. Kita memerlukan gelombang elektromagnet supaya frekuensi mampu merambat atau ‘bergerak’ melalui udara yang merupakan medium bagi komunikasi mudah alih. Selain itu, terdapat juga jalur frekuensi yang tidak digunakan bagi aplikasi telekomunikasi, seperti ketuhar gelombang mikro untuk tujuan memanaskan makanan, kabel elektrik, lampu dan mesin Sinar-x.
Realitinya, spektrum frekuensi digunakan secara meluas sejak bermulanya era revolusi industri dan kesemuanya memancarkan sinaran. Perkara yang sepatutnya pengguna harus lebih fahami adalah terdapat dua jenis sinaran; samada ianya selamat dan tidak selamat. Kedua jenis sinaran ini dipanggil sebagai sinaran tidak mengion (selamat) dan sinaran mengion (berisiko tinggi dan menyebabkan kanser).

TraXX.FM:
Bolehkan anda terangkan dengan lebih lanjut tentang kedua-dua jenis sinaran tersebut dan kaitannya dengan teknologi telekomunikasi mudah alih?
Dr. Rosdiadee: Orang awam sering terkeliru tentang sinaran mengion dan sinaran tidak mengion. Tidak semua sinaran elektromagnet (EM) adalah mengion. Perkara yang membezakan sinaran mengion dan tidak mengion adalah sinaran mengion mempunyai tenaga yang cukup besar untuk memecahkan struktur sebuah atom dan di dalam kes telekomunikasi mudah alih, atom boleh diwakili oleh badan dan kulit manusia yang terdedah dengan sinaran peranti mudah alih. Manakala sinaran tidak mengion adalah sinaran pada tahap tenaga yang cukup kecil dan tidak mampu untuk memecahkan sebuah atom.
Radio dan telefon bimbit mempunyai panjang gelombang yang panjang maka ia mempunyai tenaga yang lebih rendah. Sinaran RF (radio frequency) adalah sejenis sinaran yang tidak mengion. Sumber sinaran jenis RF datang dari antena yang merupakan sejenis komponen pasif. Pasif bermaksud ianya tidak memerlukan sumber elektrik atau tenaga lain untuk aktif dan memancarkan kuasa pada tahap sangat rendah pada frekuensi yang rendah. Contoh lain sinaran tidak mengion adalah inframerah, ultralembayung dan cahaya nampak.
Hal ini berbeza dengan panjang gelombang yang pendek kerana ia bertenaga tinggi serta mempunyai frekuensi yang tinggi. Sinar-X dan Sinar Gama menggunakan frekuensi tinggi kerana memerlukan tenaga yang tinggi untuk membenarkan panjang gelombang yang pendek menembusi sesuatu objek bagi pelbagai aplikasi. Ini berdasarkan hubungkait songsang antara panjang gelombang dan frekuensi (panjang gelombang = halaju cahaya/frekuensi).

 

TraXX.FM: Patutkah pengguna bimbang tentang penggunaan telefon bimbit pada jangka masa panjang akan menyebabkan kanser?
Dr. Rosdiadee: Selalunya, pengguna akan mengalami dua jenis pemanasan apabila meletakkan telefon bimbit di telinga untuk perbualan. Pertama, pemanasan datang dari komponen elektronik dalaman. Apabila terlalu banyak aplikasi digunakan di dalam telefon, maka ianya akan menyebabkan banyak pemprosesan isyarat elektronik berlaku, maka banyak tenaga akan digunakan.
Atom daripada arus elektronik akan bergerak dan melanggar antara satu sama lain, lantas menyebabkan pembentukkan haba. Haba tersebut akan terperangkap di antara telinga dan telefon. Sebab itu pengguna terasa panas apabila menggunakan telefon untuk tempoh yang lama. Tambahan pula, saiz telefon yang kecil tidak membenarkan mekanisma pelepasan udara dilakukan secara aktif.
Keduanya, haba juga datang dalam bentuk gelombang RF. Namun sinaran RF ini tidak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk merosakkan atau memusnahkan DNA manusia. Dalam erti kata lain, magnitud haba daripada gelombang RF tidak mampu untuk memutuskan ikatan kimia pada molekul DNA sedangkan kanser itu berlaku sejurus sahaja terdapat kemusnahan atau gangguan pada molekul DNA akibat pendedahan kepada haba yang terlampau.
Pada tahun 2011, organisasi dikenali sebagai International Agency for Research on Cancer (IARC) di bawah naungan WHO telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyenaraikan telefon bimbit sebagai ‘berkemungkinan karsinogenik’.

 

TraXX.FM: Boleh terangkan dengan lebih mendalam tentang senarai daripada IARC ini?
Dr. Rosdiadee: Terdapat empat kumpulan dikategorikan oleh IARC. Semakin rendah nombor kumpulan, semakin tinggi risikonya kepada kanser.
(a) Kumpulan 1: Terdiri daripada sinaran terion (seperti Sinar X, Sinar Gamma, terapi radio), rokok, asbestos, alkohol, pekerja yang terdedah kepada sumber solar secara langsung, asap enjin diesel dan daging yang telah diproses. Terdapat bukti kukuh daripada ujikaji makmal terhadap manusia dan binatang yang menunjukkan bahawa unsur-unsur (ataupun ejen) di atas adalah penyebab kanser. Bilangan ejen Kumpulan 1 yang telah dikenalpasti sehingga hari ini: 120
(b) Kumpulan (2A): Berkemungkinan karsinogenik kepada manusia. Buktinya begitu terhad pada ujikaji manusia, namun mencukupi dalam penyelidikan haiwan. Sebagai contoh, pendedahan kepada suhu tinggi seperti di dalam industri relau, steroid dan daging merah merupakan beberapa ejen Kumpulan 2A. Bilangan ejen yang telah dikenalpasti sehingga hari ini: 81.
(c) Kumpulan (2B): Telefon bimbit diklasifikasikan di dalam kumpulan ini. Kumpulan ini dikategorikan sebagai berkemungkinan karsinogenik kepada manusia, namun buktinya tidak mencukupi dalam ujikaji ke atas haiwan. Kumpulan 2B merangkumi bahan seperti sinaran telefon bimbit, industri pertukangan, gasolin, kloroform dan asap kimpalan.
(d) Kumpulan 3 bermaksud sesuatu yang tak diklasifikasikan sebagai karsinogenik kepada manusia. Ini bermaksud buktinya tidak mencukupi berdasarkan ujikaji kepada manusia dan haiwan. Contoh ejen ialah medan magnet statik dan lampu pendaflour.
(e) Kumpulan 4: bermaksud sesuatu ejen yang tidak menyebabkan kanser kepada manusia. Setakat ini, ia adalah sejenis bahan kimia dikenali sebagai kaprolaktom yang digunakan di dalam pembuatan fiber sintetik. Terdapat komen sinis mengatakan bahawa cuma kaprolaktom sahaja yang bebas daripada kanser, maka bahan-bahan lain dalam hidupan harian yang kita gunakan boleh dianggap sebagai ancaman & menyumbang kepada kanser. Namun, ini cuma menunjukkan bahawa IARC lebih menumpukan usaha pengelasan mereka kepada kumpulan yang berisiko tinggi.

 

TraXX.FM: Mengapakah IARC mengklasifikasikan telefon bimbit di dalam kumpulan 2B (berkemungkinan karsinogenik)?
Dr. Rosdiadee: Keputusan IARC yang dibuat pada 2011 bergantung kepada dua kajian; kajian oleh kumpulan penyelidikan Hardell (2009) daripada Sweden dan sebuah kajian antarabangsa yang besar dikenali sebagai Interphone. Kedua-dua kajian ini dikenali sebagai kajian kawalan.
Kajian Hardell mencadangkan ada kaitan antara telefon bimbit dengan tumor otak bagi yang menggunakan telefon bimbit dalam masa jangka panjang. Dalam kajian Interphone, sebanyak 6,000 peserta kajian merentasi 13 buah negara telah terlibat menunjukkan tiada kaitan antara telefon bimbit dan tumor otak.
Mereka telah menemubual orang awam yang menghidapi kanser dan tidak mempunyai kanser tentang tabiat penggunaan telefon bimbit mereka. Namun, mereka tidak dapat mengingati dengan jelas tentang tabiat tersebut, maka besar kemungkinan jawapan mereka dipengaruhi dengan kepercayaan ataupun persepsi mereka bina sendiri bahawa telefon bimbitlah penyebab kanser. Maka kajian ini tidak tepat berdasarkan kaedah dan teknik yang digunakan dalam kajian.
Kajian yang lebih tepat dan dipercayai ialah kajian kohort. Kajian kohort tidak menggunakan kaedah temubual, sebaliknya mereka mengkaji dengan mengikuti perkembangan kumpulan responden yang sama dalam tempoh masa tertentu untuk melihat tanda-tanda penyakit yang mungkin berlaku. Terdapat dua kajian kohort yang penting berkaitan sinaran telefon pintar.
Kajian pertama adalah Million Women Study yang merupakan kajian terbesar kerana meliputi 790,000 peserta wanita. Kajian mendapati tiada kaitan atau hubungkait antara telefon bimbit dengan penyakit tumor otak.
Kajian kedua adalah kajian kohort di Denmark yang melibatkan data daripada 420,000 pengguna telefon bimbit. Kajian ini juga menunjukkan tiada kaitan antara telefon pintar dan kanser.
Sesetengah kajian melaporkan sedikit penambahan kecil dalam jenis-jenis kanser, namun hal ini lebih dikaitkan dengan kemajuan daripada segi teknik pengesanan kanser yang lebih termaju. Terdapat juga beberapa kajian ujikaji makmal yang kontroversi. Jika dihayati kaedah & teknik ujikaji digunakan, ada diantaranya yang menjalankan ujikaji dengan pendedahan sinaran yang jauh lebih tinggi daripada kadar normal dan juga beberapa unsur berat sebelah lain, di mana teknik-teknik dan andaian yang digunakan dalam ujikaji boleh disangkal dan ianya cuba mensensasikan keadaan.
Akhir sekali, penggunaan telefon bimbit telah meningkat dengan mendadak sejak telefon bimbit pertama diperkenalkan pada tahun 1973, iaitu kira-kira 44 tahun lepas. Logik mudah mencadangkan jika benar telefon bimbit meningkatkan risiko tumor otak, maka lebih ramai pengguna telefon pintar yang menghidapi penyakit tersebut. Namun, tiada peningkatan ketara berlaku bagi penghidap penyakit berkaitan tumor otak.

 

TraXX.FM: Selain telefon bimbit, terdapat khabar angin mengatakan penduduk yang tinggal berdekatan stesen menara pemancar terdedah kepada bahaya. Benarkah dakwaan ini dan bagaimana syarikat telekomunikasi menghalang risiko ini?

Dr. Rosdiadee: Menara pemancar adalah menara yang dipasang pada struktur tinggi, seperti tangki air, Menara atau bangunan tinggi dan di kawasan lapang. Antena perlu diletakkan di kedudukan paling tinggi untuk memastikan kawasan liputan sejauh mungkin. Ketinggian menara pemancar secara purata antara 50 hinggi 100 kaki. Gelombang RF yang merambat daripada menara pemancar ini adalah sangat lemah dan tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk mengganggu kesihatan manusia. Maka kadar pendedahan sinarannya adalah di bawah garis panduan antarabangsa. Hal ini hampir sama dengan penggunaan telefon bimbit yang sudah dibincangkan terlebih dahulu, malahan jauh lebih rendah lagi.
Sebelum syarikat telekomunikasi boleh memasang antena di atas menara, mereka perlu mendapatkan dokumen-dokumen penting, permit dan mengikut garis panduan tertentu. Pengawal atur spektrum Malaysia, yakni SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mempunyai ketetapan yang perlu dipatuhi oleh operator berkaitan pendedahan sinaran EMF (frekuensi elektromagnetik). Garis panduan itu ditentukan oleh International Telecommunication Union (ITU), sebuah badan organisasi dunia yang bertanggungjawab menjaga piawaian dan undang-undang dalam bidang telekomunikasi. Sebagai contoh, menara pemancar dikelaskan kepada tiga zon berbeza dan operator perlu meletakkan tanda amaran pada setiap zon tersebut.
Apabila menara pemancar sedia untuk digunakan, SKMM akan menjalankan ujian sinaran terlebih dahulu. Mereka juga akan membuat pemeriksaan berkala, pemantauan dan sentiasa mengambil maklumbalas terhadap aduan awam berkaitan isu sinaran. Pengendali telekomunikasi boleh dikenakan penalti berat jika tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh SKMM.

TraXX.FM: Boleh anda berkongsi tentang sebarang insiden yang melibatkan salah faham orang awam terhadap menara pemancar telekomunikasi sepanjang bekerja sebagai jurutera di industri terdahulu.
Dr. Rosdiadee: Kekalutan masyarakat awam terhadap sinaran yang terhasil dari menara telah menyebabkan berlakunya beberapa perbuatan sabotaj atau khianat terhadap menara telekomunikasi. Terdapat satu insiden di Timur Malaysia, dimana seorang kanak-kanak telah disahkan menghidapi penyakit tumor otak. Penduduk kampung tidak dapat menerima berita ini dengan baik, lantas mengambil tindakan terburu-buru membakar menara pemancar tersebut oleh kerana mendapati menara pemancar terletak berdekatan dengan rumah mangsa. Kebakaran yang mereka lakukan telah menyebabkan beberapa kawasan sekita kehilangan liputan rangkaian oleh kerana api daripada kebakaran menyebabkan sumber elektrik pada perkakasan elektronik di menara telekomunikasi terputus.
Untuk kes kedua, seorang penduduk membuat aduan di mana beliau mahu menara pemancar yang terletak dihadapan rumahnya dipindahkan kerana bimbang dengan risiko kanser. Pengguna boleh membuat aduan kepada SKMM dan SKMM akan mengambil tindakan dengan menyiasat dengan lebih lanjut tentang aduan itu. Apa berlaku selepas itu ialah pengendali komunikasi beralah dan memindahkan dari lokasi asalnya. Anehnya, beberapa hari kemudian, penduduk yang sama membuat aduan kepada SKMM bahawa beliau menerima liputan rangkaian yang amat teruk!
Beberapa pendekatan telah diambil oleh syarikat telekomunikasi untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah menggunakan infrastruktur rangkaian yang lebih kecil, menggunakan menara tiruan yang kelihatan seperti pokok atau menggunakan antena tampal yang mampu ‘bersembunyi’ dengan persekitaran (seperti dinding bangunan). Strategi ini berjaya mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap kewujudan menara disekeliling mereka.

 

TraXX.FM: Apa langkah penjagaan yang boleh diambil oleh pengguna jika masih lagi bimbang dengan risiko kanser dan sinaran daripada telefon pintar?
Dr. Rosdiadee: Kajian terdahulu menunjukkan telefon analog (seperti Generasi Kedua; 2G) menghasilkan tenaga RF yang tinggi berbanding telefon sekarang yang menggunakan teknologi digital. Tambahan pula, generasi rangkaian terkini (3G & 4G) beroperasi pada frekuensi tinggi, lantas membawa tenaga RF yang jauh lebih rendah.
Selain itu, menara telekomunikasi masa kini menggunakan tenaga yang jauh rendah berbanding menara telekomunikasi terdahulu. Ini didorong oleh permintaan pengendali telekomunikasi yang mahu mengurangkan kos operasi masing-masing dengan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
Syarikat telekomunikasi seperti Huawei dan Ericsson mula menggunakan peranti dan perkakasan rangkaian yang mesra alam untuk mengurangkan penggunaan kuasa. Sebagai perbandingan, perkakasan pada menara pemancar 2G memerlukan kuasa sebanyak 600-1,800 Watt, 3G pada 750-1,000 Watt dan 4G pada kadar 965 Watt. Dapat dilihat, semakin maju teknologi rangkaian, semakin rendah tenaga digunakan.
Pengguna juga boleh menggunakan specific absorption rate (SAR) pada setiap telefon bimbit sebagai panduan sebelum membeli sesuatu telefon pintar. Kadar pendedahan maksimum SAR pada telefon bimbit ditetapkan pada 1.6 Watt bagi tenaga terserap per kilogram berat badan oleh Federal Communications Commission (FCC). Sebagai contoh, telefon Apple iPhone 6 Plus mempunyai nilai SAR 1.16 dan Samsung Galaxy S6 dengan SAR 1.25. Telefon generasi terdahulu mempunyai nilai SAR yang lebih tinggi berbanding telefon model terkini, namun ianya masih dibawah SAR yang ditetapkan oleh FCC.
Akhir sekali, pengguna boleh mengurangkan pendedahan terhadap sinaran dengan mengurangkan sentuhan dengan telefon bimbit. Pengguna dinasihatkan supaya membataskan masa panggilan dan lebih banyak menggunakan sistem pesanan ringkas seperti Whatapps, Telegram dan sebagainya.

 

TraXX.FM: Akhir kata dan pesanan kepada orang awam.
Dr. Rosdiadee: Lumrah manusia menjadi kalut apabila menerima maklumat menakutkan mengenai kesihatan kita. Ditokok tambah dengan maklumat palsu yang berkeliaran di media sosial menimbulkan kekeliruan kepada pengguna. Sebagai pengguna bijak, kita sepatutnya lebih risau kepada Kumpulan 1 oleh IARC sebagai penyebab utama kanser, seperti daging diproses, rokok, asap enjin diesel dan minuman beralkohol, berbanding dengan sinaran daripada telefon pintar. Pengguna sepatutnya melindungi keluarga dan diri sendiri dengan mengurangkan pendedahan kepada ejen-ejen daripada Kumpulan 1 tersebut, berbanding mengurangkan pendedahan kepada telefon pintar.
Walaupun masih wujud pelbagai tohmahan palsu mengenai kesan negatif daripada penggunaan telefon pintar, namun, manfaat diberikan dalam kehidupan harian kita jelas lebih bermakna. Saban hari tanpa telefon sepastinya akan menjejaskan urusan harian kita. Sebagai seorang penyelidik, saya berpendapat teknologi telekomunikasi membantu kehidupan harian dan merupakan suatu perkara yang mengangkat tinggi peradaban manusia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge