SHARE

Oleh: Dr. Faizuan Abdullah

Pakar Teknologi, Focus Industrial Systems Sdn. Bhd.

Molluscure™ ialah sistem yang direka cipta untuk menyingkirkan logam toksik daripada spesis moluska seperti kerang, kupang, dan tiram bagi menepati piawaian kandungan logam yang dibenarkan oleh standard seperti EU Commission Regulation 2006 dan Akta Makanan Malaysia 1985. Sistem Molluscure™ ialah gabungan beberapa teknologi hebat seperti reagen (agen pengkelat) yang dicipta dari bahan asas cuka (asid asetik), pemangkin dari mineral zink dan juga teknologi nanobubble dari Jepun. Sistem Molluscure dapat menyingkirkan logam berat yang terkandung di dalam hasil laut bercengkerang sehingga 90 peratus dan dapat disesuaikan dengan piawaian-piawaian tersebut.

Sistem ini telah dipatenkan oleh penyelidik-penyelidik dari Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff, dan dianggotai oleh Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Razali Ismail, Dr. Faizuan Abdullah, dan En. Ihsan Wan Azelee. Sistem ini juga telah dilesenkan untuk dikomersialkan kepada syarikat Focus Industrial Systems Sdn. Bhd.

Prototaip pertama sistem Molluscure™ yang ditaja ICC UTM (Kapasiti: 50 kg kerang/kupang/tiram)

Pada peringkat awal, sistem ini bermula dengan kajian Geran Universiti Penyelidikan UTM yang diketuai Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff yang bertajuk Sustainability Factors for Spawning and Growth of the Green Mussel at Danga-Pendas Straits pada tahun 2011. Kemudian, kajian ini diteruskan di bawah geran yang bertajuk Enhancement of Lysosomal Integrity for Heavy Metals Removal in Green Mussel Using Nanobubble Treatment.

Pada tahun 2012, kumpulan penyelidikan ini dengan jayanya telah memenangi pingat emas dan anugerah Interactive Invention Award dalam program Industrial Art and Technology Expo (INATEX) 2012, anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UTM. Pingat emas juga telah dimenangi ketika menyertai program Malaysian Technology Expo (MTE) pada tahun 2013, anjuran Malaysian Association of Research Scientist (MARS).

Momentum kejayaan projek ini diteruskan pada tahun 2014, apabila Dr. Faizuan Abdullah yang pada ketika itu merupakan pelajar PhD Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff telah terpilih untuk menyertai sesi pitching anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UTM. Pada program tersebut, ICC UTM telah bersetuju untuk menaja dana bagi membangunkan prototaip bagi sistem Molluscure™. Prototaip yang telah dibina itu juga digunakan sebaiknya untuk melakukan kajian bersama Pusat Penyelidikan Perikanan (FRI) iaitu agensi dibawah Jabatan Perikanan Malaysia.

Sistem Molluscure™ skala industri (Kapasiti: 700 kg kerang/kupang/tiram)

Akhirnya, pada awal tahun 2016, sistem Molluscure™ telah dianugerahkan geran kerjasama bernama High Impact Program 2 (HIP2) Concept to Commercialization Gap Fund (CCGF) dibawah tajaan Platcom Ventures Sdn. Bhd., iaitu syarikat di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM). Geran pengkomersialan ini ialah bagi membangunkan sistem Molluscure™ pada skala industri bersama-sama rakan kolaborasi Focus Industrial System Sdn. Bhd.

Molluscure™ juga telah terpilih sebagai salah satu projek di bawah Institut Kajian Strategik Johor (IISJ) untuk diperkenalkan kepada nelayan penternak kerang di Mukim Ayer Baloi, Pontian Johor. Ia adalah bertujuan untuk mendedahkan teknologi ini kepada golongan sasar iaitu nelayan penternak spesis moluska, terutama kerang yang mempunyai potensi pasaran yang sangat luas.

Nama “Molluscure” berasal dari gabungan perkataan “Mollusc” iaitu bermaksud spesis moluska atau hidupan laut bercengkerang, manakala perkataan “cure” di dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud merawat atau memulihkan.

Pada asasnya, spesis moluska mendapatkan makanan dan zat hanya melalui proses filter feeder iaitu memakan plankton yang wujud di dalam air di kawasan habitatnya. Moluska seperti kupang akan menyedut air dan melepaskan air, kemudian mengambil apa saja bahan termasuk plankton yang terkandung di dalam air untuk dimakan. Pada masa yang sama, bahan tercemar yang terkandung di dalam air seperti logam toksik (contohnya arsenik, plumbum, kromium, dan merkuri) juga turut diserap di dalam badan spesis ini. Hal ini menyebabkan spesis moluska ini mengandungi bahan pencemar yang tinggi dan perlu dirawat.

Kaedah untuk merawat hasil laut bercengkerang seperti kerang, kupang dan tiram sebelum ini dikenali sebagai teknik depurasi atau depuration. Teknik konvensional ini memerlukan hasil laut tersebut direndam di kawasan air laut atau kuala yang lebih bersih selama sehari atau maksimum dua hari. Hal ini menyebabkan kaedah konvensional tersebut memerlukan kos logistik dan masa yang lebih lama sebelum memasuki pasaran.

Sebagai sebuah teknologi ulung seumpamanya, Molluscure™ mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah menggunakan bahan-bahan yang selamat, seperti reagen yang berasaskan bahan makanan seperti cuka (asid asetik yang diubah suai) dan juga pemangkin dari bahan mineral yang tidak toksik (pemangkin pepejal berasaskan garam zink).

Selain itu, teknologi nanobubble dari Jepun digabungkan di dalam sistem ini bagi menggandakan keberkesanan dalam menyingkirkan logam toksik dengan masa yang pantas. Kesemua elemen ini disatukan bagi meningkatkan mutu dan kualiti produk bercengkerang bagi meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Program Pengenalan Sistem Molluscure™, di mukim Ayer Baloi, Pontian (14 Januari 2017)

Sistem Molluscure™ juga dapat menjimatkan masa rawatan (hanya maksimum tiga jam), menggunakan bahan yang selamat dan juga menjimatkan kos untuk rawatan produk makanan laut bercengkerang. Sistem ini juga sesuai untuk digunakan oleh penternak kerang, kupang, tiram, dan spesis bercengkerang yang lain. Ia juga boleh digunakan oleh pengusaha restoran makanan laut, kolam penternakan, dan juga industri berasaskan teknologi.

Golongan sasar yang menerima manfaat secara terus daripada sistem Molluscure™ ialah nelayan atau penternak hasil laut seperti kerang, kupang, dan tiram. Dengan adanya sistem ini, mereka akan dapat meningkatkan mutu produk hasil laut dan juga melepasi piawaian-piawaian tempatan dan antarabangsa. Hal ini sekali gus memberi nilai tambah kepada produk mereka, di samping membuka peluang untuk produk hasil laut mereka dieksport ke luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge