Artikel asal telah disunting untuk kesesuaian pembaca
Sewaktu berita mengenai seorang penghidap Virus HIV warga United Kingdom telah sembuh dari virus HIV menerusi rawatan sumsum tulang masih diperkatakan, muncul pula pengumuman bahawa seorang lelaki di Jerman mungkin juga bebas Virus HIV akibat rawatan serupa.
Pada hari Isnin (4 Mac), para penyelidik mengumumkan bahawa lelaki U.K. – yang dikenali sebagai “pesakit London” – bebas HIV berikutan pemindahan sumsum tulang pada asalnya bertujuan untuk merawat penyakit kanser. Pesakit London merupakan orang kedua dilaporkan kekal bebas Virus HIV tanpa perlu bergantung kepada ubatan.
Kemudian, pada Selasa (5 Mac), sekumpulan penyelidik lain mengumumkan kemungkinan kes ketiga digelar “pesakit Düsseldorf.” Pesakit ini juga bebas HIV selepas menerima pemindahan sumsum tulang, menurut kenyataan dari IciStem, sebuah konsortium terdiri daripada saintis Eropah yang menjalankan penyelidikan ke atas pemindahan sel tunjang untuk rawatan jangkitan H.I.V. Walau bagaimanapun, pesakit Düsseldorf baru berhenti mengambil ubatan HIV selama hampir 4 bulan, bermaksud masih terlalu awal untuk mengetahui samada pesakit telah bebas HIV sepenuhnya. Sebaliknya, pesakit London telah berhenti mengambil ubatan HIV selama 18 bulan, menyebabkan para doktor lebih yakin bahawa Pesakit London Bebas HIV.
Kedua-dua pesakit telah menerima pemindahan sumsum tulang daripada penderma yang mempunyai mutasi genetik tahan Virus HIV (delta 32). Ringkasnya, mutasi genetik ini mencegah Virus HIV daripada memasuki ke dalam sel-sel badan seterusnya menyebabkan jangkitan kronik.
Kedua-dua kes ini telah dibentangkan di Conference on Retroviruses and Opportunistic Infections (CROI) di Seattle pada minggu ini.
Orang pertama bebas HIV dikenali sebagai “Pesakit Berlin” juga “dirawat” menerusi pemindahan sumsum tulang dengan mutasi protein CCR5 pada tahun 2007 dan telah bebas Virus HIV lebih dari satu dekad.
Risiko Prosedur Pemindahan Sumsum Tulang menyebabkan ia tidak boleh digunakan sebagai rawatan khusus untuk mencegah Virus HIV. Keutamaan Pesakit Berlin, London dan Düsseldorf menjalani rawatan pemindahan sumsum tulang bertujuan merawat kanser berbanding jangkitan Virus HIV.
Begitupun, para penyelidik mungkin boleh menggunakan data yang diperolehi daripada kes-kes istimewa ini dalam membangunkan rawatan baru mencegah Virus HIV. Marilah kita mendoakan kejayaan mereka!
Kredit Foto:
Livescience