SHARE
Yves Meyer, seorang ahli matematik Perancis, telah diisytiharkan semalam sebagai pemenang Hadiah Abel 2017 di atas peranan pentingnya di dalam pembangunan teori gelombang kecil (wavelet), suatu teori matematik yang sering digunapakai dalam pemampatan data (data compression), pengimejan perubatan (medical imaging) dan pengesanan gelombang graviti (gravitational wave).
Meyer, yang kini berusia 77 tahun, akan menerima hadiah sejumlah 6 juta kron Norway (kira-kira £600,000) daripada Akademi Sains dan Persuratan Norway, sebagai tanda penghargaan di atas jasa besarnya kepada matematik.
Hadiah Abel telah dianugerahkan secara tahunan bermula 2003 dan dimenangi oleh Sir Andrew Wiles pada tahun lalu di atas hasil-hasil kerjanya membuktikan Teorem Terakhir Fermat. Hadiah Abel, yang merupakan hadiah yang tertinggi dalam kalangan komuniti matematik, dianggap setara dengan hadiah Nobel yang tidak memperuntukkan hadiah untuk matematik.
Yves Meyer dilahirkan pada 19 Julai 1939 sebagai warganegera Perancis. Dibesarkan di dalam keluarga beragama Yahudi Sephardic, Meyer menghabiskan masa usia awalnya di Tunisia di kawasan Afrika Utara. Beliau memasuki École Normale Supérieure (ENS) pada tahun 1957 setelah menduduki tempat pertama di dalam peperiksaan kemasukannya. Pada tahun 1966, beliau memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Strasbourg di bawah seliaan Jean-Pierre Kahane.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai profesor matematik di Universiti Paris-Sud (1966-1980), kemudiannya di École Polytechnique (1980-1986) dan Universiti Paris-Dauphine (1986-1995). Beliau kemudiannya berpindah ke ENS Cachan (kini dikenali sebagai ENS Paris-Saclay) pada 1995 hingga 2008.
Pada tahun 2010, Meyer menerima anugerah Hadiah Gauss di atas sumbangan-sumbangan besar di dalam teori nombor, teori pengendali (operator theory) dan analisis harmonik (harmonic analysis) dan peranannya di dalam membangunkan teori gelombang kecil dan analisis berbilang leraian (multiresolution analysis). Sebelum itu, beliau juga menerima anugerah Hadiah Salem pada tahun 1970.
(Biografi beliau yang selanjutnya boleh diakses di sini.)
Analisis Fourier telah membuka ruang kepada pemprosesan suatu isyarat (signal) atau fungsi menjadi pecahan-pecahan yang mudah seperti gelombang sinus dan kosinus. Pecahan-pecahan tersebut mempunyai spektrum frekuensi yang pekat tetapi berserakan di dalam ruang. Analisis gelombang kecil kemudiannya menjadi alat untuk ‘memotong’ suatu fungsi menjadi pecahan-pecahan yang bertumpu di dalam frekuensi dan ruang.
Gelombang kecil Meyer
Antara sumbangan genting Meyer yang pertama ialah pembinaan basis ortonormal licin gelombang kecil. Fungsi-fungsi yang muncul dari basis yang diperkenalkan oleh Meyer dengan mentranslasi dan mendilasi suatu gelombang kecil ibu (mother wavelet) licin. Kemudiannya, Meyer bersama Stéphane Mallat membangunkan teori analisis berbilang leraian secara sistematik, yang merupakan rangka umum dalam membina basis-basis gelombang kecil.
Sumber:
1. https://www.theguardian.com/science/alexs-adventures-in-numberland/2017/mar/21/abel-prize-2017-yves-meyer-wins-maths-nobel-for-work-on-wavelets
2. http://www.abelprize.no/nyheter/vis.html?tid=69588

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge