SHARE
Oleh: Dr Mohamad Faiz Mohd Amin
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan.

‘Oksigen terlarut’ adalah kadar gas Oksigen (O2) yang terlarut dalam cecair.  Oksigen terlarut terhasil dan memasuki air melalui udara yang terdapat di sekitar permukaan air, melalui pengudaraan disebabkan oleh pergerakan pantas (arus air), dan juga hasil daripada proses fotosintesis tumbuhan dan mikroorganisma akuatik.
Oksigen terlarut di dalam tasik, sungai dan lautan adalah penting untuk kemandirian hidupan akuatik. Penurunan kadar oksigen terlarut di bawah paras normal di dalam jasad air akan menyebabkan kualiti air terjejas dan seterusnya membawa kepada kematian hidupan akuatik.
Oksigen Terlarut Dan Kualiti Air
Air yang bergerak laju seperti air bukit atau sungai besar cenderung untuk mengandungi banyak oksigen terlarut, manakala air yang bertakung mempunyai kurang oksigen terlarut. Lambakan bahan organik di dalam tasik dan sungai akan menyebabkan kondisi eutrofikasi yang merupakan situasi kekurangan oksigen dan menyebabkan jasad air ‘mati’. Kekurangan oksigen ini adalah disebabkan oleh penguraian bahan organik oleh bakteria di dalam air yang menggunakan oksigen dalam metabolisma bahan ini.
Proses fotosintesis adalah punca utama yang mempengaruhi hubungan antara oksigen terlarut dan suhu. Dalam masa yang sama, faktor kekeruhan air, kekuatan dan tempoh sinaran matahari memainkan peranan dalam menentukan kadar fotosintesis. Peningkatan faktor-faktor ini merendahkan kadar fotosintesis dan seterusnya menyebabkan kadar oksigen terlarut di dalam jasad air berkurangan. Konsentrasi oksigen terlarut juga dikaitkan dengan turun naik suhu air harian dan mengikut musim.
Oksigen Terlarut dan Hidupan Akuatik
Oksigen terlarut yang terkandung di dalam air digunakan oleh pelbagai hidupan akuatik, di mana ianya menjadi parameter penting kepada pengukuran ‘kesihatan’ tasik dan sungai. Secara umumnya, paras minimum oksigen terlarut yang boleh menyokong pelbagai variasi hidupan akuatik adalah di antara 4 hingga 5 Mg/L. Apabila paras oksigen terlarut ini turun di bawah 3 Mg/L, kebanyakan ikan akan mati. Walau bagaimanapun, pada paras di bawah 3 Mg/L, terdapat sebilangan ikan dewasa masih kekal hidup, namun proses pembiakan mungkin terhalang oleh keperluan kepada oksigen terlarut yang tinggi untuk telur dan peringkat pembesaran.
Kekurangan oksigen terlarut akan menyebabkan perubahan habitat yang besar terhadap jenis organisma akuatik yang terdapat pada sesuatu jasad air. Spesis-spesis sensitif seperti ikan kelah (Tor Tambroides) yang tidak toleran kepada paras oksigen terlarut yang rendah akan berkurangan dan diganti dengan spesis yang lebih toleran.
Rajah 1: Tahap toleransi ikan kepada paras oksigen terlarut (www.water-research.net; 6 March 2017)
.
Rajah 2: Penulis bersama spesies ikan kelah yang semakin berkurangan di Sungai Lebir, Kelantan (Kredit gambar: Nor Hizami Bin Hassin)
Pengukuran Oksigen Terlarut
Pada masa kini, pengukuran oksigen terlarut di lapangan seperti sungai dan tasik adalah menggunakan alatan seperti multi-parameter unit yang moden. Unit multi-parameter moden adalah sepenuhnya elektronik, mudah-alih, dan menggunakan prob yang sensitif. Penggunaan unit ini di lapangan dapat memudahkan, mempercepatkan, dan mengurangkan ralat cerapan di lapangan.
Rajah 3: Cerapan dan menilai bacaan parameter air menggunakan unit multi-parameter (Kredit gambar: Ab Halim Hafiz Ab Aziz)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge