SHARE
Dr. Jayaraj Vijaya Kumaran (Google Scholar)
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan
Berikut merupakan ringkasan jurnal En. Richard The Swee Aun dan penulis sendiri berjudul ‘Gender Identification of Domesticated Chicken Using a- PCR Based Method’ yang diterbitkan dalam Pertanika J. Trop. Agric. Sci. 33 (2): 329 – 336 pada tahun 2010. Jurnal boleh dimuat turun di SINI.
Penjantinaan anak ayam adalah satu proses penting dalam industri penternakan ayam pedaging dan penelur. Anak ayam yang dipilih mengikut jantina pada awal tumbesaran dapat mengurangkan kos pengeluaran dan memastikan harga ayam di pasaran berpatutan. Namun bergitu, proses penjantinaan anak ayam amat sukar dilakukan kerana morfologi anak ayam jantan dan betina sukar dibezakan (Gambarajah 1). Kaedah konvensional iaitu penjantinaan kloaka adalah paling popular tetapi ia kurang jitu (Kejituan 98% tepat) dan memerlukan kepakaran yang terlatih.
Gambar 1. Anak ayam jantan atau betina?
Jantina seekor burung ditentukan oleh pasangan kromosom seksnya iaitu kromosom Z dan kromosom W. Jika pasangan kromosom seksnya ialah ZZ maka burung tersebut adalah jantan manakala ZW adalah bagi burung betina. Berpandukan konsep ini, penjantinaan ayam boleh dilakukan menggunakan teknologi DNA yang sedia ada. Maka satu kaedah penjantinaan anak ayam menggunakan teknologi reaksi rantai polimerase (PCR) telah dihasilkan dan mampu menjantinakan anak ayam dengan tepat (100%). Kaedah ini melibatkan tiga proses utama iaitu penyampelan, pengekstrakan DNA dan reaksi rantai polimerase (PCR).
Proses penyampelan melibatkan pengambilan sampel DNA dari anak ayam tersebut. Dalam kajian yang diterbitkan, tiga helai bulu ayam diambil sebagai sampel DNA tetapi secara teorinya, kumuhan mulut, cakerang telur atau sampel darah boleh digunakan sebagai alternatif. Proses kedua iaitu pengekstrakan DNA dibuat menggunakan kit komersil yang sedia ada. Kaedah pengekstrakan DNA kini boleh dipercepatkan daripada proses selama sejam, 30 minit kepada 10 minit bergantung kepada kit yang digunakan. Proses yang melibatkan banyak sampel boleh dipermudahkan menggunakan sistem robotik yang ada di pasaran.
Gambar 2. Gambar kiri menunjukkan sampel 1 yang merupakan ayam betina (dua jalur) dan sampel 2 ayam jantan (1 jalur). Gambar kanan menunjukan hasil proses PCR yang telah melalui kaedah gel elektrophoresis.
Hasil pengekstrakan DNA pula akan digunakan untuk PCR, iaitu satu proses penghasilan rantaian DNA yang khusus dimangkinkan oleh enzim ‘Taq polymerase’. Proses PCR dalam kajian ini menghasilkan rantaian DNA khusus daripada gen ‘Chromosome Helicase DNA binding protein’, dan gen ini wujud di kedua-dua kromosom seks Z dan W. Jika jantina anak ayam tersebut adalah jantan, proses PCR akan menghasilkan rangkaian DNA Z (345 bps) sahaja, manakala bagi anak ayam betina, dua rangkaian DNA berbeza saiz (kromosom Z: 345 bps dan kromosom W: 362 bps) akan terhasil (Gambarajah 2). Kedua-dua rangkaian DNA ini boleh diperhatikan menggunakan kaedah gel elekroforesis tetapi teknologi yang lebih canggih seperti qPCR atau Lamp-PCR boleh diperkembangkan supaya proses penjantinaan anak ayam ini lebih pantas dan menjimatkan. Teknologi ini juga sesuai digunakan pada burung-burung lain dan boleh diperkembangkan untuk ikan terutamanya ikan-ikan hiasan seperti Arowana dan Flowerhorn.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge