SHARE
Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri
“Dogma” adalah istilah yang gunakan untuk menegaskan sesuatu prinsip sebagai pegangan penting khususnya berkaitan dengan kepercayaan. Namun kebelakangan ini, ia tidak terkecuali kepada perihal keagamaan sahaja. Ketaksuban kepada sesuatu pegangan sehingga menolak pandangan lain, lantas enggan sama sekali berbincang apa lagi menerima penjelasan berbeza tergolong juga kepada sikap “dogmatik” atau kefahaman dogmatisme.
Anjakan Paradigma 
Sains umumnya tidak dianggap sebagai dogmatik kerana kaedah yang terbuka kepada berbagai pandangan. Sebelum dimuktamadkan sebagai “fakta”, ia perlu melalui berbagai perdebatan disertai hujah-hujah bersama bukti untuk menghampiri “kebenaran.”‎ Misalnya, pada suatu ketika dahulu apabila matahari dipercayai berkisar mengelilingi bumi, kaedah sains berupaya mengubah pandangan tersebut selepas sekian lama menjadi dogma berasaskan ajaran gereja. Model tersebut kini berubah kepada bumi mengelilingi matahari dan fakta itu masih kekal sehingga hari ini sebagai fahaman asas berlandaskan hujah dan bukti sains yang kukuh.
Selagi bukti-bukti yang ada mantap dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak, maka tidak timbul sebarang ‎soal mengenai dogmatisme. Ini adalah kerana fakta yang ada masih terbuka kepada perubahan sekiranya ada hujah-hujah baru yang ingin dikemukakan dari masa ke masa. Namun apabila peluang untuk berbuat demikian tidak lagi wujud, maka sains mula mendekati fahaman dan amalan dogmatisme.
Umumnya, walau bagaimanapun besar kemungkinan hal ini akan berlaku apabila satu lagi kerangka besar kefahaman sains mula beranjak. Proses ini lebih dikenali sebagai anjakan paradigma dengan maksud satu sudut pandangan baru lagi radikal mencabar fahaman dan pemikiran arus perdana. Anjakan peredaran matahari mengelilingi bumi kepada sebaliknya bolehlah diertikan sebagai suatu anjakan paradigma. Anjakan seumpama itu menukar sama sekali kefahaman semasa kepada yang lain yang lebih tepat lagi serta sesuai dengan peredaran zaman.
Sains‎ Pasca-Material
‎Apapun kemungkinan anjakan paradigma yang lebih besar berlaku buat masa ini masih samar-samar. Apa yang jelas adalah beberapa pandangan bahawa asas sains yang dahulu dikatakan berpaksikan kepada kebendaan ataupun bersifat materialistik – yakni terhad kepada benda-benda fizikal yang boleh dilihat, sentuh dan rasa – umumnya yang terdapat di alam nyata, sudah mula berkisar kepada suatu perspektif lain. Asas sains yang baru ini mencakupi perkara-perkara bukan material atau kebendaan. Ini terangkum perkara-perkara yang tidak berupaya dilihat, sentuh mahupun dirasanya secara fisikal. Aliran ini lebih dikenali sebagai pasca-material, dan sains yang bersandarkan kefahaman ini dikenali sebagai sains pasca-material – suatu perubahan besar dari fahaman konvensional atau sains semasa.
Mengikut asas dan pandangan semasa, segalanya bermula dengan benda ‎dan berakhir sedemikian juga. Apa yang berlaku atau terjadi semuanya adalah secara kebetulan (by chance) mahupun mengikut hukum-hukum alam yang juga secara kebetulan. Dan ini difaham oleh akal sebagai hukum semulajadi belaka. Soal pencipta atau ketuhanan tidak wujud kerana tidak sesuai dengan perspektif material atau benda tadi. Oleh itu, ditolak tepi saja. Natijahnya, jika sesuatu itu bukan benda atau material, ia akan terus dikesampingkan sama sekali. Sebab itu jugalah soal “roh” atau “ketuhanan” tidak mendapat tempat dalam sains modern dari aspek kebendaan. Ini semua  kesudahannya dipulangkan kepada otak serta minda yang juga dianggap sebagai benda kerana sekurang-kurangnya boleh “diukur” atau “disukat” misalnya dalam perlihatkan aktiviti yang diertikan sebagai tindakan atau fungsi minda. Yakni tidak lain dan tidak bukan berkait dengan aktiviti otak juga sebagai satu benda. Rumusan ini dikatakan tidak mungkin bagi “roh” atau “kesedaran” manusia itu sendiri. Maka tersingkirlah aspek ini dari kefahaman serta aspek-aspek sains modern.
10 Dogma Sains
Inilah sebenar-benar yang sedang berlaku kini apabila kita menyebut tentang sains pasca-material. Pertimbangannya amat jauh berbeza dengan sains moden semasa yang terkongkong dengan aspek-aspek material semata-mata. Sekaligus tidak mengiktiraf aspek-aspek bukan benda, termasuk “kesedaran” dan “roh” antara lain. Pendek kata, sains moden umumnya menolak pandangan ini habis-habisan. Ia tidak lagi terbuka kepada cabaran-cabaran baru sebagaimana sains pernah dicabar dan diuji dalam mencari jawapan atau penyelesaian kepada persoalan kemanusiaan serta sejagat. Kes ini paling jelas jika dilihat melalui penulisan berjudul The Science Delusion (2012) oleh seorang ahli sains terkenal Profesor Rupert Sheldrake yang melakarkan 10 dogma sains moden.
The Science Delusion (2012) oleh Rupert Sheldrake
Di Amerika Syarikat, judul ini dipasar pada tahun yang sama dengan nama lain yang lebih tepat: Science Set Free: 10 Paths to New Discovery. Antara persoalan yang dibangkitkan beliau adalah tentang “kesedaran” dan “minda” yang menjadi “kegusaran” komuniti sains semasa kerana mengikut pandangan mereka, hal-hal ini tidak mempunyai hujah bukti yang kukuh mahupun merujuk kepada sebarang bentuk penyelidikan. Mengambil bidang fizik sebagai contoh, Sheldrake menghujahkan bahawa hukum semulajadi (law of nature) mungkin tidak tetap baikpun ia dijadikan pegangan sekarang ini. Mengikut Sheldrake lagi, para sains sering merekodkan kepantasan sinar cahaya yang berbeza-beza dipelusuk dunia (dan bukan ukuran tunggal seperti yang diuar-uarkan); begitu juga halnya dengan ukuran daya tarikan graviti bumi (gravitional force). Namun alasan yang sering diberikan adalah ini semua ralat ujian dan bukan kerana perubahan sebenarnya seperti dakwaan Sheldrake yang menganggap alasan mereka sebagai suatu “dogma” kerana enggan memberi ruang untuk melihat sebalik alasan tersebut. Apakah benar hukum semulajadi berbeda mengikut kitaran seharian? Tambahan lagi, mengikut beliau, banyak pula usaha dilakukan agar persoalan ini tidak timbul dengan membuat berbagai perkiraan lain supaya disesuaikan dengan model sedia ada. Ini menguatkan lagi tomahan terhadap sains dogmatik bersangkutan dengan penafian idea-idea baru (yang tidak lazim) untuk diterbit dalam jurnal berpenumpuan bidang teras disokong dengan indeks tertentu seolah-olah sebagai satu pengukuran mutlak dari segi kepentingannya.
Dengan cara demikian, paradigma baru terus terkesamping kerana tidak dapat dimasukkan dalam kotak idea atau silo disiplin yang sedia ada sepertimana yang dibincangkan dalam artikel terdahulu.
Yang paling serius lagi apabila hujah untuk menolak sesuatu idea itu didasarkan kepada soal “ideologi” atau “nilai” silang tamadun, misalnya antara timur dan barat yang lebih “berpengaruh” dalam dunia sains dan teknologi ataupun mengikut STEM yang akar umbinya tidak menentu. Pendekatan ini telah lama dikenali sebagai satu “monopoli” ilmu pihak tertentu dan kini ternyata pemikiran “dogmatik” dalam sains merupakan satu-satunya sebab ini berlaku mengikut pengalaman Sheldrake walaupun beliau seorang professor barat yang terkenal.
Kesimpulan
Apapun, pandangan Sheldrake tidak kurang dikritik sebagai tidak mantap hujahnya mengikut lunas-lunas sains semasa.  Ini mungkin betul tetapi ini juga bermakna kerangka sains tersebut akan berkekalan sebagai “mutlak” dan sekaligus merupa dogma menghambat kemasukan idea-idea baru. Ini ternyata pada Januari 2013, apabila Sheldrake memberi syarahan pada majlis TEDxWhitechapel di East London tentang ideanya berdasar buku tersebut. Sungguhpun ada yang setuju dengan pendapat beliau bahawa sains kini terperangkap dalam kotak pemikiran tersendiri, tetapi oleh kerana idea yang diutara oleh Sheldrake dianggap radikal dan jauh dari arus perdana semasa, maka persembahan TEDxnya itu di “gantung” dari tontonan pihak pengurusan TED yang mengatakan ini adalah hak mereka untuk mengambil langkah berkenaan. Pun begitu ramai berpendapat ini tidak wajar kerana ia menghadkan perbincangan serta mencabuli asas prinsip dan pendekatan pengembangan sains.
Dengan kata lain: adakah sains sudah mengambil bersikap dogmatik tatkala tercabar dengan idea-idea baru?
NotaProf. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge