Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia
Seluruh dunia telah digemparkan dengan penularan pandemik yang dikenali sebagai COVID-19 yang dikatakan berasal dari Wuhan, China. Ia bermula pada pertengahan bulan Disember 2019. Keghairahan menyambut ambang tahun 2020 kian suram apabila pada Disember 2019 berlaku kematian yang berpunca daripada pandemik ini di wilayah Wuhan, China. Virus ini pada mulanya hanya tersebar di sekitar Wuhan, China dan kawasan-kawasan yang berdekatan namun akhirnya, kini telah tular dengan pantas ke serata dunia dan mendatangkan banyak implikasi negatif kepada seluruh penduduk seantero dunia. COVID-19 ini telah dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada bulan Mac 2020 akibat kes kematian yang kian meningkat secara mendadak dan kes jangkitan yang semakin berleluasa. Namun begitu, seluruh dunia sebenarnya tidak berdiam diri malah mengambil pelbagai jenis langkah penguatkuasaan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 ini. Antaranya dengan mengadakan perintah kawalan pergerakan iaitu sekatan pergerakan merentas sempadan negara, negeri dan daerah, pengisytiharan darurat, penutupan sementara sektor ekonomi dan pendidikan dan banyak lagi. Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ini mempunyai implikasi dengan elemen STEM yang merupakan singkatan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. STEM secara amnya tertumpu kepada istilah yang digunakan dalam dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah bagi meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi. Selain itu, empat cabang akademik disiplin ini melibatkan cara mengaplikasi pengetahuan, kemahiran menyelesaikan masalah seharian dan juga dalam kalangan masyarakat secara global. Tidak dinafikan bahawa dalam era pandemik COVID-19 dan situasi pada masa kini yang kini kian menginjak ke arah endemik banyak mempunyai hubungan, kesan serta kaitan dengan STEM.
Dalam konteks ini, berdasarkan penularan pandemik COVID-19 yang tersebar luas ke seluruh negara menunjukkan bahawa dari aspek sains, virus ini merebak apabila seseorang yang mengalami COVID-19 batuk atau bersin. Kemudian, infeksi titisan ini melalui objek dan permukaan di sekelilingnya. Individu akan mendapat jangkitan COVID-19 apabila menyentuh objek tersebut melalui hidung atau mulutnya. Selain itu, seseorang itu juga boleh dijangkiti COVID-19 jika mereka berada berhampiran dengan pesakit COVID-19 yang batuk atau bersin semasa melepaskan infeksi titisan. Hal ini jelas membuktikan bahawa teori dan aspek sains amat penting dalam mengetahui kaedah sesuatu virus itu merebak agar kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga serta dapat menghindari daripada terkena jangkitan virus COVID-19 tersebut. Selain itu, situasi pandemik COVID-19 ini hakikatnya turut memberi kesan kepada aspek kesihatan dari segi mental dan fizikal. Pihak WHO turut mengeluarkan kenyataan bahawa kegelisahan mengenai penularan virus, kesan psikologi dari perintah berkurung dan kuarantin diri menyumbang kepada krisis kesihatan mental, bersama dengan tekanan yang berkaitan dengan pengangguran, masalah kewangan dan pengasingan sosial. Hal ini tidak boleh dianggap remeh kerana kesihatan mental tidak baik juga turut menyumbang kepada kes kematian yang agak tinggi seperti bunuh diri dan sebagainya di Malaysia dan di negara-negara lain. Selain itu, COVID-19 juga memberi kesan terhadap kesihatan fizikal misalnya seperti sesak nafas, selsema dan berasa letih secara tiba-tiba. Perkara ini berlaku dalam kebanyakan kes individu yang dikesan positif COVID-19. Dalam konteks ini, perkhidmatan sokongan psikologi, doktor, petugas barisan hadapan, pemimpin negara, dan masyarakat sendiri perlu memainkan peranan penting dalam memerangi pandemik COVID-19. Berikutan hal ini, para saintis di seluruh dunia telah melakukan kajian untuk menghasilkan vaksin sebagai penawar. Tambahan lagi, beberapa syarikat farmasi giat menghasilkan vaksin antivirus untuk merawat pesakit COVID-19 dengan mencipta ubat baru atau percubaan klinikal melalui ubat-ubatan sedia ada yang digunakan untuk jangkitan lain pada masa lampau. Berdasarkan laporan WHO, banyak langkah dalam penghasilan vaksin COVID-19 ini yang melibatkan beberapa fasa klinikal. Hasilnya, terdapat beberapa jenis vaksin yang berjaya dihasilkan contohnya Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, Moderna, Johnson & Johnson, CanSino dan sebagainya. Vaksin-vaksin tersebut perlu dijaga dalam suhu yang sesuai mengikut kajian sains yang telah dibuat agar keberkesanan vaksin-vaksin tersebut akan menjadi lebih tinggi. Vaksin-vaksin itu juga hendaklah disimpan rapi supaya tidak mudah tercemar dengan bendasing. Orang ramai mula sedar bahawa penghasilan vaksin-vaksin tersebut sebenarnya dapat mengurangkan risiko terkena jangkitan dengan mendapatkan dos vaksin yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berdekatan. Kini seluruh dunia termasuk Malaysia menghadapi gelombang varian Omicron yang mengakibatkan peningkatan kes penularan wabak COVID-19. Para saintis sedang mencari punca varian Omicron dan mengkaji keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian berkenaan. Jadi ini jelas menunjukkan banyak aspek serta persoalan-persoalan sains yang boleh dirungkaikan dan dikaitkan dengan COVID-19. Secara tidak langsung sebagai pelajar kita dapat mengetahui salah satu aspek dalam STEM iaitu sains dalam isu semasa dan kehidupan seharian.
Berbalik kepada isu pandemik COVID-19 yang kini bukan sesuatu isu yang asing bagi rakyat Malaysia ketika ini khususnya, mempunyai implikasi terhadap teknologi yang juga merupakan salah satu elemen dalam pendidikan STEM. Dalam hal ini, teknologi digunakan untuk menangani pandemik COVID-19 dalam pelbagai kaedah. Sains dan teknologi memainkan peranan penting sebagai contoh, semasa di awal penularan wabak ini negara China telah menumpukan kepada beberapa inisiatif dalam bidang teknologi dalam usaha menangani pandemik COVID-19. Antaranya adalah Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) menggunakan sistem pengenalan wajah seseorang untuk mengesan pesakit yang dijangkiti walhal rekod-rekod perjalanan, alat atau android untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan, dan juga kamera udara untuk membasmi kuman di tempat awam. Seperti diketahui umum, AI sebenarnya telah digunakan secara meluas untuk mencari molekul baharu dalam usaha menghasilkan vaksin COVID-19. Selain itu, kumpulan penyelidik sains komputer di seantero dunia memberi tumpuan dalam mengesan pesakit yang dijangkiti menggunakan perubatan seperti sinar-X melalui pemprosesan gambar dan imbasan CT iaitu Computed Tomography. Selain itu, AI telah dikembangkan dalam pembangunan tracking software dengan menggunakan monitoring bracelet dalam membantu proses klasifikasi pematuhan peraturan kuarantin. Teknologi-teknologi ini sedikit sebanyak membantu dalam mengesan individu yang dijangkiti virus COVID-19 dan mengelakkan daripada merebak. Namun begitu, teknologi-teknologi yang wujud ini bukan semata-semata dalam aspek pencegahan virus COVID-19 secara terus tetapi juga melalui platform media sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat awam untuk memberi kesedaran dan peringatan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan serta duduk di rumah jika tidak bekeperluan ketika musim pandemik ini. Tambahan lagi, ada juga pihak yang mencadangkan untuk menggunakan telefon bimbit dalam pengenalpastian COVID-19, sama ada menggunakan sensor implan di telefon bimbit untuk mengenali kesan sampingan COVID-19 atau tinjauan berdasarkan telefon bimbit untuk menyalurkan pesakit berisiko tinggi kepada pihak atau agensi yang bertanggungjawab. Sehubungan itu, strategi dan langkah yang diambil oleh kebanyakan negara menggunakan teknologi dalam usaha menangani kemelut pandemik COVID-19 ini merupakan satu contoh yang baik dan menarik untuk dikupas dengan lebih lanjut kepada golongan anak muda yang masih belajar agar dapat menerapkan minat dalam diri terhadap bidang STEM.
Kupasan yang selanjutnya, dari aspek bidang kejuruteraan pula kita dapat lihat apabila situasi pandemik COVID-19 ini memberi banyak cabaran kepada bidang ini. Ini dapat dibuktikan menerusi situasi yang berlaku di Wuhan, China apabila kebiasaannya pelancong yang bertandang ke wilayah itu untuk melihat keindahan East Lake iaitu sebahagian pecahan sungai terkenal Yangtze River. Namun, hakikatnya perkara yang dijangkakan berlaku sebaliknya apabila hampir semua hospital di Wuhan menerima pesakit demi pesakit yang disyaki dijangkiti virus maut COVID-19. Justeru, peningkatan angka naik secara mendadak itu menyebabkan kerajaan China bertindak pantas meminta para jurutera di Wuhan membina sebuah hospital yang boleh menampung pesakit sekitar 2,300 orang dalam masa enam hari sebagai jalan penyelesaian. Dari segi perspektif yang lain, misi yang dilakukan oleh kerajaan China itu dilihat seakan-akan mustahil untuk dilakukan berikutan kes positif kian meningkat hari demi hari. Usaha membina hospital baharu masih diteruskan kerana jumlah pesakit disyaki dijangkiti COVID-19 sudah mencecah hampir 7711 kes dan 170 disahkan maut pada ketika itu. Dalam konteks ini, dapat dilihatkan bahawa kepentingan bidang kejuruteraan dalam kehidupan seharian walaupun dalam situasi yang agak genting seperti pandemik COVID-19. Selain itu, terdapat pihak dari institusi pendidikan tinggi negara terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan menghasilkan semburan pembasmi kuman, face shield dan sebagainya. Mereka juga berusaha melakukan penyelidikan dan langkah proaktif dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini. Hal ini dapat menjamin kelestarian kampus dan terus menjadikan universiti sebagai tempat kesarjanaan ulung. Dengan ini, secara tidak langsung dapat membuka mata pelajar sekolah dan universiti dalam memupuk minat mereka dalam bidang STEM.
Unsur kejuruteraan juga telah diguna pakai oleh saintis-saintis semasa dalam proses pembuatan cecair vaksinasi. Negara pertama yang mendapat kelulusan daripada WHO untuk memperbanyak jumlah vaksin adalah United Kingdom. Vaksin pertama dikeluarkan dari negara itu adalah Pfizer–BioNTech yang diusahakan oleh saintis daripada Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (MHRA). Pembuatan vaksin merupakan salah satu kerja yang rumit kerana saintis perlu menggunakan kepakaran mereka dalam bidang biologi dan kejuruteraan kimia pada masa yang sama. Mereka telah memperkenalkan satu cara untuk mencipta mesin jentera bagi tujuan pengeluaran vaksin secara besar-besaran, mengawet vaksin yang dihasilkan dan menyimpannya untuk kegunaan pada masa hadapan. Perkembangan ini boleh membantu dalam usaha pencegahan sekiranya virus baharu melanda populasi masyarakat sekaligus membolehkan penyelidik menghasilkan vaksin spesifik dengan pantas. Semasa rakyat Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sudah diperkenalkan dengan pelbagai evolusi ciptaan yang dapat memudahkan kehidupan seharian rakyat. Contohnya, termometer inframerah yang merupakan alat yang sudah digunakan secara meluas serata dunia. Akan tetapi, rekaan termometer infra merah yang terbaharu iaitu seakan tiang dan berfungsi secara automatik telah mula muncul setelah beberapa bulan virus menular. Selain itu, alat sanitasi mudah alih juga telah mula dijual di kedai sebeneka dan juga secara dalam talian bagi mereka yang mahu sanitasi pakaian, bungkusan penghantaran, serta tubuh mereka jika mereka baru bergerak pulang daripada berjumpa orang ramai. Hal ini dapat membuktikan bahawa elemen kejuruteraan memainkan peranan penting dalam menangani pandemik COVID-19. Sehubungan itu, banyak komponen dalam bidang kejuruteraan yang boleh menyumbang kepada pencegahan wabak COVID-19 serta boleh dibincangkan bersama pelajar.
Dari aspek matematik, perkara yang paling sinonim dengan musim pandemik COVID-19 adalah berkaitan tempoh masa Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan di seluruh negara kita pada awal tahun 2020. Hakikatnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bertujuan bagi memastikan negara kita dapat memutuskan raitaian pandemik COVID-19 ini daripada terus berleluasa. Selain daripada tempoh masa PKP, tempoh masa untuk individu atau masyarakat kuarantin juga merupakan salah satu elemen matematik dalam situasi ini. Sebagai contoh, jika kita tinggal serumah dengan orang yang positif COVID-19 kita perlu kuarantinkan diri di rumah selama 10 hari.
Matematik yang merupakan salah satu elemen STEM juga berkait rapat dengan pandemik COVID-19 ini. Walaupun pada mulanya pihak kerajaan mempunyai kesulitan dalam merancang langkah-langkah membendung penularan virus, namun, mereka dapat memantau bilangan kes dan langkah dan tindakan yang perlu diambil dengan adanya pengintegrasian matematik. Contohnya, apabila Malaysia dapat mengekalkan angka 1 digit sebagai bilangan kes baharu, pihak kerajaan akan sedaya upaya mempraktikkan Prosedur Operasi Standard yang diguna pakai pada ketika itu dalam kadar maksima. Cabang ilmu matematik yang begitu kritikal untuk didalami pada masa sekarang adalah statistik. Penggunaan ilmu statistik boleh membantu seseorang atau sesebuah kerajaan itu untuk melakukan tindakan selanjutnya dengan kos dan jumlah korban seminimum yang mungkin. Kerajaan telah berjaya memanipulasikan dapatan statistik berkenaan pandemik sebelum memutuskan langkah yang perlu dilakukan pada ketika itu. Contohnya, semasa jumlah pesakit baharu mencapai 20,000 dan ke atas dalam masa sehari, pihak kerajaan telah mengetatkan SOP yang sedia ada seperti rakyat tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah dan negeri sekiranya tiada alasan kukuh, penutupan sementara sektor ekonomi dan pelancongan dan kebanyakan pekerja sama ada kerajaan atau swasta terpaksa mengamalkan konsep kerja dari rumah. Berbeza pula apabila negara mencatatkan kes kurang daripada 10 sehari iaitu pada bulan Julai tahun 2020 yang lalu. Ketika itu, Prosedur Operasi Standard sudah dilonggarkan sedikit yang mana kebanyakan sektor sudah dapat beroperasi seperti biasa. Contohnya, restoran, taman tema dan pusat rekreasi keluarga sudah dibuka semula untuk kunjungan orang awam. Begitu juga dengan statistik yang menunjukkan peningkatan kadar pengambilan 2 dos vaksinasi mencapai 90% yang mana Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan rentas negeri bermula pada 11 Oktober 2021. Pusat hiburan seperti panggung wayang juga telah diberi kebenaran untuk menerima pengunjung dengan syarat dan prosedur yang ditetapkan. Rakyat juga didedahkan dengan konsep R0 (R naught) yang merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.
Natijahnya, dapat disimpulkan bahawa bidang STEM yang terdiri daripada Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik mempunyai kaitan dengan isu pandemik COVID-19 ini. Pelbagai aspek dapat kita lihat misalnya bidang sains yang banyak menyumbang dalam penghasilan vaskin, dari aspek teknologi pula kita dapat lihat teknologi digunakan dalam memudahkan tugas manusia untuk mengesan virus, bidang kejuruteraan pula menyumbang dalam usaha menyediakan tempat untuk pesakit dirawat dengan membina lebih banyak hospital dan penghasilan vaksin, manakala matematik berkait rapat dengan statistik kes COVID-19.
ARTIKEL BERKAITAN:
Meransang Kemahiran Matematik Bayi
Mengembangkan Deria Matematik Bayi Dalam Masa Enam Bulan Pertama
TIMSS 2019: Bagaimana Pencapaian Matematik Malaysia Berbanding Singapura?
Galakkan Pelajar Menjawab Soalan Subjektif
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan untuk Subjek Matematik
COVID-19 Dan Pemikiran Statistik Pelajar
Pentaksiran PISA: Di Mana Kedudukan Malaysia Untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?
Pendekatan Inkuiri Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dalam Tragedi “Budak Gua” Thailand