SHARE

Oleh Rabiatul Adawiyah Zayadi

Penulis menjadi juara Olympiad Nanoteknologi Malaysia 2017

Pernahkah anda menonton filem dalam siri Mission Impossible? Filem ini berkisar tentang ejen perisik yang diberi tugasan-tugasan yang hampir mustahil untuk dilaksanakan oleh manusia biasa. Namun, dengan bantuan sains dan teknologi serta ketangkasan ejen tersebut, semua misi yang pada awalnya nampak mustahil,berjaya disempurnakan. Tanpa sedar, kita juga mungkin sudah beberapa kali berada di tempat ejen tersebut dalam mengharungi ujian dan cabaran hidup. Bagi saya sendiri, menamatkan Sarjana Sains mod penyelidikan dalam tempoh setahun hanya kedengaran seperti angan-angan mat jenin pada awalnya, namun ia tidaklah mustahil untuk dicapai. Kata-kata yang diucapkan oleh penyelia saya, “It’s not impossible, it’s do-able!” telah memberi suntikan semangat untuk saya merealisasikan misi tersebut. Semoga kisah ini dapat memberi inspirasi buat anak bangsa Malaysia yang sedang mahupun bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah.

Permulaan sebagai Pelajar Siswazah

Setelah setahun menceburi dunia pekerjaan, saya kembali bergelar pelajar universiti, atau lebih tepat; pelajar siswazah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 6 September 2016 menandakan permulaan episod kehidupan saya sebagai pelajar Sarjana Sains secara penyelidikan sepenuh masa di Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (kini dikenali sebagai Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi). Bersendirian pada awalnya, kini saya mempunyai ramai kenalan baharu dari pelbagai golongan; baik pelajar, pensyarah, staf sokongan, mahupun pekerja am. Insan-insan baik yang Allah pertemukan sepanjang pengajian juga memberi impak dalam penyempurnaan misi untuk menamatkan pengajian Sarjana dalam tempoh 12 bulan ini.

Tiga hari bergelar pelajar siswazah, buat pertama kalinya saya bertemu dengan penyelia saya iaitu Dr. Faridah Bt Abu Bakar pada sesi taklimat di peringkat fakulti. Setelah pertemuan pertama, kami berjumpa semula bagi membincangkan projek penyelidikan yang bakal saya jalankan. Walaupun saya telah melakukan sedikit pembacaan berkaitan projek tersebut, namun secara jujurnya, saya tidak memahami kebanyakan terma dan nama instrumen yang disampaikan beliau pada waktu itu! Orang kata, malu bertanya sesat jalan. Namun, demi menjaga first impression penyelia terhadap saya, saya dengan yakin mengangguk faham bagi setiap penjelasannya. Habis sahaja pertemuan tersebut, saya bersegera ke perpustakaan dan mencari maksud bagi perkara-perkara yang kedengaran begitu asing di telinga saya pada ketika itu. Syukurlah Allah menerangkan hati saya untuk memproses maklumat-maklumat itu, menjadikan saya begitu teruja untuk memulakan penyelidikan.

Penulis selepas viva voce

Sebulan pertama saya gunakan untuk membuat sorotan literasi, mengemas stesen kerja saya di makmal serta menyertai beberapa aktiviti pelajar bagi menyesuaikan diri saya di kampus. Hampir setiap hari saya meluangkan masa di perpustakaan bagi membekalkan diri saya dengan maklumat asas berkaitan proses fotopemangkinan (photocatalysis) yang merupakan tulang belakang projek penyelidikan Sarjana saya. Bermula 10 Oktober 2016, saya memulakan kerja-kerja makmal dengan tunjuk ajar dan pantauan penyelia. Di sinilah bermulanya penglibatan saya dalam bidang nanoteknologi, khususnya aplikasi titanium dioksida (TiO2) dalam photocatalysis untuk merawat air sisa dari industri tekstil. Untuk penyelidikan ini, saya mensintesis TiO2 daripada kaedah sol-gel menggunakan dua jenis pelarut iaitu air suling dan air Zamzam. Pengubahsuaian TiO2 juga dijalankan bagi mengaktifkannya di jurang cahaya nampak. Saya begitu teruja kerana dapat menggunakan pelbagai instrumen berteknologi tinggi yang saya tidak pernah ketahui kewujudannya sebelum ini. Antara analisis pencirian yang saya jalankan adalah X-ray Diffraction (XRD), Field Emission Scanning Electron Microscopy (FESEM), Raman Spectroscopy, dan Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR). TiO2 yang dihasilkan kemudian digunakan untuk menguraikan pewarna fabrik dengan bantuan cahaya biru (475 nm) dan hijau (520 nm).

Cabaran dan Kejayaan

Adat bagi yang melakukan penyelidikan berasaskan makmal, pasti ada uji kaji yang tidak menjadi. Beberapa kali juga saya dikecewakan dengan hasil uji kaji yang tidak memberangsangkan. Tetapi, saya dan penyelia tidak mudah mengalah. Kami sesuaikan hala tuju projek kami dengan perubahan-perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa. Amat penting bagi pelajar siswazah untuk berfikiran secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selain itu, bergaul dengan rakan-rakan siswazah dari pelbagai bidang juga mampu memberikan alternatif dan akses berguna untuk mencapai sesuatu objektif. Sebagai contoh, saya mempunyai rakan makmal yang merupakan pelajar fakulti kejuruteraan. Kami saling berkongsi ilmu untuk menganalisis data menggunakan pelbagai perisian komputer di mana salah seorang daripada kami lebih pakar.

Seperti pelajar siswazah lain, saya juga diwajibkan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu jurnal berindeks SCOPUS bagi tujuan bergraduat. Jurnal pertama saya (DOI 10.1016/j.jphotochem.2017.06.012) diterbitkan melalui Elsevier dalam masa hanya dua bulan. Pada saat manuskrip kami diterima, saya dan penyelia begitu gembira ibarat bulan jatuh ke riba! Tidak sia-sia kami merajinkan diri menyertai pelbagai seminar tentang penulisan dan penerbitan jurnal di dalam UTHM. Walaupun saya sibuk dengan kerja-kerja makmal dan penulisan tesis, namun saya tidak ketinggalan menyertai seminar, kursus, majlis ilmu dan aktiviti kerohanian, aktiviti pelajar, serta program sukarelawan bagi meningkatkan kemahiran diri. Pertandingan 3 Minute Thesis contohnya, membantu saya menjadi lebih yakin dalam membentangkan projek penyelidikan saya kepada audiens yang ramai. Pada pendapat saya, pelajar siswazah harus mengambil peluang untuk menyertai aktiviti sebegini bukan sahaja untuk mengasah kemahiran insaniah dan menambah kenalan, namun juga sebagai medium untuk melupakan seketika tekanan (jika ada) dalam proses penyelidikan.

Imej FESEM menunjukkan morfologi titanium dioksida

Berbalik kepada urusan penyelidikan, kerja-kerja makmal saya berlanjutan hingga bulan April 2017. Bagi penulisan tesis pula, saya bermula pada Februari 2017. Penyelia saya mewajibkan saya menghantar tiga muka surat draf tesis setiap hari. Pada waktu ini, kebanyakan draf yang saya hantar pasti dikembalikan dengan dipenuhi catatan berdakwat merah menandakan ulasan daripada penyelia yang saya perlu pertimbangkan. Dengan kemudahan Bilik 24 Jam di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM, saya menulis tesis (aktiviti ini termasuk menganalisis data serta membaca rujukan) setiap hari. Melelapkan mata seketika di perpustakaan ataupun masjid adalah lumrah ketika ini. Hasilnya, pada 20 Jun 2017, iaitu tiga minggu selepas pre-viva, saya berjaya mengemukakan draf tesis untuk peperiksaan lisan (viva voce).

Berbanding pre-viva di mana saya perlu mengubah sebahagian besar struktur tesis, saya amat bersyukur kerana viva voce saya berjalan lancar. Saya berjaya mempertahankan tesis dengan minor corrections. Sepuluh hari selepas viva voce iaitu pada 20 September 2017, saya menyerahkan tesis yang siap dijilid ke Pusat Pengajian Siswazah UTHM. Alhamdulillah, hanya 12 bulan 2 minggu yang saya perlukan daripada saat saya mendaftar untuk sampai ke tahap ini. Sikap penyelia dan ahli keluarga yang begitu mengambil berat akan perkembangan perjalanan pasca siswazah saya amat membantu dalam mencapai kejayaan ini. Walaubagaimanapun, hasrat saya untuk menyertai konvokesyen pada tahun ini terkubur kerana tesis saya tidak sempat diperakukan oleh Majlis Senat universiti untuk sama-sama menyertai acara gilang gemilang tersebut. Mengambil kira firman Allah dalam Al-Quran (14:7) “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan Kami tambahkan nikmat ke atasmu”, dengan lapang dada saya menerima ketetapan itu. Tanpa disangka-sangka, saya dinobatkan sebagai juara Olympiad Nanoteknologi Malaysia 2017 (ONM) yang diadakan pada minggu yang sama bagi Hooding Ceremony di UTHM. Inilah yang orang kata, Allah turunkan hujan untuk hadiahkan pelangi!

Nanoteknologi: Kecil tetapi Besar

Pada awalnya, saya menjawab kuiz ONM secara atas talian atas dorongan penyelia. Saya kemudiannya terpilih bersama-sama 15 orang lagi pelajar IPT untuk menyertai Kem Nano bagi peringkat kedua ONM di Technology Park Malaysia. Selama seminggu di sini, kami didedahkan dengan kemajuan dalam bidang nanoteknologi yang sudah, sedang dan bakal diaplikasikan di Malaysia. Terdapat beberapa tugasan berkumpulan dan individu yang perlu kami laksanakan bagi mencari wakil negara untuk Olympiad Nanoteknologi peringkat antarabangsa yang dijangka berlangsung tahun hadapan di Iran. Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ini pada hemat saya, berjaya memupuk minat penyelidik muda di Malaysia untuk mendalami bidang nanoteknologi. Walaupun nanoteknologi berfokus pada manipulasi sesuatu benda dalam skala yang sungguh kecil iaitu skala nano (1 – 100 nm), tetapi ia merupakan suatu bidang yang sangat besar untuk diterokai. Saya sendiri begitu teruja apabila menggunakan FESEM untuk mengimbas TiO2 yang saya hasilkan. Ternyata zarah yang dilihat begitu kecil rupa-rupanya mempunyai luas permukaan yang begitu besar!

Saya sedar sifat ingin tahu yang tinggi merupakan faktor utama saya meminati sains semenjak sekolah rendah. Perasaan ini juga memaksa saya untuk berusaha menyiapkan penyelidikan Sarjana Sains dalam tempoh yang singkat. Hal ini kerana saya menemui lebih banyak persoalan yang saya perlu kembangkan dalam penyelidikan seterusnya, insya-Allah. Nasihat saya kepada para pelajar dan penyelidik di Malaysia, teruskan perjuangan dan teruskan membaca. Kerana semakin banyak kita baca, semakin banyak persoalan yang kita mahukan jawapan. Dengan lebih penyelidikan, kita bukan sahaja mendapat jawapan dan penemuan baharu, malahan dapat memberi sumbangan kepada umat manusia yang lain. Bagaimana jika jawapan itu mustahil untuk ditemui? Maka itulah Mission Impossible kita yang seterusnya!

 

Biodata

Penulis merupakan juara Olympiad Nanoteknologi Malaysia 2017. Penulis juga merupakan pelajar Sarjana Sains dan juga Pembantu Penyelidik Siswazah di UTHM. Dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2015, penulis telah berkhidmat sebagai Environmental Chemist sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana. Kini, penulis dan penyelia menjalankan penyelidikan yang bertumpu dalam bidang nanoteknologi iaitu penghasilan TiO2 dan nanopartikel emas menggunakan bahan alami. Dengan latar belakang dalam bidang alam sekitar, penyelidikan yang dijalankan sentiasa menjurus kepada penyelesaian masalah alam sekitar.

2 COMMENTS

  1. Tahniah Adawiyah, such an inspiration. Saya kongsikan kpd pelajar saya. All the best in your PhD journey.. May Allah ease..

  2. Congrtasss adawiyah….well done! Smoga perjalanan yg mendatang dpt menghasilkan lebih banyak kejayaan dan memberi manfaat kepada semua umat manusia..sy doakan moga kamu terus diberikan kekuatan, ketabahan dan kejayaan oleh Allah..great job!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge