SHARE
Oleh : Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri
 

Sejak berzaman lagi pepohon sering digunakan untuk melambangkan sistem ilmu pengetahuan. Gambarajah yang dilukis oleh ilmuan Yunani kuno misalnya jelas menunjukkan mengapa begitu. Ini kerana ia menunjukkan bahawa ilmu adalah satu rumpun dan terbit dari “batang” yang satu. Ini dilakarkan sebagai batang pohon tersebut. Dari situ baru tumbuh dahan-dahan, cabang-cabangnya dan ranting-ranting. Setiap satu membayangkan pecahan bidang dari ilmu yang serumpun tadi.

Setiap pepohon ilmu itu mempunyai takrifannya tersendiri mengikut kefahaman ilmu dan bidang masing-masing.

Kesatuan Ilmu Pengetahuan

Bagi sains moden, antara dahan-dahan utama merangkumi sains tulen, sains gunaan dan juga sains sosial, walaupun ada yang menolak sains sosial sebagai sebahagian daripada sains umumnya. Namun, ia penting dimasukkan untuk meyakinkan kesatuan ilmu pengetahuan (unity of knowledge) itu wajar kerana satu ketika dahulu sains lebih dikenali sebagai “falsafah alam semulajadi” (natural philosophy) bertujuan untuk menerangkan fenomena alam semulajadi. Ketika itu, konsep sains moden seperti pengkelasan yang ada pada hari ini masih belum wujud lagi, dan pecahan bidangnya juga berbeza-beza.

Berasaskan metafora pepohon ilmu, sains moden boleh diterangkan seperti berikut: antara tiga pecahan sains tadi, sains tulen bercabang kepada bidang kajihayat, ilmu fizik serta kimia. Sedangkan kimia pula meranting kepada kimia organik, tak organik, analisis dan lain-lain. Begitu juga dengan bidang sains gunaan yang mempunyai berbagai cabang lain termasuk teknologi; dan sains sosial juga begitu termasuk bidang seperti pengajian agama sekalipun. Kesimpulannya, asal usul ilmu yang tunggal dikatakan tersusun secara berperingkat-peringkat dari bidang yang lebih luas dan menjurus kepada yang lebih kecil (sub-bidang).

Dedaun serta buah-buahan di hujung-hujung ranting diumpamakan hasil-hasil dari bidang‎ berkenaan. Maka tidak hairanlah apabila ada tertarik dengan sesuatu bidang tersebut, oleh kerana yang menarik perhatian adalah apa yang terlihat pada pepohon yang tumbuh dipermukaan bumi. Yang terbenam di dalam bumi tidak diberi perhatian.

Begitu jugalah bidang ilmu yang diminat, umumnya yang “rendang” dalam ertikata tampak berupaya memberi manfaat kepada seramai mungkin manusia dan sesiapa saja yang meminatinya. Bidang sains kesihatan sebagai contoh berupaya meredakan berbagai penyakit dan ini menarik banyak perhatian. Maka ramai pula meceburi bidang berkenaan berbanding dengan bidang yang agak terkesamping, katakanlah bidang ilmu mantik. Ataupun hasil buah-buahan tampak lebih lazat, dalam ertikata lain ia mempunyai “kemanisan” dari segi ilmu, lalu dapat meringankan banyak permasalahan sejagat.

Apa pula halnya dengan bahagian pepohon yang tidak dapat dilihat sama sekali. Atau yang dianggap tidak wujud? Ataupun tidak relevan kepada bidang yang diminati kerana amnya dianggap tidak sepenting untuk mempengaruhinya? Bahagian ini sering merujuk kepada akar yang tertanam dibawah tanah. Jauh pula dari pandangan mata kepala, apatah lagi hati nurani serta qalbu.

Namun demikian, lazimnya tanpa akar akan tiada pohon. Malah, bahagian pohon yang kelihatan pasti merupakan sebahagian dari akar, secara langsung atau tidak.  Bayangkan pohon yang tidak berakar – masakan boleh tumbuh dengan baik lagi teguh. Ataupun jika tidak subur akarnya, nescaya pohon juga turut layu. ‎Begitu jugalah dengan ilmu yang “tidak berakar umbi.” Apakah yang dimaksudkan dengan “tidak berakar umbi”?

Akar umbi ilmu pada hemat penulis menyentuh sekurang-kurangnya tiga dimensi: sejarah tamadun, falsafah serta ilmu “maknawi”.  Dalam‎ lakaran pepohon ilmu, tidak dapat tidak ketiga-tiga ini perlu ada menunjanginya sebagai akar yang bersambung di bahagian bawah batang pepohon tersebut. Tetapi terkubur di bawah bumi, dan umumnya tidak disedari.

Oleh itu, kewujudannya tidak selumrah apa yang kelihatan. Ada yang tidak menyakininya sama sekali. Bahkan ramai para saintis yang tidak faham ataupun mempedulikan sejarah serta tamadun, apalagi falsafah serta makna atau asas sains itu sendiri. Misalnya jika ditanyakan apa itu dan siapa yang mencipta model solar geosentrik? Mungkin ramai yang tidak maklum. Siapa pula yang mengubah model itu kepada model heliosentrik? Begitu juga halnya, walaupun mungkin ada yang mengatakan Copernicus. Sudah tentu tidak ada yang menyebut nama Ibn Shathir! Sedang Ibn Shathir (1304-1375) mendahului Copernicus (1473-1543) bertahun-tahun lamanya, tetapi tidak dikenali umum kerana kita hanya setengah celik sejarah – tertumpu kepada sejarah moden ala barat! Jadi para cendekiawan bukan Eropah tidak mesra di hati kita.

Apa perlu kita tahu semua ini, mungkin pertanyaan seterusnya‎. Ia tidak akan menukar apa-apa fakta! Juga betul tetapi tidak tepat. Konsep heliosentrik mengikut Copernicus mungkin berbeza dengan pembawaan Ibn Shathir mengikut arus falsafah masing-masing di zaman berlainan. Ini ada kaitannya dengan akar umbi ilmu yang kedua: ilmu falsafah yang boleh diumpamakan seperti jalan atau aliran fikiran. Jika ia berpaksikan kebendaan – maka ke sanalah kecenderungan aliran pemikiran serta sebaliknya. Ringkasnya, falsafah akan menentukan matlamat dan arah tujuan ilmu apabila kita berkarya ataupun menyumbang ilmu ataupun beribadah, sekiranya menuntut ilmu itu diyakini sebagai ibadah dari segi maknawinya. Mahupun mana-mana gabungan seperti menyumbang kerana ingin beribadah dan bukan semata-mata mencari Nama atau Harta dan Gaya (NHG). Ia sekaligus menyentuh juga falsafah hidup ahli sains berkenaan. Di sinilah ilmu memupuk peribadi, perwatakan malah prinsip hidup seseorang itu.

Ilmu bukan sekadar “alat” untuk meraih NHG. Akarnya wajar bertunjang ke dalam jiwa sanubari manusia agar dapat memaknakan hidup itu sendiri. Hatta cara kita menggali ilmu juga turut berbeza. Tiada penipuan atau cetak rompak, cut and paste, mahupun berkelakuan ala-kadar untuk memenuhi sasaran tahunan saja. Perihal mencari hikmah dan barakah tidak terlintas dalam benak kita, bagai melepaskan batuk ditangga.

Dengan itu mencari “makna” – akar umbi ketiga yang berkaitan dengan ilmu maknawi, adalah maha penting sekali kerana ia mengembalikan kita kepada asas berilmu tadi.  Adakah semata-mata untuk NHG ataupun lebih jauh daripada itu? Adakah untuk sehari dua atau berkekalan? Setiap satu langkah dan niatnya akan berlainan.

Akar umbi ketiga ini mengiktiraf bahawa sumber ilmu tidak berlegar dalam minda dan otak manusia saja, malahan melangkauinya. Turut diiktiraflakaran punca sumber lain, seperti intuisi ataupun bersandarkan qalbu bagi orang beragama Islam (walaupun sains tidak dapat menerima pandangan ini). Lantas mencari “makna” merupakan matlamat tertinggi dalam berilmu – tidak kira apapun bidangnya. Ilmu terus diterokai selagi kepuasan mencari “makna” belum diperoleh. Sudah tentu kepada setiap individu itu tahap “makna” yang dicari berbeza-beza mengikut kepekaan naluri masing-masing. Di sini jugalah perbezaan ilmu yang mempunyai “roh”dan “hati nurani” dengan yang tandus lagi kosong walaupun diluarnya tampak sama sahaja. Malanglah ahli sains yang lebih mirip kepada aliran kedua ini – sains tanpa “roh”.

Implikasi kepada STEM

Jelas oleh itu gabungan ketiga-tiga akar ini akan memperkuatkan lagi “batang” ilmu serumpun, meskipun ada pihak yang menolak aspek maknawi sebagai sebahagian dari rumpun ilmu. Pada dasarnya, ketiga-tiga akar ini lebih selesa kepada sains sosial dan kemanusiaan (yang dipandang sepi dalam dunia sains moden), walaupun sudah ada pihak-pihak menyanggahnya (tetapi di luar skop makalah ini).

Maka konsep ilmu serumpun penting diiktiraf lagi dihayati, bermula pada akar sebelum naik ke ranting dan cabang dalam memupuk ilmu dengan sempurna.

Demikianlah halnya dengan akromin STEM‎ yang jika diterjemahkan bermaksud “batang” (tanpa “akar”). Perbandingan yang serupa boleh dibuat malah pecahan yang lebih sempit lagi mengkhusus dan tertumpu lebih kepada bidang kejuruteraan dan matematik, selain sains dan teknologi. Pendekatan STEM memperkuatkan lagi hujah yang bidang-bidang lain tidak sepenting untuk dipelajari apatah lagi gabungan tiga akar tadi. Sejarah, tamadun, falsafah tambahan pula “makna” tidak langsung mendapat tempat dalam pepohon bergelar STEM. Kalau adapun, ia berkisar kepada sejarah dunia barat (mulai dari Zaman Kebangkitan Barat), falsafah Eropah dan Barat, begitu tamadunnya. Mencari “makna” dalam hal ini adalah secetek NHG yang tersimpulkan dalam tiga huruf K, P dan I yang kini melanda universiti dan dunia ilmu semasa. Serentak, perlumbaan penarafan berasaskan kriteria kelas dunia adunan Barat yang dijadikan rebutan dan ketaksuban kita hari ini.

Kemelut ini menjadi lebih ketara jika difahami bahawa setiap tamadun itu ada arus falsafah utama yang mendasarinya. Dan sudah tentu pengaruhnya pada ilmu serta kupasan yang diberikan turut mendatang kesan. Misalnya, kini kita dilanda limpahan kefahaman neoliberal yang menegaskan segala-gala itu perlu dinilai dari aspek keuntungan ekonomi saja. Kalau tidak, akan ditolak ketepi dan dianggap berlawan arus aliran fikiran neoliberal. Sikap dan kefahaman yang terbit dari aliran pemikiran lain juga tidak dapat diterima apa lagi yang berseangkatan dengan ibadah. Pendek kata, STEM (sebelum ini SMET) membawa agenda yang serupa kerana mengikut definisinya, ia adalah untuk meningkatkan “persaingan” dan mempunyai implikasi keatas “daya tenaga”, “keprihatinan keselamatan nasional” dan “dasar imgresen” – semuanya olahan konteks Amerika Syarikat (barat) dan bukan dari perspektif negara dan masyarakat Malaysia!

Natijah daripada perkembangan sebegini rupa, mahu tidak mahu, perlu diakui bahawa ilmu tidak bebas daripada nilai atau pengaruh sepertimana yang selalu diandaikan. Ilmu sains terutama sekali tercemar jika akarnya tidak dfahami secara mendalam dari segi  sejarah, tamadun, falsafah dan maknanya mengikut sudut pandangan mereka yang terlibat. Sebab itu jugalah ada gagasan yang mewajar STEM diolah sebagai STEAM atau STREAM mengambil kira konteks bersesuaian.

 

NotaProf. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com 

Nota tambahan daripada Editor: Selain daripada akar, pokok juga memerlukan air, karbon dioksida dan cahaya untuk proses fotosintesis. Analogi yang sama boleh dipanjangkan kepada asas ilmu, di mana asas ilmu (akar) perlu sokongan dalam bentuk polisi, dana dan pentadbiran (air, cahaya, CO2, etc) untuk bercambah dan tumbuh mekar. Manfaat daripada ilmu asas ini akhirnya akan dinikmati oleh manusia sejagat dalam bentuk inovasi, produk ataupun menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Perkara yang sama untuk sebuah pokok di mana buah dan bunga merupakan hasil dinikmati oleh manusia oleh kerana capaian dan keterlihatan yang mudah.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge