SHARE
 Amirah Mohd Gazzali, B.Pharm., Ph.D.
Pensyarah, Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

 

Pengenalan
Corticosteroid atau singkatannya steroid adalah nama bagi sekumpulan bahan aktif farmaseutikal (Active Pharmaceutical Ingredient, API) yang biasanya dipreskripsikan untuk mengubati beberapa jenis penyakit seperti ruam (rashes), eczema (eczema) dan lelah (asthma).
API dalam kelas steroid ini boleh dikenalpasti melalui nama mereka dan pada kebiasaannya, nama-nama API ini berakhir dengan -one, sebagai contoh hydrocortisone, dexamethasone dan prednisolone. Pengetahuan tentang kaedah kenalpasti nama ini dapat membantu pengguna atau pesakit untuk mengetahui bahawa bukan semua ubat sapu yang diberikan oleh pihak hospital/klinik mengandungi steroid.
Steroid boleh diambil oleh pesakit sama ada secara sapuan di permukaan kulit atau diambil secara oral, bergantung kepada jenis penyakit yang ingin dirawat. Terdapat pelbagai bentuk formulasi steroid yang boleh didapati dan dipreskripsikan oleh doktor kepada pesakit; tablet dan sirap (contohnya prednisolone), ubat sedut (inhaler) dan semburan hidung (nasal spray) (beclometasone and fluticasone), suntikan untuk sendi dan otot (methylpresdnisolone) dan kegunaan topikal seperti krim, jel, losyen dan salap (seperti hydrocortisone dan dexamethasone).
Terdapat juga steroid yang dipanggil ‘anabolic steroid’ yang digunakan oleh atlit untuk meningkatkan prestasi mereka dan penggunaannya telah diharamkan oleh badan-badan kesukanan seluruh dunia. Topik ini walau bagaimanapun diluar konteks artikel pada kali ini dan tidak akan dibicangkan secara mendalam.
Gambar 1: Fucicort adalah contoh krim steroid yang mengandungi antiseptik (fucidic acid)
Gambar2: Contoh betamethasone inhaler untuk terapi penyakit lelah – penyembur bewarna coklat
Mengapa steroid digunakan dalam rawatan?
Steroid sebenarnya merupakan antara hormon semulajadi yang dihasilkan oleh sistem tubuh manusia. Kajian menunjukkan apabila kandungan steroid tubuh berada pada kepekatan lebih tinggi daripada kepekatan biasa yang dihasilkan tubuh, keradangan dan bengkak yang dialami boleh menyusut dan ini sangat berguna dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya semasa serangan ekzema. Jadi, steroid yang digunakan dalam rawatan merupakan bahan yang menyerupai steroid yang dihasilkan tubuh, dengan beberapa modifikasi pada struktur molekulnya menjadikan API dalam kumpulan steroid ini efektif dan berkesan pada kepekatan yang rendah. Seperti yang dikatakan sebelum ini, steroid mempunyai keupayaan tersendiri dalam merawat beberapa penyakit seperti lelah, tindakbalas alergi, ekzema, lupus, multiple sklerosis serta sakit sendi dan otot.
 Sesetengah pihak melabelkan steroid sebagai ‘wonder drug’, disebabkan keupayaannya untuk merawat pelbagai penyakit berbeza dan tidak terhad kepada satu-satu penyakit sahaja. Sejak penemuannya sekitar tahun 1940an, proses rawatan penyakit kulit telah menjadi lebih pantas dan berkesan, memberikan suatu gambaran positif dan meningkatkan penggunaannya dalam terapi.
Kesan sampingan steroid 
Walau bagaimanapun, sekitar 10 tahun selepas penemuannya, kesan-kesan sampingan akibat penggunaan steroid mula diketahui dan dikenalpasti. Carian internet dengan mudah menemukan kita dengan pelbagai maklumat tentang keburukan menggunakan steroid yang rata-ratanya menyarankan supaya mengelakkan pengambilan steroid walaupun hanya secara topikal, terutamanya pada anak kecil. Namun demikian, harus diketahui bahawa di pihak kakitangan kesihatan sendiri sedia maklum akan had penggunaan steroid pada anak kecil dan selalunya ibu bapa akan dinasihatkan untuk mematuhi had ini.
Tidak dapat dinafikan steroid dapat mengakibatkan pelbagai kesan sampingan namun ini amat jarang berlaku pada pesakit yang mengambil steroid pada jangka masa yang singkat dan dalam dos yang rendah. Sebaliknya, kesan sampingan steroid agak ketara terutama dalam kalangan pesakit yang menggunakan bahan API ini untuk jangka masa panjang (terapi kronik). Kesan seperti moon face, withdrawal symptoms dan penipisan kulit akibat aplikasi berterusan menjadikan pesakit dan ibu bapa pesakit menolak terapi steroid. Kebanyakan kesan sampingan ini akan hilang apabila terapi dihentikan dan ini menunjukkan kepentingan mendapatkan konsultasi dan pantauan doktor pakar dan ahli farmasi terlatih sepanjang pesakit mengambil steroid. Bagi penggunaan steroid secara topikal, amat jarang ditemukan pesakit yang mengalami kesan sampingan yang teruk.
Steroid – Ketagihan dan Fobia
Beberapa kajian saintifik telah mengenalpasti terdapat dua sikap yang sangat jauh berbeza terhadap terapi steroid dalam kalangan pesakit/penjaga – satu kumpulan ‘sangat suka’ pada steroid manakala kumpulan kedua ‘sangat benci’ pada steroid. Kedua-dua sikap ini membawa kepada dua tingkahlaku yang boleh membawa kepada ketagihan (kumpulan pertama) dan fobia (kumpulan kedua).
Sebahagian pesakit pula menunjukkan ketagihan terhadap steroid apabila menyedari bahawa steroid sangat efektif dalam terapi penyakit mereka dan beranggapan steroid adalah jawapan kepada semua masalah yang mereka hadapi. Hal ini menyebabkan mereka terdorong untuk mengambil steroid bagi jangka masa yang lama membawa kepada salah guna. Lanjutan daripada salah guna ini, pesakit boleh mengalami ‘ketagihan’ atau kebergantungan (addiction) terhadap steroid yang akan menyebabkan pelbagai kesan yang tidak diingini.
Kesan ketagihan terhadap steroid tidak sama seperti ketagihan rokok atau ketagihan dadah lain. Ketagihan steroid dapat menyebabkan perubahan mendadak pada kondisi penyakit yang telah dirawat. Sebagai contoh, sekiranya krim steroid digunakan untuk masalah kulit pada jangka masa yang lama dan telah sembuh, pemberhentian terapi secara tiba-tiba mungkin mengakibatkan masalah kulit tersebut kembali menyerang dan hal ini menunjukkan bahawa kulit telah ‘ketagih’ dengan kehadiran steroid. Pemberhentian terapi seharusnya dilakukan secara beransur-ansur dan bukan secara mendadak bagi mengelakkan keadaan ini daripada berlaku.
Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kesan sampingan steroid ada kalanya menyebabkan pesakit atau ibu bapa pesakit menolak terapi steroid ini secara keseluruhannya, tanpa memahami tahap sebenar risiko kesan sampingan itu seolah-olah fobia terhadap steroid. Akibatnya, mereka mengelak untuk menggunakan steroid walaupun ada indikasi, atau mereka menggunakannya pada kuantiti yang terlalu sedikit sehingga memberi kesan kepada keberkesanan rawatan yang mereka terima. Kajian telah menunjukkan bahawa terdapat perilaku fobia terhadap steroid terutama dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan fobia ini menjadi lebih ketara sekiranya anak kecil itu mengalami masalah-masalah kulit seperti atopic dermatitis dan sebagainya.
Gambar 3: Atopic dermatitis (WebMD – www.webmd.com )
 
 Berdasarkan panduan perubatan semasa, terapi steroid secara topikal merupakan saranan utama untuk merawat atopic dermatitis. Terapi ini berkesan apabila diberikan dengan kaedah yang betul dan terkawal. Namun seperti yang dinyatakan sebelum ini, melalui carian internet pelbagai laman akan melarang penggunaan steroid secara pukul rata dan menyarankan penggunaan pelbagai bahan lain yang dikatakan alami dan semulajadi. Tidak salah mengambil langkah ini namun harus berpada-pada terutama dewasa ini terdapat pelbagai produk ‘tradisional’ yang dikatakan efektif namun sebenarnya keberkesanannya adalah disebabkan kehadiran campuran steroid. Topik ini akan dibincangkan selepas ini.
Sesungguhnya kedua-dua ekstrem ini adalah tidak sihat; sebaiknya kita perlu mengambil sikap pertengahan. Hanya gunakan apabila perlu dan dengan pantauan daripada doktor. Disebabkan sikap fobia juga, sesetengah golongan pesakit/penjaga menganggap semua ubat sapu yang diberikan oleh hospital/klinik kerajaan mengandungi steroid. Ini tidak benar sama sekali. Terdapat pelbagai produk yang tidak mempunyai steroid, sebagai contoh losyen kalamain (Calamine Lotion) tidak mengandungi steroid, malah hanya mengandungi kalamain dan zink oksida untuk mengurangkan kegatalan akibat ruam dan sebagainya. Terdapat juga krim-krim antiseptik seperti krim asid fusidik dan salap kloramfenikol yang tidak mengandungi steroid sama sekali. Para pesakit dan ibu bapa boleh memeriksa kehadiran steroid berdasarkan peraturan nama yang telah dinyatakan di atas. Untuk kepastian, anda boleh terus bertanya kepada pegawai farmasi yang memberikan ubat tersebut dan beliau sepatutnya akan memberikan panduan kaedah penggunaan steroid yang selamat dan berkesan.
Steroid dalam produk tradisional dan kosmetik
Kebelakangan ini terdapat banyak pendedahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan kehadiran steroid dalam produk-produk tradisional yang terdapat dalam pasaran tempatan. Steroid seperti dexamethasone dimasukkan dengan sewenang-wenangnya ke dalam produk ini dan memberikan kesan positif kepada pelbagai masalah kesihatan. Perlu diingat bahawa penggunaan dalam jangka masa panjang dan tanpa pantauan pegawai perubatan boleh mengakibatkan kesan sampingan teruk. Hal ini menjadi lebih serius memandangkan pengguna tidak mengetahui dos yang telah dimasukkan ke dalam produk tersebut.
Kesedaran amat perlu dalam kalangan masyarakat untuk mengelakkan sebarang produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Sekiranya ragu-ragu, sentiasa bertanya dengan pegawai farmasi anda atau anda boleh memeriksa sendiri kesahihan pendaftaran produk kosmetik melalui laman sesawang QUEST 3+   (http://quest3.bpfk.gov.my/QUEST3PLUS_SEARCH/index.jsp). Terdapat pengusaha produk tradisional yang memalsukan nombor pendaftaran produk mereka dan hal ini sangat merisaukan kerana risiko kesihatan yang bakal dihadapi oleh pengguna.
Kesimpulan
Setiap sesuatu mempunyai kesan baik dan kesan buruk bergantung kepada kaedah penggunaannya; ubat-ubatan tidak terkecuali. Tidak wajar untuk memukul rata dengan mengatakan steroid tidak bagus dan mesti dielakkan, walhal dalam keadaan-keadaan tertentu, steroid merupakan asbab penyelamat kepada sesuatu keadaan penyakit. Berbincanglah dengan doktor dan ahli farmasi anda sekiranya terdapat sebarang kekeliruaan. Kami sentiasa sedia membantu.
Rujukan:

[1] Liu, D et al. (2013). A practical guide to the monitoring and management of the complications of complications of systemic corticosteroid therapy. Allergy Asthma Clin. Immunol. 9 (30):

[2] Hajar, T et al. (2015). A systematic review of topical corticosteroid withdrawal (“steroid addiction”) in patients with atopic dermatitis and other dermatoses. J. Am. Acad. Dermatol. 72(3): 541-549

[3]Z. Abidin, K.N (2016). Dexamethasone dalam produk ubat tradisional. The Malaysian Medical Gazette. Dirujuk pada Julai 4, 2017. http://www.mmgazette.com/dexamethasone-dalam-produk-ubat-tradisional-khairul-naim-zainal-abidin/ 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge