SHARE

Bolehkah kita menanam tumbuhan di Marikh pada masa depan?

  • Sudheish Olan (SK St John (1)
Ya, kita boleh lakukan aktiviti ini pada masa depan. Tiga perkara utama yang meningkatkan kemungkinan tersebut:
(1) Nilai komersil planet Marikh sebagai planet kehidupan kedua selepas bumi,
(2) Kegunaan tumbuhan sebagai komponen sistem penyokong kehidupan di planet Marikh
(3) Perkembangan aplikasi ilmu sains
Planet Marikh, planet pertama di luar bumi yang dijangka akan mula diduduki oleh manusia pada tahun 2020-2030. Perkhidmatan penghantaran manusia ke sana dipelopori oleh beberapa institusi awam dan swasta seperti NASA, SpaceX dan Mars One. Walau bagaimanapun, timbul pula isu masa, jarak, kos penghantaran bahan asas seperti makanan dan sumber bahan api jika tiada penempatan kekal di sana. Bagi mengadakan penempatan manusia, sumber alam yang ada di planet tersebut sewajarnya dieksploitasi untuk membina sistem penyokong kehidupan.
Stesen penempatan planet akan bergantung kepada sistem penyokong kehidupan untuk menjana oksigen, mengendalikan bahan buangan dan menghasilkan makanan. Sehingga kini, sistem yang melibatkan fisiokimia hanya cekap untuk menghasilkan oksigen dan kitar semula air tetapi bukan dalam penghasilan bahan makanan. Alternatifnya adalah mengadakan sistem biologi yang berdasarkan organisma fotosintetik. Organisma ini boleh menukarkan air dan karbon dioksida kepada makanan dan gas oksigen. Contohnya, model sistem biologi yang dinamakan “Micro Ecological Life Support System (MELiSSA)” yang dibangunkan oleh “European Space Agency (ESA)”. Model ini menempatkan beberapa spesis mikroorganisma dan tumbuhan terpilih sebagai komponen organisma dalam sistemnya.
Beberapa ciri-ciri tumbuhan terpilih yang disarankan adalah mempunyai rasa enak, berkarbohidrat dan memberi impak psikologi yang baik kepada manusia. Di sinilah bermula eksperimen simulasi yang dinamakan penuaian tumbuhan rintis di bumi. Pengkulturan tumbuhan yang mengunakan bahan tempatan daripada planet Marikh tidak menghasilkan produk yang disarankan. Tumbuhan tersebut terbantut dan mengandungi elemen toksik yang berasal daripada bahan tempatan Planet Marikh. Penyelesaian kepada situasi ini adalah penambahan mikroorganisma yang mempunyai keupayaan untuk membantu tumbuhan, mengekstrak keluar nutrien asas, tenaga dan menghalang unsur toksik yang berlebihan daripada sumber tempatan Marikh.
Oleh itu, kemungkinan itu tetap ada selagi nilai komersil planet Marikh sebagai planet kehidupan kedua selepas bumi ditingkatkan potensinya, tumbuhan terpilih serta mikroorganisma yang efektif sebagai komponen sistem penyokong kehidupan di planet Marikh diperhebatkan kajiannya dan perkembangan aplikasi ilmu sains diperkukuhkan.
“Advances in applied physics will allow us to step on Mars; advances in applied biology can allow us to settle there”- Verseux et al., 2015
  • Jawapan oleh – Fareh Nunizawati bt. Daud @ Abdullah, Saintis Biosains (Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor)
 Kredit fotoreference.com
Catatan: Suntingan Prof Madya Dr. Shahrul Kadri Ayop (UPSI). Soalan diterima melalui aktiviti Tanya Fizikawan kelolaan Subkumpulan Pendidikan Fizik, Institut Fizik Malaysia (IFM) di Kuala Lumpur Engineering and Science Festival 2016 KLESF (2016) bertempat di MIECC, 4 hingga 6 November 2016. Layari http://ifm.org.my/

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge