SHARE
Oleh: Nur Zafirah Binti Zapri
Mahasiswa Sains Marin
Universiti Malaysia Terengganu
Tentera biasanya memakai uniform, dilengkapi senjata api, peluru berpandu dan kapal perang. Tetapi cuba anda bayangkan bagaimana pula jika ikan lumba-lumba menjadi tentera laut?
Kita semua tahu, bahawa mamalia ini ialah haiwan ciptaan Tuhan yang comel dan istimewa. Bermain sesama sendiri dan ‘bersosial’ menjadi hobi mereka. Selain itu, ia juga adalah haiwan yang cerdik dan boleh dilatih.
Kegunaan dalam ketenteraan
Keistimewaan yang ada pada haiwan marin ini telah dimanfaatkan oleh kebanyakan pihak termasuklah pihak tentera laut. Melatih ikan lumba-lumba untuk aktiviti ketenteraan bukanlah sesuatu yang baharu. Berdasarkan sejarah, khidmat ikan lumba-lumba telah digunakan ketika Perang Vietnam, Teluk Parsi dan Perang Dingin pada suatu ketika dahulu. Mereka berjaya membunuh musuh dengan menggunakan pisau yang diikat pada muncung mulut mereka.
Aktiviti ini sebenarnya telah bermula semenjak tahun 1960-an lagi, apabila pihak tentera laut Amerika Syarikat (AS) telah menubuhkan unit Program Mamalia Marin. Pada asalnya, program ini ditubuhkan bagi mengkaji ikan lumba-lumba terutama jenis bottle-nose (Tursiops truncatus) untuk pertahanan negara seterusnya menjadi perintis pusat penyelidikan yang memfokuskan mamalia marin. Selain ikan lumba-lumba, mamalia marin yang lain seperti ikan paus dan singa laut turut dilatih oleh Tentera laut AS untuk aktiviti ketenteraan.
Sumber-http://www.dolphins-world.com/dolphins-in-the-military/
Berdasarkan rujukan daripada portal U.S Navy Marine Mammal Program, pihak tentera telah menemui sonar biologi ikan lumba-lumba yang dipanggil echolocation atau gema lokasi dalam Bahasa Melayu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Echolocation adalah proses mengesan objek dengan cara mendengar dan mengenal pasti arah kebalikan bunyi.
Mamalia marin seperti ikan lumba-lumba amat bergantung kepada teknik echolocation ini. Proses ini akan memberi maklumat kepada ikan lumba-lumba tentang saiz, bentuk dan lokasi sesuatu objek. Ia akan menggunakan telinga dan suaranya sebagai pancaindera untuk mencari ikan-ikan kecil sebagai makanan, navigasi, dan sebagai komunikasi antara mereka. Menurut kajian, ikan lumba-lumba mampu menyelam sehingga kedalaman 300 m tanpa mengalami apa-apa kecederaan akibat tekanan di dasar laut.
Tentera laut AS menggunakan ikan lumba-lumba dalam strategi peperangan mereka. Setelah dilatih oleh pasukan tentera laut, mereka akan menjalani latihan khas seperti menyerang pihak musuh, menyelamatkan pelaut dan mengesan torpedo serta periuk api laut .Periuk api laut adalah alat peledak dan pemusnah yang ditempatkan di dalam laut untuk memusnahkan kapal atau kapal selam yang datang mendekat.
Kebelakangan ini, negara lain seperti Russia dan Ukraine turut menggunakan taktik yang sama seperti negara AS dengan merekrut ikan lumba-lumba dalam pasukan pertahanan negara mereka. Mereka bukan sahaja ditugaskan untuk mengesan senjata di bawah air tetapi juga sebagai agen perisik dan pembawa bahan letupan. Mereka telah dilatih untuk memasang periuk api yang dijatuhkan ke laut pada kapal-kapal musuh semenjak pada era Soviet Union. Hal ini demikian menyebabkan sasaran dimusnahkan dengan mudah tanpa perlu menggunakan khidmat penyelam untuk melakukan tugas yang berbahaya itu.
Kesimpulan
Kemampuan untuk mengesan objek di dasar laut , boleh menyelam dengan lebih dalam dan mudah dilatih menjadi antara sebab mengapa ikan lumba-lumba sesuai dipilih sebagai askar laut. Justeru itu, mengikut laporan portal Science Recorder.com baru-baru ini sekumpulan penyelidik telah bekerjasama dengan tentera laut AS dengan menggunakan tentera ikan lumba-lumba ini untuk mengesan lokasi ikan lumba-lumba jenis Vaquita (Phocoena sinus), spesies yang semakin jarang ditemui dan dijangka akan pupus pada tahun 2022 jika tiada apa-apa tindakan diambil bagi melindungi spesies ini.
Sumber rujukan
[1] Farooq Hussain. Whatever happened to dolphins?. 25 January 1973. New Scientist. Page 182-184.
[2] Hindun Mohamed Damiri. Tentera Ikan Lumba-Lumba. Mac 2013. Majalah Infiniti. Edisi ke-46 . MS 90-93
[3] Houser, D. S., Finneran, J. J., & Ridgway, S. H. (2010). Research with navy marine mammals benefits animal care, conservation and biology. International Journal of Comparative Psychology, 23(3).
[4] Joseph Scalise. Military dolphins could help researchers save rare porpoise. 6 January 2017 .< https://www.sciencerecorder.com/news/2017/01/06/military-dolphins-help-researchers-save-rare-porpoise/>
[5] US Navy. “US Navy Marine Mammal Program.”. Research Programs. United States Navy, Web. 9 March. 2017 <http://www.public.navy.mil/spawar/Pacific/71500/Pages/researchprograms.aspx>

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge