Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah & Selva Mani a/p Veerappan
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kerajaan telah meletakkan sistem pendidikan di Malaysia sebagai faktor utama untuk memacu kemajuan negara. Bagi menangani cabaran abad ke-21, adalah penting bagi setiap murid di negara Malaysia mempunyai segala kemahiran baharu yang diperlukan untuk menjadi generasi rakyat Malaysia yang mampu menerajui kemajuan negara. Bagi merealisasikannya, kerajaan Malaysia telah meletakkan sistem pendidikan sebagai satu tunjang utama bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global. PPPM menggariskan strategi dan inisiatif bagi mengupayakan peningkatan kualiti sistem pendidikan kebangsaan berdasarkan anjakan satu iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Bagi menghasilkan sistem pendidikan yang bertaraf global, Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa mengorak langkah untuk mempertingkatkan kualiti sistem pendidikan di Malaysia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar di Malaysia yang mampu dan berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain di peringkat antarabangsa di samping menilai kualiti pencapaian pelajar dalam pelbagai bidang termasuklah matematik dan Sains.
Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) merupakan satu kajian yang dijalankan untuk membuat perbandingan antarabangsa dalam pendidikan sains dan matematik. Kajian ini dikendalikan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Pelaksanaan kajian TIMSS dijalankan setiap empat tahun. Kajian TIMSS yang pertama dilaksanakan pada tahun 1995 diikuti pada tahun 1999, 2003, 2007, 2011 dan hingga yang terkini 2019. Kajian yang ditawarkan oleh IEA merangkumi TIMSS Gred Empat (Tahun 4), TIMSS Gred Lapan (Tingkatan 2) dan TIMSS Advanced. Pada tahun 1995 (Kitaran 1) sebanyak 45 buah negara telah menyertai TIMSS dan juga TIMSS Advanced manakala pada tahun 1999 (kitaran 2) penyertaan oleh 38 buah negara di dalam TIMSS. Pada tahun 2003 (kitaran 3) penyertaan telah meningkat kepada 49 buah negara dalam TIMSS dan penyertaan ini telah meningkat lagi kepada 59 buah negara pada tahun 2007 (kitaran 4). Pada tahun 2008, penyertaan daripada 10 buah negara di dalam TIMSS Advanced. Seterusnya, pada tahun 2011 (kitaran 5) TIMSS telah disertai oleh 63 buah negara manakala pada tahun 2015 (kitaran 6) sebanyak 57 buah negara sahaja yang menyertai TIMSS. Pada tahun 2019 (kitaran 7), penyertaan negara-negara dalam TIMSS telah menurun kepada 36 buah negara sahaja dan 7 buah negara lagi di dalam kategori ‘Negara Penandaarasan’. Satu lagi pentaksiran iaitu TIMSS Numeracy telah diperkenalkan pada tahun 2015 untuk murid-murid Gred 4,5 dan 6.
Fokus kajian TIMSS adalah kepada pentaksiran matematik dan juga sains. Pentaksiran dan soal selidik adalah dua bentuk instrumen yang digunakan dalam kajian TIMSS. Kerangka pentaksiran TIMSS terbahagi kepada dua dimensi iaitu dimensi kandungan dan dimensi kognitif. Manakala bagi instrumen bentuk soal selidik pula terdiri daripada soal selidik murid, guru matematik, guru sains dan pentadbir sekolah serta soal selidik kurikulum. Kerangka pentaksiran matematik mengandungi dua domain yang utama iaitu domain kandungan dan juga domain kognitif. Domain kandungan Matematik Gred 4 mengandungi bidang topik Nombor (50%), Bentuk Geometri & Ukuran (35%) dan Data (15%). Topik Nombor memegang peratusan yang lebih tinggi berbanding dengan topik Bentuk & Ukuran dan Data. Jadual 1 menunjukkan peratusan bilangan soalan yang diperuntukkan untuk setiap domain kandungan bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred Empat (2007-2019).
Jadual 1 : Peratusan bilangan soalan yang diperuntukkan untuk setiap domain kandungan bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred Empat (2007-2019)
Rajah 1 : Peratusan Bilangan Soalan dalam Domain Kandungan Matematik Gred Empat TIMSS 2007-2019
Domain kandungan Matematik Gred 8 pula mengandungi mengandungi tiga bidang topik yang merangkumi beberapa topik yang lebih kecil. Setiap topik menerima jumlah pemberatan yang hampir sama dalam pentaksiran Matematik Gred Lapan. Namun topik Nombor dan Algebra mempunyai peratusan yang lebih tinggi (30%) berbanding topik Geometri dan Data & Kebarangkalian masing-masing (20%) sahaja. Jadual 2 menunjukkan peratusan bilangan soalan yang diperuntukkan untuk setiap domain kandungan bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred Lapan (2007-2019).
Jadual 2 : Peratusan bilangan soalan yang diperuntukkan untuk setiap domain kandungan bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred Lapan (2007-2019)
Rajah 2 : Peratusan Bilangan Soalan dalam Domain Kandungan Matematik Gred Lapan TIMSS 2007-2019
Domain kognitif matematik lebih bertumpu kepada pengetahuan, aplikasi dan juga penaakulan dan ianya sama bagi Matematik Gred 4 dan Gred 8. Perbezaannya hanya dari segi pemberatan peratusan bagi setiap gred. Daripada ketiga-tiga aspek ini, aspek pengetahuan dan aplikasi membawa peratusan yang paling tinggi bagi murid Gred 4 iaitu 40% manakala Gred 8 pula membawa peratusan yang tinggi untuk aspek aplikasi (40%). Oleh hal yang demikian, ternyata bahawa murid Gred 4 dan Gred 8 perlu lebih berfokus kapada kemahiran berbentuk aplikasi. Jadual 3 menunjukkan peratusan bilangan soalan yang diperuntukkan untuk setiap domain kognitif bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred Empat dan Gred Lapan (2007-2019).
Jadual 3 : Peratusan bilangan soalan yang diperuntukkan untuk setiap domain kognitif bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred Empat dan Gred Lapan (2007-2019)
Rajah 3 : Peratusan Bilangan Soalan dalam Domain Kognitif bagi Pentaksiran Matematik TIMSS Gred 4 & Gred 8 (2007-2019)
Malaysia telah mula menyertai kajian TIMSS pada tahun 1999. Seramai 150 pelajar telah dipilih secara rawak dalam kalangan pelajar Tingkatan 2 untuk ditaksir. Penyertaan Malaysia telah berterusan dengan TIMSS 2003, TIMSS 2007, TIMSS 2011, TIMSS 2015 dan seterusnya TIMSS 2019. Pada tahun 2019, Malaysia menyertai TIMSS untuk kali yang keenam. Malaysia menyertai kajian TIMSS untuk melihat keberkesanan pembelajaran matematik dan sains dalam kalangan murid Malaysia berbanding rakan mereka di negara-negara lain. Aktiviti penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dilihat dari segi persekitaran murid untuk dijadikan rujukan oleh pendidik, penggubal dasar, penyelidik dan juga pihak yang berkepentingan. Malaysia telah mula menyertai TIMSS pada tahun 1999 iaitu pada kitaran yang kedua. Pada tahun 1999 Malaysia telah mencatat purata skor 519. Purata skor ini telah menurun pada tahun 2003 iaitu 508 berbanding tahun 1999 (penurunan purata skor sebanyak 11). Pada tahun 2007 pula, Malaysia mencatat penurunan purata skor kepada 474 berbanding dengan tahun 2003 (penurunan purata skor sebanyak 34). Purata skor ini terus menurun ke 440 berbanding pada tahun 2007 (penurunan purata skor sebanyak 34). Pada tahun 2015 pula, purata skor telah meningkat ke 465 berbanding pada tahun 2011 (peningkatan purata skor sebanyak 25). Seterusnya, Malaysia mencatat purata skor Matematik (461) dalam TIMSS 2019. Purata skor ini telah menurun sebanyak 4 mata berbanding pada tahun 2015 (465). Namun, skor purata pada tahun 2019 ini masih tinggi jika dibandingkan pada tahun 2011 (440) dengan perbezaan sebanyak 21 skor. Malaysia juga telah mencatat kejayaan dalam TIMSS 2019 apabila pelajar tingkatan dua telah memperoleh skor melebihi 700 dalam subjek matematik. Seramai 1560 pelajar ditaksir berasaskan fizikal (paper TIMSS) dan 8077 pelajar lagi ditaksir berasaskan komputer (eTIMSS). Daripada jumlah murid ini, seramai 25 pelajar paperTIMSS dan 65 pelajar eTIMSS telah berjaya memperoleh skor melebihi 700 serta lebih mencapai skala pencapaian TIMSS pada Aras Tertinggi. Pencapaian skor individu tertinggi bagi paperTIMSS ialah 799, manakala bagi eTIMSS ialah sebanyak 764. Ianya menunjukkan peningkatan 6 peratus dalam paperTIMSS dan 4 peratus bagi eTIMSS. Ini merupakan peningkatan sebanyak 3 peratus bagi paperTIMSS dan 1 peratus bagi eTIMSS berbanding pencapaian TIMSS 2015. Jadual 4 menunjukkan perbandingan taburan pencapaian matematik Gred Lapan dalam TIMSS 1999 hingga TIMSS 2019.
Jadual 4 : Perbandingan Taburan Pencapaian Matematik Gred Lapan dalam TIMSS 1999 hingga TIMSS 2019
Rajah 4 : Pencapaian Malaysia dalam Matematik Gred Lapan TIMSS 1999 hingga TIMSS 2019
Perbandingan Pencapaian Matematik Gred Lapan TIMSS antara Malaysia dan Singapura pada tahun 2019
Negara Singapura dan Malaysia aktif dalam penyertaan TIMSS iaitu mulai tahun 1999 hingga 2019. Bagi tahun 2019, hanya negara Malaysia dan Singapura yang menyertai Pentaksiran Matematik TIMSS bagi murid Gred Lapan. Jadual 5 menunjukkan perbandingan pencapaian di antara Malaysia dan Singapura dalam Matematik Gred Lapan TIMSS 1999 hingga TIMSS 2019.
Jadual 5 : Perbandingan di antara Negara-negara Asia Tenggara dalam Matematik Gred Lapan TIMSS 1999 hingga TIMSS 2019
Rajah 5 : Perbandingan Pencapaian Matematik TIMSS antara Malaysia dengan Singapura (1999-2019)
Berdasarkan Rajah 5, Singapura telah mencatatkan purata skor yang paling tinggi bermula tahun 1999 (604 mata), tahun 2003 (605 mata), tahun 2007 (593 mata), tahun 2011 (611 mata), tahun 2015 (621 mata) dan pada tahun 2019 (621mata). Manakala Malaysia mencatat 519 mata pada tahun 1999, 508 mata pada tahun 2003, 474 mata pada tahun 2007, 440 mata pada tahun 2011, 465 mata pada tahun 2015, dan 461 mata pada tahun 2019. Seterusnya, perbandingan purata skor matematik Gred Lapan TIMSS 2019 dalam domain kandungan antara negara Malaysia dan Singapura dianalisis. Jadual 6 menunjukkan perbandingan purata skor matematik Gred Lapan TIMSS 2019 dalam domain kandungan antara negara Malaysia dan Singapura.
Jadual 6 : Perbandingan purata skor Matematik Gred Lapan TIMSS 2019 dalam Domain Kandungan antara Malaysia dan Singapura.
Rajah 6 : Perbandingan Purata Skor TIMSS 2019 dalam Domain Kandungan
Berdasarkan pada Rajah 6, Malaysia telah mencapai purata skor 458 manakala Singapura dengan purata skor 611 bagi bidang topik Nombor. Seterusnya bagi bidang topik Algebra, Malaysia telah memperoleh purata skor 456 manakala Singapura pula dengan purata skor 619. Bagi bidang topik Geometri pula, Malaysia telah mencatat purata skor 466 manakala Singapura mencatat purata skor 619. Malaysia telah memperoleh purata skor 457 dan Singapura dengan purata skor 620 bagi bidang topik Data dan Kebarangkalian. Secara keseluruhannya, Singapura telah mencatat purata skor yang paling tinggi berbanding Malaysia di dalam setiap bidang Topik dalam Domain Kandungan. Perbandingan purata skor bagi Malaysia dan Singapura dalam bidang topik Nombor adalah 153, Algebra 163, Geometri 153, dan Data & Kebarangkalian 163. Ini menunjukkan Malaysia masih lagi berada pada paras purata skor yang rendah jika dibandingkan dengan Singapura. Murid-murid di Singapura adalah lebih baik dalam pengaplikasian domain kandungan berbanding dengan murid-murid di Malaysia. Seterusnya, perbandingan purata skor matematik gred lapan TIMSS 2019 dalam domain kognitif antara negara Malaysia dan Singapura telah dianalisis. Jadual 7 menunjukkan perbandingan purata skor Matematik Gred Lapan TIMSS 2019 dalam domain kognitif antara negara Malaysia dan Singapura.
Jadual 7 : Perbandingan purata skor Matematik Gred Lapan TIMSS 2019 dalam Domain Kognitif antara Negara Malaysia dan Singapura.
Rajah 7 : Perbandingan Purata Skor TIMSS 2019 dalam Domain Kognitif
Berdasarkan Rajah 7, Malaysia telah mencatat purata skor 451 dalam aspek pengetahuan domain kognitif berbanding 614 purata skor oleh Singapura. Bagi aspek aplikasi pula, Malaysia telah memperoleh purata skor 464 manakala Singapura pula dengan purata skor 614. Seterusnya, dari aspek penaakulan pula Malaysia telah memperoleh purata skor 462 dan Singapura pula mencatat skor purata 620. Secara keseluruhannya, Singapura telah mencatat purata skor yang paling tinggi berbanding Malaysia di dalam setiap aspek yang terkandung dalam domain kognitif. Perbandingan purata skor bagi Malaysia dan Singapura dari aspek pengetahuan adalah 163, aplikasi 150 dan penaakulan 158. Ini menunjukkan Malaysia masih lagi berada pada paras purata skor yang rendah dalam domain kognitif jika dibandingkan dengan Singapura. Murid-murid di Singapura adalah lebih baik dalam pengaplikasian domain kognitif berbanding dengan murid-murid di Malaysia.
Kajian peratus pencapaian murid berdasarkan Penandaarasan Antarabangsa juga telah dibuat di antara negara Malaysia dengan Singapura bagi tahun 2019. Jadual 8 menunjukkan perbandingan pencapaian Matematik Malaysia dan Singapura mengikut Penandaarasan Antarabangsa TIMSS 2019.
Jadual 8 : Perbandingan pencapaian Matematik Malaysia dan Singapura mengikut Penandaarasan Antarabangsa TIMSS 2019
Rajah 8 : Perbandingan Peratusan Pencapaian Matematik Malaysia dan Singapura mengikut Penandaarasan Antarabangsa TIMSS 2019
Rajah 8 menunjukkan peratusan pencapaian Matematik murid Malaysia dan Singapura mengikut Penandaarasan Antarabangsa TIMSS pada tahun 2019. Peratus murid Gred Lapan (Tingkatan 2) Malaysia yang tidak mencapai sekurang-kurangnya aras rendah (400 mata) pada TIMSS 2019 ialah sebanyak 26% berbanding Singapura hanya 2%. Bagi aras Rendah (400 mata), Malaysia telah mencatat 32% berbanding Singapura 6%. Seterusnya, Malaysia telah memperoleh 25% dan Singapura 13% bagi aras Sederhana (475 mata). Bagi aras Tinggi (550 mata) pula, Malaysia telah mencatat 13% dan Singapura dengan 28%. Namun, peratus pencapaian murid dalam aras Tertinggi (625 mata) pula, Malaysia hanya mencatat 4% berbanding Singapura dengan 51%.
Secara keseluruhannya, Singapura telah mencatat peratus pencapaian Matematik Gred Lapan yang sangat baik dalam TIMSS 2019 pada aras Tinggi dan juga dalam aras Tertinggi berbanding Malaysia. Namun, peratus murid Malaysia pada aras Tertinggi meningkat 1% manakala peratus murid Singapura pula menurun sebanyak 3% dalam TIMSS 2019 berbanding TIMSS 2015. Ini menunjukkan peningkatan di kalangan murid Malaysia dalam aras Tertinggi. Singapura telah mengekalkan kedudukan di tempat pertama dalam empat kitaran TIMSS (2019, 2015, 2003 dan 1999) berbanding Malaysia. Malaysia telah mencatat kedudukan yang baik dalam TIMSS 2003 (tempat ke-10) berbanding pada TIMSS 1999, 2007, 2011, 2015 dan 2019. Malaysia hanya mampu mencatat di kedudukan ke-26 berbanding 39 buah negara yang telah mengambil bahagian dalam TIMSS 2019. Jadual 9 menunjukkan perbandingan kedudukan Malaysia dan Singapura dalam TIMSS 1999 hingga TIMSS 2019.
Jadual 9 : Perbandingan Kedudukan Malaysia dan Singapura dalam TIMSS 1999-2019
Kesimpulannya, bagi meningkatkan pencapaian Malaysia dalam TIMSS, semua pihak perlu berganding bahu untuk merealisasikan matlamat ini pada masa akan datang. Dengan adanya usaha dan inisiatif daripada semua pihak, murid-murid di negara kita dapat meningkatkan prestasi mereka setanding dengan murid-murid dalam kalangan negara lain khususnya seperti Singapura. Salah satu faktor yang menjejaskan pencapaian murid Malaysia dalam TIMSS adalah faktor jurang lokasi. Ini kerana murid-murid di bandar telah menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding dengan murid-murid di luar bandar dalam TIMSS 2019. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk merapatkan jurang di antara murid bandar dan juga luar bandar bagi meningkatkan pencapaian murid di dalam matematik di samping menjamin masa depan pendidikan Malaysia yang lebih baik. Selain daripada faktor jurang lokasi, terdapat kajian yang menunjukkan guru-guru matematik di Malaysia kurang berkemahiran dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh hal yang demikian, latihan-latihan yang menjurus ke arah peningkatan kemahiran berfikir atau kemahiran penyelesaian masalah, mengintegrasi teknologi maklumat dalam mata pelajaran serta pedagogi guru perlu dipertingkatkan. Seterusnya, minat dan keyakinan murid-murid di Malaysia terhadap mata pelajaran Matematik juga perlu dipertingkatkan agar pencapaian matematik yang lebih baik di dalam TIMSS dapat diperolehi. Selain daripada murid, ibu bapa dan guru, pengetua selaku ketua pentadbir sekolah juga perlu memainkan peranan penting dalam memimpin ahli sekolah dengan lebih baik demi kecemerlangan pendidikan matematik di Malaysia. Akhir sekali, suasana pembelajaran yang kondusif di samping penyediaan sumber yang baik perlu diwujudkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka supaya membantu pembangunan Pendidikan. Dengan adanya usahasama daripada pelbagai pihak, maka adalah dihasratkan supaya pencapaian murid-murid di Malaysia dapat ditingkatkan di dalam TIMSS 2023 yang akan datang dengan mencapai penandaarasaan antarabangsa yang lebih baik.
Pencapaian Malaysia di dalam Pentaksiran Matematik TIMSS 2019 bagi murid-murid Gred Lapan (Tingkatan Dua) menurun (purata skor 4) berbanding pencapaian murid di dalam TIMSS 2015 dan berada pada tahap Rendah berdasarkan skala titik tengah TIMSS (500). Pencapaian ini masih lagi tidak setanding dengan negara Singapura di mana pencapaian mereka adalah lebih baik dan berada pada tahap Tinggi berdasarkan skala titik tengah TIMSS (500) dengan mencatat purata skor 616 sekaligus berada di kedudukan yang paling tertinggi berbanding negara-negara lain yang telah mengambil bahagian dalam TIMSS. Namun begitu, seramai 25 pelajar paperTIMSS dan 65 pelajar eTIMSS telah berjaya memperoleh skor melebihi 700 dan mencapai skala pencapaian TIMSS pada Aras Tertinggi. Pencapaian skor individu tertinggi bagi paperTIMSS ialah 799, manakala bagi eTIMSS ialah sebanyak 764. Ini merupakan suatu peningkatan di kalangan murid-murid tingkatan dua di Malaysia berbanding kitaran-kitaran TIMSS yang sebelumnya.Walau bagaimanapun, jika dibuat perbandingan dari segi purata skor, maka Malaysia jauh ketinggalan dan menduduki di tempat ke-26 jika berbanding Singapura yang berada pada kedudukan teratas dalam kalangan negara-negara yang telah mengambil bahagian dalam TIMSS 2019. Segala faktor dan punca yang mendorong ke arah penurunan prestasi murid dalam TIMSS perlu diberikan perhatian yang sewajarnya supaya segala kekangan yang dikenalpasti dapat diatasi dengan baik. Bagi merealisasikan pencapaian murid yang setanding dengan negara-negara lain di peringkat antarabangsa, maka semua pihak seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pentadbir sekolah, guru dan murid itu sendiri perlu berganding bahu memainkan peranan yang penting. Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perkembangan pendidikan Malaysia perlu berbanding bahu bagi terus memastikan pencapaian murid setanding dengan murid-murid negara lain di peringkat antarabangsa. Tujuannya adalah untuk meletakkan sistem pendidikan di Malaysia setaraf dengan sistem pendidikan pada peringkat antarabangsa.