SHARE
 Oleh: Ashriq Fahmy Ahmad
 

 

Penyelidik Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) -Universiti Kebangsaan Malaysia beri khabar gembira kepada pesakit buah pinggang
Kegagalan fungsi buah pinggang berpunca daripada banyak faktor, antara yang popular di negara ini adalah akibat penyakit kencing manis,tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan pelbagai lagi.
Penjagaan terhadap organ perkumuhan ini sering kali diabaikan oleh masyarakat kita kerana kurangnya pengetahuan dan kesedaran.
Begitu juga kajian dan pembangunan (R&D) yang memfokus kepada mencari penyelesaian bagi merawat penyakit kegagalan fungsi buah pinggang dalam kalangan rakyat negara ini.
Di Malaysia, kita masih bergantung harap kepada teknologi luar seperti mesin dialisis darah,ubat-ubatan dalam mendepani penyakit ini.
Kini hanya mereka yang menghidapi penyakit itu sahaja tahu betapa peritnya untuk melakukan dialisis darah saban minggu.
Ditambah dengan kos perubatan yang semakin meningkat saban tahun, pesakit buah pinggang kini tiada pilihan selain bertahan melawan penyakit tersebut.
Jika bernasib baik mungkin ada penderma yang bermurah hati mendermakan buah pinggang mereka namun berapa ramai?
Persoalannya tiadakah penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan bagi mencari penyelesaian masalah tersebut?

Penyelidikan HiCOE MEMS untuk Buah Pinggang Tiruan
Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ada jawapannya.
Menurut Pengarah IMEN, Prof. Dato’ Dr. Burhanuddin Yeop Majlis, pihaknya kini dalam proses menghasilkan teknologi yang berfungsi seperti buah pinggang.
Jelasnya, program yang dikenali sebagai Higher Centre of Excellence (HiCOE) Project MEMS for Artificial Kidney itu sedang dalam proses R&D pihaknya.
“Antara fokus kita di peringkat awal kajian ini adalah bagi menghasilkan sejenis penapis yang dapat meniru fungsi buah pinggang.
“Seperti mana yang kita ketahui buah pinggang menapis bahan kumuh daripada darah dan dikeluarkan daripada tubuh berupa urin (air kencing).
“Di sini kita sedaya upaya menghasilkan penapis tersebut dengan mengaplikasikan teknologi nano sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, R&D itu merupakan harapan baharu bagi mereka yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik sehingga terpaksa hidup bergantung kepada alat dialisis sepanjang umur.
Berupa sekeping silikon yang memiliki liang-liang halus, konsep yang cuba diterapkan menerusi inovasi tersebut adalah bagi menapis bahan kumuh dan mengeluarkannya daripada badan.
“Penapis silikon tersebut berfungsi menggantikan penapis semulajadi yang terdapat di dalam buah pinggang, namun sebenarnya ia tidak semudah itu.
“Buah pinggang mampu menapis bahan kumuh dan menyimpan semula bahan-bahan yang diperlukan badan, itu antara fokus yang sedang kita kaji kini,” katanya.
Meningkatkan kecekapan mesin dialisis
Berbanding penggunaan mesin dialisis biasa, pesakit yang menjalani proses dialisis akan mudah penat dan tidak bermaya kerana mesin tersebut menapis dan mengasingkan segala bahan sama ada yang tidak diperlukan mahupun yang diperlukan tubuh sebagai bahan buangan.
Buat masa ini, pihaknya menumpukan perhatian bagi menghasilkan penapis sahaja dan mungkin kajian tersebut akan diperluas sehinggalah terciptanya produk yang mampu menggantikan buah pinggang sepenuhnya.
Ujar Dr. Burhanuddin, di Malaysia masih tiada kajian khusus dibuat untuk menangani penyakit buah pinggang.
Bahkan katanya, di negara maju seperti Amerika Syarikat sekalipun hanya mampu menghasilkan mesin dialisis darah secara mudah alih.
Pun begitu, inovasi tersebut masih lagi dalam kajian dan belum lagi dikomersialkan.

Aplikasi Teknologi Nano
Menggunakan aplikasi teknologi nano, katanya kajian dalam bidang tersebut mampu menghasilkan sekecil-kecil produk yang dapat meniru keupayaan menapis darah daripada bahan kumuh.
Dikenali sebagai lapisan penapis membran nano, inovasi tersebut berfungsi membantu pesakit buah pinggang melakukan dialisis secara berterusan, setiap hari tanpa perlu bergantung kepada mesin.
Ideanya adalah seperti menggunakan penapis udara di dalam enjin kereta, lapisan membran tersebut akan ditempatkan di dalam alatan khas yang boleh dibawa oleh pesakit ke mana-mana sahaja.
Bercerita lanjut, Dr. Burhanuddin berkata, pada masa akan datang pihaknya akan menumpukan perhatian dalam menghasilkan pam mikro dan injap khas bagi memudahkan proses mengepam dan menapis darah.
Dalam pada itu, penggunaan penderia berasaskan Pemesinan Mikro (MEMS) untuk mengukur kualiti darah juga akan digunakan.
Biarpun akan memakan masa yang panjang, kajian tersebut bakal menawarkan pesakit buah pinggang kronik proses dialisis berterusan.
“Mereka tidak lagi perlu melakukan proses dialisis setiap minggu yang amat memenatkan.
Seterusnya memiliki kawalan automatik dan pengukuran yang lebih selamat hanya menerusi telefon bimbit mahupun tablet.
Inovasi tersebut juga dapat memperbaiki kesihatan dan jangka hayat seseorang, mengurangkan aktiviti rawatan serta kos perubatan juga dijangka dapat dikurangkan.
“Di sini kami mengaplikasikan kepakaran dibidang kejuruteraan untuk kegunaan di bidang kesihatan.
“Kita banyak bekerjasama dengan pelbagai disiplin ilmu lain seperti di bidang perubatan dan biologi,” katanya.
Tambah Prof Dato’ Dr. Burhanuddin, pihaknya hanya pakar dalam bidang kejuruteraan namun dalam usaha untuk memahami fungsi buah pinggang mereka memerlukan pakar dalam bidang perubatan bagi menerangkannya.
Buah pinggang merupakan satu-satunya organ pembersih darah di dalam tubuh manusia dan ia membersihkan sekitar satu hingga 1.5 liter (l) darah seminit.
“Kita tahu yang kita cuba meniru fungsi buah pinggang, namun bahagian mana? Fisiologi buah pinggang itu sendiri juga perlu difahami untuk menghasilkan produk yang persis sepertinya.
Mengakui bukanlah suatu pekerjaan yang mudah bagi meniru sebaik-baik ciptaan Yang Maha Esa tersebut, Dr. Burhanuddin berkata jika mereka tidak memulakan sekarang bilakah lagi ia akan dibangunkan.
IMEN-UKM dianugerahkan status HiCOE dari Kementerian Pengajian Tinggi 2014
 
Prototaip Ginjal Tiruan (GiTi) yang sedang dibangunkan oleh IMEN-UKM
 
Nanofilter hasil penyelidikan
 
Penyelidikan di bilik bersih kelas 100 IMEN-UKM

Sumber – Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge