SHARE

KUALA LUMPUR (Bernama) — Program Sains Alam Sekitar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Program Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM) menduduki 50 tempat teratas dalam QS World University Rankings by Subject 2015.

Program Sains Alam Sekitar USM yang diletakkan di bawah kategori Sains Semula Jadi menduduki tempat ke-31 manakala Program Pengajian Pembangunan UM, dalam kategori Sains Sosial, berada pada kedudukan ke-32.

Dalam kenyataan hari ini, QS Quacquarelli Symonds, penyedia maklumat global pendidikan tinggi dan kerjaya, penyelidikan bebas dan penyelesaian, berkata Program Pengajian Pembangunan UM adalah subjek baharu yang diberi ranking dalam kategori berkenaan pada tahun ini.

BacaRanking Universiti dan Permasalahannya di Malaysia

Ketua Penyelidik QS Quacquarelli Symonds, Ben Sowter berkata, Malaysia mencatat kedudukan naik turun dalam QS World University Rankings by Subject tahun ini.

Walaupun sebahagiannya menurun bagi sesetengah subjek, jumlah perwakilan institusi Malaysia meningkat dari enam kepada 10, dengan sesetengah subjek yang baharu diperkenalkan mempamerkan prestasi kukuh seperti pengajian seni bina dan pembangunan di mana dalam setiap satu daripadanya, tiga institusi Malaysia menduduki antara 100 tempat teratas,” kata Sowter.

Sebanyak 23 subjek UM diberi ranking oleh QS World University Rankings by Subject; Universiti Putra Malaysia (UPM) (19); USM (18); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (16); Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (10); Universiti Teknologi Petronas (empat); Universiti Teknologi Mara (tiga); Universiti Multimedia (dua); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Utara Malaysia, masing-masing satu.

Kenyataan itu berkata UM tersenarai dalam kelompok 100 tempat teratas bagi subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pembuatan; Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Elektronik; Kejuruteraan Kimia; Linguistik; Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dan Seni Bina/Alam Bina, manakala UPM tersenarai dalam kedudukan 100 teratas bagi subjek Pertanian dan Perhutanan.

QS World University Rankings by Subject menyenaraikan universiti teratas dunia dalam 36 subjek berdasarkan reputasi akademik dan majikan serta kesan penyelidikan.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin berkata ranking bagi subjek UM secara umumnya bertambah baik tahun ini, dengan tujuh subjek menduduki 100 tempat teratas berbanding enam pada 2014.

Mohd Amin yang gembira dengan prestasi UM itu, berkata ini juga merupakan julung kalinya UM tersenarai dalam 50 tempat teratas melalui Program Pengajian Pembangunan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata pemilihan UPM untuk menduduki antara tempat ke-100 terbaik dalam program Pertanian dan Perhutanan merupakan pengiktirafan dunia terhadap universiti itu.

“Selain itu, kita juga di kedudukan kedua selepas UM kerana tersenarai dalam 19 subjek yang diiktiraf di bawah QS World University Rankings by Subject dibawah program pertanian, perhutanan, pendidikan, kejuruteraan dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.– BERNAMA

RujukanQS World University Rankings

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge