Pensyarah Kanan
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti kebangsaan Malaysia
Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr. Mohd Shahrul Mohd Nadzir. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Sains Bumi & Alam Sekitar di Fakulti Sains & Teknologi dan Ketua Pusat Sistem Tropika & Perubahan Iklim di Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Dalam kehidupan manusia dan segala benda hidup, udara dan air adalah komponen utama untuk meneruskan kehidupan. Sekiranya, bahan pencemar memberi kesan kepada udara atau air, ia akan memberi kesan yang besar kepada ekosistem kita. Bidang penyelidikan saya adalah Sains Atmosfera. Sains atmosfera merangkumi pelbagai cabang namun saya memfokus dalam penyelidikan tentang Perubahan Cuaca. Saya bersama kumpulan ‘Atmospheric Group UKM’ yang diketuai oleh Prof Dr. Mohd Talib Latif. Perubahan Iklim adalah fenomena realiti dunia yang hangat diperkatakan. Pelbagai kesan yang dasyat seperti jerebu teruk, banjir kilat, hujan asid dan ribut taufan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Untuk memahami sesuatu pencemaran atmsofera, kajian yang terperinci hendaklah dilakukan oleh saintis-saintis. Data-data yang lengkap adalah penting untuk memahami sistem atmosfera bumi. Pencemaran udara terdiri dari pelbagai jenis komponen gas kimia dari ringkas hinggalah ke rumit. Gas-gas pencemar ini dibebaskan oleh sumber aktiviti manusia dan aktiviti semula jadi. Pembebasan gas pencemar tidak dikawal akan mengakibatkan penipisan ozon seterusnya mengakibatkan perubahan iklim akan terus berlaku. Kumpulan kami di UKM, telah menjalankan aktiviti persampelan udara di seluruh Malaysia malah ke kawasan kutub. Saya telah membuat kajian di pelbagai kawasan yang berlainan topografi. Saya dan rakan-rakan masuk ke kawasan hutan tebal tropika, ke lautan mahu pun menerjah awan bagi memahami proses gas-gas pencemar ini.
Saya dan pelajar PhD saya iaitu En Kemal Maulana Alhasa dari Indonesia telah menghasilkan peralatan sainstifik yang kecil dan murah. Teknologi ini dipanggil ‘Low-cost air quality sensor’ iaitu sensor udara yang mempunyai ciri teknologi hijau. Pada masa hadapan, kami berharap teknologi ini digunapakai dalam ‘smart cities’ bagi memantau tahap kualiti udara di kawasa-kawasan yang membangun.
Selain itu, saya banyak bekerjasama bagi menjalankan kajian perubahan iklim bersama agensi-agensi dan universiti kerajaan dan swasta seperti Universiti Malaya, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia dan pelbagai lagi. Malah, saya juga mempunyai jaringan yang kuat bersama University of Cambridge, University of York, Cranfield University dan University of East Anglia, United Kingdom. Kami telah menjalankan kajian selama lebih 10 tahun bagi memahami proses perubahan iklim yang kompleks.
Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Penyelidikan ini bertujuan untuk menjadikan masyarakat lebih peka tentang alam sekitar kerana bumi yang kita diami ini bukan hanya untuk generasi sekarang, tetapi juga untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Di mana tempat bertugas sekarang?
Saya bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi, UKM dan Ketua Pusat Sistem Tropika dan Perubahan Iklim, Institut Perubahan Iklim, UKM. Makmal penyelidikan di Insitut Perubahan Iklim dan fakulti sains & teknologi, UKM.
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Saya mendapat ijazah sarjana muda Sains Sekitaran dari UKM, kemudian sarjana Kejuruteraan Proses Brandenburg Technical University of Cottbus Germany dan PhD dalam Kimia Atmosfera dari University Malaya. Pada peringkat PhD, kajian saya melibatkan kerjasama Universiti Malaya dan University of Cambridge dalam Program Prime Minister Initiative (PMI). UM telah menghantar saya setahun di Cambridge selama pengajian PhD saya.
Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Tokoh saintis idola adalah Al-khawarizmi yang merupakan saintis matematik dan astronomi hebat pada zaman kegemilangan Islam. Menjadi saintis hebat bukan hanya pada ilmu pengetahuan dan paling penting adalah akhlak sebagai seorang muslim.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Pengalaman mencabar dalam bidang penyelidikan ketika peringkat PhD saya telah berlayar selama 3 bulan merentasi Selat Melaka, Laut Cina Selatan dan Sulu-sulawesi bagi mengambil sampel udara menaiki kapal KD Perantau diikuti ekspedisi saintifik Antartika dengan menaiki kapal layar membawa peralatan-peralatan saintifik ke lautan Southern Ocean hingga ke Semenanjung Antartika (Kutub Selatan) selama sebulan pada 2016. Saya juga pernah menjalankan kajian perubahan cuaca terhadap kawasan perhutanan di Hutan tropika Lembah Danum, Sabah, dimana kami bersama-sama penyelidik dari United Kingdom berkampung di dalam hutan tebal selama sebulan . Saya juga terlibat dalam kajian penerbangan persampelan udara bersama Facility for Airborne Atmospheric Measurements (FAAM) di United Kingdom pada 2017. Kita jangan mudah putus asa walaupun terpaksan merentasi pelbagai rintangan.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Team work atau kerja berpasukan adalah penting untuk meneruskan penyelidikan
Pengalaman paling menarik?
Pengalaman menarik ketika belajar adalah ketika dapat mengenali rakan-rakan dari pelbagai Negara. Kolaborasi bersama rakan-rakan dari seluruh Negara banyak membantu saya dengan perkongsian ilmu bersama. Pada bulan Ogos 2017, saya mewakili Malaysia di Astana, Kazakhstan bagi memberi ucapan tentang perubahan cuaca.
Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Saya merupakan penasihat Kelab Sains Sekitaran dan Sumber Alam (KESAS) dan penasihat Earth Space Science Atmosphere (ESSA). Saya ingin memberi pendapat kepada generasi muda, bidang sains adalah luas banyak perkara yang kita masih tidak tahu. Teruskan perjuangan kepada generasi muda untuk menerokai alam ciptaan Tuhan ini.
Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Hobi saya adalah bermain bola sepak dan menunggang motosikal.