Siri temubual Kenali Saintis Malaysia kali ini menampilkan Gs. Dr. Muhammad Hafeez Bin Jeofry Pensyarah Kanan, Program Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu. Siri ini telah dimulakan sejak tahun 2018 yang kini diteruskan kembali dengan memperkenalkan lebih ramai ahli-ahli akademik yang giat menjalankan penyelidikan di pelbagai institusi awam dan swasta dalam negara.
Apakah tumpuan penyelidikan sekarang?
Tumpuan penyelidikan saya terbahagi kepada dua komponen yang bertemakan bidang geobencana iaitu;
(1) Memahami kestabilan lapisan ais di Antartika dan Greenland menerusi proses-proses dalaman di bawah permukaan ais, serta melihat impak kestabilan tersebut terhadap kenaikan paras laut, terutamanya di Laut China Selatan yang boleh menyebabkan hakisan pantai dan banjir di kawasan berketinggian rendah
(2) Menyiasat dan memahami aktiviti-aktiviti seismik (i.e., gegaran bumi) di Malaysia, terutamanya melibatkan pergerakan plat tektonik Rak Sunda. Selain itu, kajian seismik ini juga dapat dikaitkan dengan ketinggian ombak (i.e., Tsunami kecil) yang berlaku di Laut China Selatan, yang turut berpotensi untuk menyumbang kepada hakisan pantai.
Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat mahupun industri?
Geobencana merupakan antara isu utama negara yang boleh menggugat aktiviti-aktiviti sosioekonomi penduduk-penduduk yang terjejas. Penyelidikan ini penting bagi memahami corak atau proses-proses yang menjadi faktor penyebab dan pencetus kepada permasalahan tersebut. Dengan kefahaman berkaitan faktor-faktor ini, penyelidikan ini dapat membantu pihak kerajaan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk terdedah kepada tragedi bencana. Selain itu, hasil kajian ini juga dapat membantu pihak kerajaan untuk membuat persediaan serta memperkukuhkan pelan-pelan tindakan sedia ada, dalam memastikan impak daripada geobencana tersebut dapat dikawal dengan baik.
Di manakah tempat bertugas sekarang?
Saya kini bertugas sebagai Pensyarah bagi program Geosains Marin di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu. Selain itu, saya juga turut terlibat sebagai Penyelidik Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, dari universiti yang sama juga. Antara tugas hakiki saya di UMT adalah untuk mendidik pelajar-pelajar dalam bidang Sains Marin, khususnya dari program Geosains Marin. Selain itu, saya juga turut aktif dalam penyelidikan di bawah bidang kepakaran saya yang menggunakan teknik-teknik dan analisis geofizik dan geospatial untuk memahami isu-isu berkaitan geobencana dan perubahan cuaca. Antara kajian saya telah berjaya diterbitkan dalam beberapa jurnal seperti Nature Communications, Earth System Science Data dan Reviews of Geophysics dengan kerjasama dari penyelidik-penyelidik terkemuka dalam dan luar negara.
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Minat saya dalam geosains, khususnya dalam geobencana mula berkembang pada tahun 2004, di mana tragedi Tsunami telah melanda perairan di sekitar Lautan India tanggal 26 Disember, disebabkan oleh gempa bumi yang kuat (I.e., > 9.0 Mw) di dasar lautan. Tragedi tersebut pastinya telah meninggalkan seribu satu pengalaman pahit dan mengerikan, terutama kepada mereka yang terkesan secara lansung akibat dari bencana alam tersebut. Namun, peristiwa tersebut turut membuka lembaran baru buat diri saya secara peribadi, di mana pada usia 14 tahun tersebut, saya telah nekad untuk menjadi seorang geosaintis pada masa hadapan.
Sebaik menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pada tahun 2012 dari Universiti Malaya dalam bidang alam sekitar dan geospatial, saya telah menerima tajaan untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di University of Bristol pada tahun 2013 dalam bidang geografi fizikal, dan seterusnya menerima tajaan daripada pihak kementerian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di Imperial College London dalam bidang Sains Bumi dan Kejuruteraan (Geofizik) pada tahun 2015. Sekembalinya dari pengajian PhD, saya telah dilantik sebagai pensyarah dan juga penyelidik di Universiti Malaysia Terengganu, di mana saya dapat meneruskan kajian dalam bidang yang saya minati ini sejak dari bangku sekolah lagi.
Siapa tokoh sains yang dijadikan idola? Dan mengapa?
Jujur saya katakan bahawa saya tidak mengikuti dan menjadikan mana-mana tokoh sains sebagai idola. Apa yang menarik minat saya adalah lebih kepada kajian-kajian sains yang menarik dan telah dijalankan oleh pelbagai penyelidik-penyelidik dari dalam atau luar negara, dan bagaimana kajian tersebut memberikan impak positif samada dalam penerbitan artikel jurnal, mahupun kepada masyarakat setempat yang menerima manfaat daripada kajian tersebut. Kajian-kajian seperti ini yang menjadi inspirasi, serta idea kepada saya tentang bagaimana saya boleh aplikasikan konsep tersebut dalam kajian saya.
Selain itu, saya juga mempunyai kecenderungan untuk mengikuti autobiografi, samada melalui pembacaan atau menonton filem-filem, tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang tentang bagaimana mereka mengharungi liku-liku kehidupan dan cabaran semata-mata untuk mengejar impian mereka. Salah satu daripada beberapa filem yang menjadi kegemaran saya adalah filem October Sky.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran yang boleh diambil?
Pengalaman yang paling mencabar dalam bidang penyelidikan dan pengajaran ini adalah sekembalinya saya dari pengajian PhD. Ini adalah kerana, kita sudah perlu berdiri sendiri dengan tidak mengharapkan bantuan sepenuhnya oleh penyelia-penyelia ketika menjalani pengajian peringkat pascasiswazah. Untuk membina tapak dan keunikan semasa memulakan kerjaya itu adalah sangat mencabar, dan secara jujurnya, saya masih menghadapi cabaran tersebut sehingga pada hari ini. Antara pengalaman mencabar bagi saya adalah, bagaimana untuk kita mengintegrasi latar belakang dan latihan yang telah kita terima melalui pengalaman-pengalaman sebelumnya, dengan jenis kajian yang kita minati, dan juga dapat memberikan sumbangan dan manfaat kepada negara dan masyarakat. Jika di peringkat pascasiswazah, kita mungkin hanya perlu fokus pada kajian semata-mata, tapi setelah kita menerima ijazah dan mampu berdiri sendiri, kita perlu belajar pula aspek-aspek berkaitan dengan mencari dana dan peluang penyelidikan, serta mengurus tadbir projek kajian tersebut.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Kata kunci di sini adalah minat. Saya sangat meminati bidang yang saya sedang ceburi sekarang ini, dan itulah menjadi pendorong kepada saya untuk terus bertahan dalam penyelidikan saintifik. Jika tiada sebarang kekangan atau halangan, kerjaya penyelidikan saintifik ini yang akan saya lakukan sepanjang hayat di kandung badan. Selain itu, turut tidak dinafikan bahawa rezeki saya sentiasa dikelilingi dengan ramai rakan-rakan penyelidik, dan individu-individu hebat dalam dan luar negara, khususnya dari UMT sendiri, Universiti Teknologi PETRONAS, Imperial College London (UK), Eliis Sdn. Bhd. dan Second Insitute of Oceanography (China), yang sentiasa memberikan komen-komen kritikal, sokongan dan cadangan dalam memastikan kualiti kajian saya dijaga dengan baik.
Namun begitu, semestinya dalam mana-mana kerjaya, pasti akan ada situasi yang menyebabkan kita berasa kurang bersemangat dan berpotensi untuk menggugat kesihatan mental disebabkan oleh situasi-situasi yang tidak memihak kepada kita. Saya juga turut tidak terkecuali, dan sebagai makhluk yang diciptakan secara fitrahnya suka bersosialisasi, pada ketika situasi-situasi yang tidak menyenangkan, antara sokongan padu yang saya amat memerlukan adalah daripada isteri, anak-anak, keluarga dan sahabat-sahabat yang menjadi tulang belakang dalam kehidupan saya.
Pengalaman paling menarik?
Sebagai salah seorang saintis, saya yakin bahawa setiap daripada penyelidik-penyelidik di dunia, amat menyukai apabila kajian yang kita lakukan ini diiktiraf oleh komuniti saintifik dan juga masyarakat, terutamanya kepada penyelidik-penyelidik yang datang dari negara membangun dan perlu bersaing dengan kajian-kajian yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik dari negara maju.
Antara pengalaman-pengalaman manis yang pernah saya lalui, adalah ketika saya telah menerima anugerah Best Speaker bagi peringkat rantau Rusia dan Eropah ketika menghadiri konferensi antarabangsa Scientific Committee on Antarctic Research (SCAR) Open Science Conference pada tahun 2016. Selain itu, apabila kajian saya di peringkat PhD berjaya diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang terkemuka iaitu Nature Communications pada tahun 2018.
Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Sentiasa teguh dalam bidang sains yang kita betul-betul minati. Seterusnya, perlu istiqamah dan berusaha untuk mencapai impian anda. Tidak dinafikan bahawa graduan-graduan dalam bidang STEM menghadapi cabaran untuk mencari peluang-peluang pekerjaan. Disebabkan itu, anda perlu betul-betul menanam minat dan berpegang teguh dalam bidang sains yang anda minati. Walaupun anda menghadapi cabaran dan halangan, disebabkan minat dan keteguhan yang mendalam itu, anda akan teruskan usaha sehinggalah impian anda tercapai. Jangan bandingkan perjalanan kehidupan anda dengan rakan-rakan lain, yakinlah bahawa rezeki yang Maha Esa itu luas.
Aktiviti atau hobi kegemaran selain tugas hakiki?
Saya menggemari aktiviti-aktiviti mengembara, terutamanya bersama keluarga. Walaupun saya dan isteri sibuk dengan tugasan kerja, saya akan cuba untuk mengisi aktiviti-aktiviti pada setiap hujung minggu, untuk merapatkan ikatan kekeluargaan antara kami. Kebiasaannya, pada setiap hujung minggu, kami akan melawat tempat-tempat menarik di sekitar negeri Terengganu seperti di kawasan pantai, air terjun, zoo, muzium dan lain-lain lagi. Kadangkala, kami juga akan meneroka tempat-tempat di luar dari negeri Terengganu seperti Kelantan dan Pahang. Pada waktu-waktu cuti yang panjang, kami juga akan mengambil peluang tersebut untuk melawat tempat-tempat yang lebih jauh semata-mata untuk melihat kecantikan alam dan mencari ketenangan bersama keluarga tercinta.
Penerbitan Terbaik Setakat ini
Xiangbin Cui, Hafeez Jeofry, Jamin S. Greenbaum, Jingxue Guo, Lin Li, Laura E. Lindzey, Feras A. Habbal, Wei Wei, Duncan A. Young, Neil Ross, Mathieu Morlighem, Leneke M. Jong, Jason L. Roberts, Donald D. Blankenship, Sun Bo and Martin J. Siegert (2020). Bed topography of Princess Elizabeth Land in East Antarctica. Earth System Science Data, 12, 2765–2774, https://doi.org/10.5194/essd-12-2765-2020
Martin J. Siegert, Jonny Kingslake, Neil Ross, Pippa L Whitehouse, John Woodward, Stewart SR Jamieson, Michael J Bentley, Kate Winter, Martin Wearing, Andrew S Hein, Hafeez Jeofry and David E Sugden (2019). Major ice-sheet change in the Weddell Sea Sector of West Antarctica over the last 5000 years. Reviews of Geophysics, 57, 1197–1223, https://doi.org/10.1029/2019RG000651
Hafeez Jeofry, Neil Ross, Anne Le Brocq, Alastair G.C. Graham, Jilu, Li, Prasad Gogineni, Mathieu Morlighem, Thomas Jordan and Martin J. Siegert (2018). Hard rock landforms generate 130 km ice shelf channels through water focusing in basal corrugations. Nature Communications, 9, 4576, https://doi.org/10.1038/s41467-018-06679-z