Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin
‘Kami mempunyai liputan rangkaian 4G terbesar di negara ini’ – ujar pengendali rangkaian selular, syarikat C, ‘Kami menawarkan kualiti rangkaian 4G terbaik’ – bidas pengendali daripada syarikat M pula. ‘Kami pula menawarkan harga perkhidmatan 4G termurah’, tidak semena-mena muncul pula syarikat D, tak nak kalah dengan peperangan rangkaian ‘4G’ kepada pengguna. Namun, benarkah mereka menawarkan rangkaian 4G sebenar?
Apa itu 4G?
Penggunaan istilah 4G (merujuk kepada rangkaian Generasi Keempat) begitu meluas sekali di kalangan pengendali rangkaian dan pengguna di Malaysia. Realitinya, perkhidmatan rangkaian sedia ada belum mampu memenuhi piawaian 4G yang ditetapkan oleh International Telecommunication Union (ITU), badan antarabangsa di bawah naungan United Nation (UN). ITU-R merupakan badan yang menetapkan piawaian yang perlu dipenuhi oleh industri telekomunikasi dalam memperkenalkan sesuatu generasi rangkaian, dalam kes ini 4G.
Piawaian 4G secara formalnya dikenali sebagai IMT-Advanced. Pada March 2008, ITU telah menetapkan bahawa rangkaian 4G perlu menawarkan muat turun selaju 1 Gbit/s dalam keadaan pegun, manakala 100 Mbit/s dalam keadaan bergerak, seperti di dalam kereta ataupun keretapi. Jika pengendali C, M & D terdahulu mengatakan bahawa mereka menawarkan rangkaian 4G, tapi mengapa menurut OpenSignal, rata-rata pengguna di Malaysia hanya menikmati kelajuan antara 12 hingga 14 Mbit/s sahaja? yakni 83 kali lebih rendah daripada sasaran 4G sebenar?
Malangnya, ITU tiada kawalan berkaitan perlaksanaan piawaian ini. Kegagalan ini secara tidak sengaja membenarkan industri telekomunikasi untuk melaksanakan teknologi rangkaian seperti Long Term Evolution (LTE) dan Mobile WiMAX yang ditawarkan kepada pengguna tanpa memenuhi keperluan halaju 4G sebenar.
Apa itu LTE?
Awalnya, LTE dicanang sebagai teknologi 4G, namun pengenalan beberapa teknik pemancaran gagal memenuhi piawaian IMT-Advanced. Secara teorinya, LTE boleh mencapai 10 kali ganda kelajuan rangkaian berbanding Generasi Ketiga (3G). Pengenalan LTE menyaksikan muat turun selaju 100 Mbit/s di ‘atas kertas’. Walaupun peranti anda memaparkan simbol ‘4G’ pada skrin, namun ianya tidak memberi maksud sebenar 4G! Malahan, jika kita membuat panggilan, simbol ‘4G’ akan berubah kepada ‘3G’ oleh kerana perkhidmatan LTE di Malaysia belum dapat menampung teknologi ‘Voice over LTE’ sepenuhnya.
Apabila ITU-R menetapkan piawaian 4G, ianya sukar untuk dipenuhi oleh industri telekomunikasi, walaupun industri sudah berbelanja besar dalam penyelidikan untuk mencapai sasaran ini. Menyedari kekurangan ini, ITU telah menetapkan istilah 4G itu masih belum ditakrifkan, manakala teknologi rangkaian LTE, HSPA+ ataupun WiMAX diiktiraf sebagai pelopor ke arah IMT-Advanced, namun tertakluk kepada peningkatan drastik berbanding teknologi 3G terdahulu. Industri turut menggelarkan LTE sebagai 3.9G. Antara pengendali rangkaian LTE di Malaysia adalah Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile. Berminat lebih lanjut mengenai rangkaian 3G? Ikuti rencana terdahulu mengenainya oleh penulis.
Apa itu Mobile WiMAX?
Pada awalnya, Mobile WiMAX (Worldwide Interoperability for Microwave Access) dilihat sebagai pencabar kepada LTE dalam memenuhi piawaian 4G. Namun, WiMAX turut kecundang dalam perlumbaan ke 4G. Mobile WiMAX diperkenalkan oleh Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE). Sebelum ini, IEEE popular dengan teknologi WiFi, yang sudah lama mendapat tempat di kalangan pengguna.
Mobile WiMAX merupakan ‘abang’ kepada WiFi oleh kerana berupaya memberi liputan lebih luas daripada WiFi berdasarkan piawaian IEEE 802.16m. Ianya mempunyai teknologi pemancaran yang hampir sama dengan LTE, seperti antena berganda dan berasaskan Protokol Internet (IP). Teknologi WiMAX sesuai untuk pengendali rangkaian baru oleh kerana menggunakan perkakasan yang baru dan spektrum frekuensi yang berbeza daripada LTE. Oleh kerana itu, pengendali rangkaian WiMAX di Malaysia terdiri daripada pengendali baru, seperti Yes, di bawah syarikat YTL dan P1, yang kini berubah nama kepada webe (milik Packet One, anak syarikat Telekom Malaysia).
Teknologi WiMAX semakin hilang populariti oleh kerana ianya tidak menyokong teknologi rangkaian terdahulu, seperti 3G/2G, tidak menyokong peningkatan rangkaian akan datang dan kurang peranti yang menyokong capaian WiMAX. Oleh kerana itu, teknologi LTE semakin mendapat tempat dikalangan pengendali rangkaian dan pengguna.
Bagaimana Hendak Mencapai Kepantasan 4G?
LTE-Advanced (LTE-A) merupakan peningkatan kepada piawaian LTE dan dijangka memenuhi keperluan 4G ditetapkan oleh ITU-R. Jangan terkejut jika terlihat variasi lain, seperti LTE+, 4G+,XLTE atau VoLTE oleh kerana kesemuanya merujuk kepada istilah yang sama, iaitu LTE-A. LTE-A berpandukan kepada beberapa teknologi pemancaran yang dapat memenuhi keperluan rangkaian 4G. Ini melibatkan peningkatan dan penambahbaikan kepada infastrutkur rangkaian dan peranti sedia ada.
Penggunaan antena berganda (ataupun Multiple Input Multiple Output; MIMO) serta pengagregatan pembawa (carrier aggregation) jalur lebar frekuensi mampu memenuhi halaju 4G sebenar. Sebagai contoh, pemancaran menggunakan empat antena berganda, dua pengagregatan pembawa yang menggabungkan dua jalur lebar 10 MHz (memberi jumlah 20 MHz) dan teknik modulasi 64-QAM mampu menawarkan muat turun selaju 1 Gbit/s kepada peranti pengguna.
Pada masa ini, beberapa peranti yang hampir memenuhi piawaian 4G ialah iPhone6/6Plus dan Samsung Galaxy 5 (dan ke atas). Selain daripada itu, pengendali rangkaian perlu memastikan perkakasan di tapak pemancar dan keseluruhan rangkaian mampu menampung peningkatan teknologi pemancaran antena berganda, modulasi bolehsuai dan pengagregatan pembawa.
LTE Bukan 4G: Adakah Pengguna Perlu Ambil Tahu?
Pengawal selia Norway telah melarang pengendali rangkaian Netcom menggunakan istilah 4G untuk pemasaran LTE secara sementara bagi mengelakkan kekeliruan pengguna. Manakala di Malaysia pula, rata-rata perbualan penulis bersama rakan-rakan menunjukkan mereka tidak terjejas oleh ketidaktepatan penggunaan istilah 4G oleh industri telekomunikasi.
Bagi pengguna, mereka cukup berbahagia disisi peranti pintar mereka sepanjang hari tanpa menghiraukan kehadiran sesiapa di sekeliling; asalkan muat turun dilakukan dengan pantas, melayari YouTube tanpa ada sangkutan, tiada dropcall dan yang paling penting sekali ialah harga perkhidmatan murah pada servis kelas pertama. Realitinya, apabila membeli peranti pintar di kedai telekomunikasi, si tukang jual, dengan muka manisnya mula mendodoikan pengguna dengan isitilah-istilah canggih, seperti 4G, LTE, MIMO dan pelbagai lagi istilah tak pernah di dengar pengguna, dengan harapan senyuman manis mereka diterjemah kepada hasil jualan.
Bagi pengendali rangkaian dan industri telekomunikasi pula, penetapan piawaian oleh pakar boleh diketepikan dengan meletakkan LTE sebagai 4G, walaupun mereka sedar bahawa LTE belum matang lagi untuk dikenali sebagai 4G. Strategi pemasaran sebegini boleh meningkatkan jualan, berbanding daripada meningkatkan pemahaman pengguna mengenai teknologi telekomunikasi. Pepatah Inggeris mengatakan ‘business is business’ – penulis sendiri kurang jelas maksud pepatah ini, namun ianya kerap digunakan untuk menggambarkan kesamaran antara sempadan etika dan misi mencari keuntungan syarikat.
Walaupun tidak cukup 50 dalil, namun beberapa dalil yang dibincangkan terdahulu sudah mencukupi untuk memberi kesedaran kepada pengguna, agar memahami perbezaan teknologi rangkaian sedia ada dan istilah-istilah berkaitan rangkaian telekomunikasi. Penulis juga berharap agar pembaca tidak tertewas dengan kata-kata manis pengendali rangkaian mahupun kedai telekomunikasi di Malaysia dengan istilah-istilah canggih.
Catatan– Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM