Ini kerana kerajaan mengurangkan dana peruntukan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi daripada RM15.78 bilion tahun lepas kepada RM13.37 bilion.
Bagaimanapun sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh telah memberi jaminan pengurangan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion itu tidak akan menjejaskan usaha memajukan sektor pendidikan tinggi negara.
Namun bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), universiti terkemuka negara dalam bidang kejuruteraan, potongan dana sebanyak 25 peratus bagi IPTA itu dilihat dapat melatih pentadbiran universiti untuk lebih efisien dalam pelaksanaan programnya.
TAWAR KEPAKARAN PENDIDIKAN
Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ir. Wahid Omar berkata cabaran itu digunakan dengan merancang pelbagai program yang menonjolkan kualiti pendidikan universiti itu dalam usaha menjana sumber kewangan sendiri.
Antara usaha yang diberi penekanan adalah tawaran kepakaran kepada universiti luar dalam menghasilkan kurikulum yang diiktiraf dan menepati standard antarabangsa.
Prof Datuk Dr Ir. Wahid Omar
Langkah itu sudah mula dilaksanakan menerusi kerjasama dengan beberapa universiti awam dan swasta dari dalam dan luar negara.
“Kepakaran ini kita tawarkan berdasarkan permintaan. Sebagai contoh di Arab Saudi pada mulanya kita hantar staff di sana hanya untuk bangunkan silibus dan kurikulum.
“Bagaimanapun selepas itu Arab Saudi memohon UTM menawarkan pakej pembelajaran 3+1 yang dianggap mereka lebih menarik di mana pelajar akan menjalani pengajian selama tiga tahun di sana dan setahun lagi akan ditempatkan di mana-mana industri di Malaysia,” katanya yang menganggap pulangan daripada pakej pembelajaran itu dapat menyumbang kepada perbelanjaan operasi tahunan UTM.
Permintaan yang sama turut diterima daripada beberapa universiti di Sudan, Kyrgyzstan dan Indonesia yang mahukan kualiti pendidikan yang ditawarkan di UTM untuk di bawa ke negara mereka.
PERKENAL KURSUS MENEPATI INDUSTRI
UTM turut memperhebatkan program akademik kemahiran profesional melalui entiti di bawahnya iaitu UTM Space yang menawarkan program luar kampus, separuh masa dan hujung minggu.
Dua kursus baharu turut diperkenalkan iaitu Program Pengurusan Keselamatan Penerbangan dengan kerjasama Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta Sarjana Sains Pengurusan Kecemasan dan Bencana bersama universiti di Jepun.
“Dalam situasi kini kita perlu kreatif memberi tawaran sesuai dengan keperluan. Kita tak boleh duduk diam sebaliknya kena agresif mencari idea baharu untuk menjana pendapatan melalui pendidikan.
“Bukan kita mahu jual pendidikan sebagai satu komoditi yang boleh dijual beli tetapi kita kena beri nilai kepada pendidikan itu dan semua tahu UTM bukan badan membuat keuntungan,” katanya.
OPTIMUM ASET HARTANAH
Langkah mengoptimumkan aset hartanah milik UTM juga diambil dengan membina beberapa kemudahan yang boleh disewa kepada pengguna dari dalam dan luar kampus yang juga mampu menyumbang sumber kewangan yang kukuh kepada universiti itu.
Sebagai langkah jangka panjang UTM sedang membina bangunan Penginapan Pelajar Bertahap Tinggi yang akan dilengkapi dengan dewan seminar, pusat riadah serta pusat membeli belah mini.
“Kami membuat pinjaman daripada KWSP sebanyak RM180 juta untuk uruskan projek sendiri. Sehingga kini bangunan itu sudah siap lebih 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September ini.
“Bangunan penginapan ini akan dilengkapi dengan dewan seminar, pusat boling, kolam renang serta kemudahan membeli belah yang diharap apabila siap akan beri kemudahan kepada pelajar dan kita boleh mengutip sedikit hasilnya,” kata beliau.
Projek pembinaan hospital bernilai RM128 juta dengan kerjasama KPJ Healthcare Bhd juga sedang giat diusahakan dan dijangka mampu memuatkan 150 katil apabila siap kelak.
Wahid berkata projek itu akan didirikan di atas tanah milik UTM bersebelahan Taman Teknologi Johor di Skudai yang akan menawarkan perkhidmatan kesihatan daripada KPJ.
“Kita sasarkan pada Disember tahun lepas kita sudah boleh mulakan projek pembinaan namun dimaklumkan pembinaan masih tidak boleh diteruskan atas beberapa isu termasuk hak pemilikan tanah,” katanya yang percaya isu itu akan diselesaikan secepat mungkin.
LANGKAH PENJIMATAN
Menurut Wahid kebergantungan yang keterlaluan kepada dana kerajaan yang diperoleh kira-kira 90 peratus sebelum ini telah menjurus kepada pengurusan kewangan yang kurang cekap dan tidak mandiri.
Menyedari perkara itu UTM telah melaksanakan langkah penjimatan sejak 2009 dan hasilnya hampir RM5 juta penjimatan dilakukan pada 2012 kesan penjimatan meliputi alat tulis dan kertas (RM87 ribu), belanja perjalanan (RM2.98 juta), belanja keraian (RM1.15 juta) dan proses rundingan harga bekalan (RM400 ribu).
Pengurusan tenaga yang diperkemaskan melalui penggantian alat hawa dingin serta lampu yang lebih jimat tenaga turut membantu UTM mengurangkan kos pengeluaran.
Usaha mendapatkan diskaun off-peak tariff rider (OPTR) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ternyata membuahkan hasil apabila UTM mencatatkan penjimatan sehingga RM17 juta bagi pengurusan tenaga sejak 2009.
“Bil elektrik kita setahun lebih kurang RM24 juta. Kalau setahun kita dapat kurangkan RM1 juta pun sudah memadai.
“UTM mempunyai dua kampus dan untuk menyelanggara kedua-duanya sangat mahal tapi langkah penjimatan ini melibatkan orang, jadi kakitangan UTM juga perlu berjimat cermat,” katanya yang juga menggunakan ‘video conferencing’ sebagai langkah penjimatan untuk melaksanakan mesyuarat jarak jauh
Wahid yang kini masuk tahun ketiga memegang jawatan Naib Canselor di universiti yang mempunyai 24,000 pelajar itu percaya pengurangan dana daripada kerajaan tidak akan menjejaskan pembangunan pendidikan universiti itu.
Pemotongan RM1.4 bilion bajet itu adalah selaras matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan yang menyasarkan 30 IPTA dalam negara menjana pendapatan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan menjelang 2025.
SUMBER – Bernama