Oleh : Nurfaizatul Aisyah binti Ab Aziz
Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
Ada apa dengan “Likes”?
Facebook, Instagram, Twitter, Pinterest, Tumblr, Linkedln dan Snapchat adalah antara media sosial yang popular di Malaysia. Penggunaan media sosial di Malaysia meningkat saban hari dengan dianggarkan purata 3 jam sehari digunakan untuk melayari laman media sosial. Malah, pada 2018 Malaysia menjadi negara ke-9 di dunia yang paling aktif di laman sosial!
Seiring dengan perkembangan internet dan penggunaan media sosial, dunia melihat peningkatan kes-kes gangguan emosi seperti kemurungan (depression) dan gangguan keresahan (anxiety disorder) terutamanya dalam kalangan orang muda.
Kita tidak akan dapat lari daripada merasa untuk dihargai dan diterima oleh masyarakat dan mendapat “likes” yang banyak di media sosial bagi remaja sekarang adalah suatu indikasi penerimaan masyaarakat. Oleh sebab itulah, remaja sekarang lebih senang untuk melakukan perkara-perkara viral kerana perhatian yang mereka dapat daripada situ.
Kajian menunjukkan semakin banyak jumlah “likes” ataupun “favourites” yang diterima dalam media sosial akan meningkatkan lagi harga kendiri (self-esteem) seseorang. Harga kendiri dapat didefinasikan sebagai anggapan individu terhadap dirinya sendiri sama ada seorang yang berguna ataupun tidak. Harga kendiri seseorang akan meningkat apabila mereka merasakan mereka diterima dan dianggap popular oleh orang lain.
Bagi mereka yang mempunyai harga kendiri yang rendah, mereka akan lebih cenderung untuk mendapat kesan negatif daripada media sosial. Mendapat jumlah “likes” yang sedikit di media sosial akan merendahkan lagi harga kendiri mereka dan mungkin akan merosakkan mood dan mengganggu emosi mereka.
Namun, tahap sensitif seseorang terhadap harga kendiri ataupun segala bentuk maklumbalas positif (positive feedback) di media sosial dipengaruhi oleh satu faktor iaitu tujuan hidup (purpose in life). Kajian telah menunjukkan bahawa jika seseorang itu mempunyai tujuan hidup yang jelas, mereka tidak akan terganggu dengan sebanyak manapun “likes” yang diperolehi daripada gambar atau post yang mereka muatnaik. Mereka juga akan mempunyai harga kendiri yang tinggi.
The grass is always greener at the other side
Salah satu sebab penggunaan media sosial boleh menyebabkan gangguan emosi ialah sikap suka membandingkan kehidupan yang dipaparkan di media sosial dengan kehidupan sendiri. Hal ini dipanggil social comparison orientation (SCO). Mereka yang mempunyai kadar SCO yang tinggi kebiasaannya terdiri daripada mereka yang mempunyai harga kendiri yang rendah. Seperti pepatah Inggeris yang menyatakan “the grass is always greener at the other side” begitulah juga dengan sifat manusia. Manusia tidak lari daripada sikap suka membandingkan dan sering sahaja merasakan kehidupan orang lain adalah lebih baik daripada kehidupan sendiri.
Namun, kita harus sedar bahawa pengguna media sosial hanya akan mempamerkan sisi positif dan bahagia mereka di laman media sosial dan jarang sekali memaparkan sisi gelap mereka. Jadi, bagi yang suka membandingkan kehidupan mereka dengan paparan maya yang dilihat di media sosial, sudah pasti akan merasa tertekan kerana tidak dapat mencapai tahap kehidupan sempurna yang terlihat di media sosial. Mereka yang mempunyai SCO yang tinggi juga menghabiskan masa yang lebih banyak menggunakan media sosial berbanding mereka yang rendah kadar SCO.
Ironi apabila mereka yang tinggi SCO lebih banyak menggunakan media sosial berbanding dengan orang yang rendah SCO walaupun mereka yang tinggi SCO lebih cenderung terdedah dengan kesan negatif penggunaan media sosial. Hal ini demikian kerana, mereka yang tinggi SCO merasakan penting untuk mereka menggunakan media sosial dengan lebih kerap sebagai penilaian diri, inspirasi dan motivasi untuk menjadi seperti pengguna media sosial yang mereka lihat lebih berjaya.
Oleh sebab itulah, mereka tidak sedar bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan akan membawa kesan yang lebih buruk terhadap mereka. Harga kendiri akan terjejas dan mereka juga akan melihat kehidupan mereka secara negatif dan kurang menghargai apa yang sudah mereka miliki. Hal ini menyebabkan semakin lama mereka menghabiskan masa dengan media sosial, semakin tinggi peratusan untuk mendapat kemurungan dan gangguan keresahan. Trend ini dapat dilihat dalam kalangan instafamous (selebriti internet yang popular dan mempunyai ramai pengikut di Instagram) yang mengatakan mereka mengalami masalah ini. Mereka yang mempunyai lebih daripada satu platform media sosial juga dilihat lebih terdedah untuk mendapat kemurungan dan gangguan keresahan. Hal ini disebabkan media sosial yang berbeza mempunyai pengikut dan ciri-ciri yang berbeza. Jika mereka tidak faham akan pengikut dan ciri berbeza media sosial, mereka akan stress dan berkemungkinan akan mengalami gangguan emosi.
Antara sikap yang dapat mengurangkan kemurungan ialah sentiasa bersikap positif. Sikap positif dilihat dapat mengawal simptom kemurungan yang terhasil daripada sikap suka membandingkan (SCO) dan harga kendiri yang rendah.
Sebagai suatu bentuk kepuasan
Melihat gambar yang mempunyai banyak “likes” mengaktifkan bahagian otak yang sama seperti apabila kita mendengar muzik yang kita sukai iaitu bahagian otak yang terlibat dalam pemprosesan ganjaran ataupun reward system. Kajian ke atas remaja yang berumur 13-18 tahun ini menggunakan functional magnetic resonance imaging (fMRI) untuk menunjukkan bahagian otak yang aktif apabila remaja-remaja ini melihat jumlah “likes” pada gambar di media sosial Instagram, iaitu satu platform media sosial untuk berkongsi gambar dan video.
Nucleus Accumbence (NAcc) iaitu salah satu bahagian otak dalam reward system yang aktif apabila remaja ini melihat gambar mereka sendiri yang mempunyai banyak “likes”. Hal ini menunjukkan mendapat banyak “likes” ataupun maklumbalas positif yang lain adalah suatu kepuasan bagi mereka malah akan memotivasikan dan mendorong mereka untuk lebih kerap menggunakan media sosial. Oleh sebab inilah dapat kita lihat mengapa ada yang ketagih dalam menggunakan media sosial.
Korteks visual juga lebih aktif apabila melihat gambar-gambar popular yang mempunyai banyak “likes” berbanding dengan gambar yang tidak mempunyai banyak “likes”, menunjukkan mereka melihat gambar popular berkenaan dengan lebih teliti. Hal ini juga menunjukkan mereka akan lebih menganalisa gambar atau posting rakan-rakan mereka yang mempunya banyak “likes”, berkemungkinan untuk mereka meniru gaya gambar dan posting rakan mereka. Dapat dilihat bahagian inferior frontal gyrus juga aktif apabila melihat gambar rakan yang mempunyai banyak “likes” iaitu salah satu bahagian yang terlibat dalam ajukan ataupun imitasi.
Bagaimana untuk atasi
Apa yang penting ialah sikap ibu bapa dan juga pendidik untuk mengakui bahawa kita tidak dapat menghalang anak-anak daripada menggunakan media sosial. Jadi oleh sebab itu, ibu bapa dan pendidik mempunyai peranan penting untuk memberikan garis panduan dalam penggunaan media sosial. Mereka juga perlu mendidik anak-anak agar mempunyai harga kendiri yang tinggi supaya anak-anak tidak perlu untuk mencari pengiktirafan sosial ataupun masyarakat (social approval) daripada media sosial. Adalah penting juga untuk menerangkan bahawa apa yang terlihat di media sosial bukanlah indah-indah belaka. Ia terlihat indah kerana kita hanya menunjukkan apa yang indah.
Kurangkan platform media sosial yang digunakan dan juga masa yang diluangkan setiap kali menggunakan media sosial. Selain daripada itu, belajar bersyukur dan carilah tujuan hidup yang sebenar agar tidak terpengaruh dan terpedaya dengan kehidupan yang hanya terlihat sempurna di alam maya.
Rujukan
Burrow A. L. & Rainone N. (2017). How many likes did I get?: Purpose moderates links between positive social media feedback and self-esteem. Journal of Experimental Social Psychology, 69, pp. 232 –236.
Ili Hadri Khalil (30 Januari 2018). Malaysia negara ke-9 paling aktif media sosial, ke-5 paling ramai guna e-dagang – Laporan. Diambil daripada http://www.astroawani.com/gaya-hidup/malaysia-negara-ke-9-paling-aktif-media-sosial-ke-5-paling-ramai-guna-e-dagang-laporan-166998
Primack B. A., Shensa A., Escobar-Viera C. G., Barrett E. L., Sidani J. E., Colditz J. B., & James A. E. (2017). Use of multiple social media platforms and symptoms of depression and anxiety: A nationally-representative study among U.S. young adults. Computers in Human Behavior, 69, pp. 1-9.
Sherman L. E., Payton A. A., Hernandez L. M., Greenfield P. M., & Dapretto M. (2016). The Power of the Like in Adolescence: Effects of Peer Influence on Neural and
Behavioral Responses to Social Media. Psychological Science, 27(7), pp. 1027–1035.
Vogel E. A., Rose J. P., Okdie B. M., Eckles K., & Franz B. (2015). Who compares and despairs? The effect of social comparison orientation on social media use and its outcomes. Personality and Individual Differences, 86, pp. 249 –256.